MASA | |
---|---|
Juga dikenali sebagai | Massa, Scarecrow |
Berasal dari | Kuantan, Pahang, Malaysia |
Genre | Rock progresif, slow rock, balada |
Pekerjaan | Kugiran |
Instrumen | Vokal / Band |
Tahun aktif | 1988 - 1993 |
Syarikat rakaman | Perdana Muzikal Industri Sdn. Bhd. (PMI), New Southern Records |
Pengkarya berkait | Awang BPR, Zur'Ain, M. Nasir, J.S Kevin |
Laman sesawang | http://www.geocities.com/masa_scarecrow |
Ahli | Shaiful - dram |
Bekas ahli | Zul - vokal (meninggal dunia) Lan - 1st lead (meninggal dunia) Mazwan - 2nd lead Madi - bass (meninggal dunia) |
Kumpulan Masa[1], juga dikenali sebagai Masa Scarecrow merupakan sebuah kumpulan rock yang terkenal dan berjaya pada lewat 80-an hingga awal 90-an. Berasal dari Kuantan, Masa merupakan salah satu gergasi rock dari negeri Pahang selain Dinamik, Meditasi dan Melissa. Kumpulan ini popular dengan beberapa lagu hit antaranya Patahnya Sayap Malam, Amanda Gadisku dan Persandingan Abadi.
Perjalanan Karier
Sejarah Awal
Kumpulan Masa telah ditubuhkan pada tahun 1986 di Kuantan, Pahang dan pada asalnya mereka menggunakan nama Red Daim Yo. Pada awal penubuhannya, kumpulan ini dianggotai oleh Syamsul (vokal), Lan (gitar), Rohaizad (gitar), Madi (bass) dan Azmi (dram). Kemudian, Red Daim Yo telah mengalami pertukaran anggota dengan kemasukan Zul (vokal) dan Jaidi (dram) untuk menggantikan tempat Syamsul dan Azmi. Pada ketika itu, kumpulan ini sering mempersembahkan lagu cover dari beberapa kumpulan rock dari luar negara, antaranya Black Sabbath, Michael Schenker Group, Loudness, Whitesnake dan Mr. Big.
1988-1989 : Juara Muzik Tenggara, "Masa Scarecrow", Pertukaran Anggota & Album Pertama
Pada tahun 1988, satu pertandingan muzik paling berpestij di Pahang telah diadakan buat pertama kalinya di bawah biayaan kerajaan negeri iatu Pertandingan Juara Muzik Tenggara. Menerusi pertandingan ini, Red Daim Yo yang ketika itu sudah menukar nama kepada Scarecrow telah menggondol tempat ketiga di belakang Eye's Killers (juara) dan Aces (naib juara). Dengan kejayaan tersebut, jalan Scarecrow terbuka luas apabila mereka telah ditawarkan kontrak oleh syarikat rakaman yang berpusat di Seremban, Negeri Sembilan iaitu Mutiara Records untuk merakamkan album War Rock 3 bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan finalis Juara Muzik Tenggara. Pada masa yang sama, Scarecrow juga dihampiri oleh sebuah syarikat rakaman baharu yang berpangkalan di Kuala Lumpur iaitu Perdana Muzikal Industri atau lebih dikenali sebagai PMI. Atas nasihat rakan-rakan, Scarecrow mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak sebagai artis rakaman pertama di bawah label PMI. Pada saat ini, Jaidi tidak dapat meneruskan perjuangan dan tempatnya digantikan oleh Shaiful, rakan mereka dari salah sebuah studio jamming di Kuantan yang juga pemain dram asal kumpulan Bee Tee Five Rockers yang turut bersaing dengan Scarecrow dalam pertandingan Juara Muzik Tenggara. Kemasukan Shaiful telah memberi semangat baru buat kumpulan ini dan mereka sepakat untuk menamakan kumpulan mereka sebagai Masa sekaligus menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan kumpulan-kumpulan rock untuk menggunakan nama Melayu. Tidak mahu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat, mereka juga telah mengekalkan nama Scarecrow di belakang nama Masa kerana nama Scarecrow telah dikenali ramai ketika mereka masih lagi berada di Kuantan.
