The Hoppers & Ahli Muzik | |
---|---|
Genre | Pelancongan, Muzik |
Dibintangi oleh | Gambit Saifullah Bo Amir Iqram Ahmad Faris Fatulrahman Ghazali |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Malaysia |
Bilangan episod | 13 |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Gambit Saifullah |
Penerbit | Gambit Saifullah |
Lokasi | Malaysia |
Tempoh siaran | 30 minit per episod |
Penyiaran | |
Saluran asal | 8TV |
Siaran asal | 19 Oktober 2008 | – 11 Januari 2009
Pautan luar | |
Laman sesawang |
The Hoppers & Ahli Muzik ialah sebuah rancangan televisyen realiti terbitan Eightball Productions yang diilhamkan oleh Rewan Ishak dan mengisahkan sekumpulan geng bernama "The Hoppers" yang bersama-sama menjelajah seluruh Malaysia dengan menaiki sebuah van sahaja. Rancangan yang disifatkan sebagai "separa rancangan pelancongan, separa drama orang muda dan separa rancangan muzik"[1] ini disiarkan di 8TV pada pukul 10.00 malam (UTC+8) setiap Ahad mulai 19 Oktober 2008.
Am
Empat sahabat karib, Gambit Saifullah (juga penerbit rancangan), Bo Amir Iqram (a.k.a. Bobo), Ahmad Faris (Fungus), dan Fatulrahman Ghazali (Fatul), yang membentuk kumpulan The Hoppers, mengambil kesempatan menjauhi kesibukan bandaraya Kuala Lumpur untuk menjelajah seluruh negara. Mereka dari tempat ke setempat dengan menaiki van VW Kombi (Greenhopper) mereka, untuk menghayati budaya-budaya yang tidak biasa dilihat, di samping berhubung dengan rakan-rakan seperjuangan mereka dengan berkongsi pengalaman mengembara sambil menghidupkan semangat indie. Di sepanjang jalan, mereka menemui ramai ahli muzik dan muda-mudi lain yang menjadi panduan pelancongan mereka untuk mempelajari kehidupan masyarakat setempat. Destinasi terakhir mereka adalah di sebuah pulau di mana mereka bertemu semula dengan sabahat-sahabat lain untuk menikmati pesta muzik indie yang dihidupkan kumpulan-kumpulan kugiran tempatan.
Oleh sebab rancangan ini bertujuan meraikan semangat pemuzik indie, maka lagu-lagu pemuzik indie Malaysia dijadikan kebanyakan bahan muzik latar sepanjang siri ini.
Episod
# | Tarikh siaran | Negeri | Hari | Sinopsis |
---|---|---|---|---|
1 | 19 Oktober 2008 | Lembah Klang | 0 | Gambit, Fatul, Fungus dan Bobo bersatu dan membuat persiapan untuk menjelajah sembilan negeri di Malaysia, termasuk membeli sebuah van Volkswagen yang amat lama. Hentian pertama mereka adalah di juadah barbeku yang dihadiri ramai pemuzik indie di Simple Redha Chalet, Kemensah. |
2 | 26 Oktober 2008 | Kedah | 1–3 | Hari pertama perjalanan The Hoppers tidak bermula dengan bagus apabila pintu van tercabut di tengah Kuala Lumpur, menyebabkan mereka berempat amat lewat sampai di Kedah. Untuk memulakan penginapan mereka di Alor Star selama tiga hari dua malam, mereka bertemu dengan kumpulan indie Bourjuis yang membawa mereka menikmati budaya negeri jelapang padi, di samping mencuba kegiatan parkour yang menjadi kegemaran sebilangan muda-mudi di situ. Pada malam kedua, mereka berlepak di kafe untuk menaikmati gig akustik lalu berkesempatan untuk memulun kostum-kostum yang sesuai untuk sebuah gig yang akan datang. |
3 | 2 November 2008 | Pulau Pinang | 3–4 | Pada hari ketiga jelajah mereka, The Hoppers sekali lagi gelabah dengan kerosakan van di tengah lebuh raya, dan mereka perlu melengkapkan perjalanan ke Pulau Pinang untuk mencari alat ganti sambil makan angin. Sesampai mereka di sana mereka menghibur pemandu di jalanan untuk mencari duit, sebelum mencari peragawati/penyanyi Ainul Aishah untuk membawa mereka berjalan-jalan sambil menempah bilik di Cintra Street. Mereka menjamu selera dengan nasi kandar pada lewat malam, dan pada hari keesokannya mereka melawat Kuil Kek Lok Si dan pantai Batu Ferringhi. Mereka bergegas ke destinasi seterusnya pada malam keempat. |
4 | 9 November 2008 | Perak | 5–6 | Setelah memandu dua jam dari Pulau Pinang, the Hoppers tiba di Ipoh dan menginap di hotel lama. Di sana mereka bertemu dengan Mohd Jayzuan dari kumpulan Freelove yang membantu mereka menikmati kehidupan dan menjamu selera di ibu negeri Perak. Dengan memakai kostum-kostum ala samurai yang dipulun sewaktu di Alor Setar, mereka berempat berseronok di gig yang bertemakan kostum. |
