Doraemon: Nobita dan Lagenda Raja Matahari | |
---|---|
Fail:Nobita and the Legend of the Sun King.jpg | |
Pengarah | Tsutomu Shibayama |
Berdasarkan | Daichōhen Doraemon: Nobita no Taiyōō Densetsu oleh Fujiko F. Fujio Pro |
Dihasilkan oleh | Hideki Yamakawa Kumi Ogura Masatoshi Osawa Yuka Takahashi |
Dibintangi | |
Sinematografi | Toshiyuki Umeda |
Disunting oleh | Hajime Okayasu |
Muzik oleh | Katsumi Horii |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Toho |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 93 minit (1j 33m) |
Negara | Jepun |
Bahasa | Bahasa Jepun |
Pecah panggung | ¥3.42 laksa[1] ($32.0 juta) |
Doraemon: Nobita dan Lagenda Raja Matahari[2] (ドラえもん のび太の太陽王伝説 , Doraemon Nobita no Taiyōō Densetsu), juga dikenali sebagai Doraemon dan Empayar Matahari[3], merupakan wayang gambar panjang Doraemon yang ditayangkan buat julung kalinya pada 4 Mac 2000 di Jepun, berdasarkan jilid ke-20 buku komik bersiri Cerita Panjang Doraemon. Filem ini merupakan filem Doraemon yang ke-21. Jalan ceritanya merupakan olahan semula daripada kisah The Prince and the Pauper nukilan Mark Twain dan Puteri Salji nukilan Grimm Bersaudara yang berubah peranan pada kedua watak utamanya. Tayangan sulung wayang gambar ini turut disertakan dengan filem pendek Doraemon yang bertajuk Degup-degap Enjin Si Kucing Liar (ドラえもんズ ドキドキ機関車大爆走!) dan Doraemon: Peringatan Nenek. Filem ini telah pecah panggung dengan kutipan sebanyak ¥3.42 laksa ($32 juta), menjadikan filem ini sebagai filem Doraemon yang berjaya mengutip kutipan tertinggi dalam siri asli.
Jalan Cerita
Kerajaan Mesoamerika yang dinamakan sebagai Mayana, telah diperintah oleh seorang ratu sehinggalah seorang ahli sihir yang belot lagi jahat bernama Ledina, menjampi serapah dengan sihir tidur yang abadi. Takhta yang kosong itu diserahkan kepada putera tunggal ratu tersebut, Putera Tio, sehingga ratu sedar semula.
Pada masa kini, Nobita dan kawan-kawannya sedang berlatih lakonan untuk pementasan yang berdasarkan cerita Puteri Sajli dengan bantuan alat Doraemon, tetapi pelbagai kejadian telah mengagalkan perkembangan latihan mereka. Gian yang mementingkan diri sendiri mengambil alat itu untuk membuat persembahan nyanyian di stadium olok-olok. Tahu akan kemungkinan alat tersebut sukar untuk dikembalikan oleh Gian, Doraemon, Nobita, dan Shizuka berusaha untuk mengambil kembali alat itu melalui portal waktu. Reaksi ganas Gian telah merosakkan fungsi portal, dan tanpa disedari telah menyambungkan bilik Nobita ke lubang sebatang pokok di hutan negara Mayana di masa silam. Yarbuk belaan si Tio yang bernama Popol menyepahkan bilik Nobita dan mencuri kertas ujian lalu dibawa pulang ke rimba tempatnya, memaksa Nobita dan Doraemon menyeberang pintu portal untuk mengambil semula kertas ujian tersebut. Sepanjang perjalanannya, Nobita telah dihalang oleh Tio sehingga kedua-duanya terjatuh ke dalam kolam lumpur yang turut mengejutkan Tio kerana kedua-dua mereka bagai pelanduk dua serupa. Mereka cuba untuk kembali melalui portal, tetapi Nobita yang tertinggal kerana ingin mengutip kertas ujian yang disorokkan Popol ditangkap oleh pengawal kerajaan, yang tersilap anggap Nobita sebagai Tio. Tio sendiri, kagum dengan "sihir" teknologi masa kini, memutuskan bahawa dia ingin bertukar peranan dengan Nobita selama beberapa hari walaupun dibantah oleh Doraemon.
