Seni Silat Sendeng Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Seni Silat Sendeng Muar telah diasaskan oleh Allahyarham Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Bukit Kangkar, Sungai Mati, Muar, Johor. Beliau telah mewarisi pembelajaran Seni Silat Sendeng ini dari ninda-ninda beliau serta guru-gurunya yang lain yang terkenal dengan kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan serta kerohanian mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Perguruan ini merangkumi persilatan dari 3 aliran yang terkenal dizaman silam iaitu Kuntau Telok Mas, Pukulan Sendeng dan Pukulan Sendeng 7 Hari. Ketiga-tiga jenis aliran persilatan ini diajar secara berperingkat yang dinamakan Kuntau 3 bulan, Sendeng dan Sendeng 7 Hari. Setiap satu diperturunkan sama seperti aliran persilatan yang asal tanpa mengubah atau mencampur aduk permainan.
Bagi Kuntau 3 Bulan pelajarannya terdiri dari tari dan langkah silat Melayu yang asli seperti lela sembah, lompat tiong , lebah mengurap, lipat pandan dll, permainan senjata seperti keris, tumbuk lada , tekpi ,pedang , pedang–perisai dan tembong. Juga terdapat belebat kuntau , pecah(kata) ,pernafasan lean dan pukul selain dari tangkapan dan kuncian.
Dalam permainan Sendeng terdapat belebat, langkah dan pukul termasuk cara menyerang tangan kosong dan sparing. Permainan Sendeng 7 Hari pula adalah peringkat rahsia, dimana hanya pesilat yang dinilaikan layak oleh Guru akan dapat mempelajarinya. Ia digelarkan sebagai 'bekal guru', yang mana ilmu ini diturunkan kepada jurulatih-jurulatih yang dinilaikan layak (dari segi adab, dan kemahiran) dan akan dipertanggungjawabkan mengendalikan gelanggang.
Pada 13hb Julai 2009 bertempat di Ledang, Johor, perguruan silat ini telah diistyharkan oleh YAB Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor, sebagai silat rasmi negeri Johor[1].
Pada tahun 2010, pendaftaran Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia telah terbatal akibat daripada kepincangan pihak pengurusan pada ketika itu. Untuk terus bergerak dengan sah, waris Allahyarham Mahaguru Hj. Abd Hamid iaitu Encik Ahmad Nazari yang mana pada ketika itu ialah YDP Sendeng Malaysia (negeri Johor) dengan segera telah mendaftarkan Persatuan Seni Silat Sendeng Bukit Kangkar pada 31hb Januari 2011.
Akibat dari terbatalnya pendaftaran Pertubuhan Induk pada ketika itu, telah berlaku perpecahan dan banyak gelanggang yang memilih untuk bergerak secara sendiri. Tidak kurang juga ada individu yang memperalatkan nama Allahyarham Mahaguru Pengasas serta nama Sendeng Malaysia untuk kepentingan peribadi. Kita dapat lihat wujud individu-individu yang mengaku sebagai Guru, yang kononnya telah menerima amanah dan mandat memimpin Perguruan ini. Ini merupakan satu era yang amat menyedihkan bagi Sendeng Malaysia. Namun begitu, kasih sayang dan silaturrahim diantara anak-anak Sendeng Malaysia yang setia tidak pernah pudar.
Atas dasar kasih dan sayang kepada Perguruan, pada 31 Oktober 2022, atas usaha YM Guru Utama Cikgu Ahmad Nazari Bin Hj Abd Hamid (Waris Allahyarham Mahaguru Pengasas), Sendeng Malaysia telah didaftarkan semula dengan nama Perguruan Seni Silat Sendeng Malaysia, dengan misi penyatuan semula gelanggang-gelanggang dan persatuan-persatuan kecil yang bergerak sendiri selama ini. Dengan slogan 'Sendeng Bangkit Dan Bersatu', banyak gelanggang dan persatuan yang menyahut seruan penyatuan ini dan bernaung sebagai Gelanggang/Persatuan Bersekutu dibawah PSSSM yang kini diterajui oleh YM Ahmad Nazari Bin Hj Abd Hamid, Guru Utama Perguruan Seni Silat Sendeng Malaysia.
