Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Korea Selatan |
Portal Korea Selatan |
Rampasan kuasa 17 Mei (Hangul: 5.17 내란 ; Hanja: 五一七內亂) ialah rampasan kuasa tentera yang dilakukan di Korea Selatan oleh Jeneral Chun Doo-hwan dan Hanahoe yang mengikuti Rampasan kuasa Kedua Belas Disember.
Pada 17 Mei 1980, Jeneral Chun Doo-hwan memaksa Kabinet untuk melanjutkan undang-undang tentera ke seluruh negara, yang sebelum ini tidak terpakai di Jeju-do. Undang-undang tentera yang diperluaskan menutup universiti, mengharamkan aktiviti politik dan seterusnya menyekat akhbar. Untuk menguatkuasakan undang-undang tentera, tentera telah dihantar ke pelbagai bahagian negara. Pada hari yang sama, Agensi Perisikan Pusat Korea (KCIA) menyerbu persidangan kebangsaan pemimpin kesatuan pelajar dari 55 universiti.[1] Kira-kira 2,700 orang, termasuk dua puluh enam ahli politik, turut ditahan.[2] Pada 18 Mei 1980, rakyat Gwangju bangkit menentang pemerintahan diktator tentera Chun Doo-hwan dan menguasai bandar itu. Semasa pemberontakan, rakyat mengangkat senjata untuk mempertahankan diri, tetapi akhirnya dihancurkan oleh tentera (lihat Pemberontakan Gwangju).
Pada 20 Mei 1980, Chun Doo-hwan dan Roh Tae-woo mengarahkan agar Perhimpunan Kebangsaan dibubarkan dengan mengerahkan tentera di Bangunan Perhimpunan Kebangsaan. Chun kemudiannya mewujudkan Jawatankuasa Dasar Kecemasan Pertahanan Negara, dan melantik dirinya sebagai ahli. Pada 17 Julai 1980, beliau meletakkan jawatannya sebagai pengarah KCIA, dan kemudian hanya memegang jawatan ahli jawatankuasa. Pada September 1980, Presiden Choi Kyu-hah terpaksa meletakkan jawatan sebagai presiden untuk memberi laluan kepada ketua tentera yang baharu, Chun Doo-hwan.[3]
Latar belakang
Pada 26 Oktober 1979, Presiden Park Chung-hee telah dibunuh oleh ketua Agensi Perisikan Pusat Korea (KCIA). Di bawah Park Chung-hee, Korea Selatan adalah sebuah negara yang tidak demokratik dan juga bersifat autokratik.[4] Selepas pembunuhannya, Korea Selatan memasuki keadaan peralihan, dengan percubaan dibuat untuk mengubah Korea Selatan menjadi sebuah negara demokrasi. Walaupun begitu, Perlembagaan Yushin tidak dimansuhkan dan pemerintahan tentera dan autoritarian masih kekal.
Choi Kyu-hah, yang merupakan perdana menteri pada masa itu, dilantik sebagai pemangku presiden untuk menggantikan Park Chung-hee. Dengan berkuasanya Choi Kyu-hah, peraturan ketat yang berlangsung di bawah Park Chung-hee telah dimansuhkan manakala pemimpin dan aktivis pembangkang, seperti Kim Dae-jung, dibebaskan daripada sekatan. Choi Kyu-hah kemudiannya menjadi presiden rasmi Korea Selatan pada 6 Disember 1979.
