Guillermo del Toro's Pinocchio | |
---|---|
Pengarah |
|
Lakon layar |
|
Cerita oleh |
|
Berdasarkan | The Adventures of Pinocchio oleh Carlo Collodi Illustrasi oleh Gris Grimly |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi | |
Sinematografi | Frank Passingham |
Disunting oleh |
|
Muzik oleh | Alexandre Desplat[2] |
Syarikat penerbitan |
|
Diedarkan oleh | Netflix |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 117 minit[4] |
Negara |
|
Bahasa | Inggeris |
Bajet | $35 juta[5] |
Pecah panggung | $108,967[6] |
Pinocchio karya Guillermo del Toro (atau ringkasnya Pinocchio ) ialah filem animasi fantasi gelap muzikal gerak henti 2022 yang diarahkan oleh Guillermo del Toro dan Mark Gustafson, dengan lakon layar oleh del Toro dan Patrick McHale daripada cerita oleh del Toro dan Matthew Robbins. [7] Berdasarkan novel Itali 1883 Pengembaraan Pinocchio oleh Carlo Collodi malah sangat dipengaruhi oleh ilustrasi Gris Grimly untuk edisi 2002 novel tersebut, filem ini mengolah semula kisah Pinocchio si boneka kayu yang hidup sebagai anak kepada pengukirnya Geppetto. Ia adalah "kisah kasih sayang bercampur pemberontakan di mana Pinocchio berusaha membahagiakan bapanya dan mempelajari erti kehidupan sebenar, berlatarkan negara Fasis Itali pada tempoh antara perang dan Perang Dunia II.[8] Filem ini disuarakan oleh Gregory Mann dan David Bradley, masing-masing sebagai Pinocchio dan Geppetto, bersama Ewan McGregor, Burn Gorman, Ron Perlman, John Turturro, Finn Wolfhard, Cate Blanchett, Tim Blake Nelson, Christoph Waltz, dan Tilda Swinton.
Filem ini merupakan projek kesayangan lama del Toro yang menganggap bahawa tiada watak lain pernah "mempunyai hubungan peribadi yang mendalam dengan [dia]" seperti Pinocchio, mula-mula diumumkan pada 2008 dengan menyasarkan tayangan dalam tahun 2013 atau 2014. Walau bagaimanapun, penerbitannya sering tergendala. Pada Januari 2017, diumumkan bahawa McHale iaitu pencipta Over the Garden Wall akan menulis lakon layar bersama, tetapi produksi tergantung pada November 2017 kerana tiada studio yang sanggup memberikan pembiayaan. Projek dihidupkan semula pada tahun berikutnya setelah hak tayangan dibeli oleh Netflix. Filem ini ditujukan khas kepada mendiang ibu bapa del Toro.
Pinocchio ditayangkan di Festival Filem London BFI pada 15 Oktober 2022. Ia dikeluarkan di pawagam terpilih pada 9 November 2022, dan mula disiarkan di Netflix pada 9 Disember. Filem ini disambut baik oleh para pengulas filem dari segi animasi, visual, muzik, cerita, berat emosi dan lakonan suara. Ia menerima banyak anugerah, termasuk memenangi Anugerah Akademi untuk Filem Animasi Cetera Terbaik;[9] dan tiga pencalonan di Anugerah Golden Globe ke-80, memenangi Filem Animasi Cetera Terbaik.[10] Del Toro merupakan tokoh keturunan Amerika Latin pertama yang memenangi kategori Golden Globe tersebut, manakala Pinocchio menjadi filem penstriman pertama yang menang di kedua-dua majlis, dan juga filem animasi gerak henti kedua selepas Wallace & Gromit: The Curse of the Were-Rabbit.[11]
Di Itali semasa Perang Dunia II, dua puluh tahun selepas kehilangan anaknya Carlo akibat serangan udara, tukang kayu Geppetto yang meradang dalam kemabukan menebang pokok pain dan menggunakannya untuk mencipta boneka kayu. Boneka itu diberi nyawa oleh Semangat Kayu dan diberi nama Pinocchio. Semangat Kayu menugaskan Sebastian J. Cricket untuk membimbingnya sebagai hati nuraninya, dengan menjanjikan tunaian hajat sebagai balasan.
