Lata Rek adalah kawasan air terjun yang cukup terkenal di negeri Kelantan. Air terjun ini diwartakan sebagai tempat perkelahan yang amat sesuai untuk seisi keluarga bersuka-ria dan mencari ketenangan.[1] Kawasannya terletak berhampiran Kg. Laloh iaitu lebih kurang 30 km dari Bandar Kuala Krai, Kelantan. Orang ramai boleh ke sana melalui Lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang. Kebiasaannya Lata Rek paling ramai dikunjungi pada hari Jumaat (sempena cuti hari minggu di Kelantan). Tidak ketinggalan juga bagi penuntut universiti, pelajar sekolah, tentera, polis dan badan sukarela kerap membuat pekhemahan terutama pada musim cuti sekolah. Buat masa ini, tempat penginapan belum disediakan oleh pihak tertentu kerana masalah banjir yang boleh merosakkan struktur bangunan di sini terutama pada musim tengkujuh. Apapun, air terjun ini amat sesuai untuk sesi keluarga dan pekhemahan. Kedai makan, warung, pasar dan pelbagai lagi kemudahan terdapat berhampiran kawasan ini.
Sejarah
Berdasarkan kajian daripada orang-orang lama yang merupakan penduduk asal Lata Rek, nama Lata Rek berasal daripada bahasa Orang Asli. Lata bermaksud jeram yang terdapat hamparan batu-batan yang terbentang luas dan Rek bermaksud air yang mengalir dan turun dari tempat yang tinggi. Gabungan perkataan Lata dan Rek memberi maksud air yang mengalir dan terjun dari celah batu yang tinggi yang menghasilkan bunyi seperti rek-rek.
Lata Rek terletak dalam Mukim Lata Rek di Daerah Olak Jeram. Kampung di sini juga dikenali sebagai Kampung Kedondong yang di ambil sempena kampung asal penempatan penduduk dari Kampung Kedondong, Pasir Mas. Tetapi disebabkan terdapatnya Air Terjun maka nama Lata Rek lebih sinonim dan terkenal.
Kemudahan
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Dabong telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, tandas awam, wakaf rehat, gerai makanan dan rumah raja di sekitar kawasan ini. Namun banjir besar tahun 2014 telah merosakkan struktur bangunan terutama gerai makanan dan sehingga kini masih belum dibaik pulih.
Rumah Raja asalnya tempat persinggahan Al-Sultan Kelantan awal tahun 1980-an, terutama bila sambutan Hari Keputeraan, baginda akan singgah ke situ. Pada masa keberangkatan baginda di adakan sukaneka rakyat di kawasan pasir lata. Aktiviti yang paling diingati ialah memanjat batang pinang yang dilumur dengan minyak untuk mengambil bendera di puncak dan siapa yang paling awal akan mendapat hadiah. Semasa awal pembinaan rumah raja juga di bina pelantar panjang bertangga yang menghubungkan rumah raja dengan mini hidro. Rumah raja telah beberapa kali dibaiki dan ditukar dinding kerana kegiatan tidak bertanggungjawab pengunjung yang merosakkan dinding rumah. Semasa rumah raja masih elok, banyak aktiviti kemasyarakatan dilakukan di situ. Kini ianya tinggal kenangan bahkan generasi Y2K tidak lagi mengetahui kemeriahan kewujudan rumah raja tersebut.
Kawasan air terjun kerap dilanda banjir besar dan kawasan air terjun adalah tempat utama untuk penduduk setempat mengukur paras air. Setiap tahun kawasan air terjun dilimpahi air yang akan merubah struktur landskap kawasan tersebut.
Lata Rek boleh dihubungi melalui jalan raya yang telah dibina oleh pihak kerajaan yang merupakan jalan alternatif untuk ke Kuala Krai, Chucoh Puteri, Sungai Sok dan lain-lain. Lata Rek terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Kuala Krai(melalui lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang) dan 60 kilometer dari Bandar Gua Musang (melalui lebuh raya Kuala Krai-Gua Musang). Jarak Lata Rek dengan simpang empat Lata Rek-Laloh adalah lebih kurang 3 kilometer.
Kemudahan lain yang terdapat berhampiran Lata Rek adalah seperti Masjid Lata Rek dan Sekolah Kebangsaan Lata Rek terletak di Kampung Lata Tual dalam Mukim Lata Rek lebih kurang 2.7km dari kawasan air terjun. Surau Ummu Zainab adalah yang paling dekat dengan air terjun kira-kira jarak 500 meter dari air terjun. Surau ini di bina selepas Bah Kuning 2014 oleh penderma setelelah surau binaan kayu asal ranap dan rosak teruk semasa banjir 2014. Tapak surau asal diganti dengan bangunan surau baru binaan konkrit dibiayai oleh penderma selepas banjir dengan kemudahan tandas dan bilik mandi.
Selain itu Balai Polis Laloh, stesen minyak, Pasar Laloh, Sekolah Tadika KEMAS, Sekolah PASTI dan banyak kedai runcit di sepanjang jalan raya sebelum sampai ke Kampung Lata Rek.
Rujukan
Pautan luar
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.