Junction | |
---|---|
Latar belakang | |
Berasal dari | Simpang Jabi, Segamat, Johor, Malaysia |
Genre | Rock |
Pekerjaan | Penyanyi / Pemuzik |
Instrumen | Vokal / Band |
Tahun aktif | 1986-1990 2007-kini |
Syarikat rakaman | PolyGram |
Ahli | Hatta - Vokal Noorazman - Gitar Utama Misman - Bass |
Bekas ahli | Amir - Gitar Kedua (meninggal dunia) Syed - Bass Rashid - Vokal Gman - Keyboard |
Kumpulan Junction merupakan sebuah kumpulan muzik penyanyi[1] rock 80-an[2] yang aktif di Malaysia dan menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Sejarah
1986-1987 : Sejarah Awal
Kumpulan Junction telah diasaskan di Segamat, Johor pada sekitar tahun 1986 oleh dua orang gitarisnya iaitu Noorazman Zainal Abidin (Man - gitar utama) dan Mohd Amir Ahmad (Amir - gitar kedua). Nama Junction diambil sempena nama kampung mereka iaitu Kg Kadut, Simpang Jabi di mana perkataan "Junction" membawa maksud "simpang" dalam bahasa Inggeris. Junction pada awal penubuhan tanpa album, disertai oleh Norazman (Gitar), Arwah Mohad Amin@ Amir (lead Gitar), Syed (bass), Misman (dram), Baha (vokal) dan Gman (keyboard) di mana mereka kemudiannya menyertai pertandingan-pertandingan muzik rock di negeri Johor, salah satunya ialah Juara Rock Johor 1987 yang turut disertai Crossfire, A.S.K (kini All Star Kluang), Black CT (BC) Rockers, Prodigy dan banyak lagi namun rezeki kemenangan tidak berpihak kepada mereka. Walau bagaimanapun mereka tetap giat berlatih demi memantapkan lagi muzik mereka. Namun pada ketika inilah, Baha (vokal) dan Gman (keyboard) mengundurkan diri atas komitmen peribadi, sekaligus meninggalkan lompong yang besar. Maka dengan itu, mereka telah melakukan sesi uji bakat untuk mencari vokalis Junction yang baharu dan pada masa yang sama memutuskan untuk bergerak hanya dengan empat pemuzik sahaja iaitu Man, Amir, Syed dan Misman.
1987-1988 : Penyertaan Hatta & Junction Terbang Tinggi
Pada masa yang sama, menerusi saudara terdekat anggota kumpulan Burnmarks yang sudahpun mencipta nama dalam industri muzik tempatan, mereka telah mengenali seorang pemuda bernama Kamarul Hatta (Hatta) yang pada ketika itu merupakan anggota kumpulan Black CT Rockers di Ayer Hitam, Batu Pahat. Bakat nyanyian dan ilmu muzik Hatta yang begitu luas telah menarik perhatian anggota Burnmarks yang kemudiannya membawa Hatta ke Segamat untuk diuji bakat oleh kumpulan Junction. Dengan kemantapan dan keunikan suara yang dimiliki Hatta, dengan serta-merta Junction bersetuju untuk menerima Hatta sebagai vokalis tetap Junction sekaligus, Hatta mengundurkan diri dari Black CT Rockers dan terus berpindah ke Segamat untuk menyertai mereka.
Junction bersama Hatta kemudiannya mengikuti Burnmarks untuk memulakan karier muzik mereka dan kemudiannya mengadakan persembahan di Kathy's Lounge, Damansara, Selangor. Kemantapan persembahan Junction telah menarik perhatian pemilik Kathy's Lounge, Mr. Tan untuk mengambil Junction sebagai kumpulan residen menggantikan tempat kumpulan Wings sebelumnya. Menerusi Mr. Tan jugalah Junction kemudiannya dilamar oleh PolyGram, sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang berpangkalan di Singapura untuk menjadi artis rakaman. Peluang tersebut nyata tidak dilepaskan oleh Junction dan mereka kemudiannya menyertai PolyGram dengan kontrak untuk menghasilkan tiga buah album di bawah label tersebut. Junction kemudiannya bertolak ke Singapura untuk memulakan sesi rakaman album pertama di Lion's Studio selama seminggu, satu jangka masa yang terlalu singkat untuk disiapkan oleh sebuah kumpulan rock baharu pada ketika itu.
