Tuan Puteri Limau Purut (Jawi: ڤوتري ليماو ڤوروت) adalah seorang puteri yang amat cantik, puteri kepada Sultan Perak, Sultan Mukaddam Shah, Sultan Perak yang ke-6 di Geronggong pada ketika itu. Kecantikannya masyhur ke merata negeri, termasuklah di negeri Aceh. Pada ketika itu, seorang Sultan di negeri Perak yang bernama Sultan Mahmud Iskandar Syah yang bersemayam di atas takhta kerajaan yang berpusat di Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga. Baginda tidak mempunyai putera atau puteri, cuma berempat saudara saja, dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki bergelar Yang di Pertuan Muda bersemayam di Kampung Pulau Tiga yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Paduka Raja.
Baginda ini telah meninggal dunia terlebih dahulu dan telah di gelar dengan gelaran Al Marhum Pulau Tiga. Yang perempuan, seorang bergelar selepas mangkat ialah Syah Alam Muda Pulau Tiga iaitu Tuan Puteri Limau Purut. Setengah orang menggelarnya tuan Puteri Menara Konkong manakala seorang lagi bergelar Syah Alam Bongsu Sayong kerana meninggal dunia di Sayong. Nama-nama asal batang tubuh mereka tidak di ketahui.
Hendak dijadikan cerita, pada satu hari datang lah satu rombongan Di-Raja dari Aceh ke Istana Sultan Perak di Geronggong kerana hendak meminang tuan Puteri Limau Purut bagi pihak Sultan Aceh, Sultan Iskandar Muda. Rombongan itu pun masuk menghadap baginda Sultan serta menyembahkan kedatangan rombongan Di-Raja itu. Selepas mendengar sembah rombongan itu, maka Sultan pun bertitah supaya di tangguhkan jawapan ke masa yang lain. Maka, pulanglah rombongan itu ke negeri mereka semula lalu menghadap dan menyembahkan perkara berkenaan dengan penangguhan itu.
Setelah beberapa ketika, Tuan Puteri Limau Purut yang tidak tahu menahu tentang rombongan yang meminangnya itu telah mendapat tahu bahawa Sultan Aceh hendak meminang dirinya. Puteri berasa sedih dan berduka hati, maka tuan puteri hendak berkelah-kelah ke hulu supaya dapat menenangkan hatinya yang duka itu. Seterusnya, bersiap-siaplah segala persiapan inang pengasuhnya akan segala alat-alat perkelahan Di-Raja serta dimuatkan ke dalam perahu. Angkatan tuan Puteri dengan beberapa buah perahu itu pun memudik ke hulu sambil singgah di merata-rata kampung di tepi sungai itu. Mana-mana tempat yang di singgahnya, orang-orang kampung pun datang mengadap serta membawa persembahan seperti beras, sayur-sayuran dan lain lain sahingga penuh dalam perahu itu.[1]
Kemangkatan

Semasa perkelahan itu, satu kejadian aneh berlaku. Sedang Puteri sedang memotong timun, jarinya terhiris pisau. Puteri tersebut sambil berseloroh (atau mungkin menguji nasibnya kerana sumpahan yang wujud di Perak pada masa itu) dengan berkata, "Jika darah luka di jari beta ini putih, beta akan mangkat di sini". Secara tidak disangka-sangka, darah yang keluar dari lukanya itu berwarna putih, dan Puteri Limau Purut pun mangkat serta-merta di tempat itu.[2] Tuan Puteri dimakamkan tidak jauh dari tempat beliau mangkat. Makam Puteri Limau Purut terletak di Pulau Tiga, Pasir Salak, Perak di lokasi berikut.
Diperangi Aceh
Sultan Perak amat berdukacita dengan kemangkatan puterinya yang dikasihi dan terpaksa menangguhkan jawapan kepada rombongan pinangan dari Kesultanan Aceh. Sultan Aceh, yang tidak mempercayai berita kemangkatan Puteri itu dan menyangka ia hanya helah untuk menolak pinangannya, menjadi murka. Baginda menghantar tentera untuk menyerang Perak, yang akhirnya membawa kepada peperangan antara dua kerajaan tersebut.
Kisah ini berakhir dengan tragedi apabila Perak tewas dan Sultan Perak ditawan. Walau bagaimanapun, pahlawan-pahlawan Perak seperti Tok Gajah kemudiannya berusaha untuk membebaskan Sultan dan mendapatkan kembali kedaulatan negeri.
