Tarikh | 01 Januari 2021 |
---|---|
Masa | Kira-kira 03:17 MYT (07:17 UTC) |
Lokasi | Pengkalan Feri Triso, Batang Lupar, Beladin, Betong, Sarawak, Malaysia |
Penyebab | Kecuaian pemandu |
Kematian | 9 (termasuk pemandu) |
Kemalangan feri Triso ialah satu siri kemalangan jalan raya yang berlaku di Pengkalan Feri Triso, Batang Lupar, Beladin, Betong, Sarawak, Malaysia pada 1 Januari 2021, kira-kira pada jam 03:17 petang ketika dalam perjalanan menuju ke Kuching. Tragedi tersebut adalah tragedi terburuk dalam sejarah feri di Sarawak di mana 9 sekeluarga lemas bersama akibat terperangkap dalam kenderaan mereka melebihi 1 jam. Hasil siasatan polis mendapati terdapat unsur kecuaian pemandu ketika kejadian.
Latar belakang
Pada jam 03:17 petang, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dengan nombor pendaftaran QSM 6861 telah menaiki feri PRIMROSE XXVIII yang kebetulan sudah pun meninggalkan pengkalan. Kenderaan tersebut diparkir di tanjakan feri lebih 60 meter. Ketika kejadian, pemandu, Ronany @ Lorna Ting, didakwa terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh kapten feri supaya berundur dari tanjakan kerana ia sedang dinaiki. Akibat pengumuman tersebut, pemandu terbabit tertekan brek minyak lalu terjunam ke dalam sungai Batang Lupar bersama-sama 8 ahli keluarganya.
Semua penumpang feri yang menaikinya segera keluar dari kenderaan mereka dan menyaksikan pacuan tersebut tenggelam dengan bahagian belakang terapung dan terdapat 9 mangsa di dalamnya. Kesemua mereka menolong mengapungkannya dengan bantuan tekong feri dan sebuah jentolak dengan tali sauh dan rantai besi. Usaha mengangkat selama tiga jam membuahkan hasil apabila sebahagian daripada badan pacuan mula timbul. Sekumpulan lelaki kemudiannya terjun ke sungai untuk ke pacuan tersebut dan mengeluarkan mangsa di dalamnya dan membawa mereka ke pengkalan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut[1].
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia akibat lemas oleh sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan paramedik dari Hospital Sri Aman dan Hospital Betong yang tiba di lokasi kejadian. Mereka dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan sebuah lori untuk bedah siasat. Identiti mangsa telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa berdasarkan dokumen yang diperolehi dan pengecaman oleh waris mangsa. Mereka ialah:
- Ronany @ Lorna Ting (33; pemandu)
- Siti Aisha Abdullah (36)
- Nor Shuhada Mohamad (16)
- Khairunnisa Mohamad (14)
- Alvin Phang (12)
- Wallace Phang (7)
- Mohd Aiman Mohd Hamzah (7)
- Muhd Mustaqim Mohd Hamzah (5)
- Mohd Ahmad Mohd Hamzah (4 bulan)
Daripada keseluruhan mangsa yang dikenal pasti, 6 daripada mereka adalah mualaf Islam Cina. Salah seorang daripadanya berkahwin dengan seorang bekas pekerja bank yang juga mualaf Islam Iban.
Kesemua mangsa dituntut ahli keluarga mereka dan dikebumikan di 2 tempat berasingan. Mayat Siti Aisha dan 5 anaknya dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman selepas waktu Asar[2]. Manakala mayat Ronany bersama 2 anaknya ditempatkan di Sibu Mortuary Board di Sibu milik Persatuan Chiang Chuan Sibu sebelum dibakar di Taman Peringatan Nirvana, Sibu mengikut adat tradisi agama Buddha. Suami Ronany, Phang Wei Beng, 39, menerima kebenaran untuk menggunakan banguanan itu secara percuma kerana dia merupakan ahli persatuan tersebut.[3]
Reaksi
Bekas pekerja bank, pendakwah dan suami Siti Aisha, Mohd Hamzah Razali, 43, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua lagi anaknya tidak mengikuti rombongan ke Kuching kerana mahu menghabiskan program keagamaan di Kapit. Dia menambah, kehilangan lima sekeluarga itu juga merupakan pengajaran bagi dirinya dan juga dua anaknya yang masih hidup. Tambahnya lagi, kenderaan yang terlibat tidak mempunyai sebarang masalah sebelum bertolak ke sana. Sebelum kejadian, katannya, dia pernah cuba menghalang Siti Aisha daripada ke Kuching tetapi dia tetap dengan pendiriannya dengan alasan yang disifatkannya sebagai sangat tidak masuk akal[4].
