Sebahagian dari siri mengenai |
Hadis |
---|
Istilah hadis (bahasa Arab: muṣṭalaḥ al-ḥadīth; مُصْطَلَحُ الحَدِيْث) ialah himpunan istilah yang digunakan untuk menentukan sama ada boleh diterima atau tidak sebuah riwayat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad (SAW). Istilah-istilah tertentu membezakan hadis yang dianggap benar, yang boleh disandarkan kepada puncanya, daripada riwayat yang tidak dapat dipastikan asal-usulnya [yakni, provenans diragui]. Secara formalnya, ia didefinisikan oleh Ibn Hajar, seorang pakar hadis, sebagai: "Ilmu tentang prinsip-prinsip dari mana keadaan perawi dan yang bahan diriwayatkan boleh dipastikan."[1] Halaman ini memuatkan istilah primer yang digunakan dalam ilmu ataupun sains hadis.
Bilangan istilah
Bilangan istilah individu banyak; Ibn al-Salah memuatkan enam puluh lima dalam Pengenalan kepada Sains Hadisnya, dan kemudiannya berkata, "Ini ialah penghujungnya, tetapi bukan penghabisan tentang apa yang mungkin, kerana perkara ini tertakluk kepada pemerincian yang tidak terkira luasnya." Al-Bulqini mengulas akan kenyataan ini dengan berkata, "Kami telah menambah lima lagi bahagian, menjadikannya tujuh puluh."[2] Ibn al-Mulaqqin menghitung jenis-jenis berbeza sebagai "lebih dari lapan puluh"[3] dan al-Suyuti memuatkan sembilan puluh tiga dalam Tadrib al-Rawi. Muhammad al-Hazimi mengakui jumlah istilah — hampir seratus mengikut perhitungannya — dengan berkata: "Ketahuilah bahawa ilmu hadis terdiri daripada beberapa jenis, menghampiri 100 jenis. Setiap jenis ialah kajian tersendiri, dan jika seorang pengkaji itu mengabdikan hidupnya kepada pengajian jenis-jenis tersebut, dia tidak akan sampai kepada kesudahannya."[1]
Istilah berkaitan kesahan hadis
Ibn al-Salah berkata: "Mengikut pakarnya, sesuatu hadis dibahagikan kepada sahih, hasan dan daif."[4] Sementara istilah khusus hadis itu banyak, lebih banyak dari tiga istilah ini, pada asasnya hasil muktamad ialah menentukan sama ada hadis tertentu itu sahih — justeru boleh diikuti, atau daif dan tidak perlu diikuti. Buktinya ialah ulasan al-Bulqini terhadap kenyataan Ibn al-Salah. Al-Bulqini menyatakan bahawa "istilah pakar hadis lebih daripada ini, sementara pada waktu yang sama, ia hanya sahih dan lawannya. Barangkali pada amnya, apa yang diniatkan oleh pembahagian terkemudian (yakni ke dalam dua bahagian) berkaitan dengan tahap kewibawaan agama, atau sebaliknya, dan apa yang akan disebutkan kemudian (yakni, 65 kategori itu) ialah pengkhususan keadaan am itu."[4]
Ṣaḥīḥ
Sahih, (صَحِيْح), paling baik diterjemahkan sebagai "benar". Ibn Hajar mendefinisikan sebuah hadis yang ṣaḥīḥ lithatihi, sebagai sahih dalam dan daripadanya, yakni sebagai satu riwayat (ahaad – lihat di bawah) yang dibawa oleh seorang yang layak [kompeten], serta boleh dipercayai, sama ada dari segi kebolehannya menghafal atau memelihara apa yang ditulisnya, dengan isnad (rantaian periwayatan) muttasil (berhubung kait) yang tidak terdapat padanya kecacatan tersembunyi yang berat ( 'illah) atau kelainan (shādhdh). Beliau kemudiannya memberi definisi hadis yang ṣaḥīḥ ligharihi, sebagai sahih oleh sebab faktor luaran, seperti suatu hadis "yang ada padanya sesuatu, seperti terdapatnya banyak rantaian periwayatan yang menguatkannya."[5]
Definisi Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa terdapat lima syarat yang mesti dipenuhi sebelum sesuatu hadis itu boleh dianggap sahih.
