Pertempuran North Cape adalah satu pertempuran laut di antara kapal British dengan kapal tempur Scharnhorst di luar perairan Norway pada 26 Disember 1943. Kapal Scharnhorst berjaya ditenggelamkan oleh kapal-kapal British yang terlibat.
Latar Belakang
Kapal tempur Scharnhorst, dikenali sebagai kapal bertuah di Jerman, dan menjadi kebanggaan negara. Kapal Scharnhorst mempunyai kelajuan maksimum 33 knot dan mempunyai rupa bentuk yang cantik.
Pada awal tahun 1943, Adolf Hitler memberitahu Laksamana-Laksamananya bahawa Tentera Laut Jerman tidak berguna dan tidak boleh diharapkan. Hitler menyarankan supaya kapal-kapal Tentera Laut Jerman dijadikan besi sekerap dan meriamnya digunakan untuk pertahanan pantai. Laksamana Besar Karl Donitz memujuk Hitler supaya membenarkan kapal perang Scharnhorst dan kapal tempur Tirpitz ke Norway untuk menyerang konvoi yang belayar antara Britain dan Rusia. Tetapi, satu serangan oleh kapal selam kecil British merosakkan Tirpitz, dan Scharnhorst terpaksa bersendirian menjalankan serangan.
Pada 19 Disember 1943, semasa satu persidangan di markas Wolfsschanze, Laksamana Besar Donitz memaklumkan Hitler bahawa Scharnhorst akan menyerang konvoi yang belayar antara Britain dan Rusia.
Operasi Ostfront adalah satu percubaan Kriegsmarine untuk memintas konvoi JW 55B. konvoi tersebut dikesan 3 hari sebelumnya oleh sebuah pesawat Luftwaffe. Konvoi JW 55B terdiri dari 19 kapal barang dan diiringi kapal-kapal pembinasa HMS Onslow, HMS Onslaught, HMS Orwell, HMS Scourage, HMS Impulse, HMCS Haida, HMCS Huron dan HMCS Iroquois dengan dibantu oleh kapal penyapu periuk api HMS Gleaner.
Pada 25 Disember 1943, kapal perang besar Scharnhorst di bawah perintah Kapten Fritz Hintze dengan iringan kapal-kapal pembinasa kelas Narvik Z 29, Z 30, Z 33, Z 34, dan Z 38 meninggalkan Alta Fjord di Norway. Pasukan ini diperintah oleh Laksamana Muda Erich Bey. Mereka tidak menyedari bahawa mereka sedang belayar menuju satu perangkap yang dipasang oleh Tentera Laut Diraja British untuknya dengan dua buah konvoi tersebut sebagai umpanan.
Dalam masa yang sama, konvoi RA 55A sedang dalam pelayaran pulang ke Britain. Konvoi ini terdiri daripada 22 buah kapal barang dan diiring oleh kapal-kapal pembinasa HMS Musketeer, HMS Opportune, HMS Virago, HMS Matchless, HMS Milne, HMS Meteor, HMS Ashanti dan HMCS Athabascan serta dibantu oleh kapal pemusnah periuk api HMS Seagull.
Pasukan Jerman pimpinan Laksamana Muda Erich Bey tidak mengetahui kehadiran dua pasukan tempur Tentera Laut British. Pasukan pertama di bawah pimpinan Laksamana Muda Robert Burnett terdiri dari kapal-kapal kruiser HMS Norfolk, HMS Belfast dan HMS Sheffield. Pasukan kedua dipimpin oleh Laksamana Sir Bruce Fraser terdiri daripada kapal tempur HMS Duke of York, kapal kruiser HMS Jamaica, kapal-kapal pembinasa kelas “S” terdiri dari HMS Savage, HMS Scorpion, HMS Saumarez, HMS Sword dan kapal Norway HNomS Stord. Pasukan ini mengekori konvoi tersebut dari jarak jauh.
