![]() |

Dalam subbudaya BDSM, belenggu (bondage) (Jawi: بلڠڬو) atau perhambaan (Jawi: ڤرهمباءن) adalah amalan mengikat, membelenggu atau mengekang pasangan dengan persetujuan untuk mendapatkan rangsangan erotik, estetik atau somatoderia. Pasangan boleh dikekang secara fizikal dalam pelbagai cara, termasuk penggunaan tali, gari, pita kain pembalut, atau pembalut jeleketan.
Belenggu itu sendiri tidak semestinya menandakan sadomasokisme. Belenggu boleh diamalkan sebagai tujuan itu sendiri, seperti dalam kes ikatan tali dan ikatan payudara. Ia juga boleh diamalkan sebagai sebahagian daripada seks atau bersama dengan aktiviti BDSM lain. Huruf "B" dalam akronim "BDSM" berasal daripada perkataan "bondage" yang bermaksud perhambaan atau belenggu.[1] Keseksualan dan erotika adalah aspek penting dalam belenggu tetapi selalunya bukan tujuan itu sendiri. Estetika juga memainkan peranan penting dalam belenggu.
Sebab biasa bagi pasangan aktif untuk mengikat pasangan mereka adalah supaya kedua-duanya dapat memperoleh kesedapan daripada penyerahan pasangan yang diikat dan perasaan pemindahan sementara kawalan dan kuasa. Bagi orang sadomasokistik, belenggu sering diamalkan sebagai cara untuk mencapai tujuan, di mana pasangan yang ditahan lebih mudah diakses untuk tingkah laku sadomasokistik lain. Walau bagaimanapun, belenggu juga boleh digunakan untuk kepentingannya sendiri. Pasangan yang diikat boleh memperoleh kenikmatan sensual daripada perasaan tidak berdaya dan tidak mampu bergerak manakala pasangan aktif boleh memperoleh kenikmatan visual dan kepuasan daripada melihat pasangan mereka diikat.
Bilik tidur

Banyak pasangan menggabungkan belenggu ke dalam kehidupan seks mereka, kadang-kadang lebih kerap dan mendapati belenggu seksual ini mengukuhkan hubungan.[2] Ia kadang-kadang mengambil bentuk permainan seks atau lakonan fantasi seksual. Permainan belenggu di bilik tidur boleh diamalkan sebagai rangsangan seksual atau sebagai bentuk pemanasan.[3] Ia memerlukan dan melibatkan tahap kepercayaan serta penyerahan kawalan oleh pihak yang diikat kepada pasangan yang aktif.[2] Pasangan yang dibelenggu (dipanggil submisif) menyerahkan kawalan kepada pasangan lain (dipanggil dominan). Penyerahan kawalan ini berlaku secara sukarela dan di bawah persefahaman serta persetujuan bersama.
Ciri utama belenggu seksual adalah ia menjadikan orang yang dibelenggu terdedah kepada pelbagai tindakan seks termasuk beberapa yang mungkin dihalang untuk dilakukan sebaliknya. Pasangan yang diikat bergantung kepada tindakan pasangan mereka untuk kepuasan seksual mereka di mana pasangan tersebut mungkin memperlakukan pasangan yang diikat sebagai objek seks mereka.
Terdapat banyak sebab mengapa orang membenarkan diri mereka diikat. Sesetengah orang merasakan sejenis kebebasan semasa pasif secara fizikal; mereka boleh menumpukan perhatian kepada kerohanian dalaman mereka dan berasa tenang, seperti yang dijelaskan oleh seorang peserta dalam kajian tentang motivasi untuk pembelengguan: "Sesetengah orang perlu diikat untuk menjadi bebas".[4] Yang lain mengalami rasa tidak berdaya, berjuang melawan ikatan mereka dan merasakan tahap kenikmatan masokistik daripada pengekangan dan kesakitan itu serta tidak terhalang untuk rangsangan erotik oleh pasangan mereka.
Belenggu boleh dikatakan agak mudah untuk diaplikasikan, ia membolehkan pengimprovisasian dalam menggunakan barangan rumah tangga dan pengalaman yang sedikit walaupun peralatan belenggu komersial yang canggih juga tersedia. Belenggu bilik tidur biasanya belenggu yang ringan di mana seorang pasangan secara sukarela diletakkan dalam pengekangan dengan diikat atau digari. Ia boleh melibatkan ikatan tangan yang ringkas, pengekangan pada katil, diikat pada kerusi dan sebagainya. Penutup mata adalah sebahagian daripada permainan bilik tidur yang biasa. Pasangan yang diikat kemudian boleh dirangsang secara seksual melalui lancapan, seks manual, seks oral, penggetar, persetubuhan atau tindakan seks lain. Belenggu juga boleh digunakan untuk tujuan selain daripada pemanasan seksual, contohnya, ia boleh digunakan dalam penggeletekan erotik atau untuk mengacah secara seksual.
