Takrifan celik huruf (literasi atau kenal huruf) biasanya memaksudkan keupayaan membaca dan menulis, atau keupayaan menggunakan bahasa untuk membaca, menulis, mendengar, dan bertutur[1]. Dalam konteks yang lebih tepat, celik huruf bermaksud mampu membaca dan menulis di tahap yang memadai untuk berkomunikasi, atau tahap yang membolehkan seseorang memahami dan meluahkan pandangan dalam masyarakat celik huruf agar dapat bergaul dalam masyarakat. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) telah menggariskan takrifannya seperti berikut: "'Celik huruf' iadalah keupayaan mengenal pasti, memahami, mentafsir, mencipta, menyampaikan, mengira dan menggunakan bahan cetak dan bertulis yang berkenaan dengan pelbagai konteks. Celik huruf melibatkan suatu kontinum pembelajaran untuk membolehkan seseorang individu mencapai matlamatnya, mengembangkan ilmu pengetahuan dan potensinya, serta menyertai masyarakat lebih luas dengan sepenuhnya." Pada zaman moden, buta huruf dipandang sebagai masalah sosial yang perlu diatasi melalui pendidikan.
Kadar celik huruf sedunia
Pada tahun 1998, 20% dari seluruh penduduk dunia adalah buta huruf mengikut takrifan PBB, iaitu ketakupayaan membaca dan menulis ayat yang mudah dalam mana-mana bahasa.[2] Berdasarkan takrifan: "umur 15 tahun ke atas boleh membaca dan menulis", pada tahun 2007 CIA World Factbook Amerika Syarikat menganggarkan kadar celik huruf sedunia berada di takat 82%."[3] Kadar buta huruf di negara-negara Asia Timur dan Amerika Latin biasanya terletak dalam lingkungan 10–15% manakala negara-negara maju cuma sedikit peratusan kadar sedemikian.
Kadar buta huruf amat berbeza antara negara atau rantau, dan selalunya nampak bersamaan dengan kekayaan atau pembandaran sesuatu tempat, namun banyak juga faktor-faktor lain.
Ekonomi
Ramai penganalisa politik menganggap kadar celik huruf sebagai sukatan modal insan setempat yang penting, atas sebab bahawa orang celik huruf tidak semahal dilatih berbanding yang buta huruf, serta secara amnya lebih tinggi darjat sosioekonominya[4] dan menikmati prospek kesihatan dan guna tenaga yang lebih baik. Para pembuat dasar juga berhujah bahawa celik huruf itu menambahkan peluang pengambilan kerja dan kemasukan pendidikan tinggi. Contohnyam di negeri Kerala, India, kadar kematian wanita dan kanak-kanak menjunam pada 1960-an sejak anak perempuan yang menikmati pendidikan kesan pembaharuan pendidikan selepas tahun 1948 sudah mampu menampung keluarga mereka. Bagaimanapun, kajian-kajian terkini[5] mendakwa bahawa korelasi sebegini mungkin lebih rapat kaitannya dengan kesan persekolahan keseluruhan berbanding setakat celik huruf. Selain potensi menambah kekayaan dari menjadi celik huruf, kekayaan itu juga boleh memupuk celik huruf melalui norma-norma kebudayaan dan capaian lebih mudah kepada sekolah dan perkhidmatan pengajaran.[perlu rujukan]
Rujukan
- ^ NCTE.org
- ^ Glossary, The Economist, diarkibkan daripada yang asal pada 2007-12-18, dicapai pada 2007-11-14
- ^ The World Factbook, Central Intelligence Agency, 2007-11-01, diarkibkan daripada yang asal pada 2010-01-05, dicapai pada 2007-11-14
- ^ PHONICS. It's Profitable, [www.thephonicspage.org The Phonics Page], dicapai pada 2007-12-11
- ^ Graff, 2003
Pautan luar
Cari Celik huruf dalam Wikikamus bahasa Melayu, kamus bebas. |