| Sekolah Kebangsaan Tunku Muda Serting سكوله كبڠسأن تونكو مودا سرتيڠ | |
|---|---|
| Lokasi | |
| Kampung Bukit Laka, Bahau, 72100, Jempol, | |
| Maklumat | |
| Jenis sekolah | Sekolah Kebangsaan, Sekolah Kerajaan |
| Moto | Ilmu Penjana Minda |
| Ditubuhkan | 2001 |
| Nombor sekolah | 06-4543786 |
| Kod sekolah | NBA6030 |
| Faks | 06-4544905 |
![]() | |
Sekolah Kebangsaan Tunku Muda Serting (SKTMS; Jawi: سكوله كبڠسأن تونكو مودا سرتيڠ) merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Bahau, Negeri Sembilan. Sekolah ini berfungsi sebagai institusi pendidikan bagi kanak-kanak di kawasan sekitar, menyediakan pendidikan rendah mengikut kurikulum kebangsaan Malaysia.
Sejarah
Pembinaan Sekolah Kebangsaan Tunku Muda Serting bermula pada penghujung tahun 1998 dan siap pada tahun 2001. Disebabkan kelewatan pembinaan, sesi persekolahan bermula dengan menumpang di premis Sekolah Kebangsaan Jempol pada sesi petang selama setahun sehingga 2001.
Bagi memulakan operasi sekolah baharu ini, Tuan Haji Mohmad Sabere bin Zakaria telah dilantik sebagai Guru Besar pada Disember 2000, diikuti dengan pelantikan seorang pembantu tadbir. Seterusnya, jawatan Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran dan Kurikulum, GPK Hal Ehwal Murid (HEM), GPK Ko-Kurikulum, 15 orang guru, seorang pembantu tadbir, dan seorang pembantu am rendah diisi. Pada hari pembukaan rasmi, sekolah ini menerima 209 orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 5.
Sesi persekolahan 2002 menyaksikan SKTMS berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di pinggir jalan Batu Kikir-Bahau, bersebelahan dengan Istana Serting. Ketika itu, jumlah murid meningkat kepada 630 orang. Kelas prasekolah turut diperkenalkan dengan pengambilan awal 25 orang murid. Pada tahun berikutnya, kelas prasekolah bertambah menjadi dua kelas dengan kapasiti maksimum 50 orang murid. Pada tahun 2002 juga, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dilaksanakan buat kali pertama di sekolah ini.
Pada mulanya, sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Bahau 2. Namun, pada 20 Februari 2001, namanya ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Raja Muda Serting setelah mendapat perkenan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Akhirnya, pada 1 Januari 2002, sekolah ini dinamakan semula sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Muda Serting, dan nama ini kekal sehingga kini. Penamaan ini membawa makna yang besar kepada sekolah dan seluruh warganya.
Kini, SKTMS terus berkembang dengan hasrat untuk melahirkan generasi yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum, serta membentuk insan yang bersahsiah terpuji.
Korporat
SKTMS memastikan pendidikan berkualiti dalam membangun potensi pelajar dengan menyokong visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)[1] berikut:
Visi
Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera
Misi
Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara
Lagu Sekolah
Tajuk: Ilmu Penjana Minda
Tersergam indah sekolahku
SKTMS lambang kemegahan
Mendidik anak bangsa
Menuju ke mercu jaya
Kaulah tempat menjaring ilmu
Pelbagai kemahiran dipelajari
Era teknologi IT terokai
Ilmu dicari sentiasa terkini
Ilmu berharga di mana jua
Ajaran guru amat dihargai
Jadi harapan ibu dan bapa
Hidup mulia insan berjaya
SKTMS baktimu dikenang
Kebanggaan kami semua
Ilmu penjana minda
Kekal abadi selamanya
Kekal abadi selamanya…
Senarai Guru Besar
| Bil | Tahun | Nama Guru Besar |
|---|---|---|
| 1 | 2001 – 2009 | Mohmad Sabere bin Zakaria |
| 2 | 2010 – 2014 | Othman bin Embong |
| 3 | 2014 – 2017 | Ismail bin Sharif |
| 4 | 2017 – 2019 | Abd Rahman bin Yahya |
| 5 | 2019 – 2022 | Halijah binti Abd Manap |
| 6 | 2022 – 2023 | Haminudin bin Bohari |
| 7 | 2023 – 2024 | Mohd Asif bin Ahmad |
| 8 | 2024 – Kini | Fariz bin Salim |
Kemudahan
| Perpustakaan | Bilik Mesyuarat | Makmal Komputer | Makmal Sains | Bilik Kemahiran Hidup |
| Bilik Muzik | Bilik Pendidikan Seni | Bilik Skim SPBT | Kedai Buku | Kantin |
| Bilik Kerja | Bilik Guru | Bilik Akses Komputer | Pejabat Pentadbiran | Dewan Terbuka |
| Bilik BBM | Bilik Bimbingan dan Kaunseling | Bilik Pemulihan | Surau | Bilik Kesihatan |
| Bilik Bank Soalan | Kelas-kelas | Stor Peralatan Sukan | Stor Peralatan Kerja | Tandas |
| Padang | Gelanggang Permainan |
Media Sosial
Galeri
- ^ Misi dan Visi KPM, https://www.moe.gov.my/visi-dan-misi(accessed March 15, 2025).









