Mohamad Ezam Mohd Nor | |
---|---|
محمد عظم محمد نور | |
Ahli Dewan Negara Malaysia | |
Dalam jawatan 3 Mei 2010 – 2 Mei 2013 | |
Dalam jawatan 26 Ogos 2013 – 5 Mac 2014 | |
Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional | |
Dalam jawatan 4 April 1999 – 2007 | |
Didahului oleh | Jawatan diwujudkan |
Digantikan oleh | Shamsul Iskandar Mohd Akin |
Presiden Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (GERAK) | |
Dalam jawatan 2007–2010 | |
Didahului oleh | Jawatan diwujudkan |
Digantikan oleh | Mohd Nazree Mohd Yunus |
Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia | |
Dalam jawatan Disember 2022 – September 2024 | |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Mohamad Ezam Mohamad Nor 24 April 1967 Klang, Selangor, Malaysia |
Pekerjaan | Ahli politik, aktivis |
Mohamad Ezam Mohd Nor (Jawi: محمد عظم بن محمد نور ; lahir 24 April 1967), atau dikenali sebagai Ezam Mohd Nor, ialah seorang aktivis politik di Malaysia. Beliau mula dikenali apabila terlibat dalam gerakan reformasi 1998 dan menjadi Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pertama pada 1999. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sebanyak dua kali dari 2010 hingga 2013,[1] dan 2013 hingga meletakkan jawatan pada 2014.[2]
Beliau merupakan Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia sejak Disember 2022.[3] Beliau menjadi anggota PRM sehingga September 2024, sebelum menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).[4]
Beliau turut aktif menggerakkan badan bukan kerajaan yang memberi tumpuan pada antirasuah seperti Gerakan Rakyat Anti-Korupsi (GERAK)[5] dan Pusat Hisbah untuk Pembaharuan (HISBAH).[6]
Pendidikan
Ezam dilahirkan pada 24 April 1967 di Klang, Selangor. Beliau pernah bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur dari tahun 1980 sehingga 1984. Beliau menyambung pelajaran beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan ekonomi dari tahun 1987 hingga 1991.[perlu rujukan]
Kerjaya politik
Kerjaya awal politik
Dari 1993 hingga 1996, Mohamad Ezam berkhidmat sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Selangor, dan seterusnya menjadi Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Selangor dari 1996 hingga 1998. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Selangor pada 1998 hingga perletakan jawatannya kerana gerakan Reformasi.
Mohamad Ezam sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim. Beliau berkhidmat sebagai felo penyelidik di Institut Kajian Dasar (IKD), sebuah badan pemikir yang diasaskan oleh Anwar, dari 1998 hingga 2005.[7]
Reformasi dan pengasas KeADILan
Selepas Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September 1998, beliau dan pemimpin politik lain turun ke jalan raya di ibu negara, Kuala Lumpur. Kemunculannya di pentas politik menarik ramai penyokong dan penonton. Mohamad Ezam adalah bekas Ketua Pemuda Keadilan (kini AMK) dari 1999 hingga 2007. Beliau antara yang mempertahankan Anwar Ibrahim ketika dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh. Mohamad Ezam sendiri pernah ditahan dua kali selama hampir tiga tahun di Kem Tahanan Kamunting dan Penjara Kajang di bawah Akta ISA dan OSA.
Penubuhan GERAK
Mohamad Ezam ialah bekas pengasas Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), sebuah badan yang ditubuhkannya selepas dibebaskan dari penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Pada 2001, Ezam didakwa di bawah OSA kerana mendedahkan fail kes rasuah Rafidah Aziz. Pada 2002, Ezam dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Pada 24 Januari 2004, ketika Anwar Ibrahim masih dalam penjara, Ezam mengatur pertemuan dengan Gerak. Majlis Pelancaran Gerakan Anwar Perak Merdeka telah diadakan di Ibu Pejabat Kehakiman Pasir Salak di Permatang Peranduk. Walau bagaimanapun, iada kebenaran yang diberikan untuk permit perhimpunan ini daripada Balai Polis Teluk Intan. Oleh itu, pasukan polis yang terdiri daripada lapan trak dan lebih 200 anggota FRU melakukan serbuan ketika Mohamad Ezam, Muhaimin Sulam, Othman Abd Rahman dan Kapten Usaili (Ahli Parlimen Bota) sedang berucap. FRU yang datang ke perhimpunan tersebut bersenjata penuh dan meriam air.
