Perakaman dan pengeluaran semula bunyi ialah inskripsi dan penciptaan semula elektrik atau mekanik gelombang bunyi yang biasanya digunakan untuk suara atau untuk muzik.
Dua kelas utama teknologi perakaman bunyi ialah perakaman analog dan perakaman digital.
Fonograf silinder
Peranti perakaman dan pengeluaran semula bunyi praktik yang pertama ialah fonograf silinder mekanik yang direka oleh Thomas Edison pada tahun 1877 dan dipatenkannya pada tahun 1878. Dari beberapa segi, rekaannya agak serupa dengan fonoautograf yang dipatenkan oleh Edouard-Leon Scott de Martinville pada tahun 1857. Tidak lama kemudian, rekaan itu tersebar ke seluruh dunia dan pada sepanjang dua dekad yang berikut, perakaman, pengedaran, dan penjualan perakaman bunyi komersil menjadi sebuah industri antarabangsa baru yang semakin bertumbuh, dengan judul-judul yang paling popular menjual pada jumlah berjuta-juta menjelang awal dekad 1900-an. Perkembangan teknik-teknik pengeluaran secara besar-besaran membolehkan perakaman silinder menjadi suatu barang pengguna baru yang utama di negara-negara perindustrian, dengan silinder merupakan format pengguna yang utama dari lewat dekad 1880-an sehingga sekitar 1910.
Cakera
Perkembangan teknik utama yag berikut ialah perekaan cakera gramofon yang umumnya dikatakan direka oleh Emile Berliner dan diperkenalkan ke Amerika Syarikat secara komersil pada tahun 1889.
Cakera adalah lebih mudah untuk dikilangkan, diangkut, serta disimpan, dan mempunyai manfaat tambahan bahawa ia dapat dirakam dan dimain pada kedua-dua belahnya — sebaliknya, silinder hanya mempunyai satu sisi yang tunggal, akibat strukturnya. Jualan-jualan rekod gramofon mengatasi jualan silinder pada sekitar tahun 1910 dan menjelang keakhiran Perang Dunia I, cakera telah menjadi format perakaman komersil yang utama. Dalam berbagai-bagai perubahan susunan, format cakera audio menjadi bahantara yang utama untuk perakaman bunyi sehingga keakhiran abad ke-20, dengan cakera syelek 78 pusingan seminit merupakan format muzik pengguna yang piawai dari awal dekad 1930-an sehingga lewat 1950-an.
Walaupun ketika itu tidak terdapat kelajuan yang diterima sejagat, dengan berbagai-bagai syarikat menawarkan cakera yang dimain pada kelajuan yang berbeza-beza, syarikat-syarikat perakaman yang utama kemudian memilih piawai industri de facto 78 pusingan seminit yang memberikan format cakera itu nama samaran sebagai "tujuh puluh lapan".
Perakaman elektrik
Perakaman bunyi bermula sebagai suatu proses mekanik yang dikekalkan sehingga dekad 1920-an apabila satu siri perekaan yang utama dalam bidang elektronik menukarkan sepenuhnya perakaman bunyi serta industri perakaman yang masih muda itu. Ini termasuk transduser-transduser bunyi seperti mikrofon dan pembesar suara, peranti-peranti perakaman seperti perakam pita, serta juga berbagai-bagai peranti elektronik seperti meja pencampuran yang kesemuanya itu direka bentuk untuk menguatkan dan mengubah suai isyarat-isyarat bunyi elektrik. Selepas fonograf Edison yang mungkin merupakan kemajuan yang paling penting dalam bidang perakaman bunyi ialah sistem-sistem elektronik yang diireka oleh dua orang ahli sains Amerika Syarikat antara tahun 1900 dan 1920.
Pada tahun 1906, Lee De Forest mereka "Audion", injap elektronik tiub vakuum triod, yang amat menguatkan isyarat-isyarat elektrik yang lemah, dan peranti ini kemudian menjadi asas untuk semua sistem bunyi elektrik yang kemudian sehingga perekaan transistor. Ini diikuti dengan cepat oleh perekaan litar jana semula, litar jana semula super, dan litar penerima superheterodin, dengan kesemuanya direka dan dipatenkan oleh Edwin Armstrong, genius elektronik, antara tahun 1914 dan 1922.
