![]() |
Tempoh Amarna merupakan suatu era dalam sejarah Mesir pada separuh kedua Dinasti Kelapan Belas apabila kediaman diraja firaun dan permaisurinya beralih dari ibu kota lama Thebes (Waset) ke Akhetaten (harfiahnya 'Ufuk Aten') di tempat yang kini dikenali sebagai Amarna. Perpindahan ini berlaku semasa pemerintahan Amenhotep IV, yang menukar namanya kepada Akhenaten (1353–1336 SM) bagi mencerminkan perubahan drastik agama politeistik Mesir kepada penyembahan cakera matahari Aten melebihi dewa-dewi lain. Menjelang akhir pemerintahan Akhenaten, baginda mempunyai seorang raja-bersama, Smenkhkare, yang tentangnya sangat sedikit diketahui; begitu juga, Neferneferuaten, seorang pemerintah wanita (mungkin isteri Smenkhkare, atau bahkan Nefertiti sendiri?) juga mempengaruhi pentadbiran.
Akhenaten, Smenkhkare dan Neferneferuaten diwarisi oleh putera Akhenaten, Tutankhamun, yang hanya berusia sekitar sembilan tahun. Dewata Mesir dikembalikan dengan pantas di bawah pemerintahannya. Disebabkan usianya yang muda, para wazir dan penasihatnya nampaknya menjalankan kebanyakan kerja-kerja memerintah. Sebahagian besar pentadbiran dipindahkan ke Memphis, Mesir semasa pemerintahan Tutankhamun, mengurangkan kepentingan Akhetaten. Kedua-dua puteri Tutankhamun meninggal sebelum baginda, dan baginda mangkat tanpa pewaris; baginda digantikan oleh Ay. Pemerintahan Ay yang singkat selama tiga tahun disusuli oleh Horemheb, yang mengarahkan kota Akhetaten dirobohkan. Horemheb menghapuskan sebanyak mungkin Tempoh Amarna dari sejarah dan monumen-monumen rasmi, menganggapnya sebagai suatu penyelewengan. Menurut monumen-monumen yang diubah semula oleh Horemheb, baginda terus menggantikan Amenhotep III, memadamkan 30 tahun sejarah.
Perkembangan agama
Akhenaten mencetuskan ekspresi suatu bentuk monoteisme terawal yang disahkan, namun asal-usul monoteisme tulen masih diperdebatkan dalam kalangan akademik. Sesetengah menyatakan bahawa Akhenaten mengembalikan monoteisme manakala yang lain berpendapat bahawa baginda hanya menindas satu kultus matahari yang dominan dengan menegakkan kultus lain, tanpa meninggalkan beberapa dewa tradisional yang lain sepenuhnya. Sarjana percaya bahawa kesetiaan Akhenaten kepada dewa baginda, Aten, menyinggung ramai orang berkuasa yang di bawahnya, yang menyumbang kepada pengakhiran dinasti ini; baginda kemudian dikenakan damnatio memoriae, pembasmian memori. Walaupun pelajar moden Egiptologi menganggap monoteisme Akhenaten satu peristiwa terpenting dalam tempoh ini, orang Mesir kemudian menganggap tempoh Amarna sebagai suatu penyelewengan yang buruk.
Tempoh ini menyaksikan banyak inovasi dalam nama dan perkhidmatan agama. Orang Mesir pada masa itu melihat agama dan sains sebagai satu dan sama. Sebelum ini, kehadiran banyak dewa menerangkan fenomena semula jadi, tetapi semasa tempoh Amarna terdapat peningkatan monoteisme. Dengan orang mula memikirkan asal-usul alam semesta, Amun-Ra dilihat sebagai satu-satunya pencipta dan dewa matahari. Pandangan tentang dewa ini dapat dilihat melalui puisi berjudul "Gita Puja kepada Aten":
Apabila pergerakanmu menghilang dan engkau berehat di Akhet, tanah dalam kegelapan, seperti kematian... kegelapan selimut, tanah dalam kesunyian, dengan yang menciptanya berehat di Akhetnya. Tanah bersinar semula sebaik engkau muncul di Akhet, menyinarkan cakera matahari pada siang hari. Apabila engkau menghalau kegelapan dan memberi sinaranmu, Dua Tanah berada dalam perayaan cahaya.
