Abu Ayyub al-Ansari r.a (587 - 668) atau nama sebenarnya Khalid bin Zaid bin Kulaib dari Bani An-Najjar. Beliau mendapat penghormatan kerana Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah beliau selepas baginda memasuki Madinah semasa baginda berhijrah ke sana dari Mekah.
Semasa Rasulullah s.a.w memasuki Madinah, setiap orang dari kalangan orang-orang Ansar bercita-cita supaya Rasulullah s.a.w turun dari unta baginda di rumah mereka. Mereka menghalang perjalanan unta Nabi s.a.w secara silih berganti supaya unta baginda menghala ke rumah mereka kemudian Nabi bersabda kepada mereka: (Biarkanlah ia pergi kerana ia telah diperintahkan). Lalu unta tersebut terus berjalan sehinggalah ia berhenti di halaman rumah Abu Ayyub Al-Ansari r.a.
Abu Ayyub terlalu gembira melihat keadaan tersebut lalu beliau terus mendapatkan Rasulullah s.a.w menyambut kedatangan baginda dengan perasaan terlalu gembira dan rasa sangat terharu sambil membawa barang-barang yang dibawa oleh Nabi s.a.w seolah-olah beliau membawa khazanah dunia kemudian terus masuk ke rumahnya.
Nabi masuk ke Madinah
Sebelum kediaman tetap baginda Rasulullah s.a.w dibina di sekeliling masjid baginda, baginda menumpang selama 7 bulan di rumah A bu Ayyub al-Ansari.[1] Rumah Abu Ayyub mempunyai dua tingkat. Pada mulanya, beliau meminta baginda untuk tinggal di tingkat atas kerana tidak berasa senang apabila kakinya berada di atas kepala nabi ketika berada di rumah. Namun baginda tetap mahu tinggal di bawah supaya mudah untuk baginda menerima tetamu.
Walau bagaimanapun, akhirnya permintaan Abu Ayyub supaya baginda tinggal di tingkat atas dipersetujui oleh baginda setelah berlaku suatu peristiwa. Pada suatu hari, bekas air telah pecah menyebabkan air bertakungan di atas lantai di tingkat atas dan hampir menitis ke tingkat bawah melalui celah-celah lubang lantai. Oleh sebab risau jika air itu menitis ke atas kepala baginda nabi, beliau dan isteri bertungkus-lumus mengeringkan air itu. Disebabkan risau kejadian seperti itu berulang lagi, Abu Ayyub besungguh-sungguh meminta Rasulullah s.a.w untuk tinggal di tingkat atas.
Pada setiap malam, Saad bin Ubadah, As'ad bin Zurarah dan Zaid bin Thabit akan berkawal di rumah Abu Ayyub kerana riasu akan keselamatan baginda nabi. Makan minum baginda nabi disediakan oleh isteri Abu Ayyub, iaitu Ummu Ayyub al-Ansari. Abu Ayyub sekeluarga hanya makan lebihan makanan yang ditinggalkan oleh baginda. Selain makanan yang disediakan oleh keluarga Abu Ayyub, setiap hari akan ada sahabat-sahabat lain yang menghantarkan makanan kepada baginda. Kebiasaannya apabila ada sahabat yang menghantarkan makanan kepada baginda, Nabi Muhammad s.a.w akan memanggil para sahabat baginda untuk makan bersama-sama. Menurut riwayat, sahabat yang pertama menghantarkan makanan kepada baginda ialah Zaid bin Thabit sementara yang paling kerap menghantarkan makanan ialah Saad bin Ubadah dan dan As'ad bin Zurarah.
Sepanjang beliau menyediakan makanan kepada nabi, Abu Ayyub mengetahui amalan pemakanan baginda yang tidak mengambil bawang. Pada suatu hari, Ummu Ayyub memasak makanan yang dicampur dengan bawang dan mendapati baginda langsung tidak menyentuh bawang dalam hidangan tersebut. Nabi menjelaskan sebab baginda mengelak daripada memakan bawang adalah kerana tidak mahu menyakitkan sahabat baginda. Sahabat yang dimaksudkan oleh baginda itu tidak lain tidak bukan ialah para malaikat.
Jasa dan sumbangan
Beliau terlibat dalam peperangan menentang kerajaan Rom Byzantine sejak mula perjuangan hinggalah ke zaman pemerintahan Muawiyah. Dalam ekspedisi Khalifah Muawiyah untuk menakluk kota Qustantiniyyah, beliau yang sudah tua meninggal dunia akibat jatuh sakit. Beliaulah yang diisyaratkan oleh baginda dalam hadisnya yang bermaksud:
- "Seorang lelaki yang soleh akan syahid dan akan dikuburkan di bawah kubu kota Qustantiniyyah"[2]
Ketika hayat baginda, Nabi Muhammad s.a.w telah meriwayatkan bahawa "Qustantiniyah bakal jatuh ke tangan orang Islam.Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera dan rakyatnya adalah sebaik-baik rakyat."
Setelah ditanya mengenai wasiat beliau mahu dikebumikan di bawah kubu kota Qustantiniyah, Abu Ayyub menjelaskan bahawa beliau mahu mendengar derapan kuda sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera ketika mereka bergerak masuk ke dalam Qustantiniyah.
Turki Uthmaniyyah mengangkat beliau sebagai idola dalam usaha pembebasan kota Qustantiniyah ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Sejarah dan Perjalanan Hidup Nabi Muhammad s.a.w - Maulana Syed Abul Hassan Ali an-Nadwi ISBN 978-983-43949-0-5
- ^ http://cwis.usc.edu/dept/MSA/fundamentals/hadithsunnah/abudawud/014.sat.html#014.2506 Diarkibkan 2008-09-08 di Wayback Machine Hadis Abu Dawud 14.2506
Sejarah dan Perjalanan Hidup Nabi Muhammad s.a.w - Maulana Syed Abul Hassan Ali an-Nadwi ISBN 978-983-43949-0-5