Al-Tirmizi | |
---|---|
Peribadi | |
Kelahiran | 824/ 209 H |
Kematian | 9 Oktober 892/ 13 Rejab 279 AH (umur 70 tahun) Termez, Khilafah Abbasiyah |
Agama | Islam |
Era | Zaman kegemilangan Islam |
Kawasan | Khilafah Abbasiyah |
Mazhab akidah | Sunni |
Akidah | Athari[1][2] |
Kecenderungan utama | Hadith |
Karya penting | Jami al-Tirmizi Syamail Muhammadiyah |
Pemimpin Islam | |
Dipengaruhi oleh |
Muhammad ibn Isa al-Tirmizi (محمد بن عيسى الترمذي ; 824 – 9 Oktober 892 CE / 209 - 279 AH), sering dirujuk sebagai Imam al-Tirmizi (juga disebut al-Turmuzi dan al-Tarmizi), ialah seorang sarjana Islam dan penghimpun hadis dari Termez (dikenali juga dengan Khorasan dan kini Uzbekistan). Beliau mengarang buku al-Jami` as-Sahih (dikenali dengan Jami` at-Tirmidhi), yang diiktiraf sebagai satu daripada enam himpunan hadis utama dalam Islam aliran Ahli Sunah Waljamaah. Beliau juga mengarang Syamail Muhammadiyah, sebuah himpunan hadis yang memperihalkan individu dan perwatakan nabi orang Islam, Nabi Muhammad. Al-Tirmizi juga mahir dalam nahu Arab, lebih mengutamakan mazhab Kufah berbanding Basrah kerana memelihara syair Arab sebagai sumber utama.[3]
Sejarah hidup
Perkembangan dan pengembaraannya
Datuk kepada Abu ‘Isa at-Tirmizi berketurunan Mirwaz, kemudian pindah ke Tirmiz dan menetap di sana. Di kota inilah cucunya bernama Abu ‘Isa dilahirkan. Sejak kecil Abu ‘Isa sudah berminat mempelajari ilmu dan mencari hadis. Untuk keperluan inilah ia mengembara ke berbagai negeri: Hijaz, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Dalam pengembaraannya itu beliau banyak mengunjungi ulama’-ulama’ besar dan guru-guru hadis untuk mendengar hadis yang kemudiannya dihafal dan dicatatnya dengan baik di perjalanan atau ketika tiba di suatu tempat.[4]
Setelah menjalani perjalanan panjang untuk belajar, mencatat, berdiskusi dan bertukar fikiran serta mengarang, di akhir kehidupannya beliau mendapat musibah menjadi buta, dan beberapa tahun lamanya beliau hidup dalam kegelapan; dalam keadaan seperti inilah akhirnya at-Tirmidzi meninggal dunia. Beliau wafat di Tirmiz pada malam Isnin 13 Rajab tahun 279 H dalam usia 70 tahun.
Guru-gurunya
Beliau belajar dan meriwayatkan hadis dari ulama’-ulama’ terkenal. Antaranya adalah Imam al-Bukhari, dimana beliau belajar hadis dan ilmu fiqh. Juga beliau belajar dengan Imam Muslim dan Abu Daud. Bahkan at-Tirmizi juga belajar hadis dengan sebahagian dari guru kepada guru-gurunya.
Guru lainnya ialah Qutaibah, Ishaq bin Musa, Mahmud bin Gailan, Said bin ‘Abdur Rahman, Muhammad bin Basysyar, ‘Ali bin Hajar, Ahmad bin Muni’, Muhammad bin al-Musanna dan lain-lain.
Murid-muridnya
Hadis-hadis dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh banyak ulama’. Antaranya ialah Makhul ibnul-Fadl, Muhammad bin Mahmud ‘Anbar, Hammad bin Syakir, ‘Ai-bd bin Muhammad an-Nasfiyyun, al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi, Ahmad bin Yusuf an-Nasafi, Abul-‘Abbas Muhammad bin Mahbud al-Mahbubi, yang meriwayatkan kitab Al-Jami’ daripadanya, dan lain-lain.