5 | 16 November 2008 | 6 | The Hoppers mengembara ke Istana Kellie di hari keenam jelajah mereka untuk menerokai sejarah dan misteri di sebalik binaan terbiar itu, seterusnya menghabiskan masa di Ipoh di Pasar Loken, sebelum bersiap ke Seremban. Mereka berpecah menjadi dua pasangan: Gambit dan Bobo naik van sementara Fungus dan Fatul naik keretapi dari stesen keretapi Ipoh. Dalam keretapi, Fatul dan Fungus bertemu dengan seorang pelajar dari negara Panama yang berpakaian serba rocker kapak. Sementara itu, van rosak lagi di tengah lebuh raya. | |
6 | 23 November 2008 | Negeri Sembilan | 6–8 | The Hoppers kembali bersatu di Stesen Keretapi Seremban bersama kawan baru mereka, Zareth dari Panama, yang terlepas hentian di Kuala Lumpur. Kelima-lima mereka bermalam di rumah tumpangan Kampung Pelegong untuk menikmati kehidupan luar bandar. Antara kegiatan mereka di sana termasuk tengok kambing, berendam di Jeram Tebrau, dan bermain muzik Cak Lempong. Selepas menghabiskan penginapan di Kampung Pelegong, Zareth berpisah dari the Hoppers. |
7 | 30 November 2008 | Melaka | 8–10 | Hentian seterusnya the Hoppers adalah di negeri Melaka, di mana mereka bertemu dengan penyajak Fynn Jamal dan kumpulan the Rhaman. Mereka dibawa beriang-ria di Melaka Pirate Park, menaiki Menara Taming Sari, bersiar-siar di Persiaran Jonker, dan menaiki bot di Sungai Melaka. Fynn siap mendedikasi serangkap sajak kepada the Hoppers atas tanda penghargaan terhadap kunjungan mereka berempat. |
8 | 7 Disember 2008 | Johor | 10–12 | Fynn mengikut geng Hoppers pergi ke Johor Bahru. Di tengah perjalanan mereka berhenti di Kulai untuk bergambar di sebuah kawasan pembinaan terbengkalai. Setibanya di JB, mereka melawat tapak papan luncur di Teluk Danga pada malam pertama, sebelum berjumpa dengan Lala Loco dan kumpulan Laila's Lounge dan menikmati gig pada hari seterusnya. Pada malam kedua, Fungus terpaksa berpisah dari kawan-kawannya untuk menyelesaikan urusan penting dengan sebuah institusi pengajian Kanada. |
9 | 14 Disember 2008 | Pahang | 12–13 | The Hoppers yang tinggal tiga orang bersama Fynn sekali, meneruskan perjalanan mereka ke pantai timur. Di Kuantan, mereka bertemu dengan seorang kenalan Gambit bernama Alia untuk membimbing percutian mereka di pantai timur, lalu menyaksikan persembahan Yuna di restoran Crocodile Rock, Teluk Cempedak. Mereka juga menginap di kawasan Pantai Cherating serta menikmati keindahan alam di sekitarnya seperti mengunjungi Pulau Ular dan Kampung Cherating serta meluncur air di Sungai Cherating. Bobo juga mengambil bahagian dalam gig waktu malam di Cherating. |
10 | 21 Disember 2008 | 14–15 | The Hoppers dan Alia digemparkan kehilangan Fynn secara tiba-tiba, jadi terpaksalah mereka berempat mencari-cari sekitar Cherating sepanjang pagi. Akhirnya mereka mengetahui Fynn sudah balik awal. Dengan hati yang lega mereka melawat Pok Diq yang mengejar mereka memilih papan luncur air serta menunggang kuda. Begitu cepat Gambit pandai menunggang sehingga bersiar-siar di sekitar pekan dan pantai atas kuda lagi walaupun bukan 100% berjalan lancar. | |
11 | 28 Disember 2008 | Kelantan | 15–16 | The Hoppers bersama Alia tiba di Kota Bharu terutamanya untuk melawat sanak-saudara Gambit, di samping menikmati warna-warni budaya negeri Kelantan, seperti di Gelanggang Seni ada persembahan muzik Kertok Kelapa, tarian Silat Cantik, sukan sepak bulu ayam dan permainan congkak pada waktu siang dan wayang kulit pada waktu malam. |
12 | 4 Januari 2009 | Kelantan/ Terengganu | 17–18 | The Hoppers dan Alia mengunjungi kedai-kedai dan berlatih tomoi di Rantau Panjang, sebelum bersiap untuk ke destinasi terakhir di Pulau Perhentian untuk mengambil bahagian dalam gig. Di Mohsin Chalet, tempat penginapan terakhir mereka sepanjang jelajah, mereka bertemu semula dengan Fungus, Fynn dan Zareth. |
13 | 11 Januari 2009 | Terengganu | 18 | Pada waktu siang, mereka menaiki kapal layar untuk mendengar pengalaman dan menerima tunjuk ajar mengenai pengemudian kapal dari seorang pelayar asing. Malam kemuncak sudah tiba di Acoustica Perhentian apabila tiga artis indie, iaitu Yuna, Couple dan Hujan memeriahkan suasana dengan mendendangkan lagu masing-masing di hadapan ramai pelancong dan juga the Hoppers. |
Rujukan
Pautan luar
- The Hoppers & Ahli Muzik dilaman web 8TV
- The Hoppers dan Ahli Muzik di Friendster