Kerekup siam | |
---|---|
Pokok ceri kampung. | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Eudikot |
Klad: | Rosid |
Order: | Malvales |
Keluarga: | Muntingiaceae |
Genus: | Muntingia L. |
Spesies: | M. calabura
|
Nama binomial | |
Muntingia calabura | |
Sinonim[1] | |
|
Kerekup siam, kerkup siam (dua-dua dalam Jawi: کرکوڤ سيام ), kerkuk atau kekut (nama botani: Muntingia calabura)[2][3] ialah spesies tumbuhan tunggal genus Muntingia.[1] Ia tumbuh asli di Mexico, Karibia, Amerika Tengah dan barat Amerika Selatan di selatan Bolivia dan Argentina;[4] ia tersebar di kawasan-kawasan tropika seluruh dunia.[5] Pokok ini sering dijumpai di tepi jalanan dan di sekitar sungai.
Ia tumbuhan kecil yang mempunyai buah yang manis dan digemari oleh kanak-kanak. Pokoknya juga ditanam sebagai hiasan.[5]
Penyebaran
Pada akhir abad ke-19, tumbuhan ini dibawa masuk ke Filipina dan dengan cepat tersebar ke seluruh wilayah Asia Tenggara. Kini, buah pokok ini diimport dari Asia Tenggara ke Eropah kerana pokoknya dikatakan hampir pupus di sana.
Botani
Pokok kerekup siam tumbuh setinggi 3–12 meter. Helai daunnya berbentuk bujur dengan ukuran 4–14 sentimeter panjang dan 1–4 sm lebar.[3] Pokoknya membesar dengan sungguh cepat.[6]
Pokok kerekup siam tidak pernah putus berbunga. Bunganya muncul dalam jambak yang mempunyai sehingga 3–5 kuntum. Sekuntum bunga kerukup mempunyai lima kelopak berwarna putih dengan ukuran 1.25–2 sm lebar. Kuntum-kuntum ini tahan selama 1 hari, kelopak-kelopaknya gugur pada waktu petang.[3][6]
Buahnya bulat dengan ukuran garis pusat 1–1.25 sm dengan kulit berwarna merah atau kuning.[6] Benih ceri ini tidak boleh dicernakan oleh burung-burung yang memakannya. Oleh itu, burung pemakan benih seperti gagak dan merpati akan menyebarkan benihnya melalui najis yang dibuang.
-
Bunga kerekup siam
-
Buah dan bunga kerekup siam.
-
Buah kerekup siam yang masak.
-
Seekor kupu-kupu hinggap di bunga kerkup siam.
Kegunaan
Tidak putus membiak sepanjang tahun, buah ceri Malaya ini boleh dimakan begitu sahaja. Buah ini digemari oleh kanak-kanak kerana rasanya yang manis semacam karamel dan berbau harum. Di Filipina dan Malaysia, pokok ini tumbuh merata dan oleh itu buahnya jarang dijual di pasaran. Kanak-kanak biasanya memakan buah yang dipetik terus dari pokok.
Di Mexico, daun pokok ceri ini boleh dibuat teh, dan buahnya dibuat jem ataupun dimakan secara segar. Di Brazil, pokok ini selalunya ditanam di tepi sungai. Buah yang jatuh ke dalam sungai akan dimakan oleh ikan yang kemudian akan ditangkap.
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b "Muntingia calabura L." World Flora Online. The World Flora Online Consortium. Dicapai pada 4 Januari 2022.
- ^ "Muntingia calabura". Kamus Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ a b c Hean Chooi Ong (2006). Buah: khasiat makanan & ubatan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications. m/s. 19, 72–73. ISBN 9789676118929.
- ^ Boning, Charles R. (2006). Florida's Best Fruiting Plants. Sarasota, Florida: Pineapple Press, Inc. m/s. 111.
- ^ a b Hanelt, Peter (2001). Mansfeld's Encyclopedia of Agricultural and Horticultural Crops: (Except Ornamentals). Institut Penyelidikan Tanaman dan Genetik Tumbuhan, Springer Science & Business Media. m/s. 1560. ISBN 9783540410171.
- ^ a b c Morton, Julia F. (1987). "Jamaica cherry". Fruits of warm climates. Miami, Florida, Amerika Syarikat: Program Sumber Tanaman Baru Dalam Talian, Pusat Hasil Tanaman dan Tumbuhan Baru, Jabatan Hortikultur dan Seni Bina Lanskap, Universiti Purdue. m/s. 65–69. ISBN 978-0-9610184-1-2.