
Hutan simpanan kekal, hutan simpan dan estet hutan kekal (bagi Sarawak) di Malaysia merupakan kawasan rizab yang dilindungi untuk spesies pokok (flora) dan hidupan liar (fauna) yang hidup secara meliar yang dikawal rapi oleh kerajaan negeri.[1][2][3] Hutan simpan bukan sahaja sebagai kawasan rizab perlindungan flora dan fauna tetapi ia juga dijadikan sebagai kawasan pengeluaran hasil-hasil hutan seperti kayu balak dengan dikelaskan fungsinya iaitu hutan pengeluaran.[1][4][5]
Kawasan hutan simpan ini tidak boleh diceroboh atau melakukan aktiviti terlarang seperti memasuki hutan simpan tanpa permit, mengambil hasil hutan tanpa permit atau mana-mana seksyen yang boleh melanggar Akta Perhutanan Negara 1984 (APN) untuk Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 bagi Sabah.[1][4][5]
Semua hidupan flora di Malaysia khususnya di kawasan hutan simpan dari pesisiran pantai hingga kawasan tanah tinggi didominasi oleh keluarga pokok Dipterocarpaceae yakni meranti atau balau (Shorea spp.), keruing (Dipterocarpus spp.), merawan atau giam (Hopea spp.), cengal (Neobalanocarpus), kapur (Dryobalanops spp.), mersawa (Anisoptera spp.) dan resak (Vatica spp.).[6]
Di Malaysia, terdapat pelbagai hutan di Malaysia Barat dan Malaysia Timur iaitu hutan hujan tropika bagi kawasan darat, hutan paya laut bagi kawasan pinggir laut dan hutan paya gambut bagi kawasan bertanah lembap.[3]
Semenanjung Malaysia
[sunting | sunting sumber]
Di Semenanjung Malaysia, ia diliputi oleh kawasan hutan hujan tropika seluas 5.758 juta hektar (43.62%) daripada jumlah keluasan tanah 13.2 juta hektar.[3]
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan jabatan-jabatan perhutanan negeri merupakan agensi yang mengawal hutan-hutan simpan di Semenanjung Malaysia.[1][2] Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga terlibat dalam menjaga dan melindungi dari segi hidupan liar dalam hutan simpan di Semenanjung Malaysia.[7]
Pelan Central Forest Spine (CFS) merangkumi negeri Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan. Luas kawasan CFS ialah 5.3 juta hektar dan fungsinya sebagai penyambung kepada kompleks hutan yang terpisah melalui konsep rangkaian ekologi. Malahan pula, CFS terdiri juga hutan simpanan kekal dan hutan-hutan lain contohnya rizab hidupan liar dan hutan tanah kerajaan.[8][9]
Hutan-hutan simpan di Semenanjung Malaysia diuruskan dengan sistem kompartmen (pemisahan bahagian). Contoh hutan simpan yang terdapat di Semenanjung Malaysia ialah Hutan Simpan Batu Talam, Hutan Simpan Bukit Nenas dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.