- Setiap perawi dalam rantaian periwayatan mesti boleh dipercayai.
- Setiap perawi mesti dapat diharapkan untuk memelihara periwayatan itu – sama ada kebolehannya menghafal sehingga dapat mengingati hadis itu seperti didengarinya, atau telah menulis hadis tersebut seperti mana didengarinya, dan telah memelihara penulisan itu agar tidak berubah.
- Isnad mesti kait-mengait secara muttasil, dalam erti kata setiap periwayat sekurang-kurangnya berkemungkinan mendengari hadis yang diriwayatkannya daripada periwayat sebelumnya.
- Hadis yang diriwayatkan itu bebas daripada kecacatan yang illah (tersembunyi) tetapi memudaratkan ‐ seperti setelah dipastikan bahawa sementara terdapat dua perawi yang hidup sezaman, akan tetapi mereka tidak pernah bertemu, justeru terputuslah pertalian 'rantai'.
- Hadis yang diriwayatkan bebas daripada kelainan, yakni ia tidak bercanggah dengan hadis yang lebih kukuh.
Beberapa buku telah ditulis di mana penulis mensyaratkan bahawa hanya hadis sahih akan dimuatkan ke dalamnya. Mengikut ahli Sunnah hanya dua kitab yang pertama sahaja yang menepati syarat ini: Kitab-kitab disenaraikan mengikut pangkat kesahan:
- Sahih al-Bukhari: Dianggap yang paling sah selepas al-Qur'an.[6]
- Sahih Muslim: Dianggap yang paling sah selepas kitab Sahih al-Bukhari[6]
- Sahih ibn Khuzaimah: Al-Suyuti berpendapat Sahih Ibn Khuzaimah lebih tinggi tarafnya daripada Sahih Ibn Hibban.[7]
- Sahih Ibn Hibban: Al-Suyuti juga merumuskan bahawa Sahih Ibn Hibban lebih sah daripada Al-Mustadrak ala al-Sahihain.[7]
- al-Mustadrak ala al-Sahihain, karangan Hakim al-Nishaburi.[7]
- Al-Āhādith al-Jiyād al-Mukhtārah min mā laysa fī Ṣaḥīḥain oleh Diya al-Din al-Maqdisi, dikira sah.[8]
Ḥasan
Hasan, (حَسَن), dari segi linguistik bermaksud baik dan terdapat beberapa definisi teknikal yang bertumpu [konvergen]. Secara amnya, ia menetapkan pengkategorian sesuatu hadis yang hasan sebagai hadis yang diterima sebagai bukti keagamaan mahupun tidak setaraf sahih.
Ibn Hajar mendifinisikan sesuatu hadis hasan lithatihi, sebagai hasan dalam dan daripadanya, dengan definisi yang sama bagi hadis sahih melainkan kelayakan seorang daripada perawinya kurang daripada lengkap; dan hadis hasan ligharihi (hasan oleh sebab faktor luaran), ditetapkan sebagai hasan kerana terdapat faktor-faktor yang mentahkikkannya, seperti terdapat berbilang rantaian periwayatan. Beliau kemudiannya menyatakan yang dalam kuasa agamanya, ia [hadis hasan ligharihi] boleh dibandingkan dengan hadis sahih. Hadis hasan, kendatipun memiliki kekurangan kecil, dapat dinaikkan ke pangkat sahih dengan terdapatnya rantaian periwayatan yang banyak. Dalam hal ini hadis tersebut ialah hasan lithatihi, hasan dalam dan daripadanya. Hadis taraf ini, apabila dikaitkan dengan rantaian periwayatan sokongan, dianggap sahih ligharihi, yakni sahih disebabkan faktor luaran.[9]
Istilah berkaitan
Musnad
Ahli awal hadis, Muhammad ibn Abdullah al-Hakim, mentakrifkan hadis musnad (مُسْنَد), (harfiah, "disokong") sebagai:
- Hadis yang diriwayatkan oleh seorang sarjana atau pengkaji hadis daripada syeikhnya yang telah mengimlakkan hadis kepadanya semenjak umur yang bersesuaian bagi aktiviti tersebut, dan seterusnya setiap syeikh pula telah mendengar daripada syeikhnya sehinggalah isnad itu sampai kepada seorang Sahabat, dan seterusnya kepada Rasulullah. Contoh hal sedemikian seperti berikut:
- Abu 'Amr 'Uthman ibn Ahmad al-Samak meriwayatkan kepada kami di Baghdad: al-Ḥasan ibn Mukarram meriwayatkan kepada kami: ʻUthman ibn 'Umar meriwayatkan kepada kami: Yunus memaklumkan kami daripada al-Zuhri daripada ʻAbdullah ibn Kaʻb ibn Mālik daripada bapanya Ka'b ibn Malik yang menagih hutang daripada ibn Abi Hadrad yang berhutang kepada beliau ketika di dalam masjid. Suara mereka meninggi sehinggakan dapat didengari Rasulullah [(SAW)]. Baginda keluar dari rumah dengan hanya menyingkapkan tirai rumah baginda sambil berkata, 'O Ka'b! Lepaskannya daripada hutangnya,' sambil membuat gerak isyarat yang menunjukkan dari setengah. Jadi, Ka'b berkata, Ya', dan orang itu membayar hutangnya.
