| Perang Burma–Siam (1563–1564) | |||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Sebahagian daripada Peperangan Burma–Siam | |||||||
Gajah perang digambarkan daripada peperangan Siam–Burma yang berlaku pada masa kemudian. Gajah perang putih seperti ini didakwa menjadi casus belli (penyebab segera peperangan) bagi perang 1563–1564. | |||||||
| |||||||
| Pihak yang terlibat | |||||||
| Kerajaan Ayutthaya (Siam) | |||||||
| Komandan dan pemimpin | |||||||
|
Maha Chakkraphat # Prince Ramesuan # Mahinthrathirat Phraya Chakri # Phraya Sunthorn Songkhram # |
Raja Bayinnaung Thado Minsaw dari Ava Binnya Dala | ||||||
| Unit terlibat | |||||||
|
Tentera Diraja Siam Tentera upahan Portugis Tentera upahan Luzon[1] |
Tentera Darat Diraja Burma Tentera Diraja Sukhotai Tentera Diraja Lanna Tentera upahan Portugis mercenaries Tentera upahan Luzon[1] | ||||||
| Kekuatan | |||||||
| 70,000 |
Sumber Burma: 120,000+ tentera[3] | ||||||
| Kerugian dan korban | |||||||
| Banyak | Banyak tapi kurang daripada Ayutthaya | ||||||

Perang Burma-Siam 1563–1564, juga dikenali sebagai Perang Gajah Putih (Burma: ဆင်ဖြူတော်စစ်ပွဲ), ialah satu peperangan antara Dinasti Toungoo di Burma dan Kerajaan Ayutthaya di Siam. Ia merupakan peperangan kedua daripada dua puluh peperangan yang berlaku antara pihak Burma dan Siam, yang berlanjutan hingga ke abad ke-19.
Punca peperangan ini ialah cubaan Raja Toungoo, Bayinnaung untuk memaksa Kerajaan Ayutthaya tunduk di bawah pemerintahannya, sebagai sebahagian daripada kempen beliau yang kemudiannya membentuk empayar terbesar yang pernah wujud di Asia Tenggara. Tiga belas tahun selepas permulaan pemerintahan Bayinnaung, percubaan keduanya untuk menakluk Siam, dan usaha pertamanya dengan bergelar sebagai raja. Akhirnya, beliau berjaya selepas melancarkan pengepungan besar-besaran ke atas kota Ayutthaya.
Siam kemudiannya menjadi negeri naungan Dinasti Toungoo, dan status ini berterusan sehingga pemberontakan Ayutthaya pada tahun 1568 yang membawa kepada kemerdekaan sementara.
Latar belakang
Selepas perang 1547–1549 dengan Dinasti Toungoo, Raja Ayutthaya, Maha Chakkraphat telah memperkukuh pertahanan ibu kota kerajaannya sebagai persediaan menghadapi peperangan seterusnya dengan pihak Burma. Perang 1547–1549 berakhir dengan kemenangan bertahan pihak Siam dan berjaya mengekalkan kemerdekaan Siam. Bagaimanapun, cita-cita peluasan kuasa Bayinnaung mendorong Chakkraphat untuk bersiap sedia menghadapi satu lagi pencerobohan.
Persiapan ini merangkumi bancian bagi mengerahkan semua lelaki yang berupaya untuk berperang. Senjata dan ternakan telah diambil oleh kerajaan sebagai persediaan untuk usaha perang berskala besar, dan tujuh ekor gajah putih telah ditangkap oleh Chakkraphat sebagai simbol tuah. Berita mengenai persiapan Raja Ayutthaya ini tersebar dengan pantas dan akhirnya sampai ke pengetahuan pihak Burma.
Sementara itu, serangan Bayinnaung ke atas kota Chiang Mai di Kerajaan Lan Na yang berdekatan berakhir dengan kejayaan pada tahun 1556. Usaha seterusnya menyebabkan sebahagian besar wilayah Siam utara jatuh di bawah kawalan Burma. Kejayaan pencerobohan ini menyebabkan Bayinnaung dianugerahkan gelaran "Penakluk Sepuluh Arah". Keadaan ini meletakkan kerajaan Chakkraphat dalam kedudukan yang genting, berhadapan dengan wilayah musuh di utara dan barat.[4]
Serangan
Pencerobohan awal
Bayinnaung yang semakin bertambah kuasa dan pengaruhnya, kemudian menuntut dua ekor gajah putih milik Raja Chakkraphat sebagai ufti kepada Dinasti Toungoo yang sedang bangkit. Chakkraphat menolak tuntutan tersebut, lalu mencetuskan pencerobohan kedua Burma ke atas Kerajaan Ayutthaya.