Pasangan yang bebas boleh memperoleh kenikmatan erotik atau mencapai rangsangan seksual daripada berada dalam situasi dominan, manakala pasangan yang diikat boleh mencapai rangsangan daripada berada dalam kedudukan yang sebahagian besarnya "tidak berdaya" di tangan pasangan yang dipercayai. Walau apa pun, pasangan biasanya melakonkan fantasi seksual mereka.[2]
Jenis
Disebabkan kepelbagaian bentuknya, belenggu boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis berdasarkan motivasinya:
Belenggu bertujuan
Bentuk belenggu ini adalah yang paling dikenali dalam BDSM dan merujuk kepada pengekangan pasangan pasif untuk tujuan lain, seperti menjadikannya lebih mudah diakses untuk sesi sebatan (spanking). Belenggu demi ikatan itu sendiri tidak termasuk dalam kategori ini.[5]
Belenggu dekoratif
Dalam bentuk belenggu ini, pasangan yang diikat adalah untuk tujuan hiasan, untuk digunakan sebagai objek estetik, contohnya untuk fotografi erotik, atau sebagai bentuk perabot manusia dalam pesta BDSM.[5]
Belenggu seksaan
Dalam bentuk belenggu ini, pasangan yang dibelenggu sengaja diikat dalam posisi yang tidak selesa atau menyakitkan, contohnya sebagai hukuman berkaitan dengan permainan seksual dominan/submisif. Hampir semua bentuk belenggu, apabila pasangan yang diikat dibiarkan terikat cukup lama, boleh dijadikan sebagai belenggu penyeksaan. Tempoh penggunaan bentuk belenggu punitif ini adalah bervariasi, namun dalam erotika belenggu seperti Sweet Gwendoline oleh John Willie atau fotografi belenggu Jepun, ia sering kali meluas dan berpanjangan.
Belenggu filem
Belenggu filem adalah bentuk belenggu yang sama sekali tidak ganas dan ia adalah untuk tujuan estetik sahaja. Dalam bentuk belenggu ini, pasangan yang diikat, diikat secara ringan dan mampu melarikan diri tanpa usaha yang besar.[6]
Belenggu ketafakuran
Bentuk belenggu ini jarang digunakan dalam belenggu Barat. Walau bagaimanapun, dalam belenggu Jepun (Bahasa Jepun: shibari) ia adalah aspek penting, mungkin pada asalnya berkembang daripada tradisi keagamaan, di mana minatnya adalah pada keadaan rohani pasangan yang diikat berbanding keadaan fizikal mereka.[7]
BDSM
Belenggu sering menjadi ciri utama dalam adegan BDSM dan main peranan seksual. Ia adalah aspek BDSM yang paling dikenali, malah di luar komuniti BDSM itu sendiri dan ia tidak memerlukan identiti seksual berorientasikan BDSM untuk diamalkan. Orang yang lazimnya terlibat dalam seks konvensional kadang-kadang menjadi mahir dalam aspek teknikal mengikat pasangan mereka.
Belenggu mempunyai daya tarikan seksual bagi orang dari semua jantina dan kecenderungan seksual, sama ada dalam peranan suis (switch), dominan (top) atau submisif (bottom).
Terdapat juga beberapa latar fantasi umum di mana belenggu mungkin menjadi komponen. Ini termasuk:
- Rogol, pemerkosaan atau pemelarian: Pihak top secara fiksyen menangkap atau menculik pihak bottom yang bersetuju dan mempunyai kawalan penuh.
- Dominans/penyerahan: Sesi latihan berlaku di mana ganjaran untuk kepatuhan dan hukuman untuk kedegilan diberikan. Penghinaan erotik biasanya terlibat.
- Belenggu kerenyahan (predicament bondage): Dalam bentuk ini, seseorang dikekang dengan pilihan untuk meletakkan diri mereka dalam salah satu daripada sepasang posisi yang tidak selesa, sehingga orang itu terus-menerus beralih antara kedua-dua posisi dari semasa ke semasa.

