| Dipavali | |
|---|---|
Hiasan rangoli menggunakan pasir berwarna sering dibuat pada perayaan ini. | |
Juga dikenali sebagai | Dipawali, Diwali |
Diraikan oleh/di | agama-agama Hindu, Jain, Sikh dan sesetengah aliran Buddha (terutamanya Newar)[1] |
| Jenis | Budaya, agama |
| Kepentingan | punca cahaya, Lakshmi, baik, pengetahuan |
| Sambutan | Menghiasi rumah, membeli-belah, memasang pelita, sembahyang khusus, pemberian hadiah dan kuih sesama tetamu |
| Tarikh | Amavasya bulan Kartik (mengikut takwim Hindu) |
Berkaitan dengan | Galungan, Diwali (Jainism), Bandi Chhor Divas, Tihar, Swanti, Sohrai, Bandna |
Perayaan Deepavali[perlu rujukan] (Jawi: ديڤاۏالي , Sanskrit: दीपावली, rumi: dīpāvali)[2] disambut dalam kalangan penganut agama Hindu menandakan kemenangan kebaikan ke atas kuasa kejahatan, yang dilambangkan dari erti cahaya yang menerangi kegelapan.[3] Maksud tersiratnya ialah menyemai nilai-nilai positif dalam diri kita untuk menjadi individu yang lebih baik dengan mengatasi nilai-nilai negatif dalam diri kita untuk perkembangan rohani.[perlu rujukan]
Perayaan ini bermula dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan untuk menyejukkan badan, diikuti upacara sembahyang bersama ahli keluarga di rumah dan mendapat restu daripada ibu bapa dan orang tua sebelum ke kuil. Semua orang akan memakai pakaian baru, berkongsi manisan yang disediakan khas serta mengunjungi rumah sanak-saudara dan rakan-rakan. Pada waktu malam, barisan pelita, bunga api serta mercun dinyalakan bagi memeriahkan lagi sambutan.[3]
Peristilahan
Nama perayaan ini dijejak daripada perkataan दीपावली dīpāwali dalam bahasa Sanskrit yang bermaksud "deretan cahaya"[4][5] dapat diberi maksud menggambarkan perjalanan menuju ke arah cahaya; ia menggabungkan kata-kata दीप dīpa yang bermaksud "cahaya" atau "lampu"[6] dan आवलि āvali bermaksud "deretan", "garisan" atau "jalan".[7]
Ia juga disebut mengikut bahasa-bahasa setempat seperti berikut:
- Bahasa Assam: দীপাৱলী dipawoli
- Benggali: দীপাবলি dipaboli atau দীপালি dipali
- Gujarat: દિવાળી divāḷi
- Hindi: दिवाली divālī
- Bahasa Kannada: ದೀಪಾವಳಿ dīpavaḷi
- Konkani: दिवाळी
- Bahasa Malayalam: ദീപാവലി
- Bahasa Marathi: दिवाळी
- Odia: ଦିପାବଳୀ dipābali
- Bahasa Panjabi: ਦੀਵਾਲੀ dīvālī
- Sindh: दियारी diyārī
- Tamil: தீபாவளி tīpāvaḷi[8]
- Bahasa Telugu: దీపావళి tīpāvaḷi
- Bahasa Bali: Galungan
- Bahasa Nepal: स्वन्ति Swanti atau तिहार tihar
- Tulu: ತುಡರ್ ಪರ್ಬ Thudar Parba
Tarikh-tarikh dalam pelbagai kalendar
Perayaan ini disambut selama tempoh yang berbeza oleh komuniti berbeza. Walaupun hari-hari terasnya adalah sama dan jatuh pada hari-hari yang sama di seluruh Nepal dan India, namun hari-hari tersebut jatuh pada bulan-bulan takwim Gregorius yang berbeza bergantung kepada versi takwim Hindu yang digunakan dalam setempat. Versi Amanta ("tamat pada anak bulan") kalendar Hindu diamalkan sebagai kalendar kebangsaan India. Mengikut kalendar ini yang luas digunakan di India selatan dan Maharashtra, keraian enam hari ini dibawa dari empat hari terakhir bulan Ashwayuja (Ashwin dalam bahasa Marathi) dan dua hari pertama bulan baru Kartika. Menurut versi Purnimanta ("tamat pada bulan purnama") yang meluas di India utara, Diwali jatuh pada pertengahan bulan Ashwayuja/Ashvin. Dalam kalendar Gregorian, Diwali biasanya tiba pada bulan Oktober atau November.