Kekuatan hafalannya
Abu ‘Isa at-Tirmizi diakui oleh para ulama’ kepakarannya dalam hadis, kesolehan dan ketaqwaannya. Ia terkenal juga sebagai seorang yang dapat dipercayai, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan cepat hafalannya ialah kisah berikut yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Tahzib at-Tahzib-nya, dari Ahmad bin ‘Abdullah bin Abu Daud, yang berkata:
Saya mendengar Abu ‘Isa at-Tirmizi berkata: Pada suatu waktu dalam perjalanan menuju Makkah, dan ketika itu saya telah menulis dua jilid berisi hadis-hadis yang berasal dari seorang guru. Guru tersebut kebetulan berjumpa dengan kami. Lalu saya bertanya-tanya mengenai dia, mereka menjawab bahawa dialah orang yang ku maksudkan itu. Kemudian saya menemuinya. Saya mengira bahawa “dua jilid kitab” itu ada padaku. Ternyata yang aku bawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang mirip dengannya. Ketika saya telah bertemu dengan dia, saya memohon kepadanya untuk mendengar hadis, dan ia mengabulkan permohonan itu. Kemudian ia membacakan hadis yang dihafalnya. Di celah-celah pembacaan itu ia mencuri pandang dan melihat bahawa kertas yang ku pegang masih putih bersih tanpa ada tulisan sesuatu apa pun. Demi melihat kenyataan ini, ia berkata: “Tidakkah engkau malu kepadaku?”. Lalu aku bercerita dan menjelaskan kepadanya bahawa apa yang ia bacakan itu telah ku hafal semuanya. “Cuba bacakan!”, suruhnya. Lalu aku pun membacakan seluruhnya dengan lancar. Ia bertanya lagi: “Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku?” . “Tidak”, jawabku. Kemudian saya meminta lagi agar dia meriwayatkan hadis yang lain. Ia pun kemudian membacakan empat puluh buah hadis yang tergolong hadis-hadis yang sulit atau gharib, lalu berkata: “Cuba ulangi apa yang ku bacakan tadi”. Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai; dan ia berkomentar: “Aku belum pernah melihat orang seperti engkau”.
Pandangan pengkritik hadis terhadapnya
Para ulama’ besar telah memuji dan menyanjungnya, dan mengakui akan kemuliaan dan keilmuannya. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban, pengkrtitik hadis, menggolongkan at-Tirmizi ke dalam kelompok “Tsiqah” atau orang-orang yang dapat dipercayai dan kukuh hafalannya, dan berkata:
“At-Tirmizi adalah salah seorang ulama’ yang mengumpulkan hadis, menyusun kitab, menghafal hadis dan bermuzakarah (berdiskusi) dengan para ulama’ ”.
Abu Ya’la al-Khalili dalam kitabnya ” ‘Ulumul hadis” menerangkan; Muhammad bin ‘Isa at-Tirmizi adalah seorang penghafal dan ahli hadis yang baik yang telah diakui oleh para ulama’. Ia memiliki kitab “Sunan“ dan kitab “Al-Jarh wat-Ta’dil”. hadis-hadisnya diriwayatkan oleh Abu Mahbub dan banyak ulama’ lain. Ia terkenal sebagai seorang yang dapat dipercaya, seorang ulama’ dan imam yang menjadi ikutan dan yang berilmu luas. Kitabnya “Al-Jami’us Shahih” sebagai bukti atas keagungan darjatnya, keluasan hafalannya, banyak bacaannya dan pengetahuannya tentang hadis yang sangat mendalam.
