Belantara | |
---|---|
Latar belakang | |
Berasal dari | Malaysia |
Genre | Rock |
Pekerjaan | Vokal / Pemuzik |
Tahun aktif | 1986-kini |
Syarikat rakaman | Polygram Records (kini Universal Music Malaysia) |
Pengkarya berkait | Berkumpulan |
Laman sesawang | https://youtube.com/channel/UCW-2YCYLd9MtO1DLmgLZiBg (BelantaraDotTV) |
Ahli | Zaid (vokal) Shukri (gitar bass) Aziz (gitar) |
Bekas ahli | Nen - dram (1988) Shidee - gitar (1988) Benson Lee - gitar (1990) |
Kumpulan Belantara merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi rock yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu.
Latar belakang
Kumpulan muzik ini telah ditubuhkan pada tahun 1986[1] oleh tiga orang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat pada waktu itu iaitu Zaid dan Shukri dari Washington State University, Pullman serta Aziz dari The University of Idaho.
Pada peringkat awal penubuhannya, Belantara mempunyai empat orang anggota iaitu Zaid sebagai penyanyi, Shukri sebagai pemain gitar bass, Aziz sebagai pemain gitar dan seorang lagi pemain gitar yang menarik diri sebelum rakaman album pertama. Mereka tidak mempunyai pemain dram yang tetap kerana mereka merasakan bahawa keadaan pada waktu itu adalah sukar disebabkan mereka semua berada di luar negara dan mereka hanya dapat berkumpul bersama ketika proses merakamkan album. Oleh kerana itu, mereka lebih selesa menggunakan khidmat pemain dram rakaman (session/freelance drummer) kerana gubahan setiap bahagian lagu telah siap dalam kaset demo dan pemain dram hanya perlu mengikut apa yang beliