Comando Supremo (High Command atau Markas Besar) adalah markas pemerintahan tertinggi Angkatan Tentera Itali antara Jun 1941 dan Mei 1945. Pendahulunya, iaitu Stato Maggiore Generale (Turus Am Besar), adalah badan penasihat penuh dengan tiada kawalan langsung ke atas beberapa cabang angkatan tentera dan dengan sedikit staf. Diwujudkan ditengah-tengah keperluan Perang Dunia II, Comando Supremo adalah sebuah organisasi besar dengan beberapa jabatan dan markas operasi angkatan tentera di medan tempur. Pada penghujung perang, kuasanya berkurangan ke peranan penasihat sekali lagi.
Latar belakang
Pada masa kemasukan Itali ke dalam Perang Dunia II pada 10 Jun 1940, angkatan tentera Itali tidak bersepadu, walaupun Perdana Menteri Benito Mussolini memegang kementerian perang, kementerian tentera laut dan kementerian tentera udara secara serentak. Pada 11 Jun 1940, Raja Victor Emmanuel III menamakan Mussolini "Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera yang Beroperasi di semua Perbatasan". Stato Maggiore Generale (Turus Am Besar), walaupun namanya hebat, hanya mempunyai 7 pekerja dan merupakan badan penasihat penuh kepada Mussolini. Ia tidak mempunyai komunikasi terus dengan kementerian dan tiada kuasa ke atas staf-staf tentera darat, tentera laut dan tentera udara. Ia dipimpin oleh Capo di Stato Maggiore Generale (Ketua Turus Am Besar), timbalan ketuanya sering menjadi ganti dalam mesyuarat.[1]
Penubuhan dan struktur
Susulan dari malapetaka pencerobohan Greece oleh Itali, ketua turus, Pietro Badoglio, telah dipecat pada 6 Disember 1940. Penggantinya, Ugo Cavallero, mengemukakan cadangan untuk penyusunan semula Stato Maggiore kepada Mussolini pada 15 dan 19 Mei 1941. Ia dilaksanakan pada bulan Jun. Stato Maggiore Generale telah dibentuk semula sebagai Comando Supremo. Jawatan timbalan ketua turus telah dimansuhkan dan Comando Supremo diberi kawalan operasi ke atas angkatan tentera. Comando Supremo memperoleh hak untuk memerintah staf keempat-empat cabang perkhidmatan (tentera darat, laut dan udara serta Milizia Volontaria per la Sicurezza Nazionale atau Baju Hitam), yang sebelum ini secara terus dibawah Mussolini selaku Duce del Fascismo (Pemimpin Fasisme). Kini setiap cabang perkhidmatan mempunyai bahagian operasi di Comando Supremo. Tambahan lagi, Comando Supremo berkuasa penuh ke atas tentera Itali yang beroperasi di luar negara.[1]
Comando Supremo yang baru jauh lebih besar daripada Stato Maggiore Generale yang lama. Ketua turus dibantu oleh seorang setiausaha dan seorang generale addetto (ajutan jeneral) dan memimpin tiga jabatan dan tiga pejabat penyelarasan. Jabatan Pertama mengandungi pejabat operasi; organisasi dan latihan; senarai tempur; dan media serta propaganda. Jabatan Kedua mengandungi pejabat perkhidmatan; minyak bahan api dan pengangkutan; serta perang potensi. Jabatan Ketiga mengandungi pejabat perkhidmatan anggota; hal ehwal am (statistik, undang-undang tentera dan tawanan); kod; dan ibupejabat am. Ia juga merangkumi sekretariat staf am. Tiga pejabat penyelarasan yang bukan sebahagian daripada jabatan itu adalah Servizio Informazioni Militare (Perkhidmatan Perisikan Tentera), yang telah diambil alih dari kementerian perang; Pejabat Ekonomi Perang; dan Pejabat Semboyan.[1] Comando Supremo tidak mengawal penyelidikan dan pembangunan atau pemerolehan dan pengeluaran, dimana hal ehwalnya diserahkan kepada cawangan perkhidmatan.[2]