- Bagi menerangkan contoh yang saya berikan ini: yang saya mendengarinya daripada Ibn al-Samak adalah jelas, yang beliau mendengarinya daripada al-Ḥasan ibn al-Mukarram adalah jelas, sama juga Hasan mendengarinya daripada 'Uthman ibn 'Umar dan 'Uthamn ibn 'Umar daripada Yunus ibn Yazid – yang ini merupakan rantaian yang ditinggikan bagi 'Uthman. Diketahui Yunus mendengarnya ([daripada]) al-Zuhri, dan al-Zuhri daripada anak-anak Ka'b ibn Malik, dan anak-anak Ka'b ibn Malik daripada bapa mereka dan Ka'b daripada Rasulullah (SAW) kerana diketahui beliau seorang Sahabat. Contoh yang saya berikan ini, merujuk kepada hanya satu hadis berkaitan kategori ini secara amnya, boleh diguna pakai terhadap beribu hadis.[10]
Himpunan hadis berbentuk musnad
Hadis yang musnad tidak seharusnya dikelirukan dengan sejenis himpunan hadis yang seakan namanya, musnad, yang diatur mengikut nama sahabat yang meriwayatkan setiap hadis. Misalnya, suatu musnad mungkin bermula dengan penyenaraian beberapa hadis, masing-masing dilengkapi sanad, daripada Saidina Abu Bakar, kemudia senarai hadis daripada Sayidina Umar, dan kemudian Sayidina Uthman dan kemudiannya Sayidina Ali dan seterusnya. Pengumpul-pengumpul himpunan sedimikian mungkin berlainan cara menyenaraikan para Sahabat yang meriwayatkan hadis yang dikumpul. Contoh kitab sebegini ialah Musnad Ahmad bin Hanbal karya Imam Ahmad bin Hanbal.
Muttaṣil
Muttasil, (مُتَّصِل), merujuk kepada rantaian periwayatan berterusan dalam mana setiap perawi telah mendengar sesuatu riwayat itu daripada gurunya.[11]
Ḍaʻīf
Daif, (ضَعِيْف), adalah pengkategorian sebuah hadis sebagai lemah. Ibn Hajar menyatakan penyebab sesuatu hadis dikategorikan sebagai lemah adalah "sama ada disebabkan terputusnya rantaian periwayatan atau disebabkan kritikan terhadap perawi."[12] Rantaian yang tidak berterusan ini merujuk kepada ketinggalan seorang perawi pada kedudukan berlainan dalm isnad dan dirujuk dengan istilah khusus bersesuaian seperti dibincang di bawah.
