Musa 'Sucrier' | |
---|---|
Keturunan kacukan | Musa × acuminata |
Kumpulan kultivar | Kumpulan AA |
Kultivar | 'Sucrier'[1] |
Asal | Asia Tenggara |
Pisang mas (Jawi: ڤيسڠ مس ) atau pisang emas ialah kultivar Musa acuminata yang diploid. Ia kecil berkulit nipis dan manis. Nama penuh kultivar ini ialah Musa acuminata Colla (Kumpulan AA) 'Sucrier'. Ia disebut Lady Finger banana dalam bahasa Inggeris.
Ia juga dikenali sebagai Musa acuminata Colla (Kumpulan AA) cv. 'Lady's Finger', Musa acuminata Colla (Kumpulan Sucrier) cv. 'Lady's Finger', Musa × paradisiaca L. cv. 'Lady Finger', Musa × paradisiaca L. cultigroup Sucrier cv. 'Doigt de Femme', Musa × paradisiaca L. cultigroup Saccharinus cv. 'Lady's Finger', Musa × paradisiaca L. cultigroup Saccharinus cv. 'Dedo de Dama', Musa acuminata Colla non L. (Kumpulan Sucrier) cv. 'Datil', Musa acuminata Colla non L. (Kumpulan Sucrier) cv. 'Niño' dan Musa acuminata Colla non L. (Kumpulan Sucrier) cv. 'Bocadillo'.[2]
Penerangan
[sunting | sunting sumber]Secara kasar pisang mas terdiri daripada beberapa jenis. Antaranya yang popular ialah pisang mas batang putih dan batang merah.
Sifat-sifat pisang mas batang putih ialah pokoknya rendah dan rendang. Buahnya bulat dan besar tapi pendek. Tandannya tidak panjang. Secara purata, pokok yang subur mengeluarkan buah purata lima hingga enam sikat semayam. Tempoh jangka masa pokok jenis ini mula berbuah juga pendek iaitu antara enam hingga lapan bulan selepas ditanam. Jangka hayat perdu batang putih tidak lama, lebih kurang empat hingga enam kali tebang. Selepas itu, perdu menjadi pupus dan mati. Kebiasaanya selepas tiga kali tuaian, pokok hendaklah diubah atau ditanam semula. Pokok pisang jenis ini sangat popular di kalangan pengusaha pertanian pisang secara komersil kerana jangka masa tuaian yang cepat dapat menjimatkan kos pengeluaran. Anak pokok juga boleh diperolehi dengan mudah dan dalam kuantiti yang banyak.
Pisang mas jenis batang merah pula pohonnya besar dan tinggi. Ukur lilit pangkal pokok dalam lingkungan 2 hingga 2 kaki setengah. Ketinggianya boleh mencecah sehingga 15 kaki. Batangnya kemerah-merahan. Buah dan tandannya juga lebih panjang. Tandan pokok batang merah yang sihat boleh mencapai sehingga lima belas sikat dengan purata berat antara 15 hingga 20 kilogram setandan. Perdu jenis batang merah tidak membiak banyak anak. Jangka masa pokok jenis ini mula berbuah adalah antara 10 hingga 12 bulan dari tarikh ditanam. Perdunya tahan lebih lama sehingga dua kali ganda bebanding jenis batang putih. Pokok jenis ini lebih tahan dari serangan penyakit barah ubi. Anak benih pisang mas jenis batang merah banyak didapati di daerah Batu Kurau, Perak.
Buah pisang mas yang dihasilkan oleh kedua dua jenis pokok ini tidak terdapat sebarang perbezan baik dari segi rasa, warna dan bentuk kecuali saiz buah dan beratnya sahaja.
-
Contoh buah Pisang Mas dari jenis Batang Putih.
-
Contoh buah Pisang Mas dari jenis Batang Merah.
Penanaman
[sunting | sunting sumber]Pisang mas boleh ditanam dengan cara mengubah anaknya. Jarak tanaman anak pisang mas yang ideal ialah 10 kaki × 10 kaki; ditanam dalam bentuk barisan. Apabila menjadi perdu, maka perdu yang ideal ialah dengan menyimpan 3 hingga 4 pokok seperdu, termasuk anak. Anak pisang mas yang kurang subur hendaklah dipangkas. Ini memaksimumkan kualiti buah pisang yang akan diperolehi. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan pokok yang tidak berkualiti memakan baja.