Kebangkitan dan telatah Pinocchio sebagai boneka bernyawa cukup merimaskan Geppetto sehingga Podestà (penghulu kampung) mengarahkan Geppetto menghantar Pinocchio ke sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah, Pinocchio dihampiri oleh ketua sarkas Count Volpe dan monyetnya Spazzatura yang membawa Pinocchio ke sarkas mereka. Geppetto tiba untuk menuntut semula Pinocchio, maka terjadinya pertelagahan antara dia dan Volpe yang berakhir dengan Pinocchio maut dilanggar trak. Di dunia akhirat, Pinocchio bertemu dengan saudari Semangat Kayu, Dewi Maut yang menjelaskan bahawa Pinocchio hidup abadi dan mengembalikannya ke alam fana apabila jam pasir kosong, tetapi dengan amaran bahawa semakin kerap dia mati, semakin banyak masa yang akan dihabiskannya di akhirat.
Selepas kembali ke alam fana, Pinocchio bercadang untuk mencari nafkah untuk Geppetto dengan menyertai sarkas serta mengelak daripada dikerah ke dalam tentera oleh Podestà. Spazzatura yang cemburu cuba merebut semula gelaran bintang sarkas mendedahkan kepada Pinocchio bahawa Volpe menipunya tentang wang yang dijanjikan untuk dihantar kepada bapanya. Volpe terdengar lalu membelasah Spazzatura dengan kejam, membuat Pinocchio kesal. Untuk mensabotaj Volpe, Pinocchio mempersembahkan lagu yang mempersendakan Benito Mussolini yang hadir di pertunjukan; sebagai balasan, Mussolini menyuruh Pinocchio dihukum mati dan sarkas dibakar. Pinocchio dihidupkan semula dan dibawa oleh Podestà ke kem latihan, di mana budak-budak lelaki dilatih untuk berperang.
Pinocchio berkawan dengan anak lelaki Podestà, Candlewick yang khuatir akan mengecewakan bapanya. Selepas permainan latihan antara dua pasukan yang masing-masing diketuai oleh Pinocchio dan Candlewick berakhir dengan seri, Podestà mengarahkan Candlewick untuk menembak Pinocchio; Candlewick enggan dan menentang bapanya. Kem latihan kemudiannya dibedil oleh pesawat pihak Berikat, menyebabkan Podestà terkorban manakala Candlewick dan budak-budak lain melarikan diri. Pinocchio ditangkap oleh Volpe, yang cuba membakarnya hingga mati sebagai pembalasan kerana merosakkan kerjayanya. Spazzatura datang menyelamatkan Pinocchio, maka ia berkelahi dengan Volpe sehingga Volpe terjatuh dari tebing tepi laut dan mati.
Pinocchio dan Spazzatura sesat di tengah laut dan ditelan oleh ikan raksasa. Di dalam perut raksasa itu, mereka bertemu dengan Geppetto dan Sebastian yang turut ditelan semasa keluar mencari Pinocchio. Berkat idea oleh Sebastian, Pinocchio berbohong untuk menjadikan hidungnya tumbuh menjadi dahan besar, sekali gus membentuk jambatan yang menuju keluar dari lubang sembur raksasa. Ketika mereka semua melarikan diri sambil dikejar oleh raksasa, Pinocchio mengorbankan dirinya dengan meletupkan periuk api laut di dalam raksasa. Pinocchio bertemu dengan Dewi Maut sekali lagi dan menggesanya untuk dihantar pulang awal untuk menyelamatkan Geppetto daripada lemas. Dewi Maut memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyebabkan dia hilang keabadiannya, tetapi Pinocchio memecahkan jam pasir untuk kembali, dan akhirnya lemas semasa menyelamatkan bapanya. Semangat Kayu muncul semula di hadapan Geppetto yang meratap, manakala Sebastian melafazkan hajat untuk menghidupkan semula Pinocchio.
Pinocchio pulang bersama bapanya, Sebastian dan Spazzatura untuk tinggal bersama sebagai sebuah keluarga. Setelah hidup lebih lama daripada semua orang tersayangnya, Pinocchio pergi mengembara ke seluruh dunia.
Pelakon suara
- Gregory Mann sebagai:
- Pinocchio, boneka kayu hidup yang riang dan bermacam-macam ragam.[12]
- Carlo, anak lelaki Geppetto yang terkorban dalam bedilan udara. Dia dinamakan sempena Carlo Collodi, pengarang buku asal.
- Ewan McGregor sebagai Sebastian J. Cricket, cengkerik pengembara dan pencerita yang tinggal di dalam Pinocchio sebagai panduan dan hati nuraninya.[12]
- David Bradley sebagai Geppetto, bapa Pinocchio, seorang pengukir kayu Itali meratapi pemergian anak lelakinya Carlo. [12]
- Christoph Waltz sebagai Count Volpe, seorang bekas bangsawan yang bertukar menjadi penipu, dalang boneka dan ketua sarkas yang hidup dalam kemelaratan. Namanya bermaksud "rubah" dalam bahasa Itali dan dia adalah gabungan watak-watak Sang Rubah, Mangiafuoco, dan Ketua Sarkas daripada cerita Pinocchio yang asal. [12]
- Tilda Swinton sebagai:
- Semangat Kayu, pari-pari ajaib bijaksana yang memberikan nyawa kepada Pinocchio.[13] Berupa seakan manusia dengan lapan sayap yang ditaburi mata, dan ekor seakan ular berbulu pelepah.
