Hijjaz | |
---|---|
Asal | Kuala Lumpur ![]() ![]() |
Genre | Nasyid |
Tahun aktif | 1997 ![]() |
Diskografi | Lihat: Hijjaz discography (en) ![]() ![]() |
Pautan berkaitan | |
Tapak sesawang | hijjaz.com.my ![]() |
Pautan lain | ![]() ![]() ![]() ![]() |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Hijjaz merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam industri muzik di Malaysia, khususnya dalam dunia nasyid. Hijjaz juga merupakan salah satu gergasi nasyid tanah air selain Raihan dan Rabbani yang mula aktif pada penghujung tahun 90-an.
Sejarah
Kumpulan Hijjaz secara rasminya ditubuhkan pada 1 Ramadhan 1417H bersamaan 10 Januari 1997 di Kuala Lumpur. Penubuhan kumpulan ini bermula apabila Munif yang ketika itu bekerja di syarikat penerbitan buku Galeri Ilmu mula mengikuti kumpulan Raihan ke setiap persembahan mereka. Apabila nama Raihan menjadi sebutan setelah album pertama mereka, Puji-Pujian yang diterbitkan di bawah label WEA (kini Warner Music) mencatatkan jualan lebih dari sejuta unit, Munif yang teruja melihat kejayaan Raihan dalam arus perdana telah diminta oleh Allahyarham Zairey yang juga anggota Raihan untuk berbincang dengan pihak pengurusan Audio Permata Productions untuk menubuhkan sebuah kumpulan untuk memeriahkan lagi irama nasyid di Malaysia setelah kumpulan NadaMurni tidak lagi aktif. Tetapi disebabkan tiada kata putus dari pihak Audio Permata yang dilihat tidak berminat untuk terjun ke dalam dunia arus perdana, Munif telah mengajak Faizal, Isman dan Allahyarham Salleh untuk menubuhkan kumpulan yang diberi nama Hijjaz dan hampir sahaja mereka mengikat kontrak sebagai artis rakaman WEA pada awalnya.
Namun disebabkan kesibukan Farihin Abdul Fatah yang kerap bersama Raihan dalam urusan promosi dan jualan album, Farihin telah menyerahkan mereka kepada Waharp Yusoff, bekas kakitangan syarikat rakaman antarabangsa EMI yang menubuhkan Telaga Biru, sebuah syarikat penerbitan buku yang mendapat sokongan penuh dari syarikat rakaman BMG untuk menghasilkan album nasyid. Kumpulan Hijjaz kemudiannya menandatangani kontrak bersama Telaga Biru dan akhirnya, album sulung mereka berjudul Cahaya Ilahi mula mendarat di pasaran dengan BMG bertindak sebagai pengedar album.
Sehingga kini, Hijjaz dikenali dengan lagu popular mereka seperti Sumayyah, Asmaul Husna, Rasulullah, Fatamorgana, Kau Sahabat Kau Teman, Pelita Hidup, Sunnah Orang Berjuang, Dia Kekasih Allah, Rabbi Sallimna, Berkorban Demi Cinta, Terima Kasih Segalanya dan banyak lagi.
Dengan gaya penampilan yang eksklusif dan kontemporari, Hijjaz mudah dikenali melalui pemakaian kopiah Hijjaz mereka yang cantik dan bercorak seperti mahkota. Selain itu, Hijjaz juga menubuhkan syarikat pengurusan pertama mereka iaitu Hijjaz Music Entertainment yang kemudiannya dikenali sebagai Hijjaz Records. Kumpulan ini juga telah melahirkan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti kumpulan Inteam, UNIC, Ae-man dan Mestica. Antara anak didik Hijjaz yang berjaya pada masa kini ialah Hafiz Hamidun, Fadzli Aziz dan Allahyarham Suhaimi Saad.[1]
Melalui syarikat Hijjaz Records juga mereka telah menerbitkan berpuluh-puluh album nasyid, zikir dan selawat untuk pasaran seluruh negara melibatkan pelbagai artis.
Anggota Hijjaz
Anggota Terkini
- Munif bin Ahmad (Munif)
- Pengasas dan penyanyi utama kumpulan Hijjaz sejak tahun 1997 selain pernah menganggotai kumpulan NadaMurni selama lebih 10 tahun sebelum kumpulan tersebut dibubarkan. Sebagai seorang komposer, Munif juga dikenali dengan banyak mencipta lagu-lagu berkenaan srikandi-srikandi terulung dalam sejarah Islam seperti lagu Rabiatul Adawiyah (In-Team), Ainul Mardhiah (UNIC), Sumayyah (Hijjaz) & Demi Cinta Zainab (Mestica). Berasal dari Pontian, Johor.
- Isman Nadim bin Isam (Isman)
- Anggota kumpulan Hijjaz yang sangat berbakat dalam penciptaan lagu seperti Munif dan Faizal. Turut dikenali dengan banyak mencipta lagu-lagu nasyid cinta seperti Kasih Kekasih (In-Team), Hanya Tuhan Yang Tahu (UNIC) & Mahar Cinta (Devotees). Berasal dari Kota Tinggi, Johor.
- Mohd Faizal bin Osman (Faizal, Abai)
- Anggota kumpulan Hijjaz yang sangat berbakat dalam penciptaan lagu seperti Munif dan Isman. Turut dikenali sebagai seorang yang gemar memasukkan suara latar yang tebal & berlapis-lapis dalam setiap lagu ciptaannya seperti Doa Seorang Kekasih (In-Team), Keroncong Kasih Sayang (UNIC) & Destinasi Cinta (Mestica). Berasal dari Kempas, Johor Bahru, Johor.
- Muhamad Ariffin bin Ahmad Rahim (Ariffin, Ipin)
- Anggota Hijjaz yang membuat kemunculan sulungnya secara rasmi dalam album Pelita Hidup III, melengkapkan kembali Hijjaz sebagai kumpulan empat ahli setelah pemergian Allahyarham Salleh pada tahun 2001. Merupakan ahli asal In-Team sebelum keluarnya album pertama yang berjudul Kasih Kekasih. Berasal dari Rawang, Selangor.
Anggota Terdahulu
- Allahyarham Mohd Salleh bin Ramli (Salleh)
- Anggota asal kumpulan The Zikr yang memainkan peranan penting dalam penubuhan kumpulan Hijjaz bersama Munif. Seorang yang amat meminati kerja-kerja grafik. Hasil kerja beliau dapat dilihat dalam album pertama In-Team yang berjudul Kasih Kekasih di mana beliau telah mereka bentuk gambar untuk dijadikan kulit album tersebut. Telah kembali ke rahmatullah pada 15 Februari 2001 pada usia 28 tahun.
Diskografi
Album Studio
Tahun | Judul Album | Penerbit | Label | Edaran | Jualan |
---|---|---|---|---|---|
1997 | Cahaya Ilahi | Isman Isam | Telaga Biru | BMG | |
1998 | Keizinan-Mu | Syed Haron Ahmad | Telaga Biru | BMG | |
1998 | Pelita Hidup | Munif Ahmad | Telaga Biru | BMG | |
1999 | Rindu | Munif Ahmad | Telaga Biru | BMG | |
2001 | Pelita Hidup II | Telaga Biru | Telaga Biru | ||
2002 | Jalan Bahagia | Telaga Biru | Telaga Biru | ||
2004 | Pelita Hidup III | Telaga Biru | Telaga Biru | ||
2004 | Damai | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2006 | Pelita Hidup IV: Perjalanan | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2007 | Pelita Hidup V: Panggilan Baitullah | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI/Warner Music | |
2008 | Selawat Nabi | Hijjaz | Hijjaz Records | EMI | |
2010 | Permata Hijjaz 1431 | Hijjaz | Hijjaz Records | Warner Music | |
2012 | Susah Senang Kita Bersama | Hijjaz | Hijjaz Records | ||
2013 | Janji | Hijjaz | Hijjaz Records | Rusa Music | |
2013 | Pelita Hidup VI: Demi Islam & Perjuangan | Munif Ahmad | Hijjaz Records | Rusa Music | |
2013 | Keranamu Baitulmaqdis | Munif Ahmad | Hijjaz Records | Hijjaz Records/MAPIM | |
2015 | Selawat Nabi II | Munif Ahmad, Mai Fusionista & Wan Saleh | MH Pro | Rusa Music |
Album Kompilasi
Tahun | Judul Album | Penerbit | Label | Edaran | Jualan |
---|---|---|---|---|---|
2000 | Lukisan Alam | Munif Ahmad (Rindu & Pelita Hidup), Isman Isam (Cahaya Ilahi) & Syed Haron Ahmad (Keizinan-Mu) | Telaga Biru | Telaga Biru |
Anugerah dan penghargaan
- Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2003 - Sumayyah
- Anugerah Gold dan Platinum jualan melebihi 90,000 unit Keizinan-Mu
- Anugerah Platinum jualan melebihi 50,000 unit Pelita Hidup
- Anugerah Platinum jualan melebihi 50,000 unit Rindu
- Anugerah Nasyeed.Com Kategori Nasyid Sirah - Sumayyah
- Anugerah Cemerlang (Popular & Berbakti) Anugerah Nasyid Minggu Ini 2006 - Pelita Hidup
- (Naib Juara) Gema Gegar Vaganza Musim 1 (2017)
Pautan luar
- Hijjaz di Facebook
- Hijjaz di Instagram
- Sejarah Hijjaz
- Kisah kopiah Hijjaz
- His-story Hijjaz
- ^ Rodzan Madzalan (10 Jun 2017). Hijjaz tunai impian rai peminat Berita Harian. Dicapai pada 30 Oktober 2017.