
Yajnavalkya, atau dieja juga sebagai Yagyavalkya (Sanskrit: याज्ञवल्क्य, IAST: Yājñavalkya), ialah seorang maharesi Veda yang masyhur dalam tradisi Hindu. Antara karya terkenal yang menyebutnya ialah Brihadaranyaka Upanishad (sekitar 700 SM) dan Taittiriya Upanishad. Beliau membahas persoalan falsafah yang mendalam tentang kewujudan, kesedaran dan kefanaan, serta terkenal dengan ajaran kaedah neti neti (“bukan ini, bukan ini”) untuk merealisasikan Diri Sejagat atau Atman. Karya-karya yang dikaitkan dengannya termasuk Yajnavalkya Smriti, Yoga Yajnavalkya, dan beberapa teks asas aliran Vedanta. Namanya turut disebut dalam Mahabharata, pelbagai Purana, Brahmana, dan Aranyaka.
Nama
Nama Yajnavalkya berasal daripada perkataan yajna, yang merujuk kepada upacara ritual.
Riwayat
Penerimaan Veda Baharu
Yājñavalkya merupakan salah seorang maharisi Veda yang paling bijaksana dan termasyhur. Beliau ialah anak kepada maharisi Brahmarāta, serta anak saudara dan murid kepada Vaisampayana. Suatu ketika, beliau telah menimbulkan kemurkaan gurunya dan diusir daripadanya setelah menyerahkan kembali ilmu Veda (Yajurveda) yang telah dipelajarinya. Kemudian, beliau memuja dewa Surya (Dewa Matahari) dan memperoleh suatu wahyu Veda yang baharu, yang kemudian dikenali sebagai Sukla Yajurveda atau Vajasaneyi Samhita.[1]
Yajnavalkya sedang mempelajari Taittiriya Samhita daripada Vaishampayana yang memiliki ramai murid lain. Pada suatu ketika, para resi telah memutuskan untuk mengadakan satu perhimpunan di kawasan Gunung Meru dan menetapkan satu peraturan: mana-mana resi yang tidak hadir pada waktu yang ditetapkan akan menanggung dosa Brahmahatya (dosa membunuh seorang Brahmin) selama tujuh hari. Kebetulan, pada hari yang ditetapkan itu juga jatuhnya upacara Sraddha untuk ayahanda Vaishampayana. Lalu Vaishampayana berfikir, “Aku mesti melaksanakan upacara ini demi ayahandaku. Jika dosa Brahmahatya menimpa diriku, maka para muridku akan menjalankan penebusan dosa tersebut bagi pihakku.”
Akibat tidak menghadiri perhimpunan itu, Vaishampayana pun menanggung dosa tersebut. Dia berkata kepada para muridnya: “Sekarang aku perlu menjalani penebusan dosa besar ini. Oleh itu, kalian semua hendaklah melaksanakan prayaschitta (penebusan dosa) selama tujuh hari demi diriku.” Serta-merta Yajnavalkya berdiri dan berkata, “Wahai Guru! Para pelajar ini masih muda dan lemah. Mereka tidak akan mampu menjalani penebusan dosa yang berat ini. Maka, biarlah aku sahaja yang menunaikannya.”
Namun, Vaishampayana tidak bersetuju dan melarangnya. Tetapi Yajnavalkya tetap berkeras dengan pendiriannya. Sikap berani murid itu telah menyinggung perasaan gurunya, lalu dia berkata, “Wahai yang angkuh! Engkau terlalu sombong dan memandang rendah terhadap Brahmin yang bijaksana. Pergilah dari sini. Aku tidak memerlukan engkau lagi. Serahkan kembali segala ilmu yang telah engkau pelajari daripadaku.”
Mengikut perintah gurunya, Yajnavalkya memuntahkan himpunan Yajus yang telah dipelajarinya dalam bentuk makanan. Para murid lain, yang amat ingin memperoleh ilmu tersebut, lalu mengambil bentuk burung Tittiri dan memakan muntahan itu. Melalui cara demikian, mereka mendapat pencerahan langsung terhadap himpunan Yajurveda tersebut. Oleh sebab ia dimakan oleh burung Tittiri, maka himpunan itu dikenali sebagai Taittiriya Yajurveda. Ia juga dikenali sebagai Krishna (hitam) Yajurveda kerana sifatnya sebagai ilmu yang telah dimuntahkan.
Setelah peristiwa itu, Yajnavalkya memutuskan untuk tidak lagi berguru kepada manusia. Maka, dia pun mula memuja dan menyanjung Dewa Surya untuk memperoleh himpunan Veda yang baharu, iaitu bahagian yang tidak pernah diajarkan oleh gurunya sebelum ini. Dewa Surya, berasa puas dengan doa Yajnavalkya lalu menjelma dalam bentuk seekor kuda dan mengurniakannya wahyu bahagian-bahagian baru Yajurveda yang tidak diketahui sesiapa sebelum itu. Bahagian ini dikenali sebagai Shukla Yajurveda, atau Vajasaneya Yajurveda, dinamakan sempena mantra-mantra yang lahir dengan pantas melalui rerambut kuda tersebut. Yajnavalkya kemudiannya membahagikan Veda ini kepada lima belas cabang, masing-masing mengandungi ratusan mantra Yajus. Antara yang mempelajari cabang-cabang ini ialah Kanva dan Madhyandina.