Rekaan-rekaan Armstrong menyebabkan perakaman dan pengeluaran semula bunyi elektrik fideliti tinggi menjadi suatu kenyataan praktik, dan memudahkan perkembangan amplifier elektronik, serta banyak peranti yang lain; menjelang awal dekad 1930-an, sistem-sistem ini telah menjadi piawai dalam industri perakaman dan radio. Rekaan-rekaan Armstrong yang penting itu juga memungkinkan penyiaran pemancaran julat jauh suara dan muzik yang bermutu tinggi. Pentingnya litar superheterodin Armstrong tidak boleh diperkecilkan — ia adalah komponen yang utama untuk hampir semua peranti penghantar dan penerima amplifikasi dan frekuensi radio analog pada abad ke-20.
Format-format perakaman yang lain
Tempoh ini juga memperlihatkan banyak perkembangan bersejarah yang lain, termasuk pengenalan perakam wayar magnet, sistem perakaman bunyi magnet praktik yang pertama yang berdasarkan kerja Valdemar Poulsen, pereka Denmark. Walaupun perakam wayar itu berkesan, mutu bunyinya tidak baik dan oleh itu, ia digunakan khusus untuk merakamkan suara dan dipasarkan sebagai perakam suara perniagaan antara kedua-dua perang dunia.
Pada dekad 1930-an, Guglielmo Marconi, perintis radio, mengembangkan sebuah sistem perakaman bunyi magnet yang menggunakan pita keluli. Pita-pitanya diperbuat daripada bahan yang sama dengan mata pisau cukur dan tidaklah hairan bahawa perakam-perakam Marconi-Stille yang ditakuti itu dianggap sangat berbahaya sehingga para juruteknik terpaksa mengendalikan mesin-mesin tersebut daripada bilik yang berasingan demi keselamatan. Disebabkan kelajuan perakaman yang tinggi yang diperlukan, mesin-mesin itu terpaksa menggunakan amat banyak gulungan pita yang semeter diameternya. Selain itu, pita-pita yang nipis itu juga kerap kali putus, dan mengakibatkan cebisan-cebisan pita keluli melayang-layang di seluruh studio.
Lagi satu rekaan utama dalam perakaman bunyi pada tempoh ini ialah sistem bunyi-pada-filem optik yang umumnya juga dikatakan dicipta oleh Lee De Forest. Walaupun "Talkie" awal yang terkenal seperti The Jazz Singer menggunakan sistem bunyi-pada-cakera, industri filem kemudian mengambilguna sistem bunyi-pada-filem optik, dan ini menukar sepenuhnya industri filem pada dekad 1930-an, dan memulakan zaman 'gambar bercakap'. Sistem bunyi-pada-filem optik yang mendasarkan sel fotoelektrik menjadi piawai sistem audio filem di seluruh dunia sehingga digantikan pada dekad 1960-an.
Lihat juga
- Audio buat sendiri
- Audio digital
- Audio profesional
- Audiofil
- Bunyi injab (bunyi tiub)
- Cakera mini
- Cakera padat (CD)
- Fideliti tinggi
- Fonograf
- Digital lwn. Analog
- Kaset audio padat
- Mesin cetak rekod
- Mikrofon
- Monitor studio
- Pembesar suara
- Pencampuran bunyi siaran langsung
- Pengimejan stereo
- Penguat (atau Amplifier)
- Pengukuran sistem audio
- Penyuntingan audio
- Perakaman digital
- Perakaman magnet dan perakam pita
- Peralatan audio atasan
- Pita rakaman suara
- Praamplifier
- Pusat muzik
- Rekod Keemasan Voyager
- Sejarah perakaman bunyi
- Senarai format audio
- Strim ketip
- Studio perakaman
Nota
Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.