- Dewi Maut, saudari kepada Wood Sprite yang menjaga dunia akhirat. Berupa chimera dengan wajah manusia, tanduk kerbau yang bermata, tanduk bawah biri-biri, susuk singa, sayap helang bersayap, dan ekor seakan ular berkepala dua.
- Cate Blanchett sebagai Spazzatura, monyet belaan Count Volpe yang terdea.[12] Namanya bermaksud "sampah" dalam bahasa Itali. Berdasarkan Sang Kucing dari cerita Pinocchio asal. Spazzatura hanya boleh bercakap melalui boneka yang dikendalikannya.
- Ron Perlman sebagai Podestà, seorang pegawai kerajaan fasis yang tegas dan menjadikan Pinocchio askar.[12] Berdasarkan watak Pemandu Kereta Kuda dari cerita asal.
- Finn Wolfhard sebagai Candlewick, anak lelaki Podestà, yang membuli, kemudian berkawan dengan Pinocchio.[12]
- Burn Gorman sebagai Paderi, seorang paderi Roman Katolik di kampung Geppetto yang juga bekas pelanggannya.
- John Turturro sebagai Dottore, doktor di kampung Geppetto yang memeriksa Pinocchio selepas kematian pertamanya.
- Tim Blake Nelson sebagai Arnab Hitam, sekumpulan orang suruhan Dewi Maut yang berbadan rangka.
- Tom Kenny sebagai:
- Benito Mussolini, pemimpin Itali Fasis.
- Orang kanan Benito Mussolini
- Seorang nakhoda bertangan cangkuk dan berkaki kayu yang menerangkan kepada Geppetto dan Sebastian tentang Ikan Raksasa.
Rujukan
- ^ "New Pinocchio film gives jump start to Jalisco animation studio". mexiconewsdaily.com. Dicapai pada January 11, 2022.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaDesplat
- ^ Acosta, Gabriel (April 27, 2021). "Pinocchio empieza a cobrar vida en el Taller del Chucho en Guadalajara (Pinocchio begins to come to life at El Taller del Chucho in Guadalajara)". Publimetro (dalam bahasa spanish). Diarkibkan daripada yang asal pada November 21, 2021. Dicapai pada November 21, 2021.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "Guillermo del Toro's Pinocchio at BFI London Film Festival". Diarkibkan daripada yang asal pada 2022-09-01. Dicapai pada 2022-09-01.
- ^ Sharf, Zack (August 31, 2017). "Guillermo del Toro's 'Pinocchio' Isn't Dead Yet, But He Needs $35 Million to Make It". IndieWire. Diarkibkan daripada yang asal pada February 6, 2020. Dicapai pada January 2, 2020.
- ^ "Guillermo del Toro's Pinocchio". Box Office Mojo. Dicapai pada January 23, 2022.
- ^ "Netflix Blitz at Annecy: 'Entergalactic' Date; New Pics from 'Pinocchio,' 'Sea Beast'; 'LD+R' Featurette". 15 June 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 June 2022. Dicapai pada 15 June 2022.
- ^ Netflix Film [@NetflixFilm] (19 August 2020). "Set during the rise of Fascism in Mussolini's Italy, PINOCCHIO — a musical directed by del Toro and Mark Gustafson (FANTASTIC MR. FOX) with a score by Alexandre Desplat — is a story of love and disobedience as Pinocchio struggles to live up to his father's expectations" (Twit) – melalui Twitter.
- ^ 2023|Oscars.org
- ^ Guillermo del Toro's Pinocchio Wins Best Animated Motion Picture | 2023 Golden Globe Awards on NBC - official YouTube channel
- ^ "Guillermo del Toro Makes History with 2023 Golden Globes Win". Netflix Tudum (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-01-22.
- ^ a b c d e f g Breznican, Anthony (14 June 2022). "Guillermo del Toro's Pinocchio Carves a New Path: An Exclusive First Look". Vanity Fair. Diarkibkan daripada yang asal pada 14 June 2022. Dicapai pada 14 June 2022.
- ^ "Guillermo del Toro's Pinocchio Puts a Fantastical Spin on a Classic Tale".