Namun sebelum mereka berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan sesi rakaman, Rohaizad telah mengundurkan diri, meninggalkan Zul, Lan, Madi dan Shaiful yang masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan muzik Masa. Atas faktor kekangan masa, sesi rakaman diteruskan dengan hanya Lan merupakan satu-satunya gitaris Masa.
Sesi rakaman album pertama Kumpulan Masa Scarecrow telah diadakan di studio Channel 11 di Kuala Lumpur. Akhirnya, album pertama Masa yang menggunakan nama mereka sebagai judul album mendarat di pasaran pada tahun 1989 dan ia menjadikan album terbitan PMI yang berjaya pada waktu itu. Menerusi salah satu lagu yang terkandung dalam album tersebut iaitu Amanda Gadisku ciptaan M. Nasir, lagu tersebut berjaya menambat hati pendengar-pendengar muzik sehingga lagu tersebut tercalon dalam Muzik-Muzik '89.
Ketika proses rakaman album pertama Masa sedang dijalankan, Masa sangatlah bertuah kerana mereka mendapat tajaan dari sebuah syarikat rokok terkenal iaitu Kingsway dan juga tajaan pakaian dari syarikat pakaian terkenal iaitu Lee.
1990-1991 : Doktrin Metos & Juara Lagu '91
Kejayaan album pertama Masa telah menaikkan lagi semangat mereka untuk terus memperjuangkan irama rock tanah air. Dengan kejayaan tersebut, PMI telah memberi tawaran kepada Masa untuk menghasilkan album kedua di bawah label tersebut. Untuk memantapkan lagi susunan muzik mereka, Masa telah membawa masuk bekas gitaris kumpulan Mentari dan Hijrah, Mazwan Malek sebagai gitaris 2nd lead untuk kumpulan tersebut menjadikan Masa kembali berlima setelah setahun mereka mencipta nama dalam industri muzik.
Dengan khidmat Usop Kopratasa selaku penerbit, Masa telah menyusun sendiri muzik mereka dan hasilnya, album kedua mereka yang diberi judul Doktrin Metos mendarat di pasaran pada akhir tahun 1990. Album ini tetap menggunakan corak muzik yang sama seperti album pertama mereka iatu Hard Rock, Rock n Roll,dan Slow Rock yang cukup lunak. Album kedua Masa menampilkan lagu hit mereka, Patahnya Sayap Malam ciptaan Awang BPR dan Ainol Jamal (Zur'Ain). Berbanding album pertama, album kedua Masa ternyata lebih meletup apabila mencatatkan jualan menghampiri 200,000 unit sekaligus menjadikan kumpulan Masa sebagai kumpulan rock paling popular dari Pahang. Populariti Masa pada waktu ini melonjak dengan begitu mendadak sehinggakan lagu hit mereka terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-6 di mana pada tahun itu kesemua finalisnya terdiri daripada kumpulan-kumpulan rock dan penyanyi rock solo.
Atas kejayaan yang cukup membanggakan melalui album Doktrin Metos, sekali lagi PMI memberi peluang kepada Masa untuk merakamkan album ketiga yang juga album terakhir mereka berjudul Masa III - Rhythm Mix. Seperti album Doktrin Metos, album ini masih menggunakan khidmat Siso Kopratasa dan susunan muzik diolah sepenuhnya oleh mereka sendiri. Album ini turut menampilkan kematangan Masa sendiri dalam penciptaan lagu dan penyusunan muzik Masa sendiri dengan sedikit sebanyak menambah elemen-elemen Funky dan "power ballad" yang lebih progesif di dalam lagu-lagu mereka. Album Masa III berada di pasaran pada tahun 1992.