Antara Gelanggang dan Persatuan yang telah bersatu semula ialah :
1. Persatuan Seni Silat Sendeng Bukit Kangkar, Johor.
2. Persatuan Seni Silat Sendeng Batu Pahat, Johor. (Gelanggang Seri Penggaram)
3. Persatuan Seni Silat Sendeng Batu Pahat, Johor. (Gelanggang Seri Ladang)
4. Persatuan Seni Silat Sendeng Haji Hamid, Pahang.
5. Gelanggang PSSSM, Kg. Sedeng, Segamat, Johor.
6. Gelanggang PSSSM Kg. Bekoh, Tangkak, Johor.
7. Gelanggang PSSSM Kg. Telok Rimba, Muar, Johor.
8. Gelanggang PSSSM, Kg. Chinchin Hulu, Jasin, Melaka.
9. Gelanggang PSSSM, Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.
10. Gelanggang PSSSM Merah Saga, Sri Damansara, Selangor.
11. Gelanggang PSSSM Sebutir Padi, Kundang, Selangor.
Logo Lama
Salasilah Perguruan
Pengertian Seni Silat Sendeng
Nama Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -
SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan taktik mengelak atau menyerang berposisi mengiring. Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi istilah, fizikal mahupun rohaniah. Dari segi istilah perkataan 'Sendeng' terdiri dari dua sukukata yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.
'SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
'DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan. Di sudut fizikal pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi. Dengan cara ini juga akan memudahkan pesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring. Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, membuang dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".
Falsafah & Konsep Seni Silat Sendeng
Mendahului serangan
Pada masa dahulu pembelajaran Seni Silat Sendeng lebih menumpukan kepada aspek seni beladiri ataupun lebih dikenali sebagai “pukul”. Berdasarkan prinsip, menyerang adalah sebaik-baik belaan, latihan-latihan Seni Silat Sendeng pada ketika itu lebih menjurus kepada memahirkan teknik-teknik mendahului serangan musuh. Prinsip ini diterjemahkan di dalam bentuk teknik beladiri yang 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.
Dalam ertikata lain, pesilat sendeng amat jarang menunggu serangan sebaliknya memintas serangan musuh berdasarkan isyarat yang dipamerkan oleh musuh yang bersedia untuk menyerang.
Isyarat ini juga disimpulkan di dalam falsafah yang berbunyi "Dalam terang ada cahaya, dalam kilat ada kilau, dalam seni ada halus, dalam silat ada silau,dalam gayang ada gerak, dalam gerak ada bayang."
Pesilat Sendeng akan dapat mendahului serangan setelah 'masak gerak' iaitu kemahiran untuk mengenal punca punca gerak ataupun ibu gerak samada pergerakan tangan, kaki ataupun mana-mana bahagian tubuh. Secara khusus, pergerakan halus dikenali sebagai gerak manakala pergerakan kasar pula dikenali sebagai gayang.
Bagi membolehkan pesilat sendeng mendahului serangan lawan, beliau perlu memahami konsep ibu pukul serta menguasai teknik memati gerak dan memati pukul. Konsep mendahului serangan diterangkan melalui falsafah yang berbunyi "Gerak engkau gerak aku, mula engkau aku tiba, langkah engkau gayang aku, serangan kau makanan aku." Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.
Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pesilat Sendeng yang memukul.
Selain daripada itu, pesilat Sendeng juga perlu mempunyai keberanian dan dapat mengunakan akal yang waras semasa menghadapi sesuatu serangan. Saat menghadapi musuh ini disimpulkan didalam falsafah yang berbunyi 'Gerak, gayang, pantas, berani, berakal'. Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas, berani dan berakal pada kita.
Konsep mendahului serangan bertujuan untuk menghapuskan punca ancaman seperti yang ditekankan di dalam falsafah Sendeng yang berbunyi "Yang memukul itulah di pukul, yang menyerang itulah yang diserang, yang menyakitkan itulah yang disakitkan."
Akhirnya, seorang pesilat Sendeng yang telah benar-benar mahir dan memahami konsep mendahului serangan akan mencapai tahap dimana "Penamat belajar mengelak, tak payah mengelak, penamat belajar menepis, tak payah menepis” dan "Capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup."