Comando Supremo mewakili seluruh transformasi markas tertinggi. Ketua turus angkatan tentera berubah dari menjadi penasihat perancangan ke pengarahan operasi secara langsung di kebanyakan medan perang Itali. Mussolini mengekalkan jawatan pemerintah tertinggi, tetapi selepas Jun 1941 ia bekerja sepenuhnya melalui Comando Supremo. Staf dan kementerian cabang perkhidmatan kehilangan banyak kecekapan mereka. Perubahan tersebut telah dibantah oleh setiausaha rendah Mussolini bagi tentera laut dan udara, iaitu Arturo Riccardi dan Francesco Pricolo.[1]
Evolusi
Era Fasis, 1941–1943
Pada November 1941, Servizio Informazioni Esercito (Perkhidmatan Perisikan Tentera Darat) telah dibentuk di Kementerian Perang untuk menjaga operasi risikan, membiarkan hanya risikan peringkat tertinggi kepada Comando Supremo. Pada Jun 1943, ia telah dinamakan semula Reparto Informazioni Esercito (Cawangan Perisikan Tentera Darat) dan diturun taraf ke operasi pengumpulan risikan, dengan Comando Supremo kembali menjalankan tugasnya yang lebih luas.[3]
Comando Supremo mengikuti jalan yang berbeza dari rakan Jermannya iaitu Oberkommando der Wehrmacht (OKW). Ketika pemimpin Jerman Adolf Hitler meningkatkan kawalan tambahan ke atas angkatan tenteranya sewaktu perang berlangsung, menghadkan pengaruh OKW terhadap Barisan Timur, kekalahan awal Itali memaksa Mussolini menerima lebih banyak nasihat Comando Supremo. Menjelang 1 Januari 1943, ia mempunyai pemerintahan langsung ke atas tentera Itali yang beroperasi di Afrika, Albania, Croatia, Dalmatia, Dodecanese, Greece, Montenegro, Slovenia dan Soviet Union.[1]
Di bawah Cavallero, Comando Supremo menjaga hubungan baik dengan Oberbefehlshaber Süd, iaitu markas pemerintahan tentera Jerman di Itali. Atase pertahanan Jerman di Rome, Enno von Rintelen, telah disandarkan kepada Comando Supremo. Pada awal tahun 1943, sikap Cavallero yang tunduk kepada orang Jerman adalah satu keaiban. Pada 1 Februari 1943, beliau telah digantikan oleh Vittorio Ambrosio. Pada 11 Mac, Ambrosio mengembalikan jawatan timbalan ketua turus dan melantik Francesco Rossi . Beliau melantik Giuseppe Castellano sebagai generale addettonya. Walaupun beliau memberitahu Mussolini dalam pertemuan pertama mereka yang beliau bercadang untuk meringankan beban Comando Supremo, strukturnya kekal sepertimana ia dibawah Cavallero.[1]
Bahagian pemerintahan antara Comando Supremo dan turus am tentera darat tidak lagi berfungsi secara asas pada tahun 1943, dengan berakhirnya penyertaan aktif Itali di Barisan Timur, kehilangan Afrika dan Penyerbuan Bersekutu ke atas Sicily. Menurut bahagian itu, pertahanan Itali jatuh ke tangan tentera darat. Ambrosio memang mendapat calonnya, Mario Roatta, dilantik sebagai ketua turus am tentera darat, tetapi mereka berdua bercanggah pendapat mengenai Jerman. Ambrosio ingin menghadkan tentera Jerman di Itali, manakala Roatta meminta perkuatan tentera.[1]
Era Badoglio, 1943