Daripada puisi ini, dapat dilihat bahawa sifat aktiviti harian dewa ini berkisarkan mencipta semula bumi setiap hari. Ia juga memberi tumpuan kepada kehidupan sekarang berbanding keabadian.
Selepas pemerintahan Amarna, kepercayaan agama ini tidak lagi digemari. Telah diperdebatkan bahawa ini sebahagiannya kerana hanya raja dan keluarganya yang dibenarkan menyembah Amun-Ra secara langsung, manakala yang lain hanya dibenarkan menyembah raja dan keluarganya.[1]
Wanita diraja
Wanita diraja Amarna mempunyai lebih banyak teks yang masih wujud tentang mereka berbanding wanita lain dari Mesir purba. Jelas bahawa mereka memainkan peranan besar dalam fungsi diraja dan agama. Wanita-wanita ini sering digambarkan sebagai berkuasa dalam hak mereka sendiri.
Permaisuri Nefertiti dikatakan merupakan penggerak di sebalik agama monoteistik baharu itu[perlu rujukan]. Nefertiti, yang namanya bermaksud "si cantik ada di sini", melahirkan enam puteri Akhenaten.
Ramai puteri Akhenaten sama atau lebih berpengaruh daripada isteri-isteri baginda. Terdapat perdebatan sama ada hubungan antara Akhenaten dan anak-anak perempuannya bersifat seksual. Walaupun terdapat banyak kontroversi mengenai topik ini, tiada bukti bahawa mana-mana daripada mereka melahirkan anaknya;[Menurut siapa?] Akhenaten memberikan banyak anak perempuannya gelaran permaisuri.[1]
Seni

Semasa pemerintahan Akhenaten, seni potret diraja mengalami perubahan yang dramatik. Patung Akhenaten menyimpang daripada cara tradisional kerabat diraja digambarkan. Akhenaten digambarkan dengan cara yang androgini dan sangat berstail, dengan paha besar, batang tubuh yang langsing, perut buncit, bibir tebal, dan leher serta hidung panjang.[2] Sesetengah percaya bahawa pemisahan daripada konvensi ini disebabkan oleh "kehadiran orang atau kumpulan seniman baharu di Amarna yang latar belakang dan latihannya berbeza daripada pemahat-pemahat Karnak."[1] Patung-patung gergasi dan ukiran dinding dari Kuil Aten Karnak dalam gaya yang sangat berlebih-lebihan dan hampir sangat hodoh jika dibandingkan dengan seni diraja dan elit Mesir selama seribu tahun sebelum kelahiran Akhenaten. Seni sebelum Akhenaten dicirikan oleh formaliti dan ketertiban, dan beralih ke arah yang bergaya.[3]
Walaupun Akhenaten terkenal atas perubahan yang baginda buat dalam amalan agama dan seni, terdapat juga perubahan dalam seni bina kuil, kaedah pembinaan, dan inskripsi awam. Baginda beralih kepada bongkah-bongkah batu yang lebih kecil yang dibubuhkan lepa kuat untuk membina struktur batunya. Inskripsi-inskripsi rasmi berubah daripada bahasa kuno yang digunakan dalam tempoh tradisional sebelumnya kepada teks-teks monumental yang mencerminkan bahasa lisan pada masa itu.[3][4]
Tutankhamun dan penggantian Amarna

Tutankhamun, antara yang terakhir dalam dinasti baginda dan raja-raja Amarna, mangkat sebelum berusia dua puluh tahun, dan tahun-tahun terakhir dinasti ini jelas sekali goyah. Keturunan dinasti ini berakhir dengan Tutankhamun. Dua bayi yang dikebumikan dalam makamnya ialah puteri-puterinya yang masih bayi, yang sepatutnya meneruskan keturunan diraja.[5]
