Anjing gunung Czech jantan dan betina | |
Nama lain | Anjing gunung Bohemia Céhápéček |
---|---|
Negara asal | Republik Czech |
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing gunung Czech[a] ialah satu baka anjing tarikan dan anjing kereta luncur salji yang berasal dari Czechslovakia pada tahun 1970-an dengan menggunakan čuvač Slovakia dan anjing tarikan Kanada.
Sejarah
Baka ini bermula pada 12 Ogos 1977, iaitu apabila seperinduk anak anjing dibiakbakakan oleh Petr Hanzlík daripada persilangan terancang antara Galka, iaitu seekor čuvač Slovakia betina, dengan Leif, iaitu seekor anjing tarikan hitam putih yang diimport dari Athabasca, Kanada. Matlamat Hanzlík ialah mewujudkan anjing tegap dan tahan lasak yang berpenjagaan rendah dan mudah diuruskan serta serba guna, khususnya untuk tugas seperti penarikan dan penggunaan kereta luncur salji anjing.[1] Pembiakbakaan silang dicetuskan oleh kekurangan baka tarikan Nordik di Czechslovakia pada masa itu kerana Tirai Besi, serta cabaran dan batasan dalam penggunaan baka anjing selain anjing kereta luncur salji untuk penarikan kereta luncur salji.[1][2]
Anjing gunung Czech ialah baka termuda Czech yang mendapat pengiktirafan rasmi oleh Českomoravská kynologická unie pada tahun 1984, namun belum diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa.[1][3][4]
Perkembangan awal baka ini melibatkan takungan gen kecil, yang menyebabkan pembiakbakaan dalam rapat. Percubaan kedua untuk menyertakan Leif dalam program pembiakbakaan tidak berjaya. Maka, anjing-anjing tersebut dibiakbakan hanya sesama satu sama lain. Pemilik anak anjing pertama dipilih dengan cermat untuk memastikan anjing tersebut digunakan secara aktif, dengan niat supaya anjing tersebut digabungkan dalam usaha pembiakbakaan masa hadapan. Melalui amalan pembiakbakaan teliti, anjing gunung Czech beransur-ansur mendapat pengiktirafan dan sukan kereta luncur salji anjing mula bersemi di Republik Czech, dengan anjing gunung Czech yang menjadi trailblazer dalam sukan tersebut, termasuk perlumbaan kereta luncur salji tanah kering seperti bikejoring.[1][5] Kelab Anjing Gunung Czech juga memainkan peranan kunci dalam penganjuran perlumbaan kereta luncur salji anjing pertama negara itu dan anjing gunung Czech telah berlumba dalam Šediváčkův long, iaitu salah satu perlumbaan anjing kereta luncur salji paling mencabar di Eropah.[1][2]
Pada tahun 1990-an, anjing gunung Czech mengalami pertumbuhan ketara. Bilangan individu yang dibiakbakakan meningkat dan pembiakbakaan dalam dikurangkan. Untuk melanjutkan penambahbaikan baka ini dan mengurangkan kesan pembiakbakaan dalam, baka lain yang dipilih dengan cermat diperkenalkan.[1]
Semakin bilangan anjing gunung Czech bertumbuh, penggunaannya berkembang melebihi penarikan kereta luncur salji. Ia menjadi semakin serba guna dan menemukan peranan sebagai anjing pencarian dan penyelamatan, anjing gembala, dan cemerlang dalam penjejakan, kepatuhan, dan ketangkasan.[1][4] Sifat ramahnya juga menjadikan sesuai untuk terapi haiwan peliharaan, sementara kekuatan dan daya ketahanannya menjadikannya teman yang boleh diharap untuk pembawaan atau penarikan muatan. Anjing gunung Czech juga menjadi pilihan popular sebagai anjing keluarga, yang terkenal sebagai teman bagus dan anjing pengawas boleh harap.[1]
Penampilan

Anjing gunung Czech jantan berdiri setinggi 60–70 sentimeter (24–28 in) pada paras kelas; betina pula setinggi 56–66 sentimeter (22–26 in). Anjing jantan berukuran kira-kira seberat 30–40 kilogram (66–88 lb) dan anjing betina pula berukuran seberat 26–36 kilogram (57–79 lb).[6]
