Rama (Sanskrit: राम, rumi: Rāma ) atau Ramachandra ialah avatar ketujuh dewa Vishnu dalam kepercayaan Hinduisme.[1] Rama merupakan Avatar Vishnu yang paling berpengaruh selepas Sri Krishna. Rama juga satu daripada tuhan yang paling popular dalam agama Hindu dan disembah secara meluas di India dan Nepal. Dalam beberapa sub-mazhab Vaishnavisme, Rama juga dianggap sebagai Tuhan Maha Esa dan bukan sekadar Avatar Vishnu sahaja.
Kisah hidup Rama dirakamkan dalam epik klasik India yang popular iaitu Ramayana. Sepanjang hidupnya, Rama telah merantau hampir ke seluruh benua India. Malah, boleh dikatakan bahawa tidak ada tempat di India yang tidak ada kaitan dengan watak-watak utama Ramayana. Ramayana juga merupakan satu-satunya kitab suci yang telah mempengaruhi hampir setiap aspek pemikiran dan kehidupan masyarakat India sejak beberapa ribu tahun. Pengaruh epik klasik ini juga telah tersebar luas di luar benua India sehingga ke Asia Tenggara.
Etimologi
Nama Rama sering disebut dalam kitab-kitab suci Hinduisme. Selain nama protagonis dalam Ramayana, terdapat dua lagi Rama yang popular iaitu Parashu-Rama (Avatar keenam Maha Vishnu) dan Balarama (abang Sri Krishna, Avatar kelapan Maha Vishnu).
Dalam Vishnu Sahasranama, nama Rama ialah nama ke-394 Maha Vishnu. Dalam ulasan Sankaracharya memberikan dua maksud untuk nama 'Rama', iaitu 'Brahman yang sentiasa bahagia menjadi kegembiraan para Yogi', dan 'Brahman dengan niat-Nya sendiri lahir dalam rupa yang memikat hati sebagai putera Dasaratha'.[2]
Kehebatan nama Rama disebut dalam Ramacharitamanasa oleh Tulasidas. Nama Rama disamakan dengan Brahman dan juga ia adalah sebuah mantera yang amat berkuasa. Selain mengulangi nama Rama, penulisan 'Sri Rama Jayam' ialah suatu disiplin rohani dalam kalangan penganut Hindu, terutamanya di India Selatan.
Dalam bahasa Sanskrit, perkataan Rama (राम) bermaksud 'menawan'. Oleh itu, nama Rama juga ialah nama lelaki yang paling popular di India dan Nepal.
Antara nama-nama popular Sri Rama ialah:
- Ramachandra - Rama dari keturunan Chandra atau bulan
- Raghava - Berasal dari keturunan Raghu
- Raghupati - Raja dari keturunan Raghu
- Siyaavara - Kakanda Sita
- Ayodhyapati - Raja Ayodhya
- Dashrathaputra - Putera Dasharatha
- Maryada-Purushottama - Manusia yang ideal
Sumber Sastera
Sumber utama kehidupan dan perjalanan Rama telah dirakamkan dalam mahakarya Ramayana oleh Rishi Valmiki. Selain itu, riwayat Rama juga diberikan dalam Vishnu Purana sebagai Avatar ketujuh Maha Vishnu. Bhagavata Purana menceritakan kisah Rama secara ringkas sehingga ke episod kematian Ravana dan kepulangan Rama ke Ayodhya. Mahabharata juga menyebut tentang riwayat Rama.
Sejarah Rama
Terdapat suatu perbezaan ketara antara konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam sejarah Barat, bagi sesuatu perkara yang benar-benar berlaku, tarikh atau masa, tempat atau lokasi kejadian itu berlaku adalah amat penting. Penemuan seketul batu, sebuah pasu atau sekeping duit syiling purba yang ditemui semasa menggali sesuatu tapak arkeologi adalah lebih bernilai sebagai 'bukti' kewujudan atau kejadian sesuatu perkara daripada fakta sama ada kejadian itu telah meninggalkan sebarang kesan ke atas generasi akan datang. Sebaliknya, orang Hindu hampir tidak kisah sama ada seseorang pernah wujud atau sesuatu kejadian pernah berlaku sekiranya orang atau kejadian itu tidak meninggalkan sebarang kesan, baik atau buruk, ke atas kehidupan dan kebudayaan generasi akan datang.[3]
Terdapat satu lagi perbezaan asas antara kedua-dua konsep sejarah Barat dan Hindu. Dalam masyarakat Barat, masa dilihat sebagai sesuatu garisan linear yang mempunyai permulaan dan penghabisan. Sebaliknya, orang Hindu melihat masa sebagai suatu kitaran dan oleh itu, masa tidak ada titik permulaan dan penamatan. Itulah sebabnya dalam Hinduisme, masa dibahagikan kepada Yuga dan Manvantara yang tidak terkira.[4]
Atas sebab-sebab ini, ilmuwan Barat tidak menerima Rama sebagai seorang tokoh dalam sejarah dan menganggap Ramayana sebagai suatu karya sastera yang penuh dengan mitologi.
Namun, ini tidak bermaksud bahawa orang Hindu tidak memberikan sebarang perhatian kepada sejarah dalam hasil-hasil sastera mereka. Kedua-dua Ramayana dan Mahabharata dinamakan sebagai 'Itihasa' (secara literal bermaksud, 'demikian, sesungguhnya, ia berlaku') dan beberapa Purana juga telah memberikan data-data astronomi yang mencukupi berkaitan kejadian-kejadian penting yang berlaku dalam epik-epik ini. Dengan berdasarkan data-data astronomi ini, masa dan tarikh yang tepat sesuatu kejadian berlaku dapat dihitung menurut Kalendar Gregorian. Mengikut kaedah ini, tarikh-tarikh berikut untuk beberapa peristiwa penting dalam Ramayana dapat diberikan[5]:
- Kelahiran Rama - 4439 S.M.