Seorang permaisuri Mesir yang tidak dikenali Dakhamunzu, janda "Raja Nibhururiya", diketahui daripada catatan Het. Baginda sering disamakan dengan Ankhesenamun, isteri diraja Tutankhamun, namun Nefertiti dan Meritaten juga telah dicadangkan sebagai calon. Permaisuri ini menulis surat kepada Suppiluliuma I, raja Het, meminta baginda menghantar salah seorang puteranya untuk menjadi suaminya dan raja Mesir. Dalam suratnya, baginda menyatakan ketakutan dan keengganan untuk mengambil salah seorang hambanya sebagai suami. Suppiluliuma menghantar seorang duta untuk menyiasat, dan selepas rundingan lanjut bersetuju menghantar salah seorang puteranya ke Mesir. Putera ini, bernama Zannanza, namunnya dibunuh, mungkin dalam perjalanan ke Mesir. Suppiluliuma murka atas berita kematian anaknya dan menuduh orang Mesir. Kemudian, baginda membalas dengan berperang menentang negara naungan Mesir di Syria dan Kanaan Utara dan menawan kota Amki. Malangnya, tawanan perang Mesir dari Amki membawa wabak yang akhirnya akan melanda Empayar Het dan membunuh kedua-dua Suppiluliuma I dan pewaris langsungnya.[6][7]
Dua ahli terakhir dinasti kelapan belas – Ay dan Horemheb – menjadi pemerintah daripada kalangan pegawai istana diraja, namun Ay mungkin telah mengahwini janda Tutankhamun untuk mendapatkan kuasa dan baginda permaisuri tidak lama selepas itu meninggal dunia. Pemerintahan Ay singkat. Pengganti beliau ialah Horemheb, seorang panglima tentera Mesir, yang pernah menjadi diplomat semasa pentadbiran Tutankhamun dan mungkin asalnya ditetapkan oleh Tutankhamun untuk menjadi pengganti baginda, yang tidak mempunyai anak yang masih hidup. Horemheb mungkin merampas takhta daripada Ay. Beliau juga meninggal tanpa anak yang masih hidup dan melantik penggantinya, Paramessu, yang dengan nama Ramesses I menaiki takhta pada 1292 SM dan merupakan firaun pertama Dinasti Kesembilan Belas.
Hubungan luar

Surat-surat Amarna memaparkan surat-surat antara pemerintah beberapa buah empayar, yang digelar oleh sejarawan moden Kelab Kuasa Besar:[8] Babylon, Assyria, Mitanni dan Hatti, iaitu kuasa-kuasa utama di Mesopotamia, Levant dan Anatolia semasa Zaman Gangsa Akhir.
Kuasa-Kuasa Besar
Babylon EA 1–11

Orang Babylon ditakluki oleh sekumpulan orang luar dan dirujuk dalam surat-surat tersebut sebagai Karaduniyas.[9] Babylon diperintah oleh dinasti Kass yang kemudiannya berasimilasi dengan budaya Babylon. Surat-surat perhubungan antara kedua-duanya membincangkan pelbagai perkara remeh tetapi juga mengandungi salah satu daripada sedikit sahaja mesej dari Mesir kepada kuasa lain. Dalamnya menulsi tentang firaun yang membalas tuntutan Raja Kasashman-Enlil, yang pada mulanya bertanya tentang keadaan kakak baginda, yang dihantar untuk perkahwinan diplomatik. Raja teragak-agak untuk menghantar anak perempuannya untuk perkahwinan diplomatik lain sehingga baginda mengetahui status kakaknya. Firaun membalas dengan sopan memberitahu raja untuk menghantar seseorang yang akan mengenali kakaknya.[10] Kemudian surat-surat membincangkan kepentingan pertukaran hadiah terutamanya emas yang digunakan dalam pembinaan kuil di Babylonia. Terdapat juga surat yang mana raja Babylon tersinggung kerana tidak mempunyai pengiring yang sesuai untuk seorang puteri. Baginda menulis bahawa baginda sedih dengan betapa sedikitnya kereta kuda yang ada untuk mengangkutnya dan bahawa baginda akan dipermalukan oleh respons raja-raja besar di rantau itu.[11]
Assyria EA 15–16
Menjelang masa surat-surat Amarna, orang Assyria, yang pada asalnya merupakan negara naungan, telah menjadi kuasa bebas. Dua surat itu daripada raja Assur-uballit I. Yang pertama membincangkan baginda memperkenalkan diri dan menghantar utusan untuk menyiasat Mesir: "Dia harus melihat seperti apa kamu dan seperti apa negara kamu, dan kemudian berangkat pulang ke sini." (EA 15) Surat kedua membincangkan baginda bertanya mengapa Mesir tidak menghantarkan emas yang cukup kepadanya dan berdebat tentang keuntungan untuk raja: "Kemudian biarkan dia (seorang utusan) tinggal di luar dan biarkan dia mati di sana di bawah matahari, tetapi untuk (tetapi) untuk raja sendiri mesti ada keuntungan."[12]