Fiqh at-Tirmizi dan ijtihadnya
Imam at-Tirmizi, di samping dikenal sebagai ahli dan penghafal hadis yang mengetahui kelemahan-kelemahan dan perawi-perawinya, ia juga dikenal sebagai ahli fiqh yang mempunyai wawasan dan pandangan luas. Barang siapa mempelajari kitab “Jami’ “nya ia akan mendapati tingginya ilmu dan dalamnya penguasaan beliau terhadap berbagai mazhab fiqih. Kajian-kajiannya mengenai persoalan fiqh mencerminkan beliau adalah seorang ulama’ yang sangat berpengalaman dan mengerti betul duduk permasalahan yang sebenarnya. Salah satu contoh ialah penjelasannya terhadap sebuah hadis mengenai penangguhan membayar hutang yang dilakukan si berutang yang sudah mampu, sebagaimana berikut:
“Muhammad bin Basysyar bin Mahdi menceritakan kepada kami Sufyan menceritakan kepada kami, dari Abi az-Zunad, dari al-A’rai dari Abu Hurairah, dari Nabi s.a.w, bersabda: “Penangguhan membayar hutang yang dilakukan oleh si berhutang yang mampu adalah suatu kezaliman. Apabila seseorang di antara kamu dipindahkan hutangnya kepada orang lain yang mampu membayar, hendaklah pemindahan hutang itu diterimanya”.
Imam at-Tirmizi memberikan penjelasan sebagai berikut:
Sebahagian ahli ilmu berkata: “Apabila seseorang dipindahkan piutangnya kepada orang lain yang mampu membayar dan ia menerima pemindahan itu, maka bebaslah orang yang memindahkan (muhil) itu, dan bagi orang yang dipindahkan piutangnya (“muhtal”) tidak dibolehkan menuntut kepada muhil”. Fatwa ini adalah pendapat asy-Syafi’i, Ahmad dan Ishaq.
Sebahagian ahli ilmu yang lain berkata: “Apabila harta seseorang (“muhtal”) menjadi rugi disebabkan muflis muhal ‘alaih, maka baginya dibolehkan menuntut bayar kepada orang pertama (“muhil”)”.
Mereka memakai alasan dengan perkataan Usman dan lainnya, yang menegaskan: “Tidak ada kerugian atas harta benda seorang Muslim”.
Menurut Ishak, perkataan, “Tidak ada kerugian atas harta benda seorang Muslim” ini adalah, “Apabila seseorang dipindahkan hutangnya kepada orang lain yang dikiranya mampu, namun ternyata orang lain itu tidak mampu, maka tidak ada kerugian atas harta benda orang Muslim (yang dipindahkan hutangnya) itu”.
Itulah salah satu contoh yang menunjukkan kepada kita, bahawa betapa cemerlangnya pemikiran fiqh at-Tirmizi dalam memahami nas-nas hadis, serta betapa luas dan asli pandangannya itu.
Karya
Imam at-Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:
- Al-Jami’, terkenal dengan sebutan Sunan at-Tirmizi.
- Al-‘Ilal
- At-Tarikh.
- Asy-Syama’il an-Nabawiyyah
- Az-Zuhd.
- Al-Asma’ wal-kuna.
Rujukan
- ^ El Shamsy, Ahmed (2007). "The First Shāfiʿī: The Traditionalist Legal Thought of Abū Yaʿqūb al-buwayṭī (d. 231/846)". Islamic Law and Society. Brill Publishers. 14 (3): 324–325. JSTOR 40377944. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-12-26. Dicapai pada 2021-12-26 – melalui JSTOR.
- ^ Bearman, Bianquis, Bosworth, Donzel, Heinrighs, PJ. , TH. , C. E. , E. VAN AND W. P. (2000). The Encyclopedia of Islam:New Edition Vol. X. Koninklijke Brill, Leiden, The Netherlands: Brill. m/s. 544. ISBN 90-04-11211-1.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "Sibawayh, His Kitab, and the Schools of Basra and Kufa." Taken from Changing Traditions: Al-Mubarrad's Refutation of Sībawayh and the Subsequent Reception of the Kitāb, p. 12. Volume 23 of Studies in Semitic Languages and Linguistics. Ed. Monique Bernards. Leiden: Brill Publishers, 1997. ISBN 9789004105959
- ^ https://onlinehadits.wordpress.com/2019/01/22/sejarah-hidup-imam-hadis-imam-tirmizi/