Muhamad Fhazrill Fesol (Jawi: محمد فهازريلل فيسول; lahir 28 Ogos 1998) atau lebih dikenali sebagai Ariel Fesol merupakan seorang penyanyi, pelakon dan bekas pramugara lelaki Malaysia. Beliau mula dikenali selepas meraih tempat keempat dalam program realiti nyanyian kanak-kanak Idola Kecil musim kedua pada tahun 2009. Pada tahun 2025, beliau menyertai pertandingan Big Stage Alpha dan dinobatkan sebagai juara musim itu dan seterusnya debut sebagai ahli kumpulan Alpha di bawah label Rocketfuel Entertainment.
Pada tahun 2009, pada usia 11 tahun dan menduduki Darjah 5, Ariel memulakan kerjaya hiburannya dengan menyertai rancangan realiti Idola Kecil (musim 2) di TV9 dan berjaya ke peringkat akhir. Setelah lama menyepi dari dunia hiburan beliau kembali mencuba nasib menyertai Big Stage Alpha pada 2025. Penantian 16 tahun beliau berbaloi apabila Big Stage Alpha telah mengangkat beliau selaku juara dan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi sumbangan Astro.[2]