Memasuki UMNO semula
Pada 28 Mei 2008, selepas hampir setahun meninggalkan PKR dan aktif sebagai aktivis GERAK, Mohamad Ezam telah menyertai semula parti UMNO setelah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Pada tahun yang sama, Kerajaan Abdullah melakukan rombakan terbesar dalam usaha memerangi rasuah dengan meluluskan Akta SPRM menggantikan Akta BPR. Mohamad Ezam kemudiannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara mengenai SPRM.[8][9]
Mohamad Ezam dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan Malaysia bermula 15 Mac 2014 hingga 2016. Kali terakhir beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan sebelum dilantik semula menyertai Kementerian itu ialah pada tahun 1998. Pada 2 Oktober 2016, beliau mengumumkan untuk keluar dari UMNO dan semua jawatan kerajaan sebelum melakukan tindakan saman terhadap kerajaan dan mengkritik keras kegagalan kerajaan melakukan perubahan khususnya dalam isu membabit rasuah.[10]
Kontroversi dan isu
Tuduhan enam kotak bukti berkaitan rasuah
Pada 27 Mei 2009, Ezam muncul dalam program "Hujah" TV9 dan menafikan mempunyai enam kotak rasuah yang diwar-warkan oleh Anwar Ibrahim semasa beliau dalam tahanan di Sungai Buloh. Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan dakwaannya mengenai kewujudan enam kotak rasuah yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim sebelum Anwar ditangkap.
Mohamad Ezam berpendapat bahawa kerajaan yang berkuasa itu terdedah kepada rasuah. Ini telah dinyatakan oleh Ibn Khaldun dan Syed Hussein Alatas. UMNO telah lama berkuasa dan amalan rasuah sudah berakar umbi di dalam parti politik itu. Beliau menambah, "Biasalah parti-parti politik yang sudah lama memerintah akan terlibat dengan rasuah dan pemimpin UMNO sendiri mengakui wujudnya rasuah dalam parti".[11]
Keputusan pilihan raya
Tahun | Kawasan | Individu | Parti | Undian | Lawan | Parti | Undian | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1999 | Shah Alam | Mohamad Ezam Mohd Nor | Keadilan | 33,075 | Mohd Zin Mohamed | BN (UMNO) | 35,851 | 30,841 |
2022 | Petaling Jaya | Mohamad Ezam Mohd Nor | PRM | 2,049 | Lee Chean Chung | PH (Keadilan) | 83,311 | 50,575 |
Theng Book | PN (Bersatu) | 32,736 | ||||||
Chew Hian Tat | BN (MCA) | 23,253 | ||||||
Mazween Mokhtar | GTA (Pejuang) | 4,052 | ||||||
K. J. John | Bebas | 461 |
Anugerah
Anugerah di Malaysia
- Malaysia
- Panglima Jasa Negara (PJN) – Datuk (2016)[12]
Rujukan
- ^ "Ezam sworn in as senator for second term". Astro Awani. 26 Ogos 2013. Dicapai pada 14 Disember 2022.
- ^ Bernama (2014-03-18). "Ezam pengarah komunikasi Kementerian Kewangan". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ "Mohamad Ezam Timbalan Pengerusi PRM yang baharu". www.astroawani.com. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ ASHAHA, NOR SYAMIRA LIANA NOR (2024-09-16). "Mohamad Ezam, Mazlan sah sertai Pas". Sinar Harian. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ Noor, Muda Mohd (2007-11-05). "Ezam: Akta Rasuah tiada kuasa siasat pemimpin politik". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ Alhadjri, Alyaa (2018-05-02). "Ezam comes full circle, now backs Azmin to remain MB". Malaysiakini. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ "Umno, landasan Ezam perangi rasuah". Malaysiakini. 2008-05-29. Dicapai pada 2024-10-09.
- ^ Keputusan Ezam 'aneh', kata Wan Azizah, Malaysiakini. 22 Mei 2008.
- ^ Najib sambut baik kemasukan semula Ezam dalam Umno, mSTAR Online. 25 Mei 2008
- ^ [1]
- ^ [Program Hujah jam 9.30 malam 27 Mei 2009 bersama Prof. Agus Yusof]
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat".
- Kelahiran 1967
- Orang hidup
- Orang dari Selangor
- Ahli politik Malaysia berketurunan Melayu
- Anggota Parti Islam Se-Malaysia
- Bekas anggota Parti Rakyat Malaysia
- Bekas anggota Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
- Bekas anggota Parti Keadilan Rakyat
- Bekas anggota Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia ke-12
- Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia ke-13