Minah Yem atau nama sebenarnya Menah Mohd Pendek (1916 - 29 Oktober 1988) merupakan pelakon filem dan penari bangsawan era 50an hingga 80an sekaligus isteri dari pada pelakon filem melayu, Yem Jaafar.[1]
Minah Yem | |
---|---|
Kelahiran | Menah Mohd Pendek 1916 |
Meninggal dunia | 29 Oktober 1988 | (umur 71–72)
Sebab kematian | Sakit Tua |
Tempat ditanam | Tanah Pekuburan Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Malaysia |
Nama lain | Minah Ketot, Mak Minah |
Tahun aktif | 1920an-1988 |
Pasangan | Yem Jaafar |
Keluarga | Noor Nesah (Kudut) Ibrahim (anak) Norsiah Yem (anak) Yusof (anak) Cinta (anak) Jambul (anak) Abu Bakar Yem (anak) Bibi Yem (anak tiri) Aidie Ali (cucu) Ebby Saiful (cucu) Eddy Nor Ali (cucu) 25 Cucu 8 Cicit |
Biografi
Menah Mohd Pendek atau lebih dikenali sebagai Minah Yem atau Minah Ketot dilahirkan pada tahun 1916 dan bermula karier seninya di pentas bangsawan bersama Grand Noran Opera pimipinan seniman Ibrahim Jaafar atau Yem Jaafar pada awal 1920an. Di situlah mereka bertemu dan mendirikan rumahtangga.[2]
Minah Yem pula memikat hati kerana tubuhnya. Disebabkan tubuhnya yang genit dan perwatakannya yang gemar berjenaka, beliau lebih dikenali sebagai Minah Ketot dan kerana sebab yang sama juga lahir filem Si Ketot dalam awal tahun 60an. Minah Yem Juga pernah digelarkan sebagai The Shirley Temple of Malaya oleh para peminatnya di Singapura dan Malaysia ketika sewaktu ia masih muda.
Dari bangsawan, Minah melangkah ke dunia perfileman dengan filem pertamanya Buloh Perindu pada tahun 1953. Memandangkan usia Minah sudah menjangkau 37 tahun pada permulaan karier filemnya, beliau hanya memegang peranan pelakon pembantu sahaja seperti dayang, mak bidan, penari, pelawak dan nenek kebayan.
Minah Yem juga merupakan salah seorang pelakon yang pernah berlakon untuk 4 buah studio iaitu Keris Films, Shaw Brothers/Malay Film Productions, Cathay Keris dan Studio Merdeka. Selain daripada itu Minah Yem juga aktif dalam filem-filem keluaran Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris. Antara pelakon-pelakon seangkatannya ialah Udo Omar, M. Suki, Ahmad Nisfu, M. Babjan, Aman Belon, Mahmud Jun, Habsah Buang dan Mak Enon.
Antara watak lakonan Minah Yem yang telah mencuit hati penonton ialah sebagai jiran yang bergaduh dengan suaminya Nyong dalam filem Bujang Lapok, dan sebagai salah seorang dayang tua dalam Laksamana Do Re Mi.
Bakat beliau dalam bidang seni tidak terhad dalam bidang lakonan dan lawak jenaka saja. Minah Yem juga pernah menjadi penari dan pereka tari untuk filem-filem melayu lama. Minah Yem pernah dilantik menjadi jurulatih kumpulan penari diraja. Darah seni yang mengalir ditubuh beliau juga mengalir ditubuh anak dan cucu-cucunya.
Anaknya Norsiah Yem aktif sebagai penari dalam filem-filem Melayu Cathay Keris, sementara beberapa cucunya Ebby Saiful, Eddy Ali, Eddy Nor Ali dikenali sebagai penyanyi dan pelakon.
Pada tahun 1986, Minah Yem pernah diundang berlawak bersama-sama Momo Latiff dalam rancangan Hiburan Minggu Ini.[3]
Kematian
Pada 29 Oktober 1988, Minah Yem menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Besar Kuala Lumpur pada usia 72 tahun akibat sakit tua. Minah Yem meninggal sebelum A.K. Jailani menghembuskan nafas terakhirnya dua hari kemudian.
Menurut rakan seperjuangannya, Mahmud Jun, Sebelum menemui ajalnya, Minah Yem dimasukan ke hospital selama seminggu setelah terjatuh hingga menyebabkan separuhnya lumpuh. Mahmud Jun yang bercakap di rumah salah seorang anak Minah Yem, Cinta Yem, di Kampung Baru, berkata Minah Yem meninggal kira-kira 9.45 malam.
Minah Yem dikebumikan di pusara Jalan Ampang, Kuala Lumpur selepas zuhur. Beliau meninggalkan enam anak iaitu Yusof Yem, Norsiah Yem, Bibi Yem, Cinta Yem, Kudud Yem dan Jambul Yem, 25 Cucu dan 8 Cicit.[4]
Filemografi
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1953 | Buloh Perindu | Filem pertama | |
1957 | Bujang Lapok | Jiran yang bergaduh dengan suaminya | |
1959 | Bawang Putih Bawang Merah | Labu | |
1960 | Pak Pandir Moden | ||
1961 | Jalak Lenteng | Mak Inang | |
Yatim Mustapha | Nenek Kebayan | ||
Sultan Mahmud Mangkat Dijulang | Mak Piah | ||
1962 | Chelorong Cheloreng | Maharani Alhafsa | |
1963 | Gila Talak | Intan (Isteri Tok Penghulu) | |
Chuchu Datok Merah | Mak Bomoh | ||
1969 | Mat Toyol | ||
1972 | Laksamana Do Re Mi | Dayang Istana | |
1982 | Anak Sulung Tujuh Keturunan | ||
Raja Laut | Bidan Mak Hitam | ||
1984 | Di Ambang Kasih | Filem terakhir |
Rujukan
- ^ "Menah(Minah Ketot/Minah Yem) Mohd Pendek". geni_family_tree. 2021-01-16. Dicapai pada 2024-04-30.
- ^ "Facebook". www.facebook.com. Dicapai pada 2024-04-30.
- ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.
- ^ "NewspaperSG". eresources.nlb.gov.sg. Dicapai pada 2024-04-30.