Belenggu kendiri (self-bondage) adalah lebih kompleks dan ia melibatkan teknik khas untuk mengaplikasikan ikatan pada diri sendiri, serta untuk melepaskan diri selepas tempoh masa tertentu. Belenggu kendiri juga berisiko tinggi: sila rujuk nota keselamatan di bawah. Pelbagai jenis peralatan belenggu tersedia untuk digunakan dalam adegan BDSM untuk pelbagai tujuan. Ini termasuk tali, tali pengikat atau abah-abah yang boleh digunakan untuk mengikat anggota badan bersama; palang tekang (spreader bars), bingkai X (X-frames) boleh digunakan untuk merenggangkan anggota badan; badan atau anggota badan boleh diikat pada objek, seperti kerusi atau pasung; badan boleh digantung pada objek lain, seperti dalam belenggu penggantungan (suspension bondage); atau ia boleh dijadikan untuk menyekat pergerakan normal, seperti pemakaian skirt hobel, gari atau abah-abah kuda. Belenggu juga boleh diamalkan untuk membalut seluruh badan atau sebahagian daripadanya dengan ikatan, menggunakan kain atau plastik (mumifikasi menggunakan pelapis saran atau pembalut plastik) serta belenggu karung tidur (sleepsack bondage).
Salah satu tujuan belenggu dalam BDSM adalah untuk mengekang seseorang yang biasanya dipanggil bawah (bottom) dalam posisi BDSM. Ini melibatkan hanya mengikat tangan bersama di hadapan atau di belakang. Posisi lain melibatkan penggunaan tali pinggang untuk mengikat tangan ke hadapan, belakang atau sisi. Posisi popular lain adalah menelentang (spread eagle), dengan anggota badan dilentangkan dan diikat pergelangan tangan dan buku lali pada tiang katil, bingkai pintu atau titik tambat lain; ikatan babi (hogtie), yang mengikat setiap pergelangan tangan ke buku lali yang sepadan di belakang badan (pengekang yang lebih lebar dan berlapik seperti gari belenggu disyorkan untuk ini); ikatan bola (balltie), yang mengikat pergelangan tangan ke buku lali, di hadapan, dengan lutut ditarik ke dada; tali kelangkang (crotch rope), yang melibatkan menarik tali di antara labia untuk memberikan tekanan pada alat kelamin wanita. Kadang-kadang simpulan diletakkan pada tali di posisi kelentit untuk menguatkan sensasi. Tali kelangkang juga boleh digunakan pada lelaki, sama ada memberikan tekanan langsung pada skrotum atau termasuk ikatan untuk memerangkap skrotum. Posisi lain termasuk posisi doa terbalik (reverse prayer position) (tidak disyorkan melainkan subjek mempunyai bahu yang mudah lentur) dan ikatan atas lengan (over-arm tie), di mana lengan dibawa ke atas kepala, dan pergelangan tangan diikat bersama di belakang kepala dan kemudian dengan seutas tali, rantai atau tali pinggang ke pinggul.
Jenis-jenis pengekang yang digunakan dalam belenggu termasuk tali yang sering menjadi pilihan kerana kelenturannya. Penalian, walau bagaimanapun, memerlukan kemahiran dan latihan yang banyak untuk melakukannya dengan selamat. Jenis pengekang lain termasuk rantai, gari, gari ibu jari dan rantai perut. Pengekang keinstitusian, seperti baju pasung (straitjacket) boleh digunakan dalam beberapa main peranan dan peralatan ikatan yang dibuat khas seperti pengikat lengan (armbinder), karung tidur, cangkuk belenggu (bondage hooks) dan meja belenggu juga tersedia.
Beberapa parti mainan BDSM (BDSM play parties) menawarkan bengkel belenggu, di mana pasangan atau orang yang bersetuju antara satu sama lain boleh berlatih mengikat antara satu sama lain di bawah arahan dan penyeliaan juru tali belenggu (bondage rigger) yang berpengalaman.
Keselamatan
![]() |
Belenggu adalah lebih selamat apabila dilakukan antara pasangan yang sedar, dipercayai dan benar-benar memahami risiko yang terlibat serta langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk memastikan keselamatan, seperti persetujuan termaklum. Pasangan yang berada dalam hubungan yang terikat mempunyai asas kepercayaan yang lebih kukuh antara satu sama lain. Melakukan aktiviti di lokasi yang diselia, seperti pasungan (dungeon) atau bersama sekumpulan rakan yang dipercayai juga boleh meningkatkan keselamatan.[8]
Terdapat juga subbudaya orang yang mencari individu lain yang berminat dalam belenggu dan melakukan aktiviti sedemikian dengan orang yang tidak mereka kenali dengan baik. Subbudaya ini telah melahirkan set prinsip yang dikenali sebagai selamat, waras dan bersetujuan (safe, sane, and consensual).[9]
Langkah beringat
Langkah keselamatan adalah termasuk:[10]
- Penggunaan kata selamat (safeword) atau cara jelas lain bagi subjek untuk menunjukkan tekanan sebenar dan hasrat untuk menghentikan, memberhentikan sementara atau mengubah aktiviti permainan.[11]
- Jangan sesekali meninggalkan orang yang terikat sendirian.
- Mengelakkan posisi atau pengekangan yang boleh menyebabkan asfiksia berposisi.
- Memastikan subjek menukar posisi sekurang-kurangnya sekali setiap jam (untuk mengelakkan masalah peredaran darah).
- Memastikan subjek boleh dilepaskan dengan cepat dalam keadaan kecemasan.
- Mengelakkan pengekangan yang mengganggu pernafasan (penyumbat mulut atau hud yang menyekat mulut boleh menjadi bahaya asfiksia jika subjek muntah atau hidung tersumbat).
- Sentiasa dalam keadaan sedar; alkohol dan dadah harus dielakkan.
Kemalangan dan kerosakan berpanjangan umumnya dapat dielakkan dengan langkah berjaga-jaga keselamatan yang sangat mudah dan pengetahuan asas anatomi manusia.[12] Salah satu langkah keselamatan yang sangat mudah adalah dengan bertanya kepada subjek dari semasa ke semasa jika mereka baik-baik saja. Yang lain adalah memeriksa bahagian badan seperti tangan dan kaki untuk rasa kebas atau kesejukan yang boleh berlaku jika saraf terhimpit atau peredaran darah tersekat. Yang lain adalah memeriksa perubahan warna kulit. Kulit yang tidak mendapat oksigen yang cukup akan menjadi kebiruan. Jika darah dapat masuk tetapi tidak dapat keluar kerana salah satu urat tersekat maka bahagian badan itu akan menjadi ungu.
Jika subjek telah disumbat mulutnya atau tidak dapat berkomunikasi secara lisan, bentuk kata selamat yang berbeza diperlukan. Sebagai contoh, mereka mungkin mendengungkan melodi ringkas atau membuka dan menutup satu atau kedua-dua tangan berulang kali atau melepaskan objek yang dipegang pada satu tangan seperti bola getah atau selendang.
Belenggu penggantungan dengan digantung terbalik boleh menjadi sangat berisiko. Bahaya yang paling kerap dikaitkan dengannya adalah jatuh melalui kepala. Bahaya lain termasuk mampatan saraf, masalah peredaran darah dan pengsan disebabkan peningkatan tekanan darah.[13][14]
Penyediaan
Beberapa penyediaan mudah juga boleh membantu:
- Makanan: Ia adalah perkara biasa[15] bagi sesetengah orang (terutamanya mereka yang berdiet) untuk pengsan semasa sesi yang panjang. Digalakkan untuk makan hidangan biasa terlebih dahulu, diberi snek kecil semasa bermain juga boleh membantu mencegah pengsan.
- Alatan pemotong: Sepasang gunting EMT disyorkan (berguna untuk memotong tali dan pita pada kulit yang terikat dengan selamat).
- Mangga dengan kunci yang sama (keyed-alike padlocks): Jika rantai digunakan.
Adegan yang digambarkan dalam fotografi dan video perhambaan dipilih berdasarkan daya tarikan visual dan nilai fantasinya. Kadangkala posisi ini berbahaya atau tidak dapat dikekalkan lebih daripada beberapa minit (iaitu, "jangan cuba ini di rumah") seperti belenggu songsang atau penggantungan dari pergelangan tangan dan buku lali. Dalam banyak kes, ia tidak dapat dilakonkan dengan hasil yang baik dan hanya dikhususkan untuk peserta BDSM yang sangat cergas secara fizikal dan sangat berpengalaman. Terutamanya dalam belenggu Jepun yang sangat artistik, pengalaman bertahun-tahun dalam belenggu diperlukan untuk mengelakkan risiko.
Belenggu kendiri membawa risiko yang lebih tinggi, terutamanya kerana ia melanggar prinsip penting keselamatan perhambaan iaitu jangan sesekali meninggalkan orang yang terikat bersendirian. Untuk perasaan diikat menjadi setulen mungkin, pengamal belenggu kendiri boleh menggunakan jam had masa, membekukan kunci mereka dalam blok ais atau menggunakan peranti ciptaan sendiri untuk sementara waktu melepaskan kuasa ke atas pengekangan dan kebebasan mereka sendiri (dipanggil tunnel play).
Tanpa seseorang untuk melepaskan mereka sekiranya berlaku kecemasan atau krisis perubatan, belenggu kendiri boleh menyebabkan kerosakan fizikal yang teruk dan kekal. Terutamanya dalam kombinasi dengan asfiksia, belenggu kendiri boleh membawa maut kepada pengamalnya.[16]
Teknik
Teknik belenggu boleh dibahagikan kepada enam kategori utama:
- Mengikat bahagian badan seperti lengan atau kaki bersama-sama.
