Sebahagian daripada siri politik |
Pengundian |
---|
Pengundian ialah satu kaedah untuk pembuatan keputusan yang mana satu kumpulan, umpamanya mesyuarat atau para pengundi mencuba mengukur pendapat-pendapat ahlinya — biasanya sebagai langkah terakhir menyusuli perbincangan atau perdebatan. Alternatif-alternatif untuk pengundian termasuk pembuatan keputusan kesepakatan (yang bertujuan untuk mengelakkan pengutuban dan pemarginalan pertentangan pendapat) dan pertaruhan (seperti dalam demokrasi jangkaan).
Alasan untuk pengundian
Dalam sebuah demokrasi, "pengundian" biasanya melibatkan pilihan raya, iaitu satu cara untuk para pengundi memilih calon untuk jawatan. Dalam politik, "pengundian" ialah cara untuk para pengundi dalam sebuah demokrasi untuk melantik wakil-wakil untuk kerajaan mereka.
Undi ialah pemilihan seseorang calon (atau sekumpulan calon) atau penentuan sesuatu usul (umpamanya ketetapan cadangan) dengan penandaan pada kertas undi atau melalui sistem elektronik. Undi sulit yang merupakan satu cara piawai untuk melindungi privasi politik pengundi biasanya diamalkan di tempat mengundi. (Bandingkanlah dengan undi pos). Di kebanyakan negara, pengundian adalah secara sukarela, tetapi sebilangan negara seperti Australia, Belgium dan Brazil mempunyai sistem pengundian wajib.
Walaupun pengundian biasanya diakui sebagai salah satu ciri demokrasi yang utama, sebuah negara yang menjalankan pilihan raya yang menampilkan penduduk-penduduknya membuang undi tidak semestinya bermakna bahawa negara itu adalah negara demokrasi Banyak kerajaan autoritarian mengadakan "pilihan raya" tetapi calon-calonnya di pilih dahulu dan diluluskan oleh golongan elit. Oleh itu, tidak terdapatnya persaingan, kelayakan pengundi terbatas, dan pengundian sering merupakan satu penipuan.
Sesetengah orang berfikir bahawa apabila undi dicatat pada media yang tidak dapat dilihat oleh manusia, pengundi-pengundi hilang sebarang kemungkinan untuk menentusahkan bagaimana undi-undi mereka dikumpulkan dan diselaraskan untuk menghasilkan keputusan terakhir. Oleh itu, mereka perlu mempunyai kepercayaan yang mutlak terhadap ketepatan, kejujuran dan keselamatan untuk keseluruhan sistem pilihan raya. Ini adalah benar, khususnya untuk pilihan raya elektronik kerana, bagi orang-orang yang tidak memprogramkan komputer, komputer-komputer itu bertindak sebagai kotak hitam, dan pengendaliannya hanya boleh ditentusahkan dengan mengetahui input dan membandingkan output jangkaan dengan output yang benar [1] Diarkibkan 2006-06-13 di Wayback Machine, tetapi di bawah sistem undi rahsia, tidak terdapatnya input yang diketahui, atau output jangkaan untuk membandingkan dengan keputusan pilihan raya [2].
Jenis undi
Sistem pengundian yang berbeza menggunakan jenis undi yang berbeza. Kalau pilihan-pilihan untuk sesuatu pilihan raya ialah Alistair, Aurora, Hayabusa, Polar, dan Yosri.
Dalam sistem pengundian yang menggunakan undi tunggal, pengundi boleh memilih salah satu daripada lima calon itu yang mereka paling berkenan. Yang pertama melintasi tiang (First past the post) menggunakan undi tunggal. Oleh itu, seorang pengundi mungkin mengundi Hayabusa. Ini menghalangnya daripada mengundi calon yang lain.
Dalam sistem pengundian yang menggunakan undi berbilang, pengundi boleh mengundi mana-mana satu subset alternatif. Oleh itu, seorang pengundi mungkin mengundi Alistair, Aurora, dan Polar, dan menolak Hayabusa dan Yosri. Sistem pengundian majmuk menggunakan undi berbilang.
