Kad tambah | |
Memasang kad tambah pada papan ibu | |
Tarikh direka: | 1974 |
Direka oleh: | MITS |
Disambungkan kepada:
| |
Jenis kad: |
Kad tambah, juga dikenali sebagai papan tambah, kad penyesuai atau kad aksesori, ialah papan litar bercetak yang boleh disisipkan ke dalam slot tambah yang terletak pada papan ibu komputer untuk meningkatkan kefungsian sesebuah sistem komputer. Salah satu sisi kad tambah menampung sentuhan ( penyambung pinggir) yang betul-betul padan dengan slot tambah. Ia mengasaskan sentuhan elektrik antara komponen elektronik kad tambah (kebanyakannya litar bersepadu) dan komponen elektronik papan ibu.
Penyambung yang dipasang pada pendakap membenarkan sambungan peranti luaran kepada kad tambah. Bergantung kepada faktor bentuk papan ibu dan selongsong komputer, antara satu hingga tujuh kad tambah dapat ditambah ke dalam sesuatu sistem komputer. Dalam kes sistem satah belakang, sehingga 19 kad tambah dapat dipasang. Terdapat juga faktor yang lain yang mempengaruhi muatan kad tambah. Misalnya, sesetengah kad tambah memerlukan dua slot. Contohnya termasuk sesetengah kad grafik GeForce FX nVidia dan kad grafik GeForce yang lebih baharu, dengan ruang di antara kedua-dua slot itu sering disediakan untuk membantu penyejukan sesetengah kad atasan.
Sesetengah kad tambah merupakan kad "profil rendah", iaitu ia lebih pendek daripada kad piawai dan dapat dipasang ke dalam casis komputer yang lebih rendah. Terdapat juga piawai "kad PCI profil rendah" yang menetapkan saiz pendakap dan saiz papan yang jauh lebih kecil. Kumpulan kad tambah yang digunakan untuk kesambungan luaran seperti kad rangkaian, kad rangkaian kawasan storan (SAN) dan kad modem, umumnya dirujuk sebagai kad input/output (atau kad I/O).
Tujuan utama kad tambah adalah untuk memberikan atau memperluas ciri yang tidak diberikan oleh papan ibu. Misalnya, IBM PC yang asal tidak menyediakan keupayaan grafik atau pemacu cakera keras kerana teknologi yang berkait masih tidak wujud. Dalam kes sedemikian, kad tambah grafik dan kad pengawal cakera keras ST-506 masing-masing membekalkan keupayaan grafik dan antara muka cakera keras.
Dalam kes peningkatan keupayaan atas papan, sebuah papan ibu boleh membekalkan port RS232 bersiri tunggal atau port Eternet. Kad tambah boleh dipasang untuk membekalkan berbilang port RS232 atau berbilang port Eternet berjalur lebar lebih tinggi. Dalam kes tersebut, papan ibu memberikan kefungsian asas, manakala kad tambah membekalkan port tambahan atau port tertingkat.