- Membuka luas bahagian badan seperti lengan atau kaki.
- Mengikat pasangan yang ditahan pada objek luar seperti palang X, kerusi atau meja.
- Menggantung pasangan yang dikekang.
- Menghalang atau memperlahankan pergerakan pasangan yang dikekang seperti dengan skirt hobel atau korset.
- Membalut pasangan yang dikekang dengan bahan lembut dan elastik, seterusnya mengekang seluruh badan mereka. Ini dikenali sebagai mumifikasi.
Ramai orang berpendapat bahawa belenggu mestilah kasar dan keras seperti yang dilihat dalam banyak imej erotika perhambaan tetapi ini tidak selalunya benar. Dalam apa yang dipanggil belenggu lembut (soft bondage), pasangan aktif hanya sekadar memegang tangan pasangan yang dikekang bersama dengan tangannya sendiri, menggari pasangan yang dikekang atau hanya mengarahkan pasangan yang dikekang untuk tidak menggerakkan tangan mereka tanpa menggunakan sebarang pengekangan fizikal. Kes terakhir ini, dipanggil belenggu lisan (verbal bondage), menarik minat ramai orang dan jauh lebih banyak daripada yang difikirkan kebanyakan orang.[siapa?]
Satu varian popular belenggu mempertimbangkan bahagian artistik dan estetik dalam mengikat seseorang lebih daripada pemindahan kuasa dan kawalan atau kelazatan seksual. Jenis belenggu ini dipanggil shibari atau kinbaku, dan berasal dari belenggu Jepun. Shibari atau kinbaku boleh diamalkan sama ada dengan cara tradisional Jepun atau bersama-sama dengan belenggu Barat.
Istilah yang digunakan dalam belenggu
Dalam adegan perhambaan Amerika-Eropah, istilah khusus telah dibangunkan untuk pelbagai jenis belenggu. Istilah yang paling sering digunakan dalam subbudaya belenggu Eropah adalah dalam bahasa Inggeris, walaupun beberapa istilah belenggu berasal daripada bahasa Jepun, seperti kata (posisi belenggu) atau musubime (simpulan belenggu). Contoh teknik belenggu mudah ialah spread eagle, di mana setiap anggota badan pasangan yang dikekang diikat pada sudut katil yang berbeza atau hogtie, di mana tangan dan kaki pasangan yang ditahan diikat dan tali yang mengikatnya disambungkan antara satu sama lain, menahan pasangan yang ditahan dalam posisi bengkok. Crotch rope kadang-kadang diamalkan di mana tali dilalukan di antara kaki pasangan, memberikan tekanan pada alat kelamin. Makna bagi setiap istilah dalam bahasa Melayu telah diberikan di atas.
Bahan
Hampir semua bahan yang boleh digunakan untuk menghalang atau mengekang pergerakan seseorang boleh digunakan dalam perhambaan. Belenggu boleh dilakukan dengan objek seharian atau peralatan BDSM yang direka khas.
Dalam belenggu vanila yang kurang berorientasikan BDSM, objek seharian seperti skarf sutera, stoking, tali leher dan tali pinggang sering digunakan. Objek lembut seperti ini juga boleh digunakan untuk mengikat di hadapan mata pasangan yang dikekang membutakan mereka buat sementara waktu.
Belenggu lisan adalah belenggu tanpa pengekangan fizikal, subjek hanya diberikan arahan untuk tidak bergerak atau hanya bergerak dalam cara yang terkawal. Teknik ini kadang-kadang dikenali sebagai belenggu kehormatan (honor bondage).[17]
Tali
Belenggu tali mungkin merupakan bentuk belenggu yang paling terkenal dan paling banyak digunakan dan tali sangat kerap digunakan dalam perhambaan sebagai bahan pengekang fizikal. Di dunia Barat, hampir semua jenis tali boleh digunakan untuk ikatan seperti kapas, gentian tiruan atau bahan lain. Walau bagaimanapun, dalam belenggu Jepun (shibari), hanya tali yang diperbuat daripada rami atau jut biasanya digunakan. Dalam belenggu Jepun, tali biasanya disediakan dengan baik sebelum boleh digunakan supaya ia menjadi lembut dan mudah dibengkokkan. Antara sesi perhambaan tali dibersihkan dengan dicucinya.
Tanpa mengira jenis tali yang digunakan untuk belenggu, kerosakan dangkal untuk sementara pada kulit boleh muncul di mana tali telah memberikan tekanan, ini dipanggil lecetan tali (rope burns).[18][sumber terbitan sendiri?] Dalam situasi kecemasan, gunting EMT menyediakan cara cepat untuk membebaskan pasangan yang diikat tetapi ini merosakkan tali.[19]
Terdapat beberapa bentuk belenggu tali:
- Balutan tali (Rope wrapping)
- Tali hanya dibalut pada sekeliling badan atas pasangan yang dikekang atau dalam beberapa kes seluruh badannya.