Guru kepada Isterinya
Menurut Brihadaranyaka Upanishad, Yajnavalkya memiliki dua orang isteri: Maitreyi dan Katyayani. Maitreyi ialah seorang brahmavadini — wanita pencari kebenaran mutlak. Sewaktu Yajnavalkya hendak berundur ke fasa terakhir kehidupan (sannyasa), beliau berniat membahagikan hartanya kepada kedua-dua isteri. Maitreyi bertanya: "Adakah kekayaan dapat memberiku keabadian?" Yajnavalkya menjawab bahawa kekayaan tidak membawa keabadian — hanya kesenangan sementara. Maka Maitreyi pun memohon agar diajarkan ilmu yang paling mulia.[2]
Yajnavalkya lalu menguraikan hakikat Diri Mutlak (Atman) — sifatnya yang kekal, jalan menuju pengetahuan tanpa batas, dan makna sebenar keabadian. Dialog agung ini tercatat dalam Brihadaranyaka Upanishad, dengan ajaran teras bahawa: "Segala sesuatu dikasihi bukan kerana dirinya, tetapi kerana Ātman; Ātman itu sendiri adalah subjek segala pengetahuan, tidak dapat dikenali secara langsung kerana ia adalah yang mengenal; ia disedari melalui penafian berterusan — 'bukan ini, bukan ini' (neti neti); Ātman bersifat terang dengan sendirinya, tidak musnah dan tidak boleh dijelaskan."[3]
Isteri kedua, Katyayani, puteri resi Bharadhwaja, adalah wanita biasa yang tidak menuntut ilmu rohani tersebut.[4] Melalui Katyayani, Yajnavalkya memperoleh tiga orang putera: Chandrakanta, Mahamegha, dan Vijaya.[5]

Perdebatan Ilmiah
Dalam perdebatan ilmiah mengenai Brahman yang dianjurkan oleh Raja Janaka di Videha, Yājñavalkya muncul sebagai yang paling unggul dan cemerlang dalam kalangan semua ṛesi cendekiawan.[6] Dalam perdebatan ini, Yajnavalkya juga mengalahkan seorang lagi gurunya, Uddalaka Aruni.
Dalam Sukla Yajur Veda dan Brihadaranyaka Upanishad, beliau digambarkan sebagai seorang yang terus terang, mencabar, dan sinis. Dalam ayat pertama Yajnavalkya Smriti, beliau digelar sebagai yogesvara, yang bermaksud “raja para yogi.”
Yajnavalkya memainkan peranan utama dalam perdebatan falsafah besar yang dikenali sebagai Bahudakshina Yajna, anjuran Raja Janaka di Mithila, Videha, yang terletak di timur India. Dalam debat ini, beliau mengalahkan ramai ahli falsafah dari seluruh negara. Perdebatan itu memuncak apabila Gargi—sarjana wanita dan salah seorang daripada sembilan permata istana Raja Janaka—menyatakan secara tegas bahawa Yajnavalkya adalah brahmin paling unggul di antara mereka semua.
Sumbangan Falsafah
Scharfstein menganggap Yajnavalkya sebagai antara ahli falsafah paling awal dalam sejarah yang direkodkan. Witzel pula menyatakan bahawa beliau adalah individu yang mencetuskan istilah Advaita, iaitu kesatuan tidak-dualistik antara Atman dan Brahman. Ajarannya tentang penolakan terhadap keterikatan duniawi menjadi asas penting dalam tradisi sannyasa (kehidupan pertapaan) dalam agama Hindu.
Karya-Karya Sumbangan Yajnavalkya
Yajnavalkya Smriti, sebuah teks utama berkaitan dharma atau kewajipan agama, dikatakan ditulis oleh Yajnavalkya. Namun menurut satu pandangan ilmiah, penulis karya ini sebenarnya merupakan tokoh lain yang hanya menggunakan nama tersebut, memandangkan Yajnavalkya Smriti ditulis lebih daripada lima abad selepas penulisan Upanishad. Oleh itu, Yajnavalkya yang disebut dalam teks ini mungkin bukan maharisi terkenal dalam Upanishad, tetapi seorang sarjana berlainan yang hidup jauh kemudian.[7] Antara karya lainnya ialah Yajnavalkya Shakha, Pratijna Sutra, Satapatha Brahmana, dan Yoga-Yajnavalkya.
Pengiktirafan

Pada tahun 2018, Pos India (India Post) telah mengeluarkan Sampul Khas sempena menghormati Maharesi Yajnavalkya, tokoh agung dalam falsafah Veda dan Upanishad. Pengeluaran ini merupakan satu penghormatan terhadap sumbangan beliau dalam bidang spiritual, metafizik, dan ajaran tentang Ātman dan Advaita (non-dualiti). Sampul khas ini menampilkan imej Yajnavalkya dan bertujuan untuk memperingati warisan intelektual dan rohani yang beliau tinggalkan dalam sejarah dan budaya India.
Rujukan
- ^ Mahābhārata Śānti Parva, Bab 318, Ayat 6
- ^ https://upanishads.org.in/stories/yajnavalkya-and-maitreyee
- ^ https://www.goodreads.com/author/show/7457639.Y_j_avalkya
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Sri Swami Sivananda, Sage Yajnavalkya
- ^ Brihadaranyaka Upanishad, Bab Ketiga
- ^ https://www.britannica.com/biography/Yajnavalkya