Manual gaya penulisan (MGP) |
---|
Penerangan gambar adalah satu label dengan tujuan yang penting; ia membantu menerangkan gambar tanpa mengambil kira sama ada penerangan itu berunsur lelucon, ilmiah atau serius. Laman ini merupakan satu garis panduan dalam menulis penerangan yang padat tetapi bagus. Laman ini tidak menetapkan panduan yang wajib diikuti, namun kebanyakan orang akur dengan panduan ini.
Gambar dan penerangannya berhubung kait dengan satu sama lain. Sekeping gambar mungkin tidak difahami, namun dengan adanya penerangan, gambar tadi dapat dilihat dengan pandangan baru seolah-olah penerangan itu memberi nyawa kepada gambar. Gambar menarik pembaca kepada penerangannya, dan penerangannya menghubungkan imej dan teks. Kadang kala, maklumat yang terdapat dalam gambar dan penerangannya tiada dalam teks rencana dan ini memberi kefahaman yang lebih kepada pembaca.
Perlu diingat bahawa bukan semua gambar perlu kepada penerangan; kadang-kadang, gambar itu cumalah perhiasan. terdapat juga gambar yang menerangkan dirinya sendiri.
Manual gaya penulisan (MGP) |
---|
Beberapa kriteria untuk tajuk gambar
Satu-satu kapsyen yang bagus
- mengenal pasti subjek gambar.
- ringkas.
- mengaitkan gambar dengan rencana.
- memberi konteks kepada gambar.
- menarik pembaca kepada rencana.
- adalah satu tajuk, seperti tajuk buku, ataupun terdiri dari satu atau lebih ayat lengkap.
Setiap orang membaca rencana yang sama dengan pandangan dan cara yang tersendiri. Sesetengah orang membaca dari awal sehingga akhir. Yang lain pula membaca perenggan pertama, lalu terus mengimbas rencana itu untuk mencari maklumat-maklumat menarik yang lain, terutamanya dari gambar dan kapsyennya. Maka, mereka yang membaca rencana dengan gaya ini, mereka tidak akan jumpa apa yang mereka cari jika kapsyen gambar tidak memberikan maklumat yang betul. Kapsyen juga mampu menimbulkan rasa ingin tahu kepada para pembaca.
Cara lain untuk mencipta kapsyen yang bagus adalah dengan membayangkan anda sebagai seorang pensyarah yang sedang memberi syarahan yang banyak gambar. Apakah yang akan anda katakan ketika gambar-gambar tersebut sedang dipaparkan di skrin? Apa yang anda ingin sampaikan kepada para hadirin berkenaan gambar tersebut, dan kenapa? Panduan: jika gambar itu susah untuk dijelaskan, kemungkinan besar gambar itu tiada kaitan dengan rencana yang anda sedang usahakan.
Pengecaman tujuan gambar
Antara fungsi utama kapsyen adalah untuk mengenal pasti subjek gambar. Kapsyen yang baik pasti memberi kefahaman yang lebih kepada para pembaca. Kapsyen yang dibina perlulah jelas dan tidak menimbulkan kesangsian kepada pembaca. Hal yang paling penting adalah apa gambar itu sebenarnya. Sebagai contoh, jika imej adalah satu lukisan, maka tajuk gambar, nama pelukis dan tahun lukisan itu sudah cukup untuk memberi satu konteks kepada gambar itu. Lokasi lukisan itu sekarang juga boleh ditambah dalam kurungan seperti berikut: (Muzium Louvre) jika diketahui tempatnya. Tarikh gambar kadang kala juga penting. Ada bezanya antara kapsyen “Sultan Melaka, cat air” dengan “Sultan Melaka pada abad ke-19, cat air”. Jika gambar itu merupakan gambar orang yang sedang dibincangkan dalam rencana, nama orang itu sahaja sudah mencukupi sebagai kapsyen yang bagus, dan ia tidak perlu dipautkan. Sebagai contoh, jika rencana adalah tentang Siti Nurhaliza, kapsyen yang ditulis tidak perlu dipautkan kerana kedua-dua gambar dan imej berada pada laman yang sama.
Padat
Amat senang untuk terbawa-bawa dalam menulis kapsyen kerana padat tidak semestinya sama dengan ringkas. Tambahan pula, ayat-ayat atau perkataan yang menarik dirasakan mampu memberi “seri” kepada kapsyen itu. Sebagai petua, kapsyen yang melebihi tiga baris ayat bolehlah dikatakan sebagai mengganggu perhatian. Sesetengah perkataan atau ayat boleh dibuang jika gambar yang ingin diletakkan adalah jelas. Letakkan maklumat dalam rencana dan juga gambar, tetapi pastikan pembaca tidak terlepas pandang maklumat yang ada dalam gambar tersebut.