- Anyaman tali (Rope weaving)
- Teknik ini lebih rumit di mana tali mula-mula dibalut pada sekeliling badan pasangan yang dikekang dalam corak zig-zag dan kemudian tali kedua dianyam di sekelilingnya.
- Teknik tali berganda (Double rope technique)
- Pasangan yang dikekang diikat dengan dua tali sekaligus membolehkan corak tali hiasan diaplikasikan dengan cepat.
- Teknik tali tunggal (Single rope technique)
- Teknik yang pasti dan paling kerap diamalkan bersama dengan sadomasokisme di mana pasangan yang dikekang diikat hanya dengan satu tali.[5]
Logam
Belenggu logam melibatkan penggunaan pelbagai jenis peranti logam (biasanya keluli) seperti gari tangan, gari kaki, gari ibu jari, cangkuk dan rantai, perabot erotik yang direka khas seperti kerusi perhambaan dan rangkaian palang yang kompleks. Logam ini sering digunakan dalam kombinasi dengan bahan lain.
Berbeza dengan penggunaan belenggu tali untuk mengikat badan, belenggu logam biasanya memerlukan persiapan yang lebih besar kerana peranti yang lebih kompleks sama ada perlu dibina atau dibeli daripada pakar. Rantai kadang-kadang lebih digemari daripada tali untuk belenggu penggantungan kerana kekuatan tegangan dan kemampuannya untuk menahan berat yang tinggi.
Belenggu logam menarik minat sesetengah orang kerana imej bahan yang kukuh dan hakikat kekerasan fizikalnya yang menyukarkan untuk bergelut atau melarikan diri. Sensasi sejuk dan bunyi lentang-lentung rantai memberikan rangsangan deria pendengaran dan sentuhan serta boleh digunakan untuk meningkatkan suasana pasungan BDSM (atau dikenali sebagai bilik kurungan BDSM).
Kulit, lateks dan pengilat
Produk yang diperbuat daripada kulit sering digunakan dalam belenggu kerana kelenturan dan ketahanannya terhadap koyakan. Oleh sebab kulit mudah didapati, dijaga dan diolah, ia adalah salah satu bahan paling popular untuk barangan belenggu buatan sendiri. Ramai orang mempunyai fetisy terhadap kulit, lateks dan pengilat dan menggunakan bahan-bahan ini berkaitan dengan ikatan, contohnya untuk gari, tali pinggang atau gelang leher. Terdapat skirt, seluar atau karung belenggu khas yang diperbuat daripada bahan-bahan ini serta pakaian dan peralatan untuk main peranan BDSM yang boleh digunakan berkaitan dengan perhambaan. Sebagai contoh, abah-abah digunakan dalam main kuda (pony play) tetapi tidak akan digunakan tanpa main peranan yang sepadan.[20]
Bahan lain
Pengikat kabel plastik juga kadang-kadang digunakan sebagai cara cepat untuk mengikat seseorang dengan selamat. Pengikat ini boleh meninggalkan kesan lecuran pada kulit jika diikat terlalu ketat dan kerana ketahanan serta rintangannya terhadap pergelutan, ia mesti dikendalikan dengan berhati-hati apabila diaplikasikan pada sendi atau dibiarkan untuk tempoh yang lebih lama.
Erotika perhambaan
Sesetengah orang menganggap belenggu merangsang secara erotik atau menimbulkan ghairah seksual. Belenggu kerap kali muncul dalam beberapa senario fantasi seksual. Tema belenggu terdapat dalam beberapa erotika dan pornografi.
Terbitan lucah perhambaan untuk lelaki heteroseksual hampir kesemuanya menggambarkan wanita yang diikat dan bukannya lelaki yang diikat, walaupun hakikatnya salah satu fantasi paling banyak bagi kedua-dua jantina adalah diikat.
