Dialek Melayu Ambon ialah bahasa pertama dan bahasa utama di Pulau Ambon dan Sertam serta pulau-pulau lain di sekitarnya. Jumlah penuturnya tidak kurang daripada 200 ribu orang. Selain jumlah penutur ini, terutamanya di Maluku Tengah, sekurang-kurangnya 300 ribu orang lain menggunakan dialek Ambon sebagai bahasa perhubungan sehari-hari. Bahkan, mungkin di Maluku Tengah itu terdapat lebih ramai orang yang gemar berdialek Melayu Ambon daripada yang gemar berbahasa Indonesia. Perlu dicatat juga bahawa di seluruh Indonesia, malahan di negeri Belanda pun, terdapat puluhan ribu penutur dialek Ambon yang tinggal berkelompok atau terpancar di kota-kota besar. Dalam keadaan demikian dialek mereka itu berfungsi sebagai ragam dalam rumah dan dengan sahabat handai sahaja.
Berbeza daripada kebanyakan dialek Melayu di Indonesia, dialek Ambon dapat dikatakan dikenal oleh masyarakat Indonesia umum kerana dialek itu sering kedengaran dalam lagu-lagu popular yang dinyanyikan oleh artis Maluku.
Sejarah dialek Melayu Ambon memang panjang dan berlapis-lapis. Serentak dengan perkembangan syiar Islam di Maluku, bahasa Melayu disebarkan sebagai bahasa agama, diplomatik, intelektual dan komersial antarbangsa. Di Pulau Ambon sendiri, sejak abad ke-16 bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perhubungan yang utama, bukan sahaja dalam urusan perdagangan rempah Maluku, iaitu cengkih dan pala, bahkan dalam perhubungan masyarakat asli Ambon kerana jumlah bahasa di kawasan itu besar.
Pada abad ke-17, faktor sosial telah mengubah fungsi bahasa Melayu dalam masyarakat Ambon. Hingga pertengahan abad itu, bahasa Melayu di Ambon berhubung rapat dengan masyarakat Ambon Islam. Karya sastera, misalnya Hikayat Tanah Hitu, telah dihasilkan dan penutur dialek Ambon terkenal sebagai penutur Melayu yang fasih serta penggemar sastera Melayu klasik dan tulisan tentang agama Islam. Akan tetapi pada abad itu juga bahasa Melayu mula disebarkan secara intensif oleh mubaligh Belanda sebagai bahasa upacara dan pelajaran agama Kristian.
Walhasil, pada akhir abad ke-18 banyak desa asli Ambon yang penduduknya beragama Kristian menjadi desa yang berbahasa Melayu dialek Ambon sebagai bahasa tunggalnya. Hingga kini penutur Maluku Tengah yang baru memeluk agama Kristian sering meninggalkan bahasa daerah mereka menggantikannya dengan dialek Melayu Ambon. Sementara di desa-desa Islam (lebih kurang 50 peratus jumlah penduduk Maluku Tengah) bahasa daerah tetap berfungsi sebagai bahasa ibunda di samping dialek Melayu Ambon sebagai bahasa kedua.
Dialek itu menunjukkan banyak ciri khas dalam semua bidang. Kosa katanya dipengaruhi bahasa asing, seperti Portugis dan Belanda, serta bahasa-bahasa daerah Maluku. Namun, hampir semua perkataannya memang perkataan Melayu, walaupun sebahagiannya arkaik dan langka. Kalau kita meninjau sistem kata ganti Ambon, jelas kita menemui berbagai-bagai unsur. Sebagai contoh, perhatikan sistem kata ganti tunggal:
| Bentuk | Makna | Asal |
|---|---|---|
| beta | aku, saya | Bahasa Melayu |
| ose | engkau | Bahasa Portugis “voce” |
| ale | anda | Bahasa Maluku “ale” |
| dia | dia | Bahasa Melayu “dia” |
Fonologi
Fonologi dialek Ambon juga menampilkan beberapa tahap. Pada umumnya, hentian akhir kata hilang tetapi ada juga beberapa perkataan yang mengekalkan hentian akhir. Mungkin kata-kata itu diserapkan dalam dialek Ambon pada tahap yang lebih baharu. Contohnya:
| Dialek Ambon | Bahasa Melayu Baku |
|---|---|
| kili-kili | kelip-kelip |
| takaijo | terkejut |
| topo | tepuk |
| skrek | kaget |
Begitu juga dapat dikesan sistem harmoni atau asimilasi vokal sehingga pepet [ə] pada suku prakhir berubah sesuai dengan vokal berikut (dalam suku akhir): [ə] menjadi [a], jika diikuti a, [e], jika diikuti i, dan [o], jika diikuti u. Misalnya, *təpuk > topo dan kəlip > kili. Akan tetapi banyak perkataan yang tidak mengikuti pola itu, seperti *[tərkəjut] > takajo.
Morfologi
Dalam bidang morfologi, ternyata reduplikasi lebih produktif daripada kebanyakan imbuhan; dan imbuhan produktif memang terbatas kepada {ba-}, {ta-} dan {baku-}. Imbuhan lain seperti yang terdapat dalam dialek baku muncul sekali-sekali sahaja dalam dialek Ambon tetapi tidak bersifat produktif. Antara imbuhan yang tidak ada sama sekali dalam dialek Ambon, ketidakhadiran {di-} cukup menarik. Hal ini menunjukkan bahawa sintaksis Ambon sudah berbeza daripada kebanyakan dialek Melayu yang lain. Tambahan lagi, banyak partikel bertugas untuk menandakan aspek, waktu, kasus dan presuposisi wacana. Partikel punya atau pung, umpamanya, menandakan bentuk milik atau genitif dengan menghubungi pemilik dan milik dalam urutan yang menonjol, misalnya: beta pung ruma “rumahku”. Bahkan kadang-kadang partikel punya atau pung itu dilesapkan sahaja dan hal ini menghasilkan aturan seperti beta kaka “kakakku”. Kerencaman sintaksis Ambon masih perlu dikaji, begitu juga variasi sosial dan daerah dialek ini.








