Hikayat Panca Tanderan adalah sebuah hikayat dalam bahasa Melayu hasil karangan Abdullah Abdul Kadir Munshi. Hikayat ini merupakan adaptasi dari Panchatantra yang diterjemahkan dari Bahasa Tamil pada tahun 1835 dengan bantuan seorang teman Abdullah yang bernama Tambi Mutu Birapattar[1]. Abdullah sendiri adalah seorang Muslim dari campuran keturunan Tamil, Arab dan Melayu.
Isi cerita ini mirip dengan kisah Hikayat Khalila Dan Damina yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dari karya bahasa Arab sarjana Parsi Abdullah Ibn al-Muqaffa, Kalilah wa-Dimnah (كليلة و دمنة) yang diadaptasi dari versi Syria, Kalilag and Damnag yang juga merupakan adaptasi dari karya sanskrit asal. Akan tetapi, versi terjemahan Tamil oleh Abdullah ini dianggap lebih dekat dengan karya asal dalam bahasa Sanskrit kerana diterjemahkan secara langsung dari versi Tamil, yang ditulis dalam lingkungan budaya Hindu itu sendiri.
Cerita
Di negeri Padalipurwan, di benua Hindustan, memerintahlah seorang raja bernama Sukadarma. Baginda mempunyai empat putera yang sangat bodoh dan tidak mematuhi nasihat orang tua mereka. Maka sangat masygullah hati dan sangat berdukacitalah baginda akan perilaku mereka.
Maka suatu hari, ketika Raja menerima penghadapan para menteri dan pembesar negara, ada seorang Brahman bernama Sumasingha yang menawarkan untuk mendidik putera-puteranya. Raja merasa sangat bersukacita menerima tawaran tersebut maka dihantarkanlah kepada si Brahman segala anugerah dan kurnia kerajaan.
Brahmana mengajarkan empat putera bodoh tersebut dengan lima (Sanskrit:Pancha) cerita yang dibahagi-bahagikan berdasarkan ilmunya (Sanskrit:Tantra) dan disisipi juga dengan kisah-kisah binatang.
Tajuk lima cerita adalah:
- Matrapanam (dalam Sanskrit:Mitrabheda).
- Sakralaum (dalam Sanskrit:Mitraprâpti).
- Sandi Bikraum (dalam Sanskrit:Vigraha Sandhi).
- Artanasam(dalam Sanskrit:Labdhanâśa).
- Sambi Rica Karium (dalam Sanskrit:Aparîksitakâritva).
Kehilangan kesusteraan Melayu
Banyak hasil kesusteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskah-naskah kesusasteraan Melayu yang berasal dari zaman Hindu dahulu.
Selain itu kerana istana raja ialah menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya musnah binasa di makan api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansor Shah seperti tersebut kesahnya di dalam buku Sejarah Melayu yang mengatakan bahawa dalam peristiwa itulah kerajaan daripada Sang Nila Utama telah dibakar.
Selain itu dengan kejatuhan kerajaan Melaka, banyak kehilangan naskah-naskah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka alah dilanggar oleh Feringgi banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas). Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.
Selain itu berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British. Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah di kumpulkan oleh tuan Raffles.
Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Ada pun perpustakaan lama melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, diantaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tiada termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain dari itu ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.
Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah didalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada tuan Raffles, kerana ade tersebut di dalam buku yang bernama “ Raffles “ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudah pun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih di hargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran. Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebainya yang telah di simpan kedalam peti-peti oleh munshi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen.
Pada masa kini Bahwa Ini Hikayat Yang Di-Namai Panca Tanderan Yang Amat Indah-Indah menjadi salah satu sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan untuk penyelidikan ia boleh didapati di [Microfilm: A00030164C]. (1986). London: Reprographic Services, Reference Service Division, British Library.
Rujukan
- ^ Abdullah Munshi (author) Hamzah Hamzani (editor) (2007). Hikayat Abdullah. PTS publications. m/s. 343. ISBN 9789831920800.CS1 maint: extra text: authors list (link)
- [Microfilm: A00030164C]. (1986). London: Reprographic Services, Reference Service Division, British Library
Pautan luar
Senarai Kesusasteraan Melayu |
---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |