Burung Pipit Tuli | |
---|---|
Burung Pipit Tuli di Mangalore (Karnataka, India) | |
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Order: | |
Keluarga: | |
Genus: | |
Spesies: | L. striata
|
Nama binomial | |
Lonchura striata (Linnaeus, 1766)
| |
Taburan asal berwarna hijau | |
Sinonim | |
Uroloncha striata |
Burung Pipit Tuli adalah salah satu daripada burung yang boleh didapati di kawasan tropika benua Asia termasuk Malaysia. Nama sainsnya ialah Lonchura striata.
Ciri-ciri
Burung Pipit Tuli ialah haiwan yang tergolong dalam golongan benda hidup, alam : haiwan, filum : kordata, sub-filum : bertulang belakang (vertebrata), kelas : burung. Burung Pipit Tuli adalah haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Paruh Burung Pipit Tuli tidak bergigi.
Pipit tuli adalah burung bersaiz kecil dari keluarga burung pipit dan ciak. Saiznya lebih kurang 11 cm iaitu sebesar pipit rawa (Lonchura malacca) dan pipit uban (Lonchura maja). Warna keseluruhannya agak suram. Punggungnya putih manakala belakangnya perang suram. Dahi, sayap, dan ekornya agak hitam. Ekornya runcing dan agak panjang, tidak seperti pipit lain. Ada coret putih pada ekornya. Kerongkong dan dadanya perang tua berbintik putih, dan abdomennya kelabu cerah bercoret hitam.
Nama lain
Pipit tuli ada berapa nama Melayu dan nama sains lain. Ia dikenali juga sebagai "pipit dusun" (Tweedie, 1960:62) dan "pipit padi" atau "ciak padi" (Madoc, 1976:223). Semuanya menggambarkan tabii pemakanan atau habitatnya. "Pipit tuli" adalah nama yang disebut oleh Davison et al. (1989:86). Di Kelantan, pipit tuli dikenali sebagai "ciak tuli". Burung ini digelarkan demikian kerana tabiinya yang, apabila sedang makan, ia tidak menghiraukan persekitarannya, dan hanya terbang lari apabila betul-betul dihampiri.
Nama sainsnya juga ada dua bentuk iaitu nama generiknya sama ada Munia atau Lonchura. Kamus Dewan (1984:894) dan Madoc menyebutkan nama sainsnya sebagai Munia striata subsquamicollis manakala Davison et al. dan Tweedie menyebutnya sebagai Lonchura striata sahaja.
Nama Inggerisnya juga ada dua. Madoc menyebutnya sebagai "the sharp-tailed munia" berdasarkan ciri-ciri ekornya manakala Tweedie "the white-rumped munia" berdasarkan punggungnya.
Makanan
Pipit tuli memakan biji-bijian seperti padi, buah riung-riung, buah kemuncup dll. Pada musim padi, pipit tuli boleh dilihat berterbangan dalam kumpulan sambil hinggap di pohon padi untuk memakan biji padi. Justeru, pipit tuli adalah musuh pesawah. Pada masa dahulu, pesawah menggunakan orang-orangan dan tali yang diikat dengan tin untuk menghalau pipit tuli daripada memakan padi.
Pembiakan
Pipit tuli membiak dari Februari hingga Ogos. Telurnya bercangkerang keras berwarna putih tulus, 4 hingga 5 biji, berukuran 1.1 cm lebar, 1.65 cm panjang (Madoc, 1976).
Pipit tuli bersarang di atas pokok lebih kurang 2 hingga 4 meter di atas tanah. Biasanya pokok yang menjadi tempatnya bersarang adalah jenis berdaun lebat seperti limau, rambutan, mempisang, dll, sama ada di pinggir hutan, kebun, dusun, halaman rumah atau pokok hiasan taman. Sarangnya dibuat daripada rumput dan lalang kering dalam bentuk bulat lebih kurang 15 cm dan ada lubang di tepinya yang menjadi pintu untuknya keluar-masuk.
Habitat
Pipit tuli tinggal di kebun, dusun, belukar, pinggir hutan, dan tepi jalan (Madoc, 1976). Ia mengunjungi sawah hanya pada musim padi berbuah. Madoc mencatatkan bahawa pipit tuli pernah dilihat di stesen bukit seperti Bukit Fraser - satu-satunya burung pipit yang mengekori manusia hingga ke tanah tinggi.
Rujukan
- Davison, G. W. H., Phillipps, K. dan Alias K. (1989). Pengenalan Burung-burung Malaysia. Kuala Lumpur: WWF for Nature Malaysia. ISBN 983-99601-0-5.
- Kamus Dewan. (1984). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Madoc, G.C. (1976). An Introduction to Malayan Birds. Kuala Lumpur: Malayan Nature Society.
- Tweedie, M.W.F. (1960). Common Malayan Birds (1 ed). (1970) Common Birds of the Malay Peninsula (2 ed.) Kuala Lumpur: Longman. ISBN 0-582-69450-7.
Pautan luar
Senarai burung | |
---|---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |