![]() |
Asid adalah suatu sebatian kimia yang terkenal dengan sifat masamnya dan mengakis. Ia boleh memberikan proton kepada satu molekul lain, atau membentuk ikatan kovalen dengan sepasang elektron di luar molekul lain.[1] Perkataan asid dijejakkan daripada perkataan bahasa Latin acidus yang bermaksud "masam; asam".[2]
Robert Boyle adalah antara orang pertama yang mengenalpasti kewujudan asid. Menurut beliau, asid merupakan bahan yang berasa masam, melarutkan banyak bahan lain seperti logam dan kapur, dan menukarkan warna sesetengah tumbuhan.
Satu alat penunjuk yang mudah yang dapat menentukan keasidan sesuatu sebatian ialah dengan menggunakan meter pH mengukur ion-ion unsur hidrogen yang diberikan daripada molekul asid dalam sebatian ini.[3] Apabila suatu sebatian yang dilarutkan dalam air dan menunjukkan nilai pH yang kurang daripada 7.0, sebatian itu mungkin boleh dikatakan bersifat asid; larutan bes yang mempunyai nilai pH lebih dari 7.0 dikatakan bersifat alkali.[4]
Takrifan
Pada kurun ke-17, Antoine Lavoisier mengelaskan asid sebagai oksida unsur bukan logam. Takrifan yang diberi olehnya adalah benar untuk asid sulfurik (H2SO4) dan asid nitrik (HNO3) tetapi tidak benar untuk asid hidroklorik (HCl).
Takrifan Arrhenius
Pada 1884, Arrhenius menakrifkan asid sebagai bahan yang bercerai dalam larutan akueus dan membentuk ion hidrogen (atau ion hidronium).
Dengan persamaan ini, pemalar penceraian asid ditakrifkan sebagai,
Bagi memudahkan kita untuk membandingkan kekuatan asid, Sørensen telah memberikan takrifan pH sebagai
Takrifan Brønsted-Lowry
Brønsted dan Lowry menakrifkan asid sebagai penderma ion hidrogen (H+). Takrifan ini mula diperkenalkan apabila ahli kimia mendapati bahawa tindak balas asid-bes juga boleh berlaku di dalam fasa wap ataupun dalam larutan bukan akueus.
Takrifan Lewis
Lewis menakrifkan asid sebagai spesies yang mempunyai orbital kosong dan mampu menerima kehadiran sepasang elektron. Takrifan asid-bes ini dilanjutkan supaya tindak balas antara spesies-spesies yang tidak mempunyai hidrogen juga boleh dikelaskan sebagai tindak balas asid-bes.
Sejarah
Sekitar abad ke-18, banyak ahli kimia Perancis, termasuk Antoine Lavoisier, keliru bahawa semua asid mengandung oksigen. Lavoisier mentakrifkan asid sebagai zat yang mengandungi oksigen kerana pengetahuannya tentang asid kuat hanya terbatas pada asid-asid okso dan kerana beliau tidak mengetahui komposisi sebenar asid-asid halida, HCl, HBr, dan HI. Lavoisier merupakan orang yang memberi nama oksigen daripada perkataan Yunani yang bermaksud "pembentuk asid". Kemudian, unsur klorin, bromin, dan iodin diberikan pengenalan masing-masing dan ketiadaan oksigen dalam asid-asid halida ditemui oleh Sir Humphry Davy pada tahun 1810, maka, takrifan oleh Lavoisier tersebut harus ditinggalkan.
Ahli kimia Inggeris pada waktu itu, termasuk Humphry Davy, berkeyakinan bahawa semua asid mengandungi hidrogen. Ahli kimia Sweden, Svante Arrhenius, menggunakan teori ini untuk mengembangkan takrifannya tentang asid. Beliau mengemukakan teorinya pada tahun 1884.
Pada tahun 1923, Johannes Nicolaus Brønsted dari Denmark dan Martin Lowry dari England masing-masing mengemukakan takrifan asid-bes secara proton yang kemudian dikenali dengan nama kedua-dua saintis ini. Definisi yang lebih umum diajukan oleh Lewis pada tahun yang sama, menjelaskan reaksi asid-asid sebagai proses pemindahan pasangan elektron.
Rujukan
- ^ "acid". Glossary of terms used in physical organic chemistry. Kesatuan Kimia Tulen dan Gunaan Antarabangsa. 1994. m/s. 1081.
- ^ K. Prent; J. Adisubrata; W. J. S. Poerwadarminta (1969). "ăcĭdus". Kamus Latin-Indonesia. Jogjakarta: Penerbitan Jajasan Kanisius. m/s. 11.
- ^ Jensen, William B. (Januari 2004). "The Symbol for pH". Journal of Chemical Education. 81 (1): 21. doi:10.1021/ed081p21.
- ^ Fatimah Binti Salim (14 Januari 2021). "Apakah Itu Skala pH?". Info Kimia. Majalah Sains. Dicapai pada 25 Februari 2025.