Kategori rantaian tak selanjar
Muʻallaq
Rantaian yang terputus pada permulaan isnad, (dilihat dari sudut penghujung pengumpul hadis tersebut), disebut mu'allaq (مُعَلَّق), secara harfiah, "tergantung". Mu'allaq merujuk kepada keciciran satu atau lebih perawi. Ia juga merujuk kepada keciciran seluruh isnad, misalnya, (seorang perawi) hanya berkata: "Nabi berkata..." Di samping itu, ia juga termasuk keadaan di mana isnad tercicir melainkan sahabat, atau sahabat bersama tabiin. [12]
Mursal
Mursal, (مُرْسَل), secara harfiah bermaksud gopoh. Jika perawi di antara Tabiin dan Nabi Muhammad dicicirkan daripada isnad tertentu, hadis itu adalah mursal, misalnya apabila seorang Tabiin berkata, "Nabi berkata ... "[13] Oleh sebab ahli Sunah wal-Jamaah berpegang bahawa para Sahabat kesemuanya boleh dipercayai akan kewibawaan mereka, maka mereka [Ahli Sunnah] tidak mendapati masalah jika seorang Tabiin tidak menyebut daripada Sahabat mana hadis itu diperoleh. Ini bermakna jika sesuatu hadis itu memiliki rantaian yang boleh diterima hingga ke seorang Tabiin, dan tabiin itu pula menyandarkannya kepada seorang Sahabat yang tidak dipastikan, isnad dianggap dapat diterima.
Namun, terdapat perselisihan pendapat dalam beberapa kes: Jika seorang Tabiin itu muda, dan berkemungkinan besar beliau tercicir seorang Tabiin yang lebih tua yang meriwayatkan daripada seorang Sahabat. Imam Malik dan ahli fiqah Mazhab Maliki berpendapat mursal seorang yang boleh dipercayai adalah sah, sama seperti hadis yang musnad. Pandangan ini telah dikembangkan ke tahap yang keterlaluan sehingga sebahagian daripada mereka mengganggap hadis mursal lebih baik daripada hadis musnad, berlandaskan taakulan berikut: "Orang yang melaporkan (meriwayatkan) hadis musnad meninggalkan kepada anda nama-nama perawi agar dapat dibuat pemeriksaan dan penelitian selanjutnya, manakala seorang, yang dirinya sendiri seorang yang berpengetahuan dan boleh dipercayai, yang meriwayatkan melalui kaedah irsal (ketiadaan hubungan dia antara tabiin dan Nabi), telah sendirinya melakukan pemeriksaan dan mendapati hadis tersebut sebagai sah. Malah, beliau melepaskan anda daripada keperluan melakukan pemeriksaan lanjut." Ahli hadis yang lain menolak mursal seorang Tabiin yang lebih muda.[13]
Muʻḍal
Hadis daripada kategori rantaian terputus adalah mu'dal, (مُعْضَل) atau "bermasalah", yang merujuk kepada keciciran dua atau lebih perawi secara berurutan daripada isnad.[14]
Munqaṭiʻ
Hadis munqatik, (مُنْقَطِع), harfiahnya "tercerai", ialah hadis di mana isnad perawi yang melaporkan hadis terputus pada mana-mana tempat.[13] Isnad hadis yang kelihatan muttasil, tetapi diketahui bahawa seorang daripada pelapornya tidak pernah mendengar hadis berkenaan daripada perawi sebelumnya, mahupun mereka hidup sezaman, adalah munqatik. Ia juga diguna pakai apabila seseorang berkata, "seorang memberitahu saya".[13]
Jenis kelemahan lain
Munkar
Munkar, (مُنْكَر), secara harfiah bermaksud "dikecam". Mengikut Ibn Hajar, jika sesuatu periwayatan yang bertentangan dengan hadis sah dilaporkan oleh seorang perawi yang lemah, ia dikenali sebagai munkar. Ahli hadis sehingga Imam Ahmad secara kebiasaannya menggelar apa jua hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang lemah sebagai munkar.[15]
