Koordinat: 10h 45m 08.5s, −59° 52′ 04″
Nebula Carina (juga dikenali sebagai Nebula Agung Carina, Nebula Carina Rta, atau NGC 3372) ialah sebuah nebula cerah yang mengelilingi beberapa bintang gugusan terbuka. Dua daripada bintang terbesar galaksi kita, Eta Carinae dan HD 93129A, terangkum dalam nebula ini. Nebula Carina dianggarkan terletak antara 6,500 dan 10,000 tahun cahaya dari Bumi. Ia kelihatan dalam buruj Carina, dan terletak pada Lengan Carina–Sagittarius. Nebula ini mengandungi berbilang bintang jenis-O.
Nebula Carina merupakan satu daripada nebula resap yang kelihatan di langit. Walaupun ia lebih kurang empat kali ganda lebih besar dan lebih cerah daripada Nebula Orion, nebula ini kurang terkenal kerana kedudukannya di Hemisfera Selatan. Ia ditemui dari Tanjung Harapan oleh Nicolas Louis de Lacaille pada tahun 1751–52.
Objek di dalam Nebula Carina
Eta Carinae
Eta Carinae ialah bintang hiper-raksasa yang amat cerah. Jisimnya dianggarkan antara 100 hingga 150 kali jisim Matahari, dan kekilauannya (luminositi) lebih kurang empat juta kali kekilauan Matahari ataupun Suria.
Buat masa ini, objek ini merupakan bintang berjisim paling tinggi yang dapat dikaji secara terperici. Terdapat beberapa bintang yang mungkin lebih berkilau dan mempunyai jisim yang lebih besar daripada Eta Carinae, akan tetapi data berkaitan mereka kurang teguh. (Kaveat: memandangkan contoh-contoh "bintang berjisim paling tinggi" seperti Bintang Pistol sudah diturunkan tahap berikutan kemunculan data baharu, senarai-senarai "bintang berjisim paling tinggi" harus dibaca dengan berhati-hati. Dalam tahun 2006, Eta Carinae masih memiliki luminositi yang disahkan yang tertinggi berdasarkan data yang diperoleh daripada julat panjang gelombang yang luas).
Bintang-bintang yang jisimnya lebih daripada 80 kali ganda jisim Suria mengeluarkan cahaya yang sejuta kali lebih banyak daripada Suria. Bintang sedemikian jarang terjumpa —hanya beberapa dozen dalam galaksi sebesar galaksi kita— dan bintang-bintang ini berhadapan malapetaka apabila menghampiri had Eddington, yakni tekanan ke luar sinaran mereka hampir cukup kuat bagi menangani graviti. Bintang-bintang yang jisimnya melebihi 120 jisim suria melewati had teori Eddington, dan daya graviti mereka hanya cukup-cukup bagi mengawal sinaran dan gas. Keadaan ini memungkinkan terjadinya supernova atau hipernova pada masa mendatang.
Kesan Eta Carinae terhadap nebula dapat dilihat secara langsung. Globul gelap dan juga objek yang kurang kelihatan dalam imej di atas mempunyai ekor yang menghala keluar dari bintang itu. Seluruh nebula kelihatan amat berlainan sebelum Ledakan Kuat yang berlaku pada tahun 1840-an menyelubungi Eta Carinae dengan debu, dan dengan itu mengurangkan jumlah cahaya ultraungu yang diletakkan ledakan itu ke dalam nebula.
Nebula Homunculus
Yang terkandung di dalam nebula cerah yang besar itu ialah sebuah objek yang lebih kecil, yang mengelilingi Eta Carinae sendiri. Nebula kecil ini dikenali sebagai Nebula Homunculus (daripada Latin, bermaksud Orang Kecil), yang dipercayai telah diusir dalam satu ledakan yang amat besar pada tahun 1841 yang buat seketika waktu menjadikan Eta Carinae bintang yang kedua paling cerah di langit.
Nebula Lubang Kunci
Sebahagian Nebula Carina disebut Nebula Lubang Kunci (Keyhole Nebula), gelaran yang diberikan oleh John Herschel dalam abad ke-19. Nebula Lubang Kunci sebenarnya kepulan molekul sejuk dan debu yang lebih kecil dan gelap, yang mengandungi filamen cerah terdiri daripada bebayang bentuk gas panas pendafluor yang berlatarkan nebula yang lebih cerah. Garis bulatan Lubang Kunci lebih kurang 7 tahun cahaya.
Gunung Mistik
"Gunung Mistik" merupakan imej tiang debu-gas di dalam Nebula Carinae yangdirakamkan oleh Teleskop Angkasa Hubble pada hari ulang tahun kedua puluh teleskop tersebut. Rantau itu dicerap oleh Kamera Lapangan Luas 3 Hubble pada 1–2 hb Februari 2010. Tiang berukuran tiga tahun cahaya; bintang-bintang nasen di dalam tiang tersebut mengeluarkan pancutan gas yang keluar dari puncak-puncak tinggi.
Galeri
-
Nebula Carina. Ehsan European Southern Observatory ESO.
-
Nebula Carina mengelilingi bintang Wolf–Rayet WR 22 (tengah) yang jarang dijumpai. Ehsan ESO.
-
Gambar rajah/imej warna palsu Nebula Carina Teleskop Angkasa Hubble (HST) (Versi boleh zum); Ehsan: HST/NASA/ESA.
-
Bintang superraksasa Eta Carinae yang dirakam oleh Teleskop Angkasa Hubble.
-
Imej komposit warna Nebula Carina, mendedahkan perincian amat cantik bintang-bintang dan debu yang terdapat di wilayah itu. Ehsan ESO.
-
Nebula Lubang Kunci, dirakam oleh Teleskop Angkasa Hubble.
-
Pandangan panorama wilayah WR 22 dan Eta Carinae Nebula Carina.
-
Imej pergolakan kawasan sekitar bintang letusan, rakaman Hubble.
-
"Gunung Mistik".
-
Imej sebuah gugusan terbuka yang dikenali sebagai Trumpler 14, diambil dengan menggunakan Multi-conjugate Adaptive optics Demonstrator (MAD) yang dipasang pada VLT European Southern Observatory (ESO). Gugusan yang termuda ini, berusia lebih kurang 500,000 tahun, terletak di pingir wilayah tengah Nebula, yang terletak sekitar 8,000 tahun cahaya ke hala buruj Carina (Lunas).
Rujukan
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Nebula Carina |
- European Southern Observatory: Carina Nebula shown in colourful detail - February 12, 2009 Diarkibkan 2009-08-03 di Wayback Machine
- NASA Astronomy Picture of the Day: Open star cluster Trumpler 16 - December 1, 2008
- NASA Astronomy Picture of the Day: Eta Carinae and the Homunculus Nebula - June 17, 2008
- NASA Astronomy Picture of the Day: The Great Nebula in Carina - July 19, 1999
- SEDS: The Eta Carinae Nebula
- The ESA Hubble Space Telescope site: Results for the Carina Nebula
- Nebula Carina di WikiSky: DSS2, SDSS, IRAS, Hydrogen α, X-Ray, Astrophoto, Sky Map, Rencana dan imej