Mittani EA 17–30
Setelah menjadi musuh, menjelang masa surat-surat Amarna, Mittani telah menjadi sekutu Mesir.[13] Surat-surat ini ditulis oleh Raja Tuiseratta dan membincangkan pelbagai topik, seperti memelihara dan memperbaharui perikatan perkahwinan, serta menghantar pelbagai hadiah. Sebagai contoh, EA 22 dan EA 25 dalam surat-surat Amarna ialah inventori hadiah daripada raja Mittani Tusratta kepada firaun. Surat-surat lain yang penting membincangkan tentang patung emas yang disebut dalam EA 26 dan EA 27. Akhenaten mengahwini seorang puteri Mittani untuk mewujudkan hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
Hatti EA 41–44
Hatti sebuah kerajaan di Anatolia tengah yang kemudiannya menjadikan Mitanni sebagai negara naungan mereka. Surat-surat dari Hatti datang daripada seorang raja bernama Suppiluliuma. Subjek surat berbeza-beza, dari membincangkan perikatan lama ke pemberian hadiah dan tentang kehormatan. Dalam EA 42, papan bertulis itu menyatakan bagaimana raja Het tersinggung oleh nama firaun yang ditulis di atas namanya. Walaupun akhir teks sangat terpecah-pecah, ia dapat difahami mengatakan bahawa baginda akan memadam nama firaun.[14]
Surat-surat Amarna
![]() | Bahagian ini mungkin menyimpang dari tajuk rencana. (Oktober 2012) |
Pernyataan pembukaan
Pernyataan pembukaan:
|
William Moran membincangkan betapa baris pertama dalam dokumen-dokumen ini mengikut formula konsisten "Katakan kepada PN. Demikian PN." Terdapat variasi untuk ini tetapi didapati lebih kurang sama dalam semua loh. Yang lainnya salam yang merupakan laporan tentang kesejahteraan raja dan kemudian yang kedua ialah harapan-harapan baik terhadap raja itu.[15] Sesungguhnya, ini sebahagian daripada gaya penulisan Akkadia yang membantu memudahkan surat-surat asing untuk jangka panjang. Seperti yang diperdebatkan oleh sarjana, ini membantu menapis ideologi domestik yang cauvinis di negeri sendiri kepada raja lain. Ini membolehkan diplomasi berkembang yang menyumbang kepada keamanan relatif pada masa itu.[16]
Persaudaraan
Walaupun jarak jauh antara pemerintah, konsep kampung global mendominasi.
Seperti yang dilihat dalam EA 7:
|
Kepentingan ini dalam EA 7 adalah bahawa ia menunjukkan pemikiran pemerintah di dunia Timur Dekat pada masa itu. "Kampung yang diperbesar" yang digemari oleh para sarjana untuk istilahkan meresapi fikiran mereka, yang mana mereka mengambil daripadanya gagasan persaudaraan. Mereka dihubungkan melalui perkahwinan politik tetapi idea kampung berpuak-puak inilah yang mewajarkan doa-doa sejahtera dan khabar tentang kesihatan raja-raja. Raja-raja tersebut tampaknya mempunyai sedikit sahaja kefahaman tentang tempoh perjalanan antara satu sama lain, dan besar kemungkinan mereka menganggap bahawa pandangan dunia berbentuk kampung yang mereka huni itu turut sesuai untuk surat-menyurat jarak jauh seperti dalam surat-surat Amarna.[8] Sesungguhnya, terdapat penzahiran kasih yang berterusan sebagaimana yang dapat dilihat dalam surat-surat ini. Para sarjana menegaskan bahawa untuk menunjukkan persahabatan yang baik, ia harus dizahirkan pada tahap praktikal melalui aliran pemberian hadiah yang berterusan. Permintaan hadiah ini merupakan sesuatu yang berulang dalam pelbagai surat-menyurat dengan Raja-Raja Besar.[17]
Galeri
-
Permaisuri Tiye, matriark Dinasti Amarna. Baginda ialah ibu kepada Akhenaten dan isteri Amenhotep III. Baginda terutamanya menguruskan hal ehwal negara Mesir untuk puteranya.