Kemurkaan Sultan Aceh tidak dapat dibawa bincang lagi dan tanpa sebarang perkhabaran, Aceh pun pergi menyerang Perak dengan tanpa sebarang amaran. Bendahara Perak tidak ada di Kota Geronggong pada masa ketika Perak diserang tentera Aceh kerana sedang berubat di Ulu Kinta. Oleh kerana tidak ada persediaan untuk menghadapi peperangan, maka Perak pun kalah. Sultan Perak ditawan dan dibawa ke Aceh untuk dipenjarakan.
Setelah tentera Aceh beredar dari Perak untuk pulang ke Aceh, pembesar Perak seperti Bana, Tok Ribut, Tok Gagah dan Tok Bidara terus mengadakan mesyuarat untuk memberitahu perkhabaran berita tentng apa yang berlaku padaSultan ke Bendahara yang berada di Ulu Kinta. Kata putus mesyuarat menyatakan bahawa Bana dan Tok Gagah yang akan pergi ke Ulu Kinta bertemu dengan Bendahara demi menyampaikan perkhabaran sedih tersebut.
Maka, pergilah Tok Gagah dan Bana ke Ulu Kinta menemui Bendahara dan menceritakan segala yang berlaku sewaktu Bendahara tiada di Kota Geronggong. Lalu berlinang air mata Bendahara rasa sedih mendengar perkhabaran dari Bana dan Tok Gagah berkenaan hal tersebut. Seminggu selepas itu, Bendahara kembali sihat dan sembuh dari penyakitnya. Kemudian, Bendahara menemui orang yang mengubatnya iaitu penghulu orang asli untuk menyatakan rasa syukur dan berterima kasih.[3]
Empat Burung Serindit
Bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan tidak lama kemudian Bendahara terus berangkat ke Singapura kerana hendak membeli jin. Apabila sampai di Singapura, Bendahara pun naik ke darat dan bertemu dengan seorang orang tua yang sedang duduk termenung. Dihadapan orang tua tersebut ada empat ekor burung serindit lalu Bendahara memberi salam dan terus bertanyakan pada orang tua tersebut sama ada ingin menjual empat ekor burung miliknya itu.[4]
Setelah mendapat sambut balas dari orang tua tersebut dan menyatakan ianya untuk dijual, maka Bendahara pun bersetuju untuk membelinya dan membayar dengan nilai yang dipersetujui. Tanpa melengahkan masa, Bendahara terus membawa empat ekor burung tersebut dengan kapal layarnya menuju ke Pulau Sembilan. Apabila Bendahara sampai ke Pulau Sembilan, Bendahara terus melepaskan seekor burung serinditnya disitu dan terus memudik kapalnya sehinggalah ke Pasir Garam di Pulau Bangka.
Apabila Bendahara sampai ke Pasir Garam, dilepaskan seekor lagi burung serinditnya disitu pula. Dan 2 ekor burung serindit yang terakhirnya dilepaskan di sebelah Hulu Perak di kawasan Temong. Ada yang katakan, bahawa empat ekor burung serendit inilah sebenarnya empat ekor jin yang dipelihara oleh Bendahara untuk bersama-sama mempertahankan negeri Perak. Nama jin-jin tersebut adalah Bintang Kemabur, Perkaka, Gagak Sura dan Pulikat.
Setelah selesai melepaskan kesemua burung serendit yang dikatakan jelmaan jin itu, maka Bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan bersiap siaga dengan alat peperangan untuk menyerang semula Aceh dan menuntut semulaSultan Perak yang telah dipenjarakan di sana. Tentera Perak pun berhimpun di Kota Geronggong yang datang dari serata Perak untuk belayar menuju ke Aceh. Turut ada di dalam angkatan perang adalah Bana dan Tok Gagah yang begitu berani menentang musuh.