Setelah melalui berbagai tekanan dan rintangan, akhirnya Junction berjaya menghasilkan album pertama mereka yang berjudul Arah yang menemui pasaran pada 14 Jun 1988 oleh Polydor yang merupakan sebahagian daripada label PolyGram. Album pertama Junction ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat-peminat rock dengan jualan melebihi 50,000 unit biarpun pada ketika itu, PolyGram sebenarnya agak lepas tangan dan kurang mempromosikan kumpulan-kumpulan muzik tempatan. Kejayaan album Arah ini juga memberikan hasil yang lumayan buat Junction apabila dilamar oleh sebuah syarikat rokok tempatan iaitu Kingsway untuk mengadakan persembahan tour di seluruh semenanjung pada tahun yang sama.
1989-Kini : Konflik, Pertukaran Vokalis, Reunion & Perkembangan Terkini
Pada tahun 1989, Junction mula menghadapi masalah apabila timbul ketidaksefahaman antara mereka dengan pengurus mereka, Mr. Tan berkenaan bayaran persembahan dan royalti jualan album. Hal ini membuatkan Junction menggunakan khidmat guaman awam agar memaksa Mr. Tan untuk melepaskan Junction dan bermula dari saat itu, Junction bebas untuk bergerak sendiri dalam mengadakan persembahan pentas. PolyGram juga menawarkan kontrak baharu kepada Junction di mana kontrak tersebut diberikan terus kepada Junction tanpa perlu lagi persetujuan daripada pihak tengah. PolyGram juga dengan cepatnya menawarkan Junction untuk menghasilkan album kedua, sekali lagi di Lion's Studio selama seminggu. Bebekalkan pengalaman lalu, kali ini Junction lebih bersedia dengan material untuk album kedua telah dibuat lebih awal sebelum masuk ke dalam studio. Akhirnya, album kedua Junction berjudul Penentuan mendarat di pasaran pada tahun 1989.
Menyedari bakat Hatta dalam penciptaan lagu, PolyGram juga menawarkan dua kontrak berasingan kepada beliau di mana beliau diberikan kontrak untuk merakamkan album solo dan menjadi komposer tetap di PolyGram. Kontraknya sebagai komposer tetap menyebabkan Hatta sentiasa sibuk kerana beliau perlu memberikan lagu ciptaannya kepada PolyGram pada masa yang ditetapkan. Hal ini sedikit sebanyak telah menimbulkan perselisihan faham di antara Hatta dengan anggota Junction yang lain. Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, Hatta akhirnya meninggalkan Junction serta menerbitkan album solo REAKSI dan tempatnya kemudian digantikan oleh Rashid yang mana dari Kumpulan Black CT Rocker, Misman Kisot pernah menganggotai Kumpulan X-Ray bersama-sama Arwah Sarfean Husin (Ujang Samudera)dalam posisi Drummer.
Bersama Rashid, Junction kemudiannya menghasilkan album ketiga berjudul Petualang pada tahun 1990. Namun begitu, album ini tidak begitu berjaya berbanding dua album sebelumnya dek kerana kebanyakan peminat yang masih merindui kehadiran Junction bersama Hatta. Junction akhirnya berpecah dan kesemua ahlinya membawa haluan masing-masing pada ketika itu.