Pergerakan Relatif
Sendeng dalam erti kata lain juga bermaksud ialah sandar. Pukulan Sendeng yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan.
Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'. Falsafah ini mengariskan konsep di dalam Seni Silat Sendeng di mana pesilat membela diri secara relatif dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.
Terdapat juga falsafah Sendeng yang berbunyi "Kalau dia datang sekati kita beri dia dua kati. Dia datang sepikul, jatuh dua pikul, kita sepikul dia sepikul."
Pergerakan yang hidup
Di dalam Seni Silat Sendeng setiap teknik pergerakan adalah hidup seperti falsafah yang berbunyi 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'. Setiap serangan yang dimulakan ia akan berlapis-lapis sebab pesilat sendeng dilatih melakukan dua kerja serentak.
Falsafah Sendeng menekan pergerakan yang hidup "Ada datang ada pergi, ada hidup ada mati, ada sakit ada ubatnya, ada tumbuk ada penepisnya, ada tangkap ada pelepasnya dan ada kunci ada pembukanya."
Praktikal
Teknik beladiri di dalam Seni Silat Sendeng lebih menekankan kepada cirri-ciri praktikal dan keberkesanan. Ini digambarkan oleh falsafah yang berbunyi "Sendeng itu permainannya buruk tetapi kenanya bonyok. Pukulnya hodoh, kena lodoh." dan "Pukul sendeng datangnya tak tegak tetapi kenanya tepat."
Haram di sentuh
Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'. Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap. Bagi Seni Silat Sendeng pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam dan diterangkan di dalam falsafah berbunyi "Belum sempat nak tangkap dah terlepas, sorong kena tarik pun kena."
Sesuai dengan peredaran masa dan undang-undang, kaedah pembelajaran Seni Silat Sendeng kini telah dirombak dan disusun semula. Berdasarkan konsep, teknik dan adab aliran kuntau, sendeng dan pukul 7 hari (peringkat rahsia), Seni Silat Sendeng kini telah diadun menjadi satu sistem seni beladiri yang berkesan, praktikal, selamat, menjimatkan masa dan pergerakan, disamping menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap-sikap positif seperti displin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan.
Adab dan Tatacara
Silat dalam ertikata yang luas tidak sahaja terhad kepada seni beladiri semata-mata malahan mengandungi cirri-ciri warisan budaya yang telah diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Melayu sejak beratus tahun yang lalu.
Disini dipaparkan sebahagian dari tatacara dan warisan tersebut yang menyentuh adab belajar, rukun perguruan, tatacara berpakaian dan peralatan gendang silat.
Adab Belajar
Sebagai salah satu daripada warisan budaya Melayu yang berlandaskan syariat Islam, Seni Silat Sendeng amat menekankan adab-adab yang seharusnya diamalkan semasa mempelajari dan mempraktikan Seni Silat Sendeng. Adab belajar disimpulkan oleh Haji Abdul Hamid melalui kata-kata berikut:-
"Kalau menuntut hendakkan berkat, biarlah timba mencari perigi bukannya perigi mencari timba. Kerana setinggi manapun ilmunya tetapi tiada berkat, ibarat keris yang tidak berbisa,kalau kena pun tidak memberi mudarat. "
"Orang yang berakal itu akan berfikir ketika diam dan orang yang berfikir itu akan ingat sampai bila-bila."
"Belajar dengan tidak berfikir adalah bahaya dan berfikir tanpa belajar akan kecundanglah kita."
"Biar pahit di gelanggang tetapi manis di luar gelanggang."
Rukun Perguruan
Rukun atau dasar pegangan yang termaktub dalam Perguruan Seni Silat Sendeng Malaysia ialah :-
- Mentaati perintah Allah dan Rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicelaNya
- Menyantuni Ibu, Bapa dan Guru, serta rakan seperguruan.
- Memelihara maruah dan kehormatan PSSSM dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
- Mengawal diri yakni menjauhi sifat-sifat takabbur, ujub, riak ,hasad sesama insan dan menghindari dari pertelegahan sesama perguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
- Menghormati budaya silat Melayu yang lain dan seni bela diri bangsa asing.
Permainan Gendang Silat
Penggunaan bunyi-bunyian atau muzik (gendang) memang wujud sejak dahulu lagi. Muzik digunakan untuk mengiringi latihan, persembahan serta majlis adat istiadat.