Tentera Perak talah kalah perang apabila menyerang Aceh, kerana pada waktu itu, kuasa Sultan Aceh sangat kuat dan digeruni dengan tentera laut yang kuat serta maju. Bendahara dan dua orang pembesar, iaitu Bana dan Tok Gagah pun ditangkap, dipenjarakan lalu mereka bertiga akan dihukum bunuh. Berita tentang hal hukuman bunuh Bendahara dan pembesar Perak itu telah sampai ke telinga Permaisuri Aceh dan baginda Permaisuri mempertikaikan akan hukuman yang bakal dikenakan oleh Sultan Aceh keatas tawanan tersebut.[5]
Hajat Permaisuri Aceh
Baginda Permaisuri Aceh terus memberitahu tentang baginda sedang hamil dan ingin meletakkan syarat pada Sultan Aceh tentang hal hukuman pada Bendahara dan pembesar Perak yang lain. Baginda nyatakan sedang mengidamkan buah durian Gangga Puri yang ada di anjung istana. Baginda Permaisuri Aceh mencadangkan bahawa diarahkan Bendahara mengambil buah durian Gangga Puri itu. Jika beliau tidak berupaya mengambilnya, maka barulah jatuhkan hukuman bunuh. Memandangkan Permaisuri Aceh sedang mengandung, maka Sultan Aceh yang gembira itu bersetuju sahaja dengan permintaan Permasuri baginda.
Helah Bendahara Perak
Baginda Sultan Aceh pun bertitah dan memanggil Bendahara negeri Perak untuk mengambil buah durian yang diminta oleh isterinya itu dan memberitahunya jika tidak berjaya dapatkan buah durian tersebut, maka Bendahara akan dihukum bunuh. Bendahara pun terima titah Sultan Aceh tersebut untuk mengambil buah durian yang diminta dan memohon supaya dapat ditangguhkan dalam seminggu lagi. Permintaan Bendahara Perak diperkenankan oleh Sultan Aceh lalu pulanglah Bendahara Perak ke penjaranya.
Apabila cukup masa seminggu berlalu, Bendahara pun menghadap Sultan Aceh semula dan memohon supaya disediakan sebatang kayu sepanjang dua depa dan sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut hendaklah hujungnya tajam seperti gasing dan diletakkan di pangkal pokok durian tersebut. Apabila semuanya sudah tersedia, maka Bendahara pun terus ke pokok durian tersebut dengan berpakain serba hitam. Apabila berada di hadapan kayu sebesar dua pemeluk itu, Bendahara pun bertafakur serta berdoa pada tuhan supaya usahanya berhasil. Lalu selepas berdoa, Bendahara pun bangun berdiri dan tepuk di hujung kayu di sebelah kanan, maka terjongkitlah sedikit kayu tersebut di sebelah kiri.
Kemudian Bendahara tepuk pula di kayu tersebut di sebelah kiri, maka terjongkitlah lagi tetapi kali ini terjongkit atas lalu dipangkunya oleh Bendahara kemudian dilambung sekuat hati oleh Bendahara Perak ke atas pokok durian tersebut. Maka melayanglah kayu yang sebesar dua pemeluk itu ke hujung pokok durian di hadapan istana. Apabila kayu sebesar dua pemeluk itu jatuh ke tanah, lurutlah semua dahan di atas pokok durian itu ke tanah. Sultan Aceh serta Permaisuri terpegun melihat durian yang luruh dan dayang-dayang pun berlari-lari mengutip buah durian yang banyak di atas tanah.
Dalam masa yang kelam-kabut itu, Bendahara Perak terus berkejar menuju ke penjaraSultan dan memecahkan kunci pintu penjara lalu membebaskan Sultan. Tanpa membuang masa, mereka semua tahanan Sultan Aceh kecuali si Bana yang belot sejak dari awal lagi terus melarikan diri menuju ke sungai untuk menuju ke Kuala Sungai Aceh dengan menaiki kapal. Apabila hampir sampai di Kuala Sungai Aceh, didapati ada tiga lapis rantai besi yang menghalang kapal untuk terus bergerak menuju ke laut. Bendahara Perak mengambil pedang yang bernama Corek Si Mandangkini (juga dikenali sebagai Cura Si Manjakini) lalu ditetaknya tiga kali sehingga terputusnya tiga rantai besi itu. Bilah pedang tersebut sumbing sebanyak tiga tempat. Tanpa membuang masa, kapal Bendahara pun bergerak menuju ke laut. Mereka pun selamat kerana sudah berada di tengah laut menuju ke Perak semula.
Apabila Sultan Aceh sedar akan kehilangan Bendahara Perak danSultan serta yang lain-lain yang telah melarikan diri, baginda amat murka lalu Bana telah dibawa menghadap Sultan Aceh yang sedang murka untuk dilepaskan amarah dan murka terhadapnya. Sultan Aceh mengarah supaya Bana dibunuh kejam namun Bana merayu agar untuk memberikan dirinya peluang untuk hidup dan berjanji yang dia sendiri akan membunuh Bendahara Perak. Bana memberitahu lagi yang dia adalah anak murid Bendahara dan tahu akan kekuatan dan kelemahan bendahara.