Dalam sistem pengundian yang menggunakan undi pemeringkatan, pengundi menempatkan calon-calon mengikut keutamaannya. Umpamanya, mereka mungkin mengundi Yosri pada tempat pertama, diikuti oleh Polar, kemudian Hayabusa, Aurora, dan akhirnya Alistair. Banyak sistem pengundian menggunakan undi pemeringkatan. Sila lihat pengundian keutamaan.
Dalam sistem pengundian yang menggunakan undi skor (atau undi julat), pengundi memberi setiap pengundi satu nombor antara satu hingga sepuluh (batas atas dan bawah mungkin berbeza-besa). Sila lihat pengundian ikut mata.
Pengundian adil
Kenneth Arrow menyenaraikan lima ciri untuk sebuah sistem pengundian yang adil. Bagaimanapun, teorem ketakmungkinan Arrow menunjukkan bahawa adalah mustahil bagi mana-mana satu sistem pengundian untuk mempunyai kelima-lima ciri pada waktu yang sama.
Pembuangan undi menyatakan satu kesanggupan tersirat untuk menyertai dalam proses yang menghasilkan sesuatu keputusan bersama. Mereka yang berasa tidak dapat menyatakan had toleransi mereka dalam sebuah sistem pengundian cenderung menentang atau gagal untuk menyokong keputusan yang dibuat melalui pilihan raya (lebih merupakan persoalan parti-parti politik atau dasar-dasar). Mereka yang berasa tidak dapat menyatakan keutamaan mereka yang benar mungkin tidak akan mempunyai keghairahan terhadap pilihan-pilihan, atau terhadap wakil atau pemimpin yang akhirnya dipilih. Mana-mana satu undi merupakan imbangan kedua-dua faktor ini.
Satu persoalan yang biasa, khususnya dalam sistem "yang pertama melintasi tiang", ialah undi bantahan: seseorang pengundi mungkin akan "membazir undinya" untuk sebuah parti yang kurang penting untuk menghantar isyarat keutamaan yang kuat terhadap seorang calon atau parti yang tidak boleh menang, atau terhadap intolerans untuk pilihan-pilihan yang "lebih utama". Bagaimanapun, adalah amat susah untuk menentukan daripada undi sahaja tentang adakah seseorang pengundi itu benar-benar ingin menyokong parti yang kurang penting atau hanya hendak menentang parti yang utama. Rusia memberikan pengundi-pengundinya pilihan "Tiada sebarang di atas", supaya undi bantahan dapat diselaraskan dengan betul. Bidang kuasa yang lain mungkin memperhatikan kejadian undi rosak yang kelihatan disengajakan.
Seringnya adalah tidak jelas tentang adakah para pengundi benar-benar memahami bagaimana undinya akan dikira dalam sistem pengundian, khususnya bagi jenis-jenis pengundian yang lebih rumit. Ini sering mengakibatkan persoalan-persoalan terhadap keputusan pilihan raya. Disebabkan persoalan ini, reka bentuk kertas undi dan penggunaan mesin mengundi adalah amat penting. Secara optimum, penyerta-penyerta dalam sesuatu pengundian harus menganggap bahawa keputusan, khususnya untuk pengundian politik, adalah adil. Jika keadilan kelihatan tidak mencukupi, tentangan terhadap keputusan pengundian mungkin akan mengakibatkan kekeliruan dan jika lebih teruk, keganasan serta juga perang saudara, dalam kes pesaing-pesaing politik.
Dalam usaha untuk mengurangkan kos serta untuk menyebabkan pengundian lebih nyata, Argentina memperkenalkan pengundian elektronik untuk pilihan raya gabernornya pada 14 September 2003. Ujian perintis itu melibatkan 500,000 orang pengundi yang tersebar antara 20 buah kawasan pilihan raya di Buenos Aires, sebuah provinsi yang terletak di bahagian timur Argentina.
Lihat juga
- Daftar demokrasi dan topik-topik pilihan raya
- Hak mengundi
- Gerimander
- Initiatif
- Jumlah hadirin pengundi
- Kerajaan dunia
- Mundialisasi demokrasi
- Pemungutan suara
- Pengundian dolar
- Pengundian elektronik
- Penipuan undi
- Persatuan undang-undang pilihan raya Eropah
- Persempadanan semula
- Perwakilan berkadar
- Pilihan raya
- Sistem berpresiden
- Sistem pengundian
- Sistem pilihan raya