Di Mayana, kejutan budaya dan tuntutan yang tidak dijangka bagi seorang putera untuk berlatih berperang merupakan kesukaran Nobita yang berperanan sebagai Tio. Walau bagaimanapun, Nobita mengagumi orang ramai dan rakan-rakan Tio dengan sifat persahabatannya, kerana mereka terbiasa berhadapan dengan keegoan dan kekasaran Tio. Dengan menggunakan alat Doraemon, dia membantu kerajaan yang malang yang disumpah oleh Ledina, dengan mengawal cuaca, dan hal ini lebih mengagumkan orang ramai terhadapnya. Nobita mula bersahabat dengan rakan zaman kanak-kanak Tio, Kuku, anak kepada Ishumaru, seorang pelatih seni pertempuran Tio. Kuku, yang telah lama memendam rasa terhadap Tio, berasa gembira dengan perubahan sikap "Tio" ketika Nobita menerima kalung buatannya. Sementara itu, sikap berjaga-jaga dan keganasan Tio di dunia moden sentiasa menimbulkan masalah dan akhirnya melukakan hati Shizuka, menyebabkan pertukaran itu. Selepas itu, Tio kembali ke Mayana bersama Doraemon, Shizuka, Gian, dan Suneo, Nobita terpaksa memakai pakaian perempuan dan menyamar sebagai Nobiko supaya tidak mengelirukan rakyat Mayana. Gian pula menawarkan diri untuk menjadi pelatih Ishumaru dan Nobita membantu Tio memenangi perlawanan dalam permainan sakadi (bola sepak orang Maya) . Selepas Nobita dan kawannya pergi, Kuku mempersembahkan kalung untuk Tio yang menolaknya dengan kasar dan menyebabkannya membawa diri kerana sedih. Tio tiba-tiba teringat akan Shizuka yang menegur tingkah lakunya semasa dia menjadi Nobita dan terus mengejar Kuku untuk meminta maaf. Ketika Kuku terduduk menangis di sungai, orang suruhan Ledina yang mengawal haiwan telah menculik Kuku bagi mengumpan Tio untuk ke istana Ledina.
Keesokan harinya, Tio dan Ishumaru bersiap siaga untuk menyelamatkan Kuku serta disertai oleh Nobita yang kini memakai persalinan putera dan juga kalung yang diberikan Kuku, dan kawan-kawannya. Ketika cuba melarikan diri daripada lubang yang dipenuhi ular, Ishumaru terjatuh ke dalam lubang dan dianggap telah maut. Tanpa disedari oleh kumpulan penyelamat Kuku tersebut, Ledina melihat Tio tidak mematuhi permintaannya untuk datang bersendirian ke istananya dan memutuskan untuk menghapuskan Doraemon dan rakan-rakannya yang lain. Kumpulan penyelamat Kuku itu kemudiannya diserang oleh kuncu Ledina yang telah menculik Kuku di sungai, turut menculik Tio dengan burung helang dan menjatuhkan Tio ke dalam rimba. Dengan bantuan Doraemon memberi gula-gula getah khusus untuk buaya orang suruhan telah mengembungkan perut buaya dan mengapungkannya terbang ke langit. Ketika cuba mencari Tio, tukang sihir Ledina yang berkuasa membuat bayangan khayalan telah menggambarkan Kuku yang akan dikorbankan di kuilpiramid Ledina kepada Nobita dan rakan-rakannya.