Setelah 16 tahun berlalu, akhirnya Junction membuat renuion semula pada tahun 2007 dengan barisan anggota terbitan dari album pertama ARAH bersama Hatta, Noorazman, Amir, Syed dan Misman. [3]
Anggota kumpulan
- Kamarul Hatta Zaharudin (Hatta) - vokal (untuk album Arah dan Penentuan)
- Noorazman Zainal Abidin (Man) - Gitar
- Mohd Amin Ahmad (Amir) - Gitar
- Syed Mohamed Abdullah (Syed) - bass
- Misman Kisot (Misman) - dram
- Mohd Rashid Taha (Rashid) - vokal (untuk album Petualang)
- Baharuddin Birum(Baha)- Bekas Ahli awal Penubuhan
- M.Azman (G-Man) - Bekas Ahli awal penubuhan
Diskografi
Album
Tahun | Tajuk | Jualan |
---|---|---|
1988 | Arah
|
|
1989 | Penentuan
|
50,000 unit |
1990 | Petualang
|
|
2001 | Best Of Junction
|
Lagu Hit
- Akan Ku Kenang
- Tak Mungkin Lagi
- Demi Cinta Setia
- Bisikan Hati
- Cinta Sejuta Warna
- Monolog Untuk Rina
- Kisah Cinta Antara Kita
- Menunggu Hadirmu
- Tamar Jalis (Bercakap Dengan Jin)
- Cebisan Luka
- Ku Masih Merinduimu
- Alam Mimpi
- 11 LA
Trivia
- Kesemua anggota kumpulan Junction berasal dari Segamat, Johor kecuali vokalisnya, Hatta yang berasal dari Temerloh, Pahang.
- Vokalis Junction untuk album ketiga, Rashid juga senegeri dengan anggota Junction yang lain, tetapi berbeza tempat di mana Rashid berasal dari Ayer Hitam, Batu Pahat.
- Kedua-dua vokalis Junction, Hatta dan Rashid pernah berada dalam satu kumpulan yang sama iaitu Black CT Rockers semasa mereka berada di Ayer Hitam. Pada ketika itu, Rashid merupakan vokalisnya dan Hatta pula merupakan salah seorang gitarisnya.
- Pemain dram asal Junction, Misman kini beralih ke posisi bass menggantikan Syed yang kini tidak lagi bersama Junction.
- Misman juga menubuhkan kumpulan X-Ray yang aktif pada tahun 90-an bersama Allahyarham Ujang (bekas vokalis kumpulan Samudera), Kiss (gitar) dan Zam (bass).
- Gitaris utama Junction, Noorazman atau lebih dikenali sebagai Man merupakan sepupu kepada Omar Akira yang juga gitaris kumpulan Laksamana dan DIA.
- Gitaris kedua Junction, Mohd Amin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Amir telah kembali ke rahmatullah pada usia 43 tahun akibat lelah ketika menunggang motosikal dalam perjalanan ke rumahnya di sekita Kg Kadut Simpang Jabi, Segamat akibat lelah.
- Selepas Junction berpecah pada tahun 1990, Hatta bersama Syed dan Misman pernah menubuhkan sebuah kumpulan muzik baharu yang diberi nama Trilogy pada tahun 1992. Kumpulan Trilogy yang mendapat kontrak rakaman dengan Sony Music telah siap merakamkan album penuh, namun album tersebut tidak dapat dikeluarkan atas sebab yang tidak diketahui.
- Junction merupakan salah satu kumpulan rock yang menggunakan konsep twin lead di mana kedua-dua gitarisnya, Man dan Amir boleh bermain di posisi gitar utama. Konsep ini juga digunakan oleh beberapa kumpulan rock lain seperti Lefthanded (Man Kidal & Samad), Mega (Adie & Sam), Exist (Along & Shah), Crossfire (Burn/Assu & Yus), Spring (Zahar & Iskandar), Dinamik (Norin & Jeff) serta Cromok (Din & Karl).
Rujukan
- ^ Bubar ketika di puncak
- ^ "Usaha jejaki rockers 80-an, ARKIB : 15/03/2013". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-15. Dicapai pada 2014-07-02.
- ^ "Amir Junction meninggal - ARKIB : 24/10/2010". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-07-14. Dicapai pada 2014-07-02.
4. Junction kembali di Rompin, N.Sembilan 2003 5. Anggota Asal masih berhubung