-
Akhenaten, lahir dengan nama Amenhotep IV, memulakan revolusi agama yang mana baginda mengisytiharkan Aten sebagai dewa tertinggi dan berpaling tadah daripada tradisi lama. Baginda memindahkan ibu kota ke Akhetaten.
-
Permaisuri Nefertiti, puteri Ay, berkahwin dengan Akhenaten. Peranannya dalam kehidupan harian di istana tidak lama kemudian berkembang dari Permaisuri Agung kepada raja bersama. Kemungkinan juga baginda pernah memerintah Mesir sendiri sebagai seorang firaun, Neferneferuaten.
-
Smenkhkare, raja bersama Akhenaten yang memerintah selepas kemangkatannya. Dipercayai bahawa Smenkhkare ialah Nefertiti menyamar sebagai lelaki. Walau bagaimanapun, Smenkhkare disepakati adalah lelaki. Baginda menjadikan Meritaten, puteri Permaisuri Nefertiti sebagai isterinya.
-
Permaisuri Meritaten, puteri sulung Akhenaten dan Nefertiti. Dia isteri Smenkhkare. Dia juga mungkin pernah memerintah Mesir sendiri sebagai firaun dan antara calon yang mungkin ialah firaun, Neferneferuaten.
-
Neferneferure dan Neferneferuaten Tasherit. Ditunjukkan di sini sebagai kanak-kanak, mereka dua daripada enam orang puteri kepada Akhenaten dan Nefertiti. Neferneferuaten Tasherit mungkin menjadi raja bersama bapanya dan mungkin pernah memerintah sebagai firaun perempuan, Neferneferuaten.
-
Penutup balang kanopi Kiya. Kiya salah seorang gundik Akhenaten. Pernah dipercayai bahawa beliau ialah ibu Tutankhamun, tetapi itu terbukti tidak benar apabila DNA mendedahkan sebaliknya.
-
Mumia The Younger Lady dari KV35 adalah melalui padanan DNA ibu Tutankhamun. Pada asalnya disangka Nefertiti, DNA menunjukkan bahawa dia ialah saudara perempuan Akhenaten. Puteri Nebetah atau Beketaten dianggap sebagai calon.
-
Tutankhamun, dahulunya Tutankhaten, ialah putera Akhenaten melalui hubungan sumbang mahram dengan saudara perempuannya. Sebagai firaun, baginda mencetuskan dasar untuk mengembalikan Mesir kepada agama lamanya dan memindahkan ibu kota kembali ke Thebes.
-
Ankhesenamun, dilahirkan sebagai Ankhesenpaaten, ialah isteri Tutankhamun, dan puteri Akhenaten. Selepas kematian suaminya, baginda dikahwinkan dengan datuk sebelah ibunya Ay.
-
Ay berkhidmat sebagai wazir kepada Akhenaten, dan Tutankhamun. Beliau bapa Nefertiti. Selepas kematian Tutankhamun, Ay menuntut takhta dengan menguburkan Tutankhamun dan mengahwini cucu perempuannya Ankhesenamun.
-
Selepas kematian Ay, Horemheb mengambil alih takhta. Seorang rakyat biasa, beliau pernah berkhidmat sebagai wazir kepada kedua-dua Tutankhamun dan Ay. Horemheb mencetuskan dasar damnatio memoriae, terhadap semua orang yang berkaitan dengan tempoh Amarna. Beliau berkahwin dengan saudara perempuan Nefertiti, Mutnodjmet, yang meninggal semasa melahirkan anak. Tanpa pewaris, beliau melantik wazirnya sendiri, Paramessu sebagai penggantinya.
-
Runtuhan Akhetaten. Kini biasanya dipanggil Amarna, ibu kota Akhenaten, ditinggalkan oleh Tutankhamun. Ia bertahan beberapa tahun sebelum dirobohkan atas perintah Horemheb.
Nota
- ^ a b c Arnold, Dorothea, James P. Allen, dan L. Green. The Royal Women of Amarna: Images of Beauty from Ancient Egypt. New York: The Metropolitan Museum of Art, 1996. Cetak.
- ^ Cothren, Michael dan Stokstad, Marilyn: Art History. Prentice Hall, 2011.