Selepas pilihan raya George W. Bush pada tahun 2000, terdapat kebimbangan dalam industri pornografi mengenai kemungkinan pendakwaan Jabatan Kehakiman A.S. pada masa hadapan terhadap bahan lucah. Pada tahun 2001, Paul Cambria telah ditugaskan oleh syarikat hiburan dewasa Vivid Entertainment untuk membuat senarai perbuatan seks yang perlu dielakkan oleh penerbit filem pornografi daripada penggambaran, bagi mengelakkan masalah undang-undang yang mungkin timbul dengan kerajaan A.S.; ia kemudiannya dikenali sebagai The Cambria List.[21][22] Siri PBS Frontline dalam program 2002 mereka "American Porn" mendedahkan beberapa item dalam senarai tersebut, yang termasuk apa-apa sahaja selain belenggu yang sangat ringan.[21][23] Walau bagaimanapun, setakat 2019, Cambria List secara amnya dianggap usang dalam industri pornografi.[24]
Fantasi perhambaan sering melibatkan pemakaian pakaian mengikut peranan. Pakaian tipikal untuk individu submisif membangkitkan ikon-ikon pasif atau keperawanan seksual yang umum (cth., pakaian gembala wanita, biarawati atau pelajar sekolah untuk wanita atau abah-abah hamba kulit dan gari, thong atau pakaian hamba purba untuk lelaki). Dalam aspek yang serupa, pakaian individu dominan sering mencerminkan imej kuasa, kawalan, dan disiplin yang melampau (contohnya, pegawai Nazi, pegawai tentera, polis atau seragam warden penjara).
Dalam erotika perhambaan, rantai logam sering dikaitkan dengan penyeksaan bersejarah dan adegan penjara.[25][26]
Contoh erotika belenggu termasuk Cerita O oleh Anne Desclos (diterbitkan di bawah nama pena Pauline Réage), buku-buku Frank E. Campbell[27] dan karya seni Robert Bishop.
Dalam seni

Seni erotik seperti karya-karya Gustave Doré dan John Everett Millais menggambarkan belenggu. Mitos Andromeda adalah subjek popular untuk belenggu dalam seni oleh pelukis termasuk Andromeda Dirantai Pada Batu (1630) oleh Rembrandt, Théodore Chassériau (1840), Edward Poynter (1869), dan Gustave Doré (1869).
Satu lagi senario popular untuk belenggu dalam seni ialah Angelica daripada puisi epik abad ke-15 Orlando Innamorato, yang merupakan kesinambungan saga epik romantis Orlando Furioso yang serupa dengan Andromeda kerana heroinnya dijadikan korban kepada dewa-dewa laut. Tema gadis dalam kesusahan (damsel in distress) tradisional yang turut terdapat dalam seni belenggu digunakan dalam siri filem The Perils of Pauline (1914), yang menyaksikan Pearl White berada dalam bahaya maut setiap minggu.
Penggambaran belenggu dalam seni mungkin bersifat erotik di mana ia mengikuti model heteronormatif dan cenderung menggambarkan seorang wanita muda dalam bahaya dan ketakutan. Contoh boleh didapati dalam Bizarre, sebuah majalah fetisy dan perhambaan yang diterbitkan antara 1946 dan 1959 oleh artis belenggu bernama John Willie. Ia termasuk lukisan dan fotografi yang menggunakan model profesional dalam adegan belenggu atau sadomasokistik.
Sweet Gwendoline adalah watak wanita utama dalam karya John Willie dan mungkin ikon belenggu paling terkenal selepas Bettie Page. Sweet Gwendoline berulang kali digambarkan sebagai stereotaip damsel in distress berambut perang yang naif. Sebuah siri tentang watak itu diterbitkan dalam majalah mainstream girlie Robert Harrison berjudul Wink dari Jun 1947 hingga Februari 1950 dan kemudiannya dalam beberapa majalah lain sepanjang tahun. Bettie Page adalah model ikatan terkenal yang pertama. Khususnya, dari akhir 1951 atau awal 1952 hingga 1957, beliau digayakan untuk jurugambar Irving Klaw bagi fotografi pesanan pos dengan tema gambar tempel dan BDSM, menjadikannya model perhambaan terkenal yang pertama.
Lihat juga
Rujukan
Nota
- ^ "Bondage Basics". KYNK 101 (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 15 Oktober 2024.
- ^ a b c Keesling, Barbara (1993). Sexual Pleasure: Reaching New Heights of Sexual Arousal & Intimacy (dalam bahasa Inggeris). Hunter House Publishers. m/s. 167. ISBN 978-0-89793-148-9.
- ^ Brame, Gloria G. (2000). Come Hither: A Commonsense Guide to Kinky Sex (dalam bahasa Inggeris). Simon & Schuster. m/s. 22. ISBN 978-0-684-85462-5.
- ^ Apostolides, Marianne: The Pleasure of Pain: Find out why one in 10 of us is into S&M. In: Psychology Today, September/October 1999, ISSN 0033-3107.
- ^ a b c Fesselspiele Diarkibkan 18 Februari 2008 di Wayback Machine di Der Papiertiger, sebuah ensiklopedia BDSM.
- ^ Kroll, Eric: Fetish Girls. Taschen, 1995.