Sambutan mengikut negara
Di Malaysia
Di Malaysia, hari Deepavali disambut pada bulan ketujuh kalendar suria Hindu dan dijadikan cuti umum persekutuan di seluruh Malaysia kerana terdapat kira-kira 1.5 juta penganut Hindu yang kebanyakannya berasal dari India Selatan.
Malam sebelum hari Deepavali merupakan hari untuk memperingati datuk,nenek dan moyang yang telah meninggal dunia dengan upacara sembahyang kecil di rumah di kalangan keluarga terdekat sahaja.
Pada pagi Deepavali, penganut Hindu akan mandi dengan menyapu minyak bijan di atas kepala dan badan untuk menyejukkan badan dan juga sebagai lambang penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan sembahyang bersama keluarga di rumah serta mendapatkan restu ibu bapa dan orang tua sebelum memakai pakaian baru dan mengunjungi kuil. Kemudian barulah mereka mula mengunjungi rumah sanak-saudara dan rakan-rakan. Rumah terbuka juga diadakan untuk rakyat jelata.
"Kolam" asalnya dibuat daripada tepung beras yang tidak diwarnakan sebagai makanan untuk semut dan serangga lain kerana agama Hindu percaya bahawa Tuhan atau Atman wujud di dalam setiap ciptaan Tuhan di dunia ini. Maka, aspek mendalam ialah "kolam" merupakan cara termudah untuk memberi sedekah atau pun dilihat sebagai cara berkongsi sumber alam dengan benda hidup yang lain.
Pada pintu masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan di atas tanah yang biasanya dibuat daripada bijiran pelbagai warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" atau juga dikenali sebagai "Rangoli" ini bukan sekadar hiasan sahaja, tetapi memiliki maksud sosial, kerohanian, dan simbolik padanya [9], [10]
Melakar "Kolam" merupakan cara bagi wanita Tamil bagi berdoa pada Lakshmi, dewi kekayaan, kecantikan dan tuah dan merupakan upacara keagamaan bagi penganut Hindu[11].
Rujukan
- ^ Townsend, Charles M (March 2014). TheOxford Handbook of Sikh Studies. Oxford University Press. m/s. 440. ISBN 978-0-19-969930-8.
- ^ Mead, Jean (February 2008). How and why Do Hindus Celebrate Divali? (dalam bahasa Inggeris). Evans Brothers. ISBN 978-0-237-53412-7. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 November 2023. Dicapai pada 5 August 2022.
- ^ a b Constance (2011). Melton, J Gordon (penyunting). Religious Celebrations: An Encyclopedia of Holidays Festivals Solemn Observances and Spiritual Commemorations. ABC-CLIO. m/s. 252–255. ISBN 978-1-59884-205-0.
- ^ James G. Lochtefeld 2002, halaman 200–201
- ^ Jessica Frazier & Gavin Flood 2011, m/s. 255.
- ^ Williams 2008, m/s. 481.
- ^ Williams 2008, m/s. 155.
- ^ "தீபாவளி". Tamil Lexicon. University of Madras. 1936. m/s. 1942 – melalui Digital Dictionaries of South Asia kelolaan University of Madras.
- ^ Sacred Custodians of the Earth?: Women, Spirituality and the Environment, by permission of Berghahn Books. Copyright. edited by Alaine M. Low, Soraya Tremayne
- ^ Women's Lives, Women's Rituals in the Hindu Tradition, displayed by permission of Oxford University Press. Copyright. edited by Director of the Asian Studies Program Loyola University of Chicago Tracy Pintchman Associate Professor of Hindu Studies and Religious Studies
- ^ Women's Lives, Women's Rituals in the Hindu Tradition.
Pautan luar
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Deepavali. |
- All About The Festival of Diwali
- Hindustan Times Special Diarkibkan 2006-11-02 di Wayback Machine
- Know more about Divali Diarkibkan 2007-10-27 di Wayback Machine
- Celebrate Diwali
- Divali Lanterns Diarkibkan 2007-11-06 di Wayback Machine (Foto)
- Kotak info cuti (lain)
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Oktober 2025
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Konkani (bahasa tersendiri)
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Marathi
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Odia
- Rencana yang mengandungi teks bahasa Nepal (bahasa makro)
- Perayaan Hindu
- Perayaan Oktober
- Perayaan November
- Pesta musim luruh
- Hinduisme