Flora dan fauna
[sunting | sunting sumber]Terdapat pelbagai spesies flora di Semenanjung Malaysia dalam hutan simpanan kekal ini contohnya bagi flora terdapatnya pokok merbau (Intsia palembanica), tualang (Koompassia excelsa), keruing ropol (Dipterocarpus hasseltii).[6] Flora yang terancam dan terancam teruk yang dilindungi sepenuh masa juga terdapat di Semenanjung Malaysia seperti meranti paya (Shorea platycarpa), meranti telepok (Shorea peltata) dan kapur merah (Dryobalanops beccarii).[6]
Di negeri Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang, terdapat spesies rafflesia seperti rafflesia azlanii, rafflesia cantleyi dan rafflesia kerrii contohnya di Hutan Simpan Tekai Tembeling di Daerah Jerantut, Pahang dan Hutan Simpan Ulu Sat di Jajahan Machang, Kelantan.[10][11]
Hidupan liar di kawasan hutan simpan dalam Semenanjung Malaysia mempunyai pelbagai spesies haiwan yang sama ada tidak terancam, terancam atau terancam teruk. Contoh hidupan liar yang terdapat di Semenanjung Malaysia ialah harimau malaya, tenuk, dan gajah asia.[12]
Pengelasan fungsi hutan
[sunting | sunting sumber]Mengikut seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984, hutan simpan kekal juga perlu dikelaskan fungsinya sebagai digambarkan maksud hutan kini digunakan atau dicadang hendak digunakan.[1]
- Hutan pengeluaran
- Hutan perlindungan tanah
- Hutan tebus guna tanah
- Hutan perlindungan hidupan liar
- Hutan kawalan banjir
- Hutan tadahan air
- Hutan simpanan hutan dara atau Virgin Jungle Reserve (VJR)
- Hutan bagi maksud persekutuan
- Hutan penyelidikan
- Hutan pelajaran
- Hutan lipur
- Hutan taman negeri
Sabah
[sunting | sunting sumber]
Hutan simpan di Sabah dilindungi, dikawal dan dijaga oleh Jabatan Perhutanan Sabah.[3] Bagi hidupan liar, Jabatan Hidupan Liar Sabah ditugaskan untuk melindungi dan menjaganya dalam hutan simpan di Sabah.
Contoh hutan simpan yang terdapat di Sabah ialah Hutan Simpan Sepilok, Hutan Simpan Sapagaya dan Hutan Simpan Lahad Datu.
Flora dan fauna
[sunting | sunting sumber]Di Sabah, pelbagai spesies pokok yang terdapat di dalam hutan simpan sama ada tidak terancam, terancam atau terancam teruk. Contoh flora yang terdapat ialah pokok seraya kuning siput (Shorea faguetiana), merawan batu (Hopea beccariana) dan shorea revoluta.[13]
Terdapat juga spesies rafflesia di Sabah iaitu rafflesia tengku-adlanii, rafflesia keithii dan rafflesia pricei.[10]
Terdapat juga spesies hidupan liar di Sabah dalam hutan simpan yang dilindungi sama ada tidak terancam, terancam atau terancam teruk. Contoh spesies hidupan liar yang dilindungi ialah orang utan, gajah borneo dan binturong.
Pengelasan hutan simpan
[sunting | sunting sumber]Menurut seksyen 5 Enakmen Hutan 1968, hutan simpan perlu dikelaskan mengikut kelas hutan satu hingga 7.[4][14]
- Kelas I (Hutan Perlindungan)
- Kelas II (Hutan Komersial)
- Kelas III (Hutan Domestik)
- Kelas IV (Hutan Lipur)
- Kelas V (Hutan Simpan Bakau)
- Kelas IV (Hutan Simpan Dara)
- Kelas IIV (Hutan Simpan Hidupan Liar)
Sarawak
[sunting | sunting sumber]Hutan simpan di Sarawak dikenali juga sebagai estet hutan kekal ataupun permanent forest estate (PFE).[2][3]
Jabatan Hutan Sarawak ditugaskan untuk melindungi, mengawal dan menjaga estet hutan kekal. Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) ditugaskan untuk melindungi hidupan liar di Sarawak dalam estet hutan kekal.
Estet hutan kekal mempunyai jenis-jenis hutan yang dibahagi kepada tiga iaitu hutan perlindungan, hutan simpan dan hutan komunal / hutan komuniti.[15][16]
Contoh estet hutan kekal di Sarawak ialah Estet Hutan Kekal Bakam, Estet Hutan Kekal Murum dan Estet Hutan Kekal Sabal.