Jeneral Tentera Chun Doo-hwan, ketua Komando Keselamatan Tentera, telah dilantik untuk menyiasat pembunuhan Park Chung-hee. Pada ketika ini, Chun Doo-hwan mendapat peluang untuk merampas kuasa. Chun Doo-hwan menguasai tentera Republik Korea (Tentera ROK) pada 12 Disember 1979 selepas beliau menangkap Jung Seung-hwa, ketua kakitangan tentera Korea dan komander undang-undang tentera, sebagai tambahan kepada pasukan lain yang akan mengancam cita-citanya.[5] Pada 14 Disember, dua hari selepas menguasai Tentera ROK, Chun Doo-hwan mula melantik sekutu dari Akademi Tentera Korea ke jawatan yang berkuasa dalam tentera tersebut untuk mendapatkan kawalan penuh ke atas pasukan tentera Korea Selatan. Sebagai contoh, Roh Tae-woo, yang kemudiannya akan menjadi presiden Korea Selatan, telah dilantik sebagai ketua komander Perintah Keselamatan Ibu Kota.
Chun Doo-Hwan terus mengukuhkan kuasanya pada bulan-bulan awal tahun 1980. Rakyat Korea Selatan memulakan satu siri tunjuk perasaan, yang dikenali sebagai Musim Bunga Seoul, untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka. Musim Bunga Seoul ialah istilah yang berasal dari Musim Bunga Prague di Czechoslovakia yang berlaku pada tahun 1968, dan merujuk kepada keinginan pembebasan demokrasi dan politik rakyat Korea Selatan. Demonstrasi daripada rakyat berlaku secara berterusan dan mencapai kemuncaknya pada pertengahan bulan Mei 1980. Tentera kemudiannya digunakan untuk menyekat pergerakan dengan menggunakan tentera bersenjata dan kenderaan berperisai. Di sebalik tindakan balas tentera, pusat Seoul penuh sesak dengan penunjuk perasaan pada 14 Mei dan lebih seratus ribu orang pelajar berkumpul di hadapan Stesen Seoul.
Hari rampasan kuasa
Bermula Mac 1980, dengan pelaksanaan berterusan sistem Yushin oleh kerajaan, undang-undang tentera, dan kegagalan kerajaan untuk maju ke hadapan, rakyat Korea Selatan, dengan penglibatan pelajar yang ketara, berkumpul untuk memulakan demonstrasi Musim Bunga Seoul. Di samping itu, ketegangan semakin meningkat kerana walaupun Korea Selatan mempunyai seorang presiden, iaitu Choi Kyu-hah, pihak berkuasa politik sebenarnya dipegang oleh Chun Doo-hwan dan kumpulan pegawainya. Demonstrasi diperhebat untuk menyeru agar pemerintahan Chun Doo-hwan dihentikan.[6] Menjelang Mei, demonstrasi menjadi semakin besar dan pusat Seoul dipenuhi dengan kumpulan yang mengambil bahagian dalam demonstrasi. Kerajaan bertindak balas terhadap penunjuk perasaan dengan menghantar tentera bersenjata dan kenderaan berperisai. Pada 17 Mei 1980, Chun Doo-hwan mengisytiharkan Dekri Undang-undang Tentera Bil. 10,[7] yang mengukuhkan undang-undang tentera dan meluaskan jangkauannya ke seluruh negara. Di samping itu, tindakan yang akan menimbulkan ancaman kepada kerajaan juga dihadkan; seperti kritikan awam daripada penyiaran dan penerbitan dan perhimpunan politik, universiti turut ditutup dan mogok buruh diharamkan, dan demonstrasi yang mendambakan demokrasi telah ditamatkan. Di samping perluasan undang-undang tentera, tokoh-tokoh politik juga telah ditangkap. Antaranya ialah; Kim Dae-jung, Kim Yong-sam, Kim Jong-pil dan Yi Hu-rak. Rampasan kuasa 17 Mac secara tiba-tiba menamatkan demonstrasi Musim Bunga Seoul dan memanjangkan tempoh pemerintahan autoritarian.