- ^ a b "BBC - History - Ancient History in depth: Akhenaten and the Amarna Period". Bbc.co.uk. Dicapai pada 28 Mac 2019.
- ^ "Test 1 - Art And Art History 2302 with Elkins at Baylor University". Studyblue.com. Dicapai pada 28 Mac 2019.
- ^ Hawass, Zahi. Scanning the Pharaohs: CT Imaging of the New Kingdom Royal Mummies. m/s. 107–116.
- ^ Cline, Eric H (2014). "SUPPILULIUMA AND THE ZANNANZA AFFAIR". 1177 B.C. : the year civilization collapsed (dalam bahasa Inggeris). Princeton: Princeton University Press. m/s. 68–70. ISBN 978-0-691-14089-6. OCLC 861542115.
- ^ Norrie, Philip (2016). "How Disease Affected the History of the Hittite Empire". A History of Disease in Ancient Times (dalam bahasa Inggeris). Cham: Springer International Publishing. m/s. 49–55. doi:10.1007/978-3-319-28937-3_4. ISBN 978-3-319-28936-6.
- ^ a b Liverani, Mario, "The Great Powers' Club," dalam Cohen & Westbrook (2000), m/s. 18–19
- ^ Moran (1992), m/s. 7
- ^ Moran (1992), m/s. 1–3
- ^ Moran. Amarna Diplomacy. 21
- ^ Moran (1992), m/s. 41–42
- ^ Cohen & Westbrook (2000), m/s. 6
- ^ Moran. Amarna Diplomacy. 116
- ^ Moran (1992), m/s. xxii–xxiii
- ^ Cohen & Westbrook (2000), m/s. 235–236
- ^ Zaccagnini, Carlos, "The Interdependence of the Great Powers," dalam Cohen & Westbrook (2000), m/s. 145
Rujukan
- Cohen, Raymond; Westbrook, Raymond (2000). Amarna Diplomacy: the Beginnings of International Relations. Baltimore, MD: Johns Hopkins University Press. ISBN 0-8018-6199-3.
- Moran, William L. (1992). The Amarna Letters. Baltimore, MD: Johns Hopkins University Press. ISBN 0-8018-4251-4.
Bacaan lanjut
Sumber perpustakaan |
---|
Tentang Tempoh Amarna |
- Arnold, Dorothea, James P. Allen, dan L Green. 1996. The Royal Women of Amarna: Images of Beauty From Ancient Egypt. New York: The Metropolitan Museum of Art.
- Freed, Rita A., Yvonne Markowitz, dan Sue H. d’Auria, eds. 1999. Pharaohs of the Sun: Akhenaten, Nefertiti, Tutankhamun. London: Thames & Hudson.
- Hari, Robert. 1985. New Kingdom Amarna Period: The Great Hymn to Aten. Leiden: E.J. Brill.
- Hornung, Erik. 1999. Akhenaten and the Religion of Light. Diterjemahkan oleh David Lorton. Ithaca, NY: Cornell University Press.
- Kemp, Barry J. 2012. The City of Akhenaten and Nefertiti: Amarna and Its People. London: Thames & Hudson.
- Martin, Geoffrey Thorndike. 1991. A Bibliography of the Amarna Period and Its Aftermath: The Reigns of Akhenaten, Smenkhkare, Tutankhamun, and Ay (c. 1350–1321 BC). London: Kegan Paul International.
- Murnane, William J. 1995. Texts from the Amarna Period in Egypt. Disunting oleh Edmund S. Meltzer. SBL Writings from the Ancient World 5. Atlanta: Scholars.
- Redford, Donald B. 1984. Akhenaten: The Heretic King. Princeton, NJ: Princeton University Press.
- Thomas, Angela P. 1988. Akhenaten’s Egypt. Shire Egyptology 10. Princes Risborough, UK: Shire.
Pautan luar
Kategori berkenaan Tempoh Amarna di Wikimedia Commons
- Rencana yang memerlukan rujukan tambahan dari Julai 2010
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Jun 2020
- All articles with specifically marked weasel-worded phrases
- Articles with specifically marked weasel-worded phrases dari Jun 2020
- Wikipedia articles yang mungkin mempunyai bahagian yang keluar tajuk
- Tempoh Amarna
- Era sejarah
- Amarna