Untuk tanaman komersil, saliran air hujan hendaklah lancar dan tidak bertakung. Pisang mas alah kepada air bertakung. Jika didapati daun pisang yang belum matang kelihatan seperti terbakar, itu petanda bahawa di bawah tanah ada takungan air. Jika air bertakung lebih dari dua malam, daunnya akan jadi layu kekuningan dan akhirnya kecut kelihatan seperti terbakar.
Penyakit
[sunting | sunting sumber]Di Malaysia, masalah utama petani pisang mas adalah serangan penyakit barah ubi atau kanser ubi. Ini kerana, berbeza dengan penyakit lain, penyakit barah ini tidak boleh dirawat atau disembuhkan secara total. Sebenarnya, jika diamati dengan teliti, tidak terdapat sebarang cacing atau parasit di dalam ubi atau batang pisang yang sakit tersebut. Apabila pisang mas terkena atau diserang penyakit barah ubi, ubi akan bertukar warna dari putih ke perang-perangan dan kemerah-merahan.
Pada peringkat mula, ia akan menyerang ubi dan kemudian merebak ke batang pokok. Di peringkat serius, penyakit tersebut akan menjadikan ubi dan batang pokok yang telah sakit mengeluarkan lendir yang pekat dan berbau amat busuk. Daun-daun yang belum matang akan menjadi layu dan terkulai. Pokok pisang jadi kering dan mereput.
Apa yang sangat menyedihkan dan merugikan adalah petani tidak mengetahui pokok ini sudah dijangkiti semasa kecil atau dara. Tanda serangan ini hanya diketahui sebaik sahaja pokok hampir matang untuk mengeluarkan jantung, atau dalam tempoh lebih kurang enam hingga tujuh bulan selepas di tanam. Apabila ubi dan batang pokok yang sakit mengeluarkan lendir, pokok lain akan mudah dijangkiti hanya dengan terkena lendir tersebut sama ada melalui peralatan kerja, aliran air atau sentuhan akar di bawah tanah. Bagi petani yang menanam dengan jarak 15 kaki × 15 kaki, risiko jangkitan melalui sentuhan akar dapat dielakkan.
Setakat ini, tidak ada kaedah yang berkesan yang boleh merawat atau menyembuhkan pokok pisang mas yang telah terkena penyakit barah ubi. Langkah langkah berikut hanyalah bertujuan untuk mengawal dan mengurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit barah ubi secara meluas di ladang kita:-
- Pokok dan keseluruhan perdu yang telah terkena penyakit barah ubi hendaklah dikorek dan dibuang jauh dari kawasan ladang. Lubang tersebut hendaklah dibiarkan terdedah selama sekurang kurangnya 3 bulan sebelum ditanam semula.
- Peralatan ladang seperti cangkul, parang dan penggali yang digunakan ke atas pokok yang telah sakit hendaklah dibasuh dengan air dan dibiarkan kering sekurang-kurangnya semalaman sebelum digunakan semula.
- Sekiranya paras tanah ladang tersebut rendah, 'parit-parit gila' (parit kecil sedalam satu kaki) hendaklah digali supaya air hujan disalir ke parit besar dengan serta-merta sebaik sahaja hujan turun. Lendir penyakit ubi merebak melalui aliran air ke pokok lain.
- Apabila mengubah benih, pastikan hanya anak yang diubah tidak dari kelompok perdu yang telah terkena penyakit. Jika benih diambil dari kebun atau sumber yang tidak pasti, jangan sekali-kali ambil anak dari perdu yang tiada pokok sedang berbuah. Kemungkinan perdu tersebut sudah berpenyakit adalah tinggi. Ini adalah kerana semasa pokok tersebut masih anak atau peringkat dara, tanda tanda penyakit belum kelihatan.
- Apabila pokok yang baru diubah berusia tiga hingga empat bulan, masukan sesudu Furadan 5G Marshall ke dalam pangkal kelopak daun nombor tiga kiraan dari pucuk. Amalan ini tidak boleh menyembuhkan penyakit ubi tetapi sekurang-kurangnya membantu pokok tersebut menahan diri dari terkena penyakit ubi dari pokok lain.
- Benih benih yang baru di korek, hendaklah dibiarkan di bawah matahari sekurang-kurangnya seharian sebelum ditanam.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ 'Sucrier'. ProMusa. Dicapai pada 3 Ogos 2023.
- ^ Sorting Musa names