Bayinnaung meninggalkan Bago pada 27 Disember 1563 dan menggerakkan tenteranya ke Mottama. Di sana, beliau menyusun angkatan tenteranya kepada lima divisyen. Raja Bayinnaung yang arif tentang bentuk muka bumi Siam hasil ekspedisi terdahulunya bersama mendiang Tabinshwehti, memasuki Siam melalui laluan yang kini dikenali sebagai Laluan Tiga Pagoda di Wilayah Kanchanaburi. Satu lagi angkatan tentera Burma memasuki Siam melalui Laluan Mae Lamao di wilayah yang kini dikenali sebagai Wilayah Tak.[5]
Angkatan Siam memulakan pertahanan Ayutthaya dengan Phraya Chakri mengetuai 15,000 orang ke Kubu Lumphli di utara Ayutthaya, Chao Phraya Mahasena mengetuai 10,000 orang ke Kubu Ban Dokmai Han Tra di sebelah timur, Phraya Phra Khlang mengetuai 10,000 orang untuk mengawal bahagian selatan, dan Phra Sunthorn Songkhram mengetuai 10,000 orang untuk berkedudukan di Kubu Jampa di sebelah barat.[5]
Namun demikian, tentera Siam dikejutkan apabila pihak Burma melancarkan serangan dua hala, kerana mereka hanya menjangkakan serangan Burma akan datang melalui Laluan Tiga Pagoda sahaja.[5]
Penawanan Phitsanulok
Tentera Bayinnaung terdiri daripada 60,000 orang, 2,400 ekor kuda, 360 ekor gajah, serta satu lagi angkatan tentera dari Lan Na.[2] Angkatan ini mara menuju ke ibu kota Ayutthaya, namun terlebih dahulu berhadapan dengan tentera Siam di kota Phitsanulok. Gabenor Phitsanulok, Maha Thammarachathirat pada mulanya menentang serangan Burma ketika kota itu dikepung. Namun demikian, setelah menyedari keadaan yang semakin tidak berdaya, bekalan yang semakin berkurangan serta wabak cacar, Mahathammarachathirat akhirnya menyerah kalah pada 20 Februari 1563.[5]
Pertempuran Chai Nat
Selepas mengetahui bahawa Bayinnaung telah membawa Tentera Diraja Burma turun dari Hua Mueang Nuea dengan bantuan rekrut Siam, Chakkraphat mengarahkan pembentukan satu angkatan tentera. Phraya Phichai Ronnarit dan Phraya Wichit Narong dihantar untuk mendirikan khemah di Nakhon Sawan, manakala tentera utama di bawah Putera Ramesuan ditugaskan untuk membantu memecahkan pengepungan di Phitsanulok. Bagaimanapun, setelah mendapat khabar bahawa kota Phitsanulok telah jatuh, Putera Ramesuan memutuskan untuk berkhemah di Chai Nat bagi menghalang kemaraan tentera Burma.
Tentear Siam menggunakan meriam di atas kapal untuk mengebom tentera Burma, menyebabkan banyak korban. Bayinnaung kemudiannya mengarahkan armada sungai Burma di bawah pimpinan Thado Dhamma Yaza I dari Prome untuk menyerang tentera Siam. Oleh sebab tentera Siam jauh lebih kecil bilangannya, mereka berundur kembali ke Ayutthaya.[5]
Pengepungan Ayutthaya
Apabila Bayinnaung tiba di Ayutthaya, Chakkraphat mengarahkan angkatan laut Siam untuk menyerang tentera Burma. Namun demikian, angkatan ini telah ditewaskan, menyebabkan pihak Siam mengalami kerugian besar dan kapal-kapal perang terpaksa berundur kembali ke dalam kota Ayutthaya. Di sana, tentera Burma ditahan selama beberapa minggu oleh kubu pertahanan Siam, dengan bantuan tiga buah kapal perang Portugis serta meriam artileri di pelabuhan. Para penyerang akhirnya berjaya menawan kapal-kapal dan meriam artileri Portugis tersebut pada 7 Februari 1564, selepas itu kubu tersebut segera tumbang.[6]
Bayinnaung kemudiannya berjaya menawan Kubu Lumphli, Jampa dan Ban Dokmai Han Tra, sekali gus mengepung Ayutthaya dari tiga arah. Di sebelah barat, angkatan Thado Dhamma Yaza ditempatkan di Thung Wat Photharam dengan rancangan untuk mara ke Khlong Ko Kaeo. Di sebelah utara, tentera Nanda Bayin berkedudukan di Thung Phaniat. Tentera diraja Bayinnaung ditempatkan di padang Wat Pho Phueak berhampiran Khanon Pak Khu, tentera pemerintah Pyay ditempatkan di Thung Lumphli, pemerintah Taungoo di Thung Prachet, manakala Thado Minsaw dari Ava bergerak ke selatan menuju ke Kuil Phutthaisawan.[5]