Pertempuran
Pada 26 Disember 1943, keadaan cuaca tidak baik. Laut bergelora. Laksamana Bey tidak mendapat maklumat risikan tinjauan udara yang dihajatkan disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk, dan tidak dapat mengesan 2 konvoi yang diburu. Laksamana Bey ingatkan bahawa dia sudah terlepas konvoi British itu, dan mengambil keputusan untuk mengerahkan kapal-kapal pembinasanya ke arah selatan untuk meluaskan kawasan carian. Laksamana Fraser telah mengarahkan konvoi British belayar arah utara kerana menjangkakan serangan Jerman.
Kapal Scharnhorst kini tanpa kapal-kapal pembinasa mengiringinya. Pada jam 9.00 pagi, Scharnhorst bertembung dengan kapal-kapal kruiser pimpinan Burnett. Kapal kruiser British mula membedil dari jarak 13,000 meter dan segera dibalas oleh Scharnhorst. Tiada peluru dari Scharnhorst yang mengenai sasaran tetapi Scharnhorst sendiri terkena dua peluru meriam, dengan salah satu peluru terkena alat radar kapal tersebut. Scharnhorst kini dalam keadaan ‘buta’ di dalam keadaan cuaca yang kian buruk.
Tanpa bantuan radar, jurutembak meriam Scharnhorst terpaksa membidik meriam mereka berpandukan denyaran cahaya apabila kapal kruiser British menembak meriam mereka. Ini disukarkan kerana pasukan HMS Belfast dan HMS Sheffield menggunakan bahan peledak yang tidak berdenyar. Hanya HMS Norfolk menggunakan bahan peledak biasa, dan akibatnya menjadi sasaran tembakan oleh Scharnhorst. Laksamana Bey kini mempercayai bahawa dia bertempur dengan kapal perang besar dan mengarahkan kapal Scharnhorst belayar arah selatan untuk menjauhkan diri daripada kapal-kapal British tadi.
Setelah beberapa ketika, Laksamana Bey percaya dia berjaya menjauhkan diri daripada pasukan British pimpinan Burnett. Bey mengarahkan Scharnhorst pusing arah utara untuk mengelilingi pasukan British tersebut. Pada waktu tengah hari Scharnhorst bertembung dengan 3 buah kruiser British yang masih mengejarnya. Scharnhorst menumpukan tembakan ke arah kapal HMS Norfolk, dan berjaya melumpuhkan salah satu turet kapal itu dan juga memusnahkan radar di atas kapal berkenaan. Laksamana Bey memutuskan untuk Scharnhorst kembali ke pelabuhan, sementara memberikan arahan kepada kapal-kapal pembinasa menyerang konvoi British yang dikesan oleh sebuah kapal selam Jerman.
Scharnhorst belayar ke arah selatan untuk beberapa jam tetapi dikejar oleh Burnett. Malangnya HMS Suffolk dan HMS Norfolk mengalami kerosakan enjin dan terpaksa memperlahankan kapal dan kian ketinggalan. Kini hanya HMS Belfast masih mengejar. Tetapi tanpa alat radarnya, Scharnhorst tidak tahu hanya sebuah kruiser yang masih menegajrnya.
Sementara itu, HMS Duke of York, dan empat buah kapal pembinasanya sedang giat berusaha mendapatkan kedudukan untuk membolehkan mereka melancarkan serangan torpedo ke atas Scharnhorst. Pada jam 16:15 petang, mereka mengesan Scharnhorst dengan radar dan mengambil tempat untuk membolehkan semua meriam mereka dibolehkan membedil Scharnhorst.
Pada jam 16:48 petang, HMS Belfast menembak satu peluru suar (star shell) untuk menerangi Scharnhorst. Kini Scharnhorst boleh dilihat dengan jelas oleh HMS Duke of York yang memulakan bedilan meriam dari jarak 11,920 ela. Bedilan itu merosakkan turet “A” di atas Scharnhorst sementara salvo kedua merosakkan hangar kapal terbangnya. Laksamana Bey pusing ke arah utara tetapi bertembung dengan HMS Norfolk dan HMS Belfast. Bey tiada pilihan lain kecuali belayar ke arah timur.