Menerangkan kaitan dengan rencana
Kapsyen yang bagus menerangkan sebab gambar itu harus berada dalam rencana. Cth. "Kereta Proton Saga 1985" menerangkan kita mengapa perlunya bersusah-payah untuk memaparkan gambar kereta Proton Saga 1985 daripada mana-mana model kereta itu. Kapsyen tidak boleh berbunyi seperti "Inilah satu-satunya gambar yang boleh digunakan dengan izin".
Menerangkan konteks gambar
Sebidang gambar hanya merakamkan sedetik masa. Apakah yang berlaku sebelum dan selepas itu? Apakah yang berlaku di luar bingkai gambar? Misalnya dalam rencana Arnab, "Arnab di kawasan kampus universiti" memang bererti, tetapi tambahkan lagi butirannya menjadi "arnab boleh membiak secara berlebihan sehingga mengacau ketenteraman manusia, seperti di kampus universiti ini" untuk membuatnya lebih relevan dengan rencana itu, khususnya bahagian yang membincangkan hubungan manusia dengan arnab.
Menarik pembaca kepada rencana
Kapsyen wajar menarik minat pembaca untuk membaca rencana. Misalnya, dalam rencana Kebudayaan United Kingdom, gambar Imej:The_Fabs.JPG boleh diberikan kapsyen "The Beatles merupakan salah sebuah kugiran yang paling berjaya dan disanjung tinggi dalam sejarah muzik, kerana menjual lebih satu bilion naskhah rakaman di seluruh dunia", supaya pembaca berasa ingin tahu kebenarannya lalu membaca teksnya.
Ayat sempurna
Kadang-kadang, anda dikehendaki oleh penyunting lain supaya kapsyen anda berbentuk ayat lengkap. Gunakan kata nama (iaitu subjek gambar) dan kata kerja. "Orang bermain Uno" bukan ayat lengkap, tetapi "Sekumpulan sahabat sedang bermain Uno." Lagi bagus: "Uno merupakan satu permainan yang menjadi kegilaan ramai pada 1970-an."
Ayat yang lengkap mampu memastikan kapsyen mematuhi garis panduan lain juga.
Bagaimanapun, untuk memberikan ayat yang lengkap, "ialah", "adalah" dan "merupakan" sendiri tidak membawa erti. Jika tiadanya kata kerja aktif yang dapat anda fikirkan, cubalah gaya klasik tajuk dan tajuk kecil bersama tanda titik bertindih seperti berikut: "Harimau: Raja rimba". Ayat lengkap tidak semestinya banyak membantu pembaca.
Imej yang memerlukan layanan khas
Sesetengah jenis imej memerlukan layanan khas:
- Coretan jadual berkala untuk setiap unsur - tidak memerlukan kapsyen
- Imej contoh unsur dalam kotak info unsur - tidak memerlukan kapsyen
- Imej tumbuhan, haiwan, protis dsb. dalam kotak info - tidak memerlukan kapsyen
- Lambang kebesaran dalam kotak info - tidak memerlukan kapsyen, tetapi jika lambang itu ada huraian, nyatakannya dalam laman pemerian imej
- Imej-imej lain (khususnya dalam kotak info biasa) yang mana tujuan imej itu semangnya nominatif, iaitu gambar itu berfungsi sebagai contoh umum subjek rencana dan tidak perlu diterangkan secara lanjut.
- Rajah sebatian kimia (spt TNT) dapat manfaat daripada sebutan peranan strukturnya dalam sifat-sifat sebatian itu.
- Potret berkumpulan sebilangan tokoh (dianggap berkaitan dengan rencana) wajar menyenaraikan nama mereka masing-masing mengikut urutan yang jelas supaya pembaca boleh memadankan nama dengan wajahnya. Kumpulan yang lebih besar sewajarnya disertakan foto indeks dengan bebayang bernombor dan kekunci yang menyenaraikan nombor setiap wajah.
Petua pemerian gambar
Laman pemerian imej menawarkan lebih maklumat mengenai gambar itu berbanding kapsyen dalam rencana. Berikut adalah perkara-perkara yang ingin diketahui mengenai gambar itu (semuanya boleh berpautan):
- Apakah kelayakan subjek gambar? Sekiranya terdapat rencana berkenaan subjek di dalam gambar, buatlah pautan padanya. (Mungkin ada yang menjumpai gambar tu dari tempat lain.)
- Di mana ia telah diambil?
- Kenapa ia diambil?
- Siapa yang mengambilnya?
- Bila ia diambil?
- Adakah ia suatu seni? Bagi kerja-kerja seni, masukkan juga perincian berikut:
- Seniman
- Dimensi (saiz)
- Bahan-bahan/media (minyak dan kanvas/marmar/media bercampur...)
Pastikan anda menyertakan tag hak cipta imej untuk lesen gambar supaya kita semua pasti bahawa gambar ini dibenarkan untuk Wikipedia.
Lihat juga
Pautan luar
- Sharp Points: 9 Commandments of Caption Writing
- Hot Tips for Writing Photo Captions
- Writing Captions (for yearbooks, with some pointers)
- Writing Photo Captions for the Web
- CaptionThis.com - open competition of wit or lack thereof