INTEC atau International Education Centre (Pusat Pendidikan Antarabangsa) atau Kampus Satelit UiTM Seksyen 17 merupakan salah satu daripada cawangan Universiti Teknologi MARA yang terletak di negeri Selangor Darul Ehsan. Ia terletak cuma kira-kira tiga kilometer daripada kampus induk UiTM di Shah Alam. Kampus ini merupakan pusat persediaan pelajar-pelajar ke luar negara.
Sejarah
Pada tahun 1983, Institut Teknologi Mara, ITM (kini UiTM) mula dijadikan pusat persediaan pelajar-pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan berteraskan pembangunan akademik dan ilmu pengetahuan. Ramai di antara pelajar-pelajar lepasan kampus ini sedang dan telah melanjutkan pelajar ke universiti-universiti luar negara di United Kingdom, Australia, New Zealand, Jerman, Perancis, Jepun, Korea dan negara-negara Timur Tengah.
Mula dikenali sebagai Pusat Pendidikan Persediaan (PPP), pusat ini merupakan tempat pengajian antarabangsa di Malaysia. Namun demikian, masalah kemelesetan ekonomi yang melanda Malaysia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa program persediaan ke negara-negara selain Amerika Syarikat dan Jerman terpaksa dihentikan seketika.
Pada tahun 2000, nama pusat ini ditukar kepada Program Persediaan Luar Negeri (PPLN) dan sehingga November 2001, nama International Education Centre (INTEC) mula digunakan.
Kini INTEC menawarkan program-program persediaan akademik ke luar negara seperti American Degree Foundation Programme (ADFP), A-Level (United Kingdom), A-Level (German), A-Level (Medicine), Australian and New Zealand Programme melalui Australian Matriculation Programme (AUSMAT), Russian Programme, Korean Programme, French Programme, Middle-East Programme (MEP) and Japanese In-Plant Programme. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa program persediaan sentiasa ditambah baik, diwujudkan atau dihentikan mengikut keperluan semasa.