Di dalam Seni Silat Sendeng, kumpulan muziknya terdiri dari empat orang iaitu dua orang daripadanya memukul gendang (gendang ibu dan gendang anak), seorang meniup serunai dan seorang lagi memalu gong. Terdapat tiga irama atau rentak asas yang dimainkan semasa mengiringi persembahan seni silat sendeng iaitu :-
- Gendang Rentak Inai
- Gendang Rentak Pahlawan
- Gendang Rentak Sendayung
Pentadbiran PSSSM
Secara ringkasnya struktur pendatbiran PSSSM adalah seperti berikut:-
Jemaah Tertinggi PSSSM
Jemaah Tertinggi PSSSM adalah jawatankuasa peringkat tertinggi yang terdiri dari Guru Utama, Majlis Guru dan Majlis Waris. Ia berfungsi sebagai satu badan yang mengelolakan pentadbiran diperingkat pusat dan memantau kecekapan pentadbiran Gelanggang dan Persatuan Bersekutu. Ia juga memberi kuasa kepada Majlis Guru PSSSM untuk menguruskan hal ehwal berkenaan perguruan Seni Silat Sendeng termasuk sukatan matapelajaran, pentauliahan jurulatih dan adat istiadat persilatan.
Majlis Guru PSSSM
Majlis Guru PSSSM dianggotai oleh ahli-ahli PSSSM yang dilantik khusus dengan restu daripada Guru Utama, dari kalangan guru-guru/Jurulatih kanan yang benar-benar arif berkenaan selok belok dari segi adab dan persilatan Seni Silat Sendeng. Fungsi utama majlis ini adalah untuk memastikan mutu dan keaslian Seni Silat Sendeng yang dikembangkan terjamin dan terpelihara.
Majlis Waris PSSSM
Majlis Waris PSSSM ini terdiri daripada waris sah Allahyarham Mahaguru Haji Abd Hamid Bin Haji Hamzah. Fungsi utama majlis ini adalah untuk membantu Guru Utama dari segi pengurusan Perguruan, dan membantu Majlis Guru memastikan mutu dan keaslian Seni Silat Sendeng yang dikembangkan terjamin dan terpelihara.
Jawatankuasa Gelanggang dan Persatuan Bersekutu
Diperingkat akar umbi, pentadbiran PSSSM adalah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Gelanggang dan Persatuan masing-masing. Ini adalah untuk melatih daya kepimpinan yang bermula dari Persatuan/Gelanggang masing-masing dan mengelakkan perebutan kuasa/jawatan di peringkat Jawatankuasa Induk.
Pertandingan Seni Silat Sendeng
Pertandingan Silat Seni
Sejak tahun 1997, PSSSM telah menganjurkan pertandingan silat seni untuk displin Seni Silat Sendeng dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai sebahagian daripada acara didalam Kejohanan Seni Mempertahankan Diri – Rakan Wajadiri yang diadakan pada setiap tahun. Ia merangkumi pelajaran-pelajaran tangan kosong atau mengunakkan alat-alat silat Seni Silat Sendeng yang dipertandingkan secara format persembahan.
Pertandingan “Sendeng Full Contact” Pada tahun 2001, PSSSM telah menggubal sejenis pertandingan berbentuk tempur yang dikenali sebagai “Sendeng Full Contact”. Pertandingan bentuk ini khusus untuk ahli-ahli PSSSM yang berumur 18 tahun ke atas dan dipertandingkan menggunakan konsep kutipan mata. Pertandingan “Sendeng Full Contact” yang pertama telah diadakan di Kuala Lipis, Pahang. Namun, setelah perbincangan yang teliti dilakukan, Jemaah Tertinggi telah membatalkan pengajuran Sendeng Full Contact ini, untuk mengelakkan timbulnya sikap riak, dengki dan saling mencabar di kalangan ahli-ahli PSSSM.
== Pautan Luar
Rujukan
- Hamdan Raja Abdullah (13 Julai 2009). ‘Silat sendeng’ is now the official martial arts of Johor, says Abdul Ghani. The Star.
Nota kaki
- ^ The Star, 13 Julai 2009