Canggung Mendonan merupakan album solo keempat oleh M. Nasir, dikeluarkan pada 1993 oleh BMG Music.[1] Asalnya dijadualkan untuk dikeluarkan pada Oktober 1993, bagaimanapun ia dikeluarkan secara rasmi 22 Disember 1993.[2][3] Album ini menjadi kejayaan komersial.
Canggung Mendonan menurut tafsiran M. Nasir, ia membawa maksud imigran.[4] Changgung katanya bererti kekok dan ‘Mendonan' bererti pendatang, "Ianya untuk manusia terasing dan ditujukan kepada sesiapa saja yang merasakan dirinya terasing”. Sebagai komposer, M. Nasir merasakan sebagai tanggungjawabnya juga untuk mempopularkan bahasa Melayu melalui lagu. Jelasnya "Banyak perkataan-perkataan klasik yang dulu digunakan oleh orang orang Riau tetapi sekarang sudah tersisih". Sebanyak 50 peratus rakaman album ini dijalankan di Australia.[5][6]