Ziad Jarrah | |
---|---|
Kelahiran | Ziad Jarrah (Arab: زياد جراح ) 11 Mei 1975 Mazraa, Lebanon |
Meninggal dunia | 11 September 2001 | (umur 26)
Ziad Samir Jarrah (Arab: زياد سمير جراح , Ziyād Samīr Ǧarrāḥ) (11 Mei 1975 – 11 September 2001) ialah salah seorang dalang serangan 11 September 2001 yang merupakan juruterbang perampas Penerbangan 93 United Airlines yang kapal terbangnya terhempas di atas sebuah padang di kawasan luar bandar dekat Shanksville ekoran tindakan para penumpang melawan balik.[a]
Dibesarkan dalam keluarga kaya-raya yang berpemikiran sekular, Jarrah berpindah ke Jerman pada tahun 1996. Beliau terlibat dalam perancangan serangan 11 September 2001 sewaktu menghadiri sebuah maktab teknik pada akhir 1990-an, bertemu dengan Mohamed Atta, Marwan al-Shehhi dan Ramzi bin al-Shibh, lalu membentuk sarang Hamburg pada tahun 1998. Jarrah direkrut oleh Osama bin Laden pada tahun 1999.
Jarrah tiba di Amerika Syarikat pada Jun 2000, lalu berlatih di Florida Flight Training Center hingga Januari 2001.
Pada 7 September 2001, Jarrah terbang dari Fort Lauderdale ke Newark. Pada 11 September, Jarrah menaiki United 93, dan beliau dipercayai mengambil alih kawalan juruterbang pesawat itu bersama pasukan perampasnya yang terdiri daripada Saeed al-Ghamdi, Ahmed al-Nami dan Ahmed al-Haznawi. Mereka berempat membuat cubaan yang gagal untuk menghempaskan pesawat itu ke Kapitol atau Rumah Putih.[b]
Catatan
- ^ Melainkan dinyatakan sebaliknya oleh sumber, kenyataan dalam rencana ini datangnya terutamanya daripada Laporan Suruhanjaya 9/11.[1] Di mana terdapat percanggahan yang ketara dengan laporan tersebut berkenaan fakta-fakta penting tentang kehidupan Jarrah, ini disebutkan secara terang-terangan.
- ^ Pelbagai sumber telah berspekulasi bahawa Rumah Putih merupakan sasaran Penerbangan 93; Laporan Suruhanjaya 9/11, berdasarkan maklumat yang diterima daripada soal siasat ke atas Khalid Sheikh Mohammed, menegaskan dengan yakinnya bahawa bangunan Kapitol ialah sasaran yang sebenar. Selain itu, sebelum diberkas, Sheikh Mohammed bersama bin al-Shibh, memberitahu seorang wartawan al-Jazeera pada tahun 2002 bahawa sasaran keempat itu sebenarnya Kapitol.[2]
Rujukan
- ^ National Commission on Terrorist Attacks Upon the United States(Ben-Veniste, Richard; Fielding, Fred F.; Gorelick, Jamie; Gorton, Slade; Hamilton, Lee H.; Kean, Thomas; Kerrey, Bob; Lehman, John F.; Roemer, Timothy J.; Thompson, James R.) (2004). The 9/11 Commission Report: Final Report of the National Commission on Terrorist Attacks Upon the United States. W.W. Norton & Company. ISBN 0-393-32671-3, also availableonline
- ^ "Al-Qaeda 'plotted nuclear attacks'". BBC News. 2002-09-08. Dicapai pada 2010-10-09.