- ^ Pat Califia: Sensuous Magic: A Guide for Adventurous Lovers. Mass market paperback 1995.
- ^ "Beginners Guide - Dungeon Bondage: Caning Benches & Spanking". Fetish.com (dalam bahasa Inggeris). 6 Oktober 2023.
- ^ "Safe Sane Consensual". Kink Weekly (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 24 September 2015.
- ^ Wiseman, Jay (2000). Erotic Bondage Handbook. Oakland, CA: Greenery Press. ISBN 1-890159-13-1.
- ^ Miller, Philip; Devon, Molly: Screw the Roses, Send Me the Thorns: The Romance and Sexual Sorcery of Sadomasochism. 1st edition, Mystic Rose Books 1988. ISBN 0-9645960-0-8, pp. 95–106.
- ^ "Mitigating Risk: Bondage". KYNK 101 (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 15 Oktober 2024.
- ^ "Harness Induced Pathology". Petzl Work/Rescue Catalog (dalam bahasa Inggeris). Federation Francaise de Speleologie. 1997. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Disember 2005.
- ^ Paul Seldon (2002). "Harness suspension: review and evaluation of existing information" (PDF). Contract Research Report 451 (dalam bahasa Inggeris). UK Health and Safety Executive. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 12 Julai 2017. Dicapai pada 4 Ogos 2017.
- ^ "Rope Bondage". Open Minded Health (dalam bahasa Inggeris). 25 Jun 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Ogos 2014.
- ^ "Corpus-delicti.com" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Mac 2019. Dicapai pada 6 Oktober 2014.
- ^ Lords, Kayla (30 November 2015). "Bondage: It's More Than Just Rope". Kinkly (dalam bahasa Inggeris).
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama:1
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama:2
- ^ "Pup play men who live as dogs". Special Broadcasting Service (dalam bahasa Inggeris). 18 Julai 2016. Dicapai pada 28 September 2017.
- ^ a b "Prosecuting Obscenity - The Cambria List". PBS (dalam bahasa Inggeris). 2002. Dicapai pada 25 November 2021.
- ^ Shakti, Andre (9 Mac 2016). "How a Free-Speech Advocate Accidentally Became the Face of Censorship in Porn". Mel Magazine (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Februari 2020.
- ^ Baskin, Sienna (31 Disember 2006). "Deviant Dreams: Extreme Associates and the Case for Porn". CUNY Law Review (dalam bahasa Inggeris). 10 (1): 187. doi:10.31641/clr100108.
- ^ Gene Zorkin (12 Jun 2019). "Are Obscenity Prosecution Concerns Obsolete?" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 25 Jun 2023.
- ^ Stargraves: The Shuttered House. Last Gasp, 2003. ISBN 1-900058-37-5.
- ^ Aldiss, Allan: Slaveship. Bondage Books, 2006. ISBN 0-9549966-4-X.
- ^ "Backdrop.net" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Oktober 2014. Dicapai pada 6 Oktober 2014.
Bibliografi
- Ernulf, K. E.; Innala, S. M. (1995). "Sexual bondage: A review and unobtrusive investigation". Archives of Sexual Behavior. 24 (#6): 631–654. doi:10.1007/BF01542185. PMID 8572912. S2CID 6495515.
- Friday, Nancy (1998). Men in Love. New York: Delta Trade Paperbacks. ISBN 0-385-33342-0 (broad informal survey of men's sexual fantasies).
- Harrington, Lee (2006). Shibari You Can Use. Circle23: Mystic Productions. ISBN 0-9778727-0-X.
- Master "K" (2004). Shibari, the Art of Japanese Bondage. Brussels: Glitter. ISBN 90-807706-2-0.
- Midori (2001). The Seductive Art of Japanese Bondage. Oakland: Greenery Press. ISBN 1-890159-38-7.
- Russell, Diana E. H. (1998). Dangerous relationships: pornography, misogyny, and rape. SAGE Publications, 1998. ISBN 0-7619-0525-1.
- Toushin, Steven (2006). The Destruction of the Moral Fabric of America. Wells Street Publishing. ISBN 978-1-884760-04-4.
- Two Knotty Boys; Utley, Larry (2006). Two Knotty Boys Showing You the Ropes. Green Candy Press. ISBN 1-931160-49-X.
- Wiseman, Jay (2000). Erotic Bondage Handbook. Oakland: Greenery Press. ISBN 1-890159-13-1.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Belenggu (BDSM) |
- Unrealities.com, Soalan Lazim soc.subculture.bondage-bdsm dan cerminnya di Sexuality.org
- Wipipedia – Wiki berkenaan belenggu dan perhambaan dalam konteks BDSM