Penggulingan Mussolini pada 25 Julai 1943, telah dirancang di Comando Supremo oleh Castellano. Apabila Raja Victor Emmanuel meluluskan rancangan itu pada 20 Julai, beliau memberitahu Ambrosio, yang membuat persediaan untuk menangkap Mussolini dan membawa lebih banyak askar ke Rome. Selepas pelantikan Badoglio sebagai perdana menteri, Raja mengambil alih pemerintahan angkatan tentera dan Comando Supremo diletakkan terus di bawahnya. Walaupun Roatta menyatakan keadaan sudah kembali normal, hakikatnya situasi sama sekali baru, kerana tidak ada yang serupa seperti Comando Supremo yang wujud di Itali sebelum Raja menyerahkan kuasa tenteranya kepada Mussolini. Situasi juga agak pelik kerana Badoglio tidak menuntut sebarang kuasa ketenteraan, membiarkannya bulat-bulat kepada Comando Supremo. Hasilnya Ambrosio menjadi ketua de facto tentera yang setaraf dengan ketua politik kerajaan, kedua-duanya di bawah Raja.[1]
Selepas menandatangani surat peletakan senjata dengan pihak Bersekutu pada 3 September 1943, Comando Supremo tidak berusaha untuk memberitahu staf-staf yang lain, kementerian atau markas di bawah pemerintahannya sebelum pengumuman peletakan senjata pada 8 September.[1] Ia menyakinkan dirinya bahawa pengumuman akan dibuat pada 12 September.[4] Pada 9 September, Comando Supremo, bersama dengan Raja dan kerajaan, meninggalkan Rome untuk ke Brindisi.[1]
Era Pihak Bersekutu, 1943–1945
Kebanyakan rekod Comando Supremo jatuh ke tangan Republik Sosial Itali pada September 1943. Akibatnya, banyak rekod lesap pada April 1945.[3] Pada 18 November 1943, Ambrosio telah digantikan oleh Giovanni Messe.[5]
Pada 1 Mei 1945, Messe pula digantikan oleh Claudio Trezzani. Pada 31 Mei, atas nasihat menteri perang, Alessandro Casati, Leftenan Jeneral Empayar, Putera Umberto, mengeluarkan dekri perundangan yang menurunkan jawatan ketua turus Comando Supremo ke tugas-tugas penasihat sahaja.[6] Ia dinamakan semula Stato Maggiore della Difesa (Turus Am Pertahanan).[3]
Senarai ketua
- Ugo Cavallero (Jun 1941 – 1 Februari 1943)
- Vittorio Ambrosio (1 Februari 1943 – 18 November 1943)
- Giovanni Messe (18 November 1943 – 1 Mei 1945)
- Claudio Trezzani (1 Mei 1945 – 31 Mei 1945)
Rujukan
- ^ a b c d e f g h i j H. M. Smyth (1951), "The Command of the Italian Armed Forces in World War II", Military Affairs 15(1): 38–52. doi:10.2307/1982542
- ^ MacGregor Knox, Hitler's Italian Allies: Royal Armed Forces, Fascist Regime, and the War of 1940–43 (Cambridge University Press, 2000), p. .
- ^ a b c S. Trani and P. P. Battistelli (2010), "The Italian Military Records of the Second World War", War in History 17(3): 333–351. doi:10.1177/0968344510365242
- ^ Charles T. O'Reilly, Forgotten Battles: Italy's War of Liberation, 1943–1945 (, ), p. 53.
- ^ Brian R. Sullivan, "Comando Supremo", in The Oxford Guide to World War II (Oxford University Press, 2007), p. 196.
- ^ Filippo Stefani, La storia della dottrina e degli ordinamenti dell'Esercito italiano (Rome: Ufficio Storico dello Stato Maggiore dell'Esercito, 1984), Volume 1, pp. 541–543.
Bacaan lanjut
- Biagini, Antonello; Frattolillo, Fernando, penyunting (1986–2002). Diario storico del Comando Supremo: raccolta di documenti della seconda guerra mondiale [Historical Diary of the Supreme Command: Collection of Documents from the Second World War]. 9 volumes. Rome: Ufficio Storico dello Stato Maggiore dell'Esercito.