Mereka kemudiannya bergerak ke piramid dan diserang dan akhirnya berjaya mengalahkan penyihir Ledina yang membuat bayangan khayalan. Ledina mengarahkan "Tio" untuk datang kepadanya sebagai korban menggantikan Kuku dalam upacaranya untuk mengembalikan keremajaan ketika berlakunya gerhana matahari. Ledina mengancam agar pihak lain tidak masuk campur, dan dia turut membakar poket empat dimensi Doraemon dengan kekuatannya dan menghantar pahlawan suruhannya untuk menyerang Gian. Maka berlakulah pertempuran Gian, tetapi Ishumaru, yang terselamat dari jatuh, datang memberi bantuan kepada Gian dan mengalahkan pahlawan suruhan itu. Nobita berpura-pura untuk menurut permintaan Ledina, tetapi dengan oleh kerana dia mempunyai saku ganti Doraemon, dengan segera dia menggunakan kain tukar untuk menggantikan Kuku dengan kepala patung batu sebelum cuba melarikan diri. Marah atas cubaan Nobita menentangnya, Ledina menangkap Nobita, tetapi rakyat jelata Mayana tiba untuk menyelamatkan "Tio". Ledina semakin geram dan cuba untuk mengorbankan Nobita, tetapi Tio yang terselamat dari jatuh, memunculkan diri dan menawarkan dirinya untuk mengganti tempat Nobita sebagai korban kerana terhutang budi kepada Nobita mengajarnya tentang erti persahabatan. Malangnya, Ledina sedar bahawa dia kesuntukan masa dan memutuskan untuk menggunakan terus mengorbankan Nobita, akan tetapi cahaya matahari yang bersinar di kalung Kuku menyilaukan mata Ledina, dan dengan kesempatan yang ada, Nobita melepaskan genggaman Ledina dan melontar saku ganti kepada Doraemon. Upacara Ledina yang gagal telah mendedahkan penampilan sebenarnya yang tua. Sebagai cubaan terakhirnya, Ledina telah menekan butang runtuhan kendiri kuil tersebut demi membunuh Tio, akan tetapi Tio dan Nobita telah diselamatkan oleh burung kondor, yang telah dijinakkan oleh Doraemon dengan umpan penjinak Momotaro.
Walaupun Kuku berjaya diselamatkan, dia kekal beradu kerana sumpahan sihir Ledina. Shizuka pula mencadangkan bahawa Kuku hanya boleh disedarkan oleh "putera"nya, sama seperti pengakhiran cerita dongeng Puteri Salji; Tio menguncup Kuku, lantas memusnahkan Kuku dari sumpahan beradu tersebut dan sedar dari lenanya. Sang Ratu Mayana, setelah bangkit dari sumpahan tidurnya, mengisytiharkan Tio akan menggantikannya sebagai raja. Nobita dan rakan-rakannya berasa sedih kerana portal tersebut semakin melemah dan mereka mungkin tidak dapat berhubung dengan dunia Maya lagi. Tanpa kehadiran Tio, Nobita mengucapkan salam perpisahan terakhirnya kepadanya.
Lakon Suara
Watak | Suara |
---|---|
Doraemon | Nobuyo Ōyama |
Nobita Nobi | Noriko Ohara |
Shizuka Minamoto | Michiko Nomura |
Gian (Takeshi Goda) | Kazuya Tatekabe |
Suneo Honekawa | Kaneta Kimotsuki |
Tio | Megumi Ogata |
Kuku | Mayumi Iizuka |
Popol | Kazuko Sugiyama |
Ishumaru | Kōji Nakata |
Kakao | Sōichirō Hoshi |
Moka | Hisao Egawa |
Ratu Mayana / Ibunda Tio | Hiroko Suzuki |
Doktor | Minoru Inaba |
Ketua | Yōsuke Naka |
Dayang | Miyoko Asō |
Pendeta | Isshin Chiba |
Gadis | Yui Horie |
Leftenan | Osamu Katō |
Askar | Daiki Nakamura, Jun'ichi Sugawara |
Kanak-kanak | Omi Minami |
Yafu | Keisuke |
Ketsuaru | Bin Shimada |
Koretol | Masashi Hirose |
Ledina | Jun Karasawa |
Mama Nobita | Sachiko Chijimatsu |
Cikgu Nobita | Ryoichi Tanaka |
Minidora | Rei Sakuma |
Keluaran
Filem ini ditayang julung kalinya di pawagam Jepun pada 4 Mac 2000 dan ditayangkan di Malaysia di Astro Ceria dalam dwi bahasa Melayu dan Jepun.
Rujukan
- ^ Jaeger, Eren. "Top Grossing Animated Films All-Time (¥3 laksa+)". Forums.BoxOffice.com. Diarkibkan daripada yang asal pada May 19, 2014. Dicapai pada May 20, 2014.
- ^ "21 のび太の太陽王伝説". Dora Movie. Fujiko Productions, Shogakukan, TV Asahi, Shinei, ADK. 2015-02-19. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-02-19. Dicapai pada 2024-06-04.
- ^ http://www.lukinternacional.com/es/catalogo/doraemon-y-el-imperio-maya.html
Pautan luar
- Doraemon Filem 25 halaman (dalam bahasa Jepun)
- Doraemon: Nobita dan Lagenda Raja Matahari di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)