Flora dan fauna
[sunting | sunting sumber]Terdapat pelbagai spesies flora di Sarawak dalam estet hutan kekal contohnya pokok engkabang jantong, vatica compressa dan hopea wyatsmithii.[13]
Di Sarawak juga, terdapat spesies bunga Rafflesia contohnya rafflesia hasseltii, rafflesia tuan-mudae dan rafflesia pricei.[10]
Hidupan liar di Sarawak dalam estet hutan kekal mempunyai kepelbagaian spesies sama ada tidak terancam, terancam atau terancam teruk. Hidupan liar di Sarawak juga mempunyai hidupan liar yang dilindungi dan sepenuhnya dilindungi seperti enggang, buaya dan kongkang.[17]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d e Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan Akta Industri Berasas Kayu (Kekuasaan Badan Perundangan Negeri) 1984 (Akta 314). International Law Book Services. 20 November 2014. m/s. 124. ISBN 978-967-89-2497-9.
- ^ a b c "Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992)" (PDF). www.forestry.gov.my. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). 19 November 1992. Dicapai pada 31 Oktober 2024.
- ^ a b c d e "Dasar Perhutanan Malaysia 2021". www.mybis.gov.my. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia. 29 Januari 2021. m/s. 113. Dicapai pada 31 Oktober 2024.
- ^ a b c Peguam Besar Negeri Sabah. "Forest Enactment 1968". sagc.sabah.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Sabah State Attorney-General's Chambers. m/s. 53. Dicapai pada 9 Januari 2024.
- ^ a b Peguam Besar Negeri Sarawak. "Forest Ordinance, 2015" (PDF). lawnet.sarawak.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Sarawak State Attorney-General's Chambers, Sarawak Law Net System. m/s. 86. Dicapai pada 9 Januari 2024.
- ^ a b c L.S.L. Chua, M. Suhaida & B. Aslina (2012). Spesies Dipterokarpa Terancam di Semenanjung Malaysia. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). m/s. 212. ISBN 978-967-5221-79-8.
- ^ "Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Pemulihan Hidupan Liar (Kawasan Larangan Memburu) (Pindaan) 2020" (PDF). wildlife.gov.my. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Peguam Negara Malaysia. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 9 Julai 2021. Dicapai pada 31 Ogos 2024.
- ^ "Introducing Central Forest Spine". cfs.forestry.gov.my (dalam bahasa Inggeris). ICCFS. Dicapai pada 19 Oktober 2025.
- ^ "Pemerkasaan Konservasi Biodiversiti di Landskap Central Forest Spine" (PDF). forestry.gov.my. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Dicapai pada 19 Oktober 2025.
- ^ a b c Dato' Dr. Md. Hizamri Md. Yasin, Norlela Sulaiman & Shamsul Khamis (2023). Rafflesia di Pahang. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). m/s. 117. ISBN 978-629-7547-79-4.
- ^ Hazira Ahmad (3 Februari 2020). "Rafflesia dijumpai di 3 lokasi di Kelantan". hmetro.com.my. Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2021. Dicapai pada 19 Oktober 2025.
- ^ "AKTA 716: AKTA PEMULIHARAAN HIDUPAN LIAR 2010" (PDF). www.wildlife.gov.my. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Dicapai pada 19 Oktober 2025.
- ^ a b "The Red List of Bornean Endemic Dipterocarps" (PDF). www.bgci.org. IUCN, BGCI, Universiti Brunei Darussalam, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak, Universiti Malaysia Sabah (UMS), NERI & BRIN. 2021. ISBN 978-1-905164-79-0. Dicapai pada 31 Oktober 2024.
- ^ "Forest Resources". forest.sabah.gov.my. Jabatan Perhutanan Sabah. Dicapai pada 11 Januari 2024.
- ^ "Legal classes of forests and conservation areas in Malaysia". foe-malaysia.org (dalam bahasa Inggeris). Sahabat Alam Malaysia. Dicapai pada 2025-10-18.
- ^ "Types and Categories of Sarawak's Forests". forestry.sarawak.gov.my (dalam bahasa Inggeris). Jabatan Hutan Sarawak. Dicapai pada 18 Oktober 2025.
- ^ "Protected Animals - Sarawak Forestry Corporation". sarawakforestry.com (dalam bahasa Inggeris). Perbadanan Perhutanan Sarawak. 2020-10-29. Dicapai pada 2025-10-19.








