Bukit Batu Lawi | |
---|---|
Titik tertinggi | |
Ketinggian | 2,046 m (6,713 ka) |
Geografi | |
Lokasi | Sarawak, Borneo |
Induk banjaran | Kelabit Highlands |
Bukit Batu Lawi merupakan sebuah gunung berkembar yang terletak di Tanah Tinggi Kelabit, Sarawak, Malaysia. Bukit Batu Lawi mempunyai ketinggian setinggi 2,046 meter dari paras laut bagi puncak jantan, dan 1,850 meter bagi puncak betina. Ia merupakan salah satu dari gunung tertinggi di Sarawak. Ia memainkan peranan penting dalam cerita dongeng silam dan sejarah moden.[1]
Bukit Batu mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan.
Kepentingan budaya
Batu Lawi dianggap suci oleh kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut, seperti puak Kelabit dan Penan. Menurut penduduk Kelabit, puncak gunung tersebut merupakan pasangan suami isteri dewa pelindung yang merupakan asal kesemua penduduk tanah tinggi. Lagenda Kelabit menyatakan ketika gunung api yang digelar Batu Apoi cuba membakar semua makhluk hidup [2] Batu Lawi bangkit melawannya dan api Batu Apoi berjaya dipadamkan. Orang Kelabit secara tradisi akan melawat Batu Lawi dari penempatan dari Bario atau Ba Kelalan—sekitar dua hari berjalan melalui hutan yang kini merupakan sebahagian Taman Negara Pulong Tau. Menurut adat mereka, dari saat mereka mula melihat gunung sehingga mereka berdiri di kakinya, mereka tidak boleh menyebut nama gunung tersebut bagi mengelak membuat penjaga puncak gunung marah.[2]
Batu Lawi semasa Perang Dunia Kedua
Semasa Perang Dunia Kedua, puncak berkembar Batu Lawi dijadikan mercu tanda bagi juruterbang dalam Angkatan Udara DiRaja Australia, dalam misi pasukan Berikat menawan kembali Borneo utara dari Jepun, ketika Borneo di jajah dan ditawan pada 1941. Tindak balas pihak Berikat adalah dengan menghantar komando dibelakang garis Jepun bagi melatih penduduk tempatan sebagai sebahagian Unit Khas Z bagi menentang penjajahan Jepun. Salah seorang yang terjun turun adalah Tom Harrisson, ahli sains, wartawan dan pangasas "Mass Observation" British, yang ketika itu merupakan leftenan muda dalam Tentera British.
Pada ketika itu, peta Borneo tidak begitu baik.[3] Juruterbang Consolidated Liberator RAAF yang membawa Harrisson dan tujuh ahli Pasukan Z yang lain ke belakang barisan Jepun hanya dapat melihat hutan yang terdampar saujana mata memandang. Tetapi puncak sandstone Batu Lawi tersergam seperti rumah api dan membenarkan para komando menentukan bahawa mereka akan mendarat berhampiran dengan Bario, dan penempatan penduduk Kelabit yang mereka cari. Lompatan tersebut berjaya tetapi pesawat tersebut ditembak jatuh dalam perjalanan pulang ke pangkalannya di Filipina.[3]
Rujukan
- ^ Malaysia, Singapore and Brunei
By Charles de Ledesma, Mark Lewis, Pauline Savage, Rough Guides (Firm) - ^ a b Malaysian Nature Society. 1998. Expedition to the proposed Pulong Tau National Park, Sarawak, Malaysia. Malaysian Nature Society, Miri Branch, Miri, Sarawak.
- ^ a b Harrisson , T. 1949. Explorations in Central Borneo" Geographical Journal.Volume 114:129-149