Undang-undang tentera tahun 1980-an Korea Selatan
Undang-undang tentera yang berlaku di Korea Selatan pada tahun 1980-an bermula pada tahun 1979 yang diisytiharkan oleh Jeneral Chun Doo-hwan.[8] Disebabkan penguatkuasaan undang-undang tentera: universiti-universiti di Korea Selatan ditutup, pejabatpejabat akhbar juga ditutup, dan sebarang aktiviti politik yang bertentangan dengan dasar Jeneral Chun Doo-hwan adalah dilarang sama sekali. Dalam butiran lanjut, semua perhimpunan awam yang melibatkan lebih daripada tiga orang turut dilarang dengan satu-satunya pengecualian adalah untuk pengebumian. Dengan media berita Korea dihalang oleh undang-undang tentera, hanya segelintir wartawan asing yang hadir boleh menyiarkan laporan tentang apa yang berlaku di Gwangju – bukan suatu tugas yang mudah, memandangkan kepungan tentera berleluasa.[9] Talian telefon juga telah dipotong oleh tentera; beberapa wartawan berjalan berbatu-batu ke kampung untuk beratur di telefon terdekat yang masih berfungsi. Tidak lama kemudian, Jeneral Chun Doo-hwan meluaskan syarat undang-undang tentera ke seluruh negara Korea Selatan dan dengan ketat mengawal aktiviti mencurigakan terutamanya aktiviti yang seolah-olah mempromosikan demokrasi. Justeru semua pemimpin pro-demokrasi termasuk pelajar yang beraliran sama dianggap sebagai pengkhianat atau penjenayah anti-kerajaan. Akibatnya, pertuduhan yang dikenakan kepada mereka yang dianggap sebagai banduan adalah pada hakikatnya sama kejamnya seperti mana-mana banduan jenayah utama.[10] Skuad polis telah dihantar untuk mengawal dan menyerbu rumah individu yang mempromosikan pemberontakan terhadap Jeneral Chun Doo-hwan serta ke rumah pelajar universiti, terutamanya Universiti Chonnam di Gwangju. Hanya pada Mac 1980 barulah universiti terhad dibuka semula dan individu yang ditekan termasuk profesor dan pelajar tertentu dibenarkan kembali ke universiti. Menjelang 21 Mei, sehingga 200,000 orang awam berperang melawan 100,000 orang tentera. Mengikut laporan Perintah Darurat Tentera sendiri penunjuk perasaan telah menguasai 4 trak perisai, 80 jip, dan 50 trak. Mereka juga merampas 3,500 buah karabin dan pistol, 2 mesingan ringan, dan lebih 46,000 butir peluru.
Peranan Shin-gun-bu (Kumpulan Tentera Baru)
Kebangkitan Shin-gun-bu
Walaupun keruntuhan Sistem Yushin berlaku selepas pembunuhan bekas presiden Park Chung-hee oleh Agensi Perisikan Pusat Korea (KCIA), kejatuhan seorang pemimpin peribadi tidak menamatkan pemerintahan tentera; sebaliknya shin-gun-bu (sering dipanggil Kumpulan Tentera Baru) mengambil tempat yang dikosongkan oleh bekas presiden itu. Terdapat perbezaan yang ketara antara rejim Park dan rejim baharu, faktor yang paling ketara ialah mereka memainkan peranan yang berbeza sebagai seseorang dalam kedudukan pemerintah. Rejim Park mempunyai kesan positif ke atas pembangunan ekonomi dan menawarkan kestabilan politik untuk negara yang baru membangun; Rejim Chun Doo-hwan pula sebaliknya bertujuan untuk membuka sistem politik dan ekonomi. Akibatnya, dalam proses tersebut, ratusan rakyat terbunuh dan akhirnya setiap rejim kehilangan legitimasinya.[11]
Menguatkuasakan undang-undang tentera