Raja Aceh termakan dengan kata-kata Bana lalu baginda bersetuju dan mengarahkan tenteranya serta Bana untuk pergi menyerang Perak semula. Kali ini baginda Sultan Aceh ingin menawan negeri Perak. Baginda Sultan Aceh memerintahkan ramai hamba, serta rakyat untuk ikut naik ke kapal bersama tenteranya untuk berpindah ke Perak. Kerana itulah niat asalnya untuk menawan negeri Perak. Maka, penuhlah kapak yang belayar dari Aceh dengan rakyat, hamba dan juga tentera ke Kuala Perak dan terus memudik ke Kota Geronggong.[6]
Perak Melawan Kembali
Mereka yang datang dari Aceh pun turun dari kapal dan ke darat terus membuat persediaan untuk bermalam. Ada yang memasak, ada yang mencari kayu api, ada yang membina tempat tinggal sementara dan bermacam-macam lagi. Berkampunglah mereka disitu buat sementara untuk membuat persediaan menyerang Perak. Namun apa yang mereka lakukan semuanya jadi serba tidak kena. Makanan yang dimasak tertumpah ke tanah dengan begitu sahaja. Lauk pauk yang dimasak terhangit. Lembaran daun-daun yang digunakan sebagai pelapik untuk baring berehat pula membuatkan badan gatal-gatal. Pendek kata, apa yang cuba dilakukan pada waktu itu semuanya serba tidak kena dan mereka tidak cukup makan dan tidak dapat tidur lena malam itu.
Esok paginya, mereka dari Aceh yang dengan tidak cukup rehat, perut yang lapar pun bersedia untuk menyerang Perak. Bana yang juga keletihan dan mengetuai tentera tersebut mencari-cari Bendahara Perak. Bendahara Perak yang berfikiran jauh memang sudah menjangka akan kehadiran Aceh untuk menyerang Perak ini dan Perak sudah pun bersedia untuk mempertahankan negerinya tidak seperti sebelum ini.[7]
Maka sewaktu dalam pertempuran, maka terserempaklah Bendahara dengan Bana. Mereka berdua bertikam lidah untuk melepaskan amarah masing-masing terhadap sikap pembelotan Bana. Bendahara Perak lantas mengangkat lembing dan dilontarkan ke arah Bana lalu tertusuk tebus ke perut Bana tanpa dielak. Bana terus rebah dan mati disitu juga. Apabila tentera Aceh lihat ketua mereka si Bana telah pun mati, maka bertempiaranlah mereka lari dalam keadaan lapar dan letih menyelamatkan diri. Ada yang sempat naik kapal dan lari pulang ke Aceh, ada yang menyerah diri, ada yang lari masuk ke hutan-hutan dan ada yang ditangkap menjadi tawanan perang.
Perkabaran kekalahan tentera Aceh sampai ke telinga Sultan Aceh dan baginda sangat malu dan menyumpah tidak akan membenarkan orang Aceh bermastautin di negeri Perak sampai bila-bila. Mereka orang-orang Aceh yang terlalu ramai ditawan di negeri Perak dan Bendahara Perak mengambil keputusan untuk mengarahkan yang lelaki menjadi buruh paksa di Kota manakala yang perempuan dilelong menjadi hamba. Maka, sejak dari itu, Aceh tidak lagi menyerang Perak dan keadaan di Perak kembali aman seperti sedia kala.[8]
Rujukan
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-12. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 1)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-12. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 2)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-14. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ Aisbatu (Sabtu, 14 Julai 2012). "SUMPAHAN TOK KADOK: KISAH LAGENDA PUTERI LIMAU PURUT ( 1 )". SUMPAHAN TOK KADOK. Dicapai pada 2025-12-08. Check date values in:
|date=(bantuan) - ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 2)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-14. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 2)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-14. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 3)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-20. Dicapai pada 2025-12-08.
- ^ "Kisah Lagenda Puteri Limau Purut Di Perak (Bahagian 3)" (dalam bahasa Inggeris). 2017-03-20. Dicapai pada 2025-12-08.