Tetapi kapal-kapal British tersebut terus mengejar. Scharnhorst berjaya menembak dua butir peluru yang terkena HMS Duke of York. Pada jam 18:20 malam, sebutir peluru antiperisai terkena Scharnhorst dan memusnahkan bilik dandang (boiler room) no. 1 Scharnhorst. Kelajuan maksimum Scharnhorst kini hanya 22 knot, dan kini menjadi sasaran mudah kepada serangan oleh kapal-kapal pembinasa. Lima minit kemudian, Bey menghantar kawat terakhir kepada markas Tentera Laut Jerman, “kami akan berjuang sehingga peluru terakhir”
Pada jam 18:50, Scharnhorst pusing ke kanan untuk berhadapan dengan kapal-kapal pembinasa HMS Savage dan HMS Suamarez. Ini membolehkan HMS Scorpion dan HNomS Stord untuk melancarkan serangan torpedo dan satu daripada torpedo tersebut mengenai sasaran. Apabila Scharnhorst pusing untuk mengelak serangan HMS Scorpion dan HNomS Stord, HMS Savage dan HMS Suamarez pula menyerang, dan berjaya menempatkan tiga torpedo ke sasaran. HMS Suamarez terkena tembakan dari Scharnhorst dan 11 orang anak kapalnya terbunuh dengan 11 yang lain cedera.
Tetapi Scharnhorst masih berupaya belayar dengan kelajuan 20 knot. Kini HMS Duke of York dan HMS Jamaica membedil dari jarak 10,400 ela. HMS Belfast pula menyerang dari arah utara. Bedilan bertubi-tubi dilepaskan. Kapal-kapal pembinasa HMS Opportune, HMS Virago, HMS Musketeer dan HMS Matchless melancarkan 19 buah torpedo ke arah Scharnhorst yang akhirnya tenggelam pada jam 19:45 malam. Daripada bilangan anggota seramai 1,968 orang, hanya 36 orang dapat diselamatkan oleh kapal-kapal British.
Kesan
Pada malam itu, ketika Laksamana Fraser memberikan taklimat kepada pegawai-pegawai kanannya, dia berkata, “Tuan-tuan, pertempuran dengan Scharnhorst berkesudahan dengan kemenangan kita. Tetapi sekiranya anda terpaksa memimpin kapal dalam pertempuran menentang pasukan yang lebih kuat, perintahlah kapal tuan seperti mana Scharnhorst diperintah pada hari ini”
Penenggelaman Scharnhorst menunjukkan kepentingan radar dalam peperangan laut moden. Walaupun Scharnhorst sepatutnya boleh mengalahkan pasukan British dari segi kuasa tembakan, kehilangan penggunaan radarnya pada pembukaan pertempuran menyebabkan Scharnhorst tidak dapat mengesan kapal British ataupun untuk membetulkan tembakan meriam mereka.
HMNoS Stord dan HMS Scorpion menghampiri Scharnhorst hingga jarak 1,500 ela sambil melepaskan tembakan. Laksamana Fraser memuji keberanian kedua-dua buah kapal tersebut. Pegawai Pemerintah HMS Duke of York Kapten Guy Russell berkata, “… kapal pembinasa Norway Stord menjalakan serangan paling berani semasa pertempuran ..’
Rujukan
- Claasen, A.R.A. Hitler's Northern War: The Luftwaffe's Ill-Fated Campaign, 1940-1945. Lawrence: University Press of Kansas, 2001. pp 228-233. ISBN 0-7006-1050-2
- Fritz-Otto Busch, The Sinking of the Scharnhorst (Robert Hale, LTD., London, 1956), ISBN 0-86007-130-8, the story of the Battle of North Cape and the final battle as told by a Scharnhorst survivor.
- Donald MacIntyre, The Naval War against Hitler (Willmer Bros. Birkenhead, 1971), ISBN 0-7134-1172-4