Pada 18 Mei, Shin-gun-bu, atau Kumpulan Tentera Baru, mengisytiharkan Dekri Undang-undang Tentera No. 10 yang mengharamkan aktiviti politik, menutup universiti dengan kekerasan, dan menapis media di negara itu. Ini menyebabkan pelajar-pelajar universiti di Gwangju memulakan pemberontakan yang kemudian dikenali sebagai gerakan 5.18. Pelajar mengangkat senjata dalam proses itu tetapi dihancurkan oleh angkatan bersenjata dan tentera udara yang dihantar oleh Shin-gun-bu untuk menguatkuasakan undang-undang tentera. Pada 21 Mei, rakyat Gwangju keluar menyertai demonstrasi memprotes dan menghalau angkatan tentera keluar untuk dari bandar itu, hanya menyebabkan kembalinya mereka pada 27 Mei yang membawa kepada penindasan berdarah kadang-kadang dipanggil "Sangmuchungjungjakjun". Peristiwa ini bersama gerakan 5.18 yang diketuai oleh pemimpin membawa sentimen negatif terhadap rejim di kalangan pelajar dan rakyat.[12]
Situasi selepas rampasan kuasa
Mukadimah kepada penindasan
Pada malam 17 Mei 1980, 688 orang tentera bersenjata tiba di Gwangju dan telah dikerahkan ke Universiti Kebangsaan Gwangju iaitu Universiti Jeon-nam dan Universiti Joseon. Mereka ialah tentera elit Shin-gun-bu, yang telah menghabiskan masa berbulan-bulan memberi tumpuan semata-mata untuk memerangi demonstrasi. Universiti di wilayah Gwangju telah diduduki oleh tentera yang menguatkuasakan undang-undang tentera dan ramai pemimpin masyarakat Gwangju dan pergerakan pelajar telah ditangkap. Dalam hal ini, pendahuluan kepada penindasan bermula dan pemberontakan Gwangju akhirnya meletus pada pagi 18 Mei 1980.
Nama kod "Cuti yang Indah" – permulaan tragedi
Di hadapan pintu pagar utama universiti, tentera bersenjata lengkap menghalang keluar masuk. Pelajar yang cuba memasuki pintu pagar hadapan untuk ke perpustakaan dipukul anggota udara, namun pelajar-pelajar itu tidak mudah berputus asa. Tidak lama kemudian, lebih 100 orang pelajar mula duduk di atas jambatan di hadapan pintu pagar utama selepas jam 10 pagi. Tidak lama selepas itu, bilangan pelajar meningkat kepada 200 hingga 300 orang, dan mereka mula menjerit untuk "Pembatalan undang-undang tentera", "Chun Doo-hwan keluar", dan "Tarik balik perintah penutupan". Tentera udara meluru ke arah mereka dan mula memukul pelajar yang tidak bersenjata dengan kayu. Pelajar yang telah berulang kali berhadapan dengan tentera udara berkumpul semula di dataran stesen Gwangju dan berjalan melintasi terminal bas awam dan di hadapan pusat Katolik, bertujuan untuk tiba di kerajaan wilayah Jeon-nam. Namun begitu, tentera udara melakukan penindasan yang kuat terhadap protes. Tidak kira sama ada mereka menyertai protes atau tidak, orang muda dipukul dahsyat dengan kayu. Sekitar jam 7 malam pula berhampiran Sekolah Tinggi Gwangju di Gyerim-dong, ratusan orang belia dan pelajar berjuang menentang tentera udara tetapi tidak mencukupi. Di hadapan Pusat Katolik, kira-kira 600 orang pelajar dan rakyat membaling batu ke arah tentera udara, tetapi dibubarkan dalam masa 10 minit.[13] Pada petang 18 Mei, semasa mencari kerja di pusat bandar, Kim Kyung-chul tidak sengaja bertembung dengan demonstrasi. Walaupun bukan peserta, dan tidak boleh bercakap kerana masalah pendengaran, dia telah diserang dan dibunuh oleh tiga hingga empat tentera udara bersenjatakan kayu polis; menandakan kematian yang pertama protes tersebut. Khabar angin tentang kekejaman tentera udara tersebar di seluruh Gwangju.