Salah seroang anak mangsa, Mohd Imran Syafie, 13, berkata ketika kejadian, dia tidak mengikuti konvoi ke Kuching kerana tinggal bersama neneknya di Kapit. Dia menerima panggilan daripada saksi bahawa kesemua 6 ahli keluarganya mati lemas bersama. Akibat daripada itu, dia terkejut, hilang kata dan lemah semangat apabila mengetahui lima adik-beradiknya yang lain mati lemas di Triso selepas neneknya merimena panggilan mengejut mengenai kejadian yang menimpa mereka. Dia berkata dengan kematian lima beradiknya, tiada lagi bergaduh-manja, mengaji dan bermain permainan video bersama-sama. Dalam keluarga Mohd Hamzah selepas kejadian, hanya tinggal Mohd Imran dan adiknya, Fatihah Najwa, 10, selain Mohd Hamzah sendiri[5].
Sepupu mangsa, Christina Ting, 16, berkata, dia tidak dapat menahan tangisannya apabila mendakap mayat Mohd Ahmad ke pengkalan. Katanya, dia pernah menjadi penjaga kepada bayi itu apabila ibunya mengikuti konvoi aktiviti keagamaan di luar negara beberapa tahun yang lalu[6].
Ibu dua mangsa, Munah Agon, 59, berkata dia menaiki Mitsubishi Triton yang dipandu oleh anak lelakinya di belakang Ford Ranger yang malang itu. Tambahnya, dia hanya mampu menjerit apabila pacuan yang dinaiki anaknya itu terjunam ke dalam sungai dan tidak dapat berkata apa-apa selepas itu. Menurutnya, tujuan mereka ke Kuching adalah untuk menghantar Nur Shuhada dan Khairunnisa ke sebuah sekolah agama di Kuching.
Bagi penduduk kampung berhampiran, mereka berpusu-pusu untuk mengeluarkan kesemua mangsa dari kenderaan. Manakala kenderaan itu pula ditunda ke tanjakan oleh feri dan sebuah jentolak supaya ia tidak dihanyutkan lebih jauh. Tidak terkecuali, penumpang feri yang lain yang menyaksikan kejadian itu menerusi tanjakan feri. Mereka turut menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung dengan mengangkat keluar kesemua mangsa dari pacuan terbabit.
Siasatan
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Tan Sri Dr. James Jemut Masing, berdasarkan siasatan pihak berkuasa yang diperolehi, punca utama insiden berkenaan ialah kecuaian pemandu kerana terkejut diarahkan oleh "makhluk halus" untuk mengundurkan kenderaan hingga ia terjunam ke dalam sungai[7]. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pula, kenderaan yang dinaiki mangsa gagal diimbangi menyebabkan pacuan tersebut terjunam ke dalam sungai. Pengarah Operasi Kebombaan JBPM Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, pemandu tersebut cuba berpatah balik selepas menyedari feri itu sudah penuh. Tambahnya, ketika kejadian itu, terdapat dua pacuan yang bergerak ke Kuching, namun hanya sebuah sahaja berada di atas feri manakala sebuah lagi pula sedang menunggu giliran di jeti[8].
Selepas kejadian
Jabatan Kerja Raya (JKR) mahu semua pengkalan feri di Sarawak dilengkapi dengan penghadang besi serta penaiktarafan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berada di feri supaya insiden sama tidak berulang lagi di masa hadapan. Antara SOP baharu ialah semua penumpang keluar daripada kenderaan ketika feri sedang bergerak, enjin kenderaan wajib dimatikan selepas menaiki feri dan hanya pemandu sahaja berada di dalamnya.
Penduduk Beladin pula pada masa yang sama menggesa pembinaan Jambatan Batang Lupar disiapkan secepat mungkin supaya tiada lagi insiden kemalangan di jeti yang mengorbankan nyawa seperti yang telah berlaku pada awal tahun ini.
Rujukan
- ^ "Sebuah pacuan empat roda jatuh di Feri Triso". Suara Sarawak. 2021-01-01. Dicapai pada 2021-01-01.
- ^ "Enam mangsa tragedi Triso selamat disemadi di Sri Aman". Utusan Borneo. 2021-01-02. Dicapai pada 2021-01-02.
- ^ "Tragedi Triso: Tiga beranak disemadikan hari ini". Utusan Borneo. 2021-01-05. Dicapai pada 2021-01-05.
- ^ "Tragedi Jeti Triso: Siti Aishah berkeras hantar anak kembali ke madrasah". Sinar Harian. 2021-01-02. Dicapai pada 2021-01-02.
- ^ "Tragedi Feri Triso: Saya reda, kerana syurga buat mereka - anak mangsa". Astro Awani. 2021-01-02. Dicapai pada 2021-01-02.
- ^ "Tragedi Feri Triso: Gadis tular mendakap bayi tidak bernyawa luah rasa pilu". Astro Awani. 2021-01-03. Dicapai pada 2021-01-03.
- ^ "Tragedi Feri Triso: Ini adalah kecuaian sendiri, bukan jatuh feri - Masing". Astro Awani. 2021-01-02. Dicapai pada 2021-01-02.
- ^ "Mangsa gagal imbang kenderaan sebelum jatuh ke sungai - Bomba". Astro Awani. 2021-01-01. Dicapai pada 2021-01-01.