Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek. Dialek ini berbeza antara satu sama lain, sebahagian besarnya dari segi bunyinya. Perbezaan dari segi kata juga ketara tetapi tidak besar seperti perbezaan bunyi. Walaupun padanya terdapat perbezaan-perbezaan tetapi antara dialek-dialek itu terdapat sifat saling memahami. Oleh sebab itu penutur Bahasa Melayu dari kawasan dialek yang berbeza masih boleh memahami satu sama lain setelah mereka menyesuaikan padanan bunyi antara dialek mereka. Bagaimanapun, darjah perbezaan atau sifat saling memahami itu bergantung kepada kedudukan dialek-dialek tersebut. [1] [2]
Dialek tidak dapat dipisahkan dari kawasan. Oleh itu tidak hairanlah jika satu-satu dialek itu dikenali dengan nama satu-satu kawasan seperti dialek Johor dan dialek Riau. Di Semenanjung Malaysia, ada kecenderungan mengenalpasti dialek dengan negeri misalnya dialek Kelantan, dialek Terengganu dan dialek Melaka.
Di samping itu, ada dialek yang melangkau sempadan beberapa negeri. Seperti contoh, dialek Kedah bukan sahaja terdapat di negeri Kedah tetapi juga di negeri Perlis, Pulau Pinang, dan bahagian utara negeri Perak sehingga ke daerah Taiping.
Namun begitu, terdapat juga negeri yang mempunyai lebih daripada satu dialek. Contohnya ialah negeri Perak yang mempunyai dialek Kedah, dialek Parit dan dialek Selangor. Tetapi yang secara am dikenali sebagai dialek Perak ialah dialek Parit (dialek Perak Tengah).
Di Semenanjung Malaysia juga, dialek kawasan boleh dibahagikan kepada dua golongan berdasarkan 'keaslian' dialek itu iaitu dialek asli Semenanjung dan dialek 'pendatang'. Ini bermakna ada dialek yang sudah jauh lebih dahulu bermastautin di Semenanjung dibandingkan dengan dialek yang lain. Dialek yang dikenal dengan nama negeri boleh digolongkan sebagai dialek asli Semenanjung (kecuali dialek Negeri Sembilan). Dialek Negeri Sembilan merupakan dialek yang dibawa kemudian ke negeri tersebut oleh orang Minangkabau yang berhijrah pada abad ke-19 dari Sumatera. Contoh dialek 'pendatang' yang lainnya ialah dialek Rawa di Perak, dialek Patani di Kedah, Perak dan Kelantan, serta dialek Kerinci dan dialek Minang di Selangor.
Di Sarawak, terdapat dialek yang dikenal sebagai dialek Sarawak yang sebahagian besarnya dituturkan di Bahagian Pertama Sarawak. Demikian juga terdapat dialek Brunei di Brunei. Di Sabah dan Brunei terdapat dialek yang secara amnya dikenal sebagai bahasa Kedayan, iaitu dialek Melayu yang dituturkan oleh orang Kedayan.
Senarai dialek Melayu
Dialek-dialek Melayu jumlahnya sangat banyak. Bahkan dalam satu-satu dialek terdapat subdialek-subdialek, dan pada subdialek wujud pula subdialek lain. Justeru, dialek-dialek Melayu boleh digolongkan mengikut daerah Bahasa Melayu, iaitu daerah induk bahasa Melayu ataupun luar daerah induk bahasa Melayu. Daerah induk bahasa Melayu pula boleh dibahagikan kepada kawasan Semenanjung Tanah Melayu, kawasan Pulau Sumatera dan kawasan Kalimantan dan Pulau Borneo.
Dialek Melayu di Semenanjung Tanah Melayu
- Dialek Melayu Kelantan
- Dialek Melayu Pulai Condong
- Dialek Melayu Terengganu
- Dialek Melayu Hulu Terengganu
- Dialek Melayu Pattani
- Dialek Melayu Kedah
- Dialek Melayu Sungai Perak
- Dialek Melayu Pulau Sayang
- Dialek Melayu Perak Tengah
- Dialek Melayu Selangor
- Dialek Melayu Negeri Sembilan
- Dialek Melayu Melaka
- Dialek Melayu Lenga
- Dialek Melayu Johor
- Dialek Melayu Pahang
- Dialek Melayu Tioman
Dialek Melayu di Pulau Sumatera
- Dialek Melayu Temiang
- Dialek Melayu Langkat
- Dialek Melayu Deli
- Dialek Melayu Serdang
- Dialek Melayu Panai
- Dialek Melayu Jambi
- Dialek Melayu Palembang
- Dialek Melayu Belitung
- Dialek Melayu Bangka
- Dialek Melayu Bengkulu
- Dialek Melayu Asahan
Dialek Melayu di kawasan Kalimantan dan Pulau Borneo
- Dialek Melayu Brunei
- Dialek Melayu Sarawak
- Dialek Melayu Sambas
- Dialek Melayu Pontianak
- Dialek Melayu Banjar
- Dialek Melayu Berau
- Dialek Melayu Kutai
- Dialek atau bahasa Bukit
- Dialek Melayu Kota Waringin
Dialek Melayu di luar daerah induk Bahasa Melayu
- Dialek Melayu Jakarta
- Dialek Melayu Bali
- Dialek Melayu Ambon
- Dialek Melayu Bacan
- Dialek Melayu Manado
- Dialek Melayu Makassar
- Dialek Melayu Kupang
- Dialek Melayu Maluku
- Dialek Melayu Larantuka
- Dialek Melayu Lombok
Rujukan
- ^ Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. DBP. 1999.
- ^ Amat Juhari Moain (1993). "Bahasa Melayu dan Dialek Daerahnya" (PDF). UKM.








