
Entablatur (Jawi: اينتابلاتور; pinjaman bahasa Itali intavolatura, daripada in "dalam" dan tavola "meja")[1] ialah superstruktur mendatar di atas tiang, terdiri daripada kumai dan jalur, yang terletak di atas junjung. Entablatur merupakan unsur utama dalam seni bina klasik Eropah, dan biasanya dibahagikan kepada arkitraf (bahagian penyokong yang tepat di atas; setara dengan alang dalam binaan tiang dan alang), friz (jalur tanpa kumai yang mungkin dihias atau tidak), dan kornis (bahagian yang mengunjur di bawah pedimen).[1] Kuil Yunani dan Rom dipercayai asalnya adalah struktur kayu, tetapi akhirnya dibina dengan batu. Peralihan daripada struktur kayu ke batu ini dipanggil petrifikasi.
Gambaran keseluruhan
Struktur entablatur berbeza mengikut aturan seni bina. Dalam setiap aturan, keseimbangan bahagian-bahagiannya (arkitraf, friz, kornis) ditentukan oleh ukuran tiang. Dalam gaya Rom dan Renaissance, ia biasanya kira-kira sesuku ketinggian tiang. Reka bentuk lain yang tidak mengikut peraturan ini biasanya diilhamkan olehnya.
Doris
Dalam aturan Doris klasik tulen, entablatur adalah ringkas. Arkitrafnya, jalur paling bawah, dibahagikan dari bawah ke atas kepada guta, regula, dan taenia.
Friz mempunyai tablet bersaluran menegak yang dipanggil triglif, diselang-seli oleh jarak yang dipanggil metop, yang mungkin dihias ataupun tidak. Triglif terletak di atas taenia, tonjolan mendatar yang rata dan nipis, dan dihiasi di bahagian bawah dengan 'titisan' yang dipanggil guta, yang tergolong dalam bahagian atas arkitraf. Bahagian atas triglif bertemu dengan tonjolan kornis entablatur. Bahagian bawah tonjolan ini dihiasi dengan mutul, tablet yang biasanya dihiaskan dengan guta.
Kornis dibahagikan kepada sofit, korona, dan simatium. Sofit hanyalah bahagian bawah yang terdedah. Korona dan simatium merupakan bahagian utama kornis.
Ionia
Aturan Ionia menambahkan fasia atau tumpu kasau pada arkitraf, iaitu tonjolan mendatar yang rata, dan dentil di bawah kornis, iaitu kumaian blok berbentuk segi empat tepat seperti gigi.
Corinth
Aturan Corinth menambah kornis yang lebih dihias, dibahagikan dari bawah ke atas kepada sima reversa, dentil, ovolo, modilion, fasia, dan sima rekta. Modilion ialah pendakap hiasan, serupa dalam kegunaannya dengan dentil, tetapi sering berbentuk daun akantus.
Friz kadangkala tidak ada—contohnya, di serambi anjung berpatung wanita pada Erechtheum—dan mungkin tidak wujud sebagai suatu struktur di kuil Diana di Ephesus. Ia juga tidak ditemui dalam makam-makam Lycia, yang merupakan reproduksi binaan kayu dalam batu berdasarkan hasil kerja Ionia awal.[1] Entablatur pada dasarnya adalah evolusi alang primitif, yang merentangi dua tiang, menyokong hujung kasau bumbung.
-
Entablatur aturan Corinth
Seni bina bukan klasik
Entablatur bersama-sama dengan sistem tiang klasik jarang digunakan selain pada seni bina klasik Eropah. Ia sering digunakan untuk melengkapkan bahagian atas dinding di mana tiang tidak hadir, dan dalam kes tetulang dinding atau pilaster (tiang yang diratakan atau menonjol dari dinding) atau tiang terpisah atau tiang terhubung, ia kadangkala diprofilkan sekelilingnya.[2] Penggunaan entablatur, tanpa mengira tiang, muncul selepas Renaissance.
Lihat juga
- Aturan klasik
- Seni bina klasik
- Prastara, entablatur dalam seni bina kuil Hindu
Rujukan
- ^ a b c domain awam: Chisholm, Hugh, penyunting (1911). "Entablature". Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 9 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 654. Satu atau lebih ayat sebelumnya menggabungkan dan menterjemah teks dari penerbitan sekarang di
- ^ Poole, homas Henry (1909). "Entablature". Dalam Herbermann, Charles (ed.). Catholic Encyclopedia. Jil. 5. New York: Robert Appleton Company.
Pautan luar
Kategori berkenaan Entablatur di Wikimedia Commons