Kimia tak organik merujuk kepada pengkajian sintesis dan struktur sebatian tak organik dan organometalik. Bidang ini meliputi semua sebatian kimia kecuali sebatian organik (sebatian berasaskan karbon, mengandungi ikatan C-H) yang merujuk kepada kajian kimia organik. Aplikasi kimia tak organik meliputi pelbagai aspek industri kimia termasuk pemangkinan, sains bahan, pigmen, surfaktan, lapisan, perubatan, bahan api, dan pertanian.[1]
Pembelajaran kimia tak organik boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama (bersifat lebih moden) meliputi aspek-aspek asas dalam kimia seperti struktur atom, pembentukan ikatan kimia dan daya tarikan antara zarah, variasi sifat-sifat fizik dalam jadual berkala, teori asid dan bes, tindak balas redoks, sebatian koordinasi, dan sebatian-sebatian organologam. Bahagian kedua (bersifat tradisi) meliputi sifat-sifat kimia setiap unsur yang biasanya dikaji mengikut kumpulannya.
Untuk suatu jangka masa yang lama di sekitar abad ke-20, kimia tak organik dianggap sebagai satu cabang kimia yang tidak produktif lagi memandangkan banyak sebatian tak organik telah ditemui. Fenomena ini dapat ditunjukkan apabila tiada Hadiah Nobel dalam bidang kimia dianugerahkan kepada sebarang penemuan dalam cabang kimia tak organik semenjak Alfred Werner pada tahun 1913 sehinggalah Geoffrey Wilkinson dan E. O. Fischer berkongsi Hadiah Nobel dalam kimia pada tahun 1973. Satu faktor utama yang menyebabkan cabang ini kelihatan tidak produktif adalah penemuan mekanik kuantum pada 1920-an. Mekanik kuantum telah digunakan untuk menerangkan banyak fenomena, corak, dan sifat-sifat sebatian dalam kimia.
Rujukan
- ^ "Careers in Chemistry: Inorganic Chemistry". American Chemical Society.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kimia tak organik |