Ia mempunyai hidung hitam dan mata bujur perang bersaiz sederhana yang memberinya ekspresi lembut dan menyenangkan. Ia mempunyai bibir kuat, yang di bawahnya gigi besar dengan gigitan gunting biasa atau gigitan penyepit tersembunyi. Telinga besar tergantung-gantung berbentuk segi tiga terletak tinggi-tinggi dan renggang-renggang. Lehernya sederhana panjang, kuat, berotot, dan tanpa lobus.[6]
Rupa bentuk tubuh sedikit berbentuk segi empat tepat. Dadanya mencecah paras siku dan berukuran panjang dan berbentuk bujur. Abdomennya tertarik sedikit. Ekor berbulu lebatnya tepat-tepat segaris dengan belakangnya. Apabila anjing berehat, ekornya menghala ke bawah. Apabila anjing gembira atau teruja, ia mengangkat ekornya ke atas belakang dan terlihat seperti sabit. Belakangnya lurus dan kukuh. Ia bergerak dengan tungkai lurus, panjang, dan kuat dengan kaki bujur besar.[6]
Anjing gunung Czech mempunyai kira-kira bulu putih padat, lurus, lebih keras, berbelak, dan sepanjang 10 sentimeter (3.9 in) dengan tompok-tompok perang atau hitam. Bulunya lebih pendek pada kepala dan di sisi hadapan tungkai dan, pada musim sejuk, bulunya tumbuh dengan lapis bulu bawah lebat. Kepalanya berwarna secara menyeluruh atau mempunyai tompok putih. Tompok-tompok pada tubuh teredear secara tidak teratur.[6]
Perangai
Anjing gunung Czech patut merupakan anjing sukan dan anjing pekerja serba guna, yang diniatkan untuk pergunungan. Perangai unggul adalah menyenangkan, ramah, yakin, dan cergas, tidak pernah agresif.[6] Anjing gunung Czech berkembang maju dengan pelatihan sabar dan tekal, terutamanya apabila diberi motivasi sewajarnya. Oleh sebab paras tenaga tingginya, ia memerlukan banyak senaman, yang menjadikannya amat sesuai untuk keluarga aktif.[4][2]
Anjing gunung Czech hidup sehingga sekitar 11–12 tahun.[perlu rujukan]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ ݢونوڠ چيک; Czech: český horský pes; bahasa Inggeris: Czech mountain dog
Rujukan
- ^ a b c d e f g h "Historie plemene český horský pes" [Sejarah baka anjing gunung Czech] (dalam bahasa Czech). Klub Českého horského psa. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ a b c Pechová, Jana (2 Mei 2024). "Pes nejen pro české hory slaví čtyřicítku. Nouze zrodila ctnost" [Anjing bukan hanya untuk pergunungan Czech rayakan ulang tahun ke-40. Keperluan lahirkan kebaikan] (dalam bahasa Czech). Novinky.cz. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ Kalkusová, Tereza (5 Mei 2019). "Česká plemena chodský pes a pražský krysařík se dočkala mezinárodního uznání" [Baka Czech anjing Chod dan anjing pemburu tikus Praha dapat pengiktirafan antarabangsa] (dalam bahasa Czech). ČT24. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ a b c "MLÁĎATA: ŠTĚNATA" [ANAK-ANAK: ANAK ANJING] (dalam bahasa Czech). Kementerian Industri dan Perdagangan. 6 September 2021. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ Jáša, Kamil (29 Ogos 2024). "Unikátní závod v Jihočeském kraji. Psí triatlon. Už v neděli" [Perlumbaan unik di rantau Bohemia Selatan. Triatlon anjing. Lagi pada Ahad] (dalam bahasa Czech). Deník. Dicapai pada 28 Mac 2025.
- ^ a b c d e "Standard Českého horského psa" [Piawaian anjing gunung Czech] (dalam bahasa Czech). Klub Českého horského psa. Dicapai pada 28 Mac 2025.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing gunung Czech |
- "Klub Českého horského psa" (dalam bahasa Czech). Klub Českého horského psa. Dicapai pada 26 Mac 2024.