Memandangkan jumlah tentera Burma jauh lebih besar, Chakkraphat tidak berani mengerahkan tenteranya keluar untuk bertempur secara terbuka, sebaliknya bergantung kepada kapal-kapal perang Siam untuk membedil tentera Burma. Pihak Burma membalas dengan membedil tembok-tembok Ayutthaya. Dengan kekuatan kira-kira 60,000 orang, termasuk tentera dari Phitsanulok, Bayinnaung tiba di tembok kota Ayutthaya dan melancarkan pengeboman hebat ke atas kota tersebut. Walaupun memiliki kekuatan yang lebih besar, pihak Burma gagal menawan Ayutthaya, lalu menuntut agar Raja Siam keluar dari kota di bawah panji gencatan senjata untuk rundingan damai. Menyedari bahawa rakyatnya tidak mampu lagi bertahan akan pengepugan tersebut, Chakkraphat bersetuju untuk berunding, namun dengan harga yang sangat mahal.[5]
Syarat penyerahan kalah Siam
Sebagai balasan terhadap pengunduran tentera Burma, Bayinnaung membawa Putera Ramesuan (anak kepada Maha Chakkraphat), Phraya Chakri dan Phraya Sunthorn Songkhram kembali ke Burma sebagai tebusan, bersama empat ekor gajah putih Siam. Walaupun Maha Thammarachathirat dianggap sebagai pengkhianat, beliau dibiarkan kekal sebagai pemerintah Phitsanulok dan dilantik sebagai naib raja Siam. Kerajaan Ayutthaya menjadi negeri naungan Dinasti Toungoo dan diwajibkan menghantar tiga puluh ekor gajah serta tiga ratus kati perak kepada pihak Burma setiap tahun. Selain itu, pihak Burma diberikan hak untuk mengutip cukai di pelabuhan Mergui, yang ketika itu merupakan wilayah Siam. Tuntutan awal Bayinnaung terhadap dua ekor gajah putih telah ditingkatkan kepada empat ekor. Satu perjanjian damai telah ditandatangani di Wat Na Phra Men (Biara di Hadapan Tempat Pembakaran Mayat). Persetujuan Chakkraphat terhadap tuntutan Bayinnaung membawa kepada keamanan selama empat tahun.[7]
Sumber-sumber Burma menyatakan bahawa apabila Bayinnaung kembali ke Pegu, beliau turut membawa Maha Chakkraphat bersama sebagai tebusan, sebelum melantik Mahinthrathirat, salah seorang anak Maha Chakkraphat, sebagai raja naungan Ayutthaya, serta meninggalkan pasukan garison seramai 3,000 orang. Sumber Burma selanjutnya menyebut bahawa selepas beberapa tahun berada di Pegu, Maha Chakkraphat menjadi sami, dan Bayinnaung membenarkannya pulang ke Ayutthaya.[8]
Bagaimanapun, sumber Thai hanya menyatakan bahawa Mahinthrathirat, anak kedua Maha Chakkraphat, menaiki takhta kerana ayahandanya turun takhta dan menjadi sami selepas peperangan tersebut.[8]
Bayinnaung juga menuntut empat ekor gajah putih bersama Putera Ramesuan, Phraya Chakri dan Phra Sunthorn Songkhram sebagai tebusan. Selain itu, beliau menuntut agar tiga puluh ekor gajah dan tiga ratus baht perak dihantar setiap tahun.[5]
Kesan
Keamanan tersebut tidak bertahan lama. Pada tahun 1568, rakyat Ayutthaya bangkit memberontak terhadap pemerintah Burma. Setelah menerima nasihat daripada Mahathammaraja bahawa Kerajaan Ayutthaya terlalu lemah untuk mempertahankan pemberontakan, Bayinnaung sekali lagi memimpin tentera Burma menyerang Ayutthaya, lalu mencetuskan satu lagi peperangan dengan pihak Siam.
Catatan
- ^ a b Pires, Tomé (1944). Armando Cortesao (translator) (ed.). A suma oriental de Tomé Pires e o livro de Francisco Rodriguez: Leitura e notas de Armando Cortesão [1512 – 1515] (in Portuguese). Cambridge: Hakluyt Society.
- ^ a b Maha Yazawin Vol. 2 2006: 266–268
- ^ "Ayutthaya: Capital of a Kingdom part 3". Infothai. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Disember 2015. Dicapai pada 15 Mac 2016.
- ^ "Chedi Phukaothong or Chedi Phukhao Thong (เจดีย์ภูเขาทอง)". Wikimapia. 2016. Dicapai pada 15 Mac 2016.
- ^ a b c d e f g h admint (1 Disember 2017). "สงครามครั้งที่ ๓ คราวรบกันด้วยเรื่องช้างเผือก ปีกุญ พ.ศ. ๒๑๐๖". vajirayana.org. Dicapai pada 3 Mac 2025.
- ^ (Hmannan Vol. 2 2003: 353): Monday, 11th waning of Tabodwe 925 ME = 7 February 1564
- ^ "Bayinnaung". Encyclopædia Britannica. Dicapai pada 15 Mac 2016.
- ^ a b Damrong Rajanubhab, 2012: 20.








