Komputer atas meja ialah sejenis komputer yang direka bentuk supaya boleh diletakkan di atas meja untuk kegunaan di dalam rumah atau pejabat. Komputer ini boleh didapati di pasaran dengan harga yang amat berpatutan dan biasanya menjadi pilihan utama berbanding komputer riba. Komputer meja digunakan untuk kerja-kerja peribadi, umpamanya menulis dokumen, mengurus foto digital, menyunting video, dan melayari Internet. Berbanding komputer-komputer peribadi yang lain, komponen-komponen dalam komputer meja boleh dipasang dan ditukar dengan mudah.
Komponen
Bentuk komputer desktop adalah amat modular. Setiap satu komponen boleh dibeli secara berasingan dan dipasang dengan mudah. Seseorang yang mempunyai pengetahuan aras sederhana dalam pemasangan komputer boleh mengubah suai tatarajah perkakasan komputer dengan mudah tanpa merujuk pakar.
Berikut adalah komponen-komponen yang biasa dijumpai dalam komputer desktop:
- Kipas - untuk menyejukkan komputer tersebut. Kipas dipasang pada pemproses, bekalan kuasa dan, jika ada, kad grafik.
- Papan induk - menyambung semua komponen lain dan mengurus laluan data.
- Cakera keras - boleh menyimpan beberapa banyak data meskipun komputer dimatikan.
- Pemacu cakera optik - boleh membaca cakera padat atau DVD.
- Unit pemprosesan pusat - otak komputer.
- Ingatan capaian rawak atau RAM - boleh menyimpan data jangka masa pendek dan dikosongkan apabila komputer dimatikan.
- Kad grafik - memproses data grafik dan menghantarnya ke monitor.
- Kad fizik - melakukan pengiraan fizik untuk permainan komputer.
- Kad bunyi - memproses data bunyi dan menghantarnya ke pembesar suara.
- Pembesar suara - mengeluarkan bunyi.
- Modem - membolehkan perhubungan dengan komputer lain melalui talian telefon. Digunakan untuk membuat sambungan Internet dailan.
- Kad rangkaian - membolehkan perhubungan dengan jaringan komputer di mana komputer tersebut boleh memindahkan maklumat kepada komputer-komputer lain. Juga digunakan untuk membuat sambungan Internet jalur lebar.
- Unit bekalan kuasa - membekalkan kuasa elektrik kepada semua bahagian komputer.
- Pemacu cakera liut - untuk membaca dan menulis pada cakera liut.