Nawaf al-Hazmi | |
---|---|
Kelahiran | 9 Ogos 1976[1] |
Meninggal dunia | September 11, 2001 | (umur 25)
Saudara | Salem al-Hazmi (adik) |
Nawaf Muhammed Salim al-Hazmi (Arab: نواف الحازمي , Nawāf al-Ḥāzmī; juga dikenali sebagai Rabia al-Makki)[2] (9 Ogos 1976 – 11 September 2001) ialah salah seorang daripada lima orang perampas Penerbangan 77 American Airlines yang dihempaskan ke dalam bangunan Pentagon dalam serangan 11 September 2001.
Anak watgan Arab Saudi ini bersama kawannya, Khalid al-Mihdhar, meninggalkan kampung halaman mereka pada tahun 1995 untuk berjuang dalam Perang Bosnia. Hazmi kemudiannya pergi ke Afghanistan untuk berjuang di samping Taliban melawan Perikatan Utara Afghanistan. Selepas berjuang di Chechnya pada tahun 1998, beliau kembali ke Arab Saudi pada awal tahun 1999.
Hazmi dan Mihdhar yang sekian lama bersekutu dengan al-Qaeda, dipilih oleh Osama bin Laden sebagai mujahidin terhormat atas pengalaman perjuangan mereka yang luas untuk sebuah rancangan pengganas yang besar untuk menerbangkan kapal terbang komersil ke sasaran-sasaran tertentu di Amerika Syarikat. Hazmi dan Mihdhar menerima visa pelancong AS pada April 1999. Hazmi berlatih di sebuah kem latihan al-Qaeda pada musim luruh 1999, kemudian ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak al-Qaeda pada tahun 2000.
Nawaf tiba di AS dari Bangkok, Thailand, pada 15 Januari 2000, bersama Khalid al-Mihdhar di Los Angeles. Mereka berdua berdiam di Parkwood Apartments di San Diego hingga Mei 2000. Pada bulan itu, mereka berlatih penerbangan di San Diego. Oleh sebab kurang fasih berbahasa Inggeris, prestasi Hazmi and Mihdhar kurang memuaskan sepanjang latihan mereka dan dianggap mencurigakan oleh pelatih mereka.
Mihdhar meninggalkan Hazmi di California untuk ke Yaman pada Jun 2000. Hazmi menetap di California sehingga beliau bertemu dengan Hani Hanjour pada Disember 2000. Mereka berdua pergi ke Phoenix, Arizona, kemudian berpindah ke Falls Church, Virginia pada tahun 2001, di mana mereka disertai oleh perampas bantuan yang lain. Hazmi kerap berjumpa dengan Mohamed Atta, iaitu dalang serangan ini 9/11, pada musim panas 2001.
Pada 10 September 2001, Hazmi bersama Mihdhar dan Hanjour mendaftar masuk ke dalam sebuah hotel di Herndon, Virginia. Keesokan paginya, Nawaf al-Hazmi dengan empat lagi perampas menaiki Penerbangan 77 American Airlines lalu merampas kapal terbang terbabit supaya Hani Hanjour boleh mengawal dan menghempaskan kapal terbang ke dalam Pentagon dalam serangan 11 September 2001. Hempasan ini membunuh kesemua 64 penumpang dan kakitangan dalam pesawat dan 125 lagi di Pentagon. Hazmi mula-mulanya disangka sekadar "pembantu" ekoran serangan itu, tetapi lambat-laun didapati memainkan peranan yang lebih penting dalam perancangan operasi daripada yang dipercayai pada mulanya.[3] Adiknya, Salem al-Hazmi, juga seorang perampas dalam penerbangan yang sama.
Rujukan
- ^ "United States v. Zacarias Moussaoui, trial exhibit #SD00405". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-02. Dicapai pada 2011-08-19.
- ^ National Commission on Terrorist Attacks, 9/11 Commission, p. 166
- ^ Los Angeles Times, links al Qaeda paymaster, 9/11 plotter, 27 September 2002