[14] Seramai 405 orang telah dibawa ke balai polis dan antaranya, 68 orang dilaporkan mengalami kecederaan di kepala, lebam dan luka, manakala 12 orang pula disenaraikan sebagai kritikal, namun lebih banyak kecederaan sebenar berlaku. Kementerian menukar perintah berkurung kepada 9 malam dan menghantar satu briged udara tambahan ke Gwangju. Namun, pada petang itu, tiada satu pun perkataan tentang Gwangju disebut di mana-mana corong TV atau radio.[15] Demonstrasi merebak secara berterusan sehingga lewat malam, dan tangisan kedengaran di mana-mana.[16]
Tembakan beramai-ramai ke atas warga Gwangju
Pada 21 Mei 1980, ramai rakyat berkumpul di Geumnam-ro dan tentera udara sedang berhadapan. Wakil kumpulan awam mengadakan rundingan dengan pasukan tentera pada pagi 21 Mei, tetapi gagal. Gabenor Wilayah Choong-cheong Selatan mengumumkan bahawa beliau akan mengundurkan tentera udara menjelang tengah hari pada hari Selasa melalui pembesar suara helikopter. Walau bagaimanapun, janji pemindahan tentera udara tidak ditepati, dan tentera pertahanan mula melepaskan tembakan secara rambang ke arah penunjuk perasaan, tetapi penunjuk perasaan tidak mengalah. Selepas tembakan berkumpulan, tentera udara naik ke bangunan Jeonil, Suhyup dan Hotel Pelancong Gwangju yang terletak di Geumnam-ro, dalam kumpulan empat untuk menembak orang dan membunuh beribu-ribu orang. Pada hari itu, 120 buah hospital, pusat kesihatan dan tiga hospital umum di Gwangju sesak dengan kemalangan jiwa. Pinggir Gwangju pula disekat termasuk sebarang panggilan telefon ke bandar itu.
Beberapa kumpulan sayap kanan, seperti Ilbe, mempertikaikan pendudukan bangunan wilayah oleh orang awam. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa penyertaan dan organisasi oleh ejen Korea Utara yang membawa kepada pergolakan. Dakwaan ini juga tidak disangkal secara meluas oleh ahli sejarah dan ahli politik.[17]
Pemberontakan warga Gwangju
Mulai petang 21 Mei, rakyat mula mempersenjatai diri mereka untuk melindungi diri mereka daripada keganasan tentera.[18] Rakyat membentuk kumpulan militia di Naju, wilayah Jeolla Selatan dengan membuka pasukan simpanan polis dan balai polis, membawa senjata api dan mempersenjatai mereka. Rakyat bergegas ke kilang Asia Motors, satu-satunya kilang kereta di Gwangju, dan mengambil kenderaan di situ. Beberapa anggota militia memandu 260 buah kenderaan dan pergi ke Naju dan Hwasoon untuk melaporkan berita Gwangju. Senjata yang diambil dari pelbagai bahagian, termasuk senjata api, peluru hidup dan bahan letupan, diedarkan kepada rakyat. Dengan arahan daripada kelas atasan, tentera telah berundur ke pinggir Gwangju. Pada petang 21 Mei, kumpulan militia menduduki kerajaan wilayah Wilayah Jeolla Selatan, tempat tentera undang-undang tentera pergi. Atas permintaan Chun Doo-hwan pada petang 21 hari bulan itu, Brigedier Jeneral Jeong Do-young menyampaikan kenyataan kepada Jeneral Lee Hee-sung, komander undang-undang tentera, memberi amaran untuk memohon hak untuk mempertahankan diri. Jeneral Lee Hee-seong, komander undang-undang tentera, kemudiannya mengeluarkan kenyataan amaran seruan untuk memohon hak bagi mempertahankan diri pada jam 7 malam. Lee Hee-sung menamakan protes di Gwangju sebagai "insiden Gwangju" dan menyifatkannya sebagai rusuhan oleh unsur-unsur tidak murni dan perusuh.