1993 : Kejatuhan Industri Rock
Tahun 1993 merupakan tahun kejatuhan industri muzik Rock Malaysia dan kumpulan Masa juga tidak terlepas dari dibelenggu zaman kejatuhan muzik rock pada tahun 1993. Ini kerana syarikat rakaman mereka, PMI terpaksa melepaskan kumpulan Masa dan beberapa kumpulan yang lain yang dibawah naungan PMI dan Varia Muzik seperti Gamma, Meditasi, Arena dan lain-lain. Tambahan pula, keadaan pada waktu itu semakin kritikal apabila syarikat rakaman gagal untuk menjelaskan status sebenar kumpulan Masa. Bimbang jika pihak PMI akan mengambil tindakan ke atas kumpulan Masa jika kumpulan ini menyertai syarikat rakaman lain, kumpulan ini mengambil keputusan untuk pulang ke Pahang. Pada waktu ini juga, sebuah syarikat rakaman yang bernama Waris Production telah menawarkan projek album kepada vokalisnya, Zul yang bergerak secara solo pada waktu itu untuk projek album solo Zul yang diterbitkan oleh Usop Kopratasa, dengan rancangan untuk menggunakan anggota Masa sendiri sebagai pemuzik untuk projek album solo Zul. Sayangnya, album ini tidak sempat untuk menjalani sebarang sesi rakaman disebabkan dua tragedi berasingan yang berlaku kepada dua anggota Masa iaitu Zul dan Lan.
Anggota kumpulan
- Zulkifli Mat Amin [lahir 5.5.1964] - Vokal (meninggal dunia 16.7.1996)
- Roslan Abdul Karim [lahir 6.7.1966] - 1st Lead (meninggal dunia 1995)
- Mazwan Malek [lahir 21.10.1971] - 2nd Lead
- Hasmadi Abdul Hamid [lahir 3.8.1964] - Bass (meninggal dunia 2.8.2020)
- Shaiful Bahari Hamzah [lahir 6.4.1969] - Dram
Anggota kumpulan baru
Zack - Vokal
- Syukri - Lead guitar
- Azirudin - Rhythm guitar
- Khairuddin - Bassist
- Saiful - Drum
Diskografi
Album studio
Tahun | Judul | Jualan |
---|---|---|
1989 | Masa
|
|
1990 | Doktrin Metos
|
Jualan Melebihi 100,000 unit |
1992 | Masa III
|
Trivia
- Lagu Patahnya Sayap Malam ciptaan Awang Bpr dan lirik ditulis oleh Ainol Jamal berjaya meletakkan Kumpulan Masa Scarecrow untuk menjadi juara bulanan Muzik-Muzik pada bulan Febuari 1991 dan menjadi juara carta muzik di beberapa radio tempatan yang lain,sekaligus membawa mereka ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-6 .
- Sewaktu malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-6,Kumpulan Masa Scarecrow dilanda beberapa masalah yang pernah terjadi sewaktu reheasel,iatu pedal drum tersangkut,bunyi gitar yang tidak jelas sekaligus merencatkan persembahan Kumpulan Masa Scarecrow pada malam itu.Tambahan pula,vokalis kumpulan ini, Zul demam pada malam itu.Dikahabarkan, masalah ini telah disebabkan oleh tangan "orang dalam" yang sengaja merosakan instrumen-instrumen muzik beberapa kumpulan rock yang bertanding pada malam itu
- Berbanding dengan kumpulan-kumpulan rock yang lain yang seangakatan dengan mereka,Kumpulan Masa Scarecrow hanya "tinggal nama",memandangkan,Lan(Gitaris),dan Zul(Vokalis) telah pun meninggal dunia dalam dua tragedi berasingan pada tahun 1995 dan 1996.Manakala,Madi(Bassist) pula telah meninggal dunia pada hari jadinya pada 2 Ogos 2020 selepas mengalami sakit perut.
- Madi(Bassist) merupakan penulis lirik untuk lagu biasan nyanyian Toki.
- penuh.
Rujukan
- MASA (Rock Diarkibkan 2016-04-03 di Wayback Machine)
- Masa_Discogs
- Melayurock_Masa Scarecrow
- Masa Scarecrow: Yang Tidak Kita Tahu
- ^ Masa