- Pembuangan Negeri Rama - 4414 S.M.
- Upacara Penabalan Rama - 4400 S.M.
Menurut satu pendapat lain pula[6]:
- Kelahiran Rama - 4342 S.M.
- Perkahwinan dengan Sita - 4327 S.M.
- Pembuangan negeri Rama - 4315 S.M.
- Rama menaiki tahkta Ayodhya - 4301 S.M.
Namun, harus ditekankan di sini bahawa sama ada Rama benar-benar wujud atau tidak, tradisi agama-kebudayaan Hindu telah memberikan riwayat Rama suatu realiti yang amat tinggi. Rama tetapi kekal sebagai manusia yang ideal dan memberikan inspirasi kepada generasi demi generasi. Kedudukan Rama sebagai Tuhan Maha Esa yang dipuja oleh orang-orang Hindu juga tidak dapat disingkirkan daripada psikik orang Hindu.
Keperibadian Rama
Rama dipanggil sebagai 'Maryada Purusottama' yang bermaksud manusia yang terbaik yang telah merentasi segala kemungkinan tanpa batasan. Sama ada Rama ialah Tuhan yang menjelma sebagai manusia, atau seorang manusia yang menjadi Tuhan, Rama dalam epik Valmiki ialah seorang yang penuh sifat-sifat manusia. Rama menyayangi, bergembira, bersedih, menjadi marah atau menunjukkan sebarang perasaan sama seperti manusia biasa, Namun, dalam semua perkara ini, Rama telah menunjukkan had atau batasan yang boleh dicapai dan direntasi.
Dalam Ramayana, Maricha, seorang raksasa dan oleh itu, musuh Rama, memuji Rama sebagai 'vigrahavan dharmah (Jelmaan Dharma). Ini menunjukkan kehebatan Rama sebagai penegak Dharma.Hidup Rama ialah suatu gambaran sempurna Dharma. Malah selama beribu-ribu tahun, Rama telah menjadi sama dengan Dharma. Dharma ialah prinsip asas yang menyokong kehidupan dan dunia. Dharma dalam diri sendiri seseorang menjadi suara hatinya. Dharma dalam kehidupan pula menjadi tugas dan kewajiban seseorang. Rama sebagai penegak Dharma, menunjukkan bagaimanakah Dharma boleh diikuti oleh seseorang dalam sebarang situasi.
Sebagai seorang Kshatriya atau pahlawan, Rama mahir dalam seni pertahanan dan peperangan. Baginda juga terkenal sebagai seorang pemanah yang handal dan tiada tandingan. Busur Shiva yang tidak dapat diangkat oleh sesiapapun, terpatah apabila dilentur oleh Rama.
Rama juga seorang yang bijaksana dan mahir dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, ilmu agama, muzik dan falsafah. Baginda juga mahir dalam seni pertuturan dan komunikasi. Pertuturannya sentiasa lembut, sopan dan kena pada tempatnya.
Namun, Rama tidak pernah sombong atau angkuh akan dirinya. Kebenaran (Satya) dan kebaikan (Dharma) merupakan jiwa raganya. Setiap kata-katanya, adalah janji yang akan dipatuhinya. Sekali Rama berjanji, tidak ada apa-apa yang boleh menghalangnya daripada menunaikan janji itu.
Dasaratha mengumumkan tentang upacara penabalan Rama sebagai putera mahkota. Pada hari upacara penabalan Rama, Dasaratha terpaksa memenuhi janjinya kepada Kaikeyi dengan menabalkan Baratha sebagai putera mahkota dan Rama dibuang negeri selama empat belas tahun. Reaksi Rama ketika menerima kedua-dua berita ini adalah sama! Tidak kira baik atau buruk, Rama tetap tenang dan menerima kedua-duanya sebagai titah ayahandanya. Tanpa sedikit pun sungutan, Rama bersedia meninggalkan kehidupan mewahnya di istana dan bertolak ke hutan sebagai seorang pertapa. Walaupun Dasaratha sendiri meminta Rama untuk mengingkari janjinya, Rama tetap dengan pendiriannya dan berpegang kuat kepada Dharma. Pujukan Baratha untuk kembali ke Ayodhya juga tidak berjaya. Menurut Rama, Dharma ialah sesuatu yang sukar difahami, adakalanya adharma kelihatan seperti Dharma dan sebaliknya. Dalam mengikuti Dharma, seorang harus peka agar dia tidak terpedaya untuk mengikuti kehendak hatinya sendiri bertentangan dengan Dharma.
Rujukan
- ^ Ganguly, S. (2003). "The Crisis of Indian Secularism". Journal of Democracy. 14 (4): 11–25. doi:10.1353/jod.2003.0076. Dicapai pada 2008-04-12.
- ^ https://archive.org/stream/Vishnu.Sahasranama.with.the.Bhasya.of.Sankaracharya#page/n97/mode/2up
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3, page 62, Ramakrishna Math, Bangalore, 2008
- ^ ibid
- ^ N.Mahalingam (Ed.) Ancient World - A New Look, Madras, Pub. International Society for the Investigation of Ancient Civilizations, 1981
- ^ D.S.Triveda, Indian Chronology, Bombay, Bharatiya Vidya Bhavan, 1963
Pautan luar
- Patung-patung (1) (2) wayang kulit Seri Rama dari Kelantan, Malaysia, dalam koleksi Muzium Tamadun Asia Singapura
- Patung wayang kulit Seri Rama dari Bali, Indonesia, dalam koleksi Muzium Tamadun Asia