Kesan peristiwa
Pergerakan demokrasi di Gwangju ini memberi impak yang besar kepada gerakan demokrasi Korea sejak 1980-an.[19] Ia juga dianggap sebagai pencetus penentu kepada pembangunan demokrasi di Korea. Ia satu peristiwa yang menunjukkan kehendak rakyat Korea untuk sebuah sistem demokrasi, dengan ketara melemahkan kedudukan mereka dalam tentera, dan kehendak rakyat untuk memperjuangkan demokrasi. Dalam masyarakat kontemporari, orang Korea percaya bahawa pengorbanan Gwangju telah membantu mencapai demokrasi di Korea hari ini.[20] Lebih-lebih lagi, filem atau drama berdasarkan kejadian itu dikeluarkan dan mendapat populariti besar serta membangkit kemarahan orang ramai.[21]
-
Monumen Pergerakan Demokratik Gwangju
Rujukan
- ^ May, The Triumph of Democracy. Ed. Shin Bok-jin, Hwang Chong-gun, Kim Jun-tae, Na Kyung-taek, Kim Nyung-man, Ko Myung-jin. Gwangju: May 18 Memorial Foundation, 2004.
- ^ "12.12, 5.18및 비자금사건 논고문". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-07-12. Dicapai pada 2011-03-26.
- ^ 5·18 내란 사건 대법원 판결문 요지
- ^ Kim, Jinwung (2012). A History of Korea. Indiana University Press. m/s. 474~476.
- ^ Buzo, Adrian (2002). The Making of Modern Korea. Routledge. m/s. 153.
- ^ Hwang, Kyung Moon (2010). A History of Korea An Episodic Narrative. Palgrave Macmillan. m/s. 247.
- ^ Seth, Micheal J. (2010). A Concise History of Modern Korea. Rowman & Littlefield Publishers. m/s. 189.
- ^ "The History of the Gwangju Massacre in South Korea". ThoughtCo. Dicapai pada 2018-07-16.
- ^ "In South Korea, an Unsung Hero of History Gets His Due" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-07-16.
- ^ "May 18, 1980: An eyewitness account of the Gwangju Massacre". The Korea Observer (dalam bahasa Inggeris). 2015-05-19. Dicapai pada 2018-07-16.
- ^ Kim, Yung Myung (2004). Patterns of Military Rule and Prospects for Democracy in South Korea. ANU E Press.
- ^ Kim, Seungryeol. "South Korea's Strategic Interests in Antarctica" (PDF). Dicapai pada 16 July 2018.
- ^ "Flashback: The Kwangju massacre". 17 May 2000.
- ^ Szczepanski, Kallie (11 June 2018). "The Gwangju Massacre, 1980". ThoughtCo.
- ^ "Dying for democracy: 1980 Gwangju uprising transformed South Korea". The Japan Times. 17 May 2014.
- ^ "Flashback: The Kwangju massacre". 17 May 2000.
- ^ "TV shows tarnish Gwangju history". JoongAng Daily. 21 May 2013.
- ^ Yeo, Jun-suk (February 7, 2018). "Panel confirms Army helicopters fired at protestors during Gwangju uprising". The Korea Herald. Dicapai pada July 16, 2018.
- ^ Dying for democracy: 1980 Gwangju uprising transformed South Korea," The Japan Times, May 17th, 2014: http://www.japantimes.co.jp/news/2014/05/17/asia-pacific/politics-diplomacy-asia-pacific/dying-democracy-1980-gwangju-uprising-transformed-south-korea/#.U-SllvldWZg
- ^ Choe, Sang-Hun (2 Aug 2017). "In South Korea, an Unsung Hero of History Gets His Due".
- ^ "TV shows tarnish Gwangju history," JoongAng Daily, May 21, 2013: http://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/article.aspx?aid=2971886