Shādhdh
Shadhdh, (شاذّ), harfiah, "janggal". Mengikut Imam al-Syafii, hadis shadhdh adalah sesuatu [hadis] yang diriwayatkan oleh seseorang yang boleh dipercayai tetapi bercanggah dengan periwayatan seorang yang lebih dipercayai daripadanya. Golongan ini tidak termasuk hadis yang tersendiri [unik] dari segi matn dan tidak pula diriwayatkan oleh orang lain.[15]
Muḍṭarib
Muḍṭarib, (مُضْطَرِب), bermaksud 'goyah'. Mengikut Ismail Ibn Kathir, jika perawi tidak mencapai persetujuan tentang syeikh tertentu, atau tentang beberapa isu dalam isnad atau matn, sehinggakan tidak ada kelebihan satu pendapat daripada pendapat yang lain, dan dengan itu timbullah ketidaktentuan yang tidak dapat diselaraskan, maka hadis yang dibincangkan digelar muḍṭarib.[16]
Satu contoh ialah hadis berikut yang disandarkan kepada Khalifah Abu Bakar:
- "Wahai Rasulullah!. Saya melihat tuan tampak lebih berusia?" Beliau (Sallallahu alaihi wasallam) menjawab, "Apa yang membuat aku bertambah tua ialah Surah Hud dan surah-surah sempamanya." Sarjana hadis al-Daraqutni mengulas: "Ini ialah contoh hadis muḍṭarib. Ia diriwayatkan melalui Abu Ishaq, tetapi terdapat sebanyak sepuluh pendapat berhubung isnadnya. Ada yang melaporkannya sebagai mursal, ada sebagai muttasil; ada yang menganggapnya sebagai pengisahan Abu Bakar, yang lain sebagai pengisahan Sa'd atau Aisyah." Memandangkan kesemua riwayat ini sama beratnya, adalah sukar memilih satu daripada yang lain. Justeru, hadis ini digelar muḍṭarib.[16]
Mawḍūʻ
Hadis yang mawḍūʻ, (مَوْضُوْع), atau 'Mauduk' (transliterasi Bahasa Melayu bagi perkataan Arab sekiranya tidak digunakan dalam erti istilah)[17] ialah sebuah hadis yang dipastikan palsu dan tidak boleh disandarkan kepada asal-usulnya. Al-Dhahabi memberi definisi mawḍu' sebagai hadis di mana teksnya bercanggah dengan kelaziman kata-kata Nabi Muhammad, atau pelapornya termasuk seorang pembohong.
Mengenal pasti hadis palsu
- Beberapa hadis diketahui palsu daripada pengakuan perekanya. Misalnya, Muhammad ibn Sa'id al-Maslub sering berkata, "Adalah tidak salah memalsukan isnad sebagai kenyataan yang sahih." Seorang pereka hadis yang terkenal, Abd al-Karim Abu'l-Auja, yang dibunuh serta disalib oleh Muhammad ibn Sulaiman ibn Ali, gabenor Basra, mengaku bahawa beliau telah memalsukan lebih empat ribu hadis yang memboleh benda yang haram dan sebaliknya.
- Periwayatan Mawḍu' juga dikenal pasti melalui bukti luaran berhubung perbezaan dalam tarikh atau waktu sesuatu kejadian. Misalnya, Khalifah kedua Sayidina Umar Farouk membuat keputusan menghalau Yahudi dari Khaibar , beberapa pembesar Yahudi membawa dokumen kepada Sayidina Umar yang kononnya membuktikan bahawa Nabi Muhammad memang berniat agar mereka terus tinggal di sana dengan mengecualikan mereka daripada membayar jizyah; dokumen tersebut disaksikan oleh dua orang Sahabat, Sa'd bin Mu'az dan Mu'awiyah bin Abu Sufyan. Sayidina Umar menolak dokumen tersebut tanpa periksa kerana beliau tahu bahawa dokumen tersebut dipalsukan oleh sebab penaklukan Khaibar [oleh Nabi Muhammad] berlaku dalam tahun 6 H, sementara Sa'd bin Mu'az meninggal dunia pada tahun 3 H sejurus selepas Perang Ahzab, dan Mu'awiyah memeluk Islam hanya dalam tahun 8 H, yakni selepas Pembukaan Kota Mekah.
Sebab-musabab pemalsuan
Ada beberapa faktor yang mendorong sesorang itu memalsukan hadis> Faktor-faktor ini termasuklah:
- perbezaan politik
- perbezaan pegangan tentang Islam
- rekaan oleh pembidaah yang meneyeleweng
- rekaan oleh tukang cerita
- rekaan oleh orang zahid yang tidak berilmu
- prasangka terhadap bandar, ras, atau pemimpin tertentu
- rekaan oleh sebab kepentingan diri sendiri
- peribahasa yang ditukarkan menjadi hadis
Himpunan hadis palsu
Beberapa pakar hadis telah mengumpulkan hadis palsu seperti berikut:
- Al-Maudu'at oleh Abul-Faraj Ibn al-Jawzi
- Kitab al-Abatil oleh al-Jauzaqani
- Al-La'ali al-Masnu'ah fi'l-Ahadith al-Mawdu`ah oleh Jalaluddin al-Suyuti
- Al-Mawdu`at oleh Ali al-Qari
- Al-Fawaid al-Majmu'ah fi al-Ahaadeeth al-Mawdu'ah oleh Muhammad ash-Shawkani
Rujukan
- ^ a b al-`Asqalānī, Aḥmad ibn `Alī. al-Nukat Ala Kitab Ibn al-Salah (dalam bahasa Arabic). 1. `Ajman: Maktabah al-Furqan. m/s. 81–95.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Ibn al-Salah. 'Aishah bint 'Abd al-Rahman (penyunting). Muqadimah Ibn al-Salah (dalam bahasa Arabic). Cairo: Dar al-Ma'arif. m/s. 150.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Al-Tathkirah fi 'Ulum al-Hadith, Dar 'Ammaar, Jordan, first edition, 1988.
- ^ a b c Muqadimah Ibn al-Salah, by Ibn al-Salah, along with Muhasin al-Istilah by al-Bulqini, edited by 'Aishah bint 'Abd al-Rahman, pg. 101, Dar al-Ma'arif, Cairo.
- ^ Nuzhah al-Nuthr, published with Al-Nukat by 'Ali ibn Hasan, pg. 82, Dar ibn al-Jawzi, al-Damam, 6th edition.
- ^ a b al-Shahrazuri, `Uthman ibn `Abd al-Rahman Ibn al-Salah (1990). `Aishah bint `Abd al-Rahman (penyunting). al-Muqaddimah fi `Ulum al-Hadith. Cairo: Dar al-Ma’aarif. m/s. 160–9.
- ^ a b c Tadrib al-Rawi, vol. 1, pg. 148, Dar al-'Asimah, Riyadh, first edition, 2003.
- ^ al-Kattānī, Muḥammad ibn Jaʻfar (2007). Al-Risālah al-Mustaṭrafah (ed. seventh). Dār al-Bashāʼir al-Islamiyyah. m/s. 24.
- ^ Nuzhah al-Nuthr, published as Al-Nukat, pg. 91–92, Dar ibn al-Jawzi, al-Damam, 6th edition.
- ^ Marifah 'Ulum al-Hadith, by al-Hakim, pg. 17-8, Da'irah al-Ma'arif al-'Uthmanaiyyah, Hyderabad, India, second edition, 1977.
- ^ Nuzhah al-Nuthr, published with Al-Nukat by 'Ali ibn Hasan, pg. 83, Dar ibn al-Jawzi, al-Damam, 6th edition.
- ^ a b c Nuzhah al-Nuthr, published with Al-Nukat, pg. 108, Dar ibn al-Jawzi, al-Damam, 6th edition.
- ^ a b c d "The Classification of hadith according to the links in the isnād, by Suhaib Hassan". Witness-pioneer.org. 2002-09-16. Dicapai pada 2010-03-16.
- ^ Nuzhah al-Nuthr, published with Al-Nukat by 'Ali ibn Hasan, pg. 112, Dar ibn al-Jawzi, al-Damam, 6th edition.
- ^ a b "The Classification of hadith according to the nature of the text and isnād, by Suhaib Hassan". Witness-pioneer.org. 2002-09-16. Dicapai pada 2010-03-16.
- ^ a b "The Classification of hadith according to a hidden defect found in the isnād or text of a hadith, by Suhaib Hassan". Witness-pioneer.org. 2002-09-16. Dicapai pada 2010-03-16.
- ^ Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi Dewan Bahasa dan Pustaka
Bacaan lanjut
- (Inggeris) Pengenalan kepada Ilmu Hadis, by Ibn al-Salah, translated by Dr. Eerik Dickinson; ISBN 1-85964-158-X
- (Inggeris) Studies in Hadith Methodology and Literature, by Muhammad Mustafa Al-A'zami; ISBN 983-9154-27-3
- (Inggeris)The Canonization of Al-Bukhari and Muslim: The Formation and Function of the Sunni Hadith Canon by Jonathan Brown, BRILL, 2007
- Dewan Bahasa dan Pustaka. "Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-12-02. Dicapai pada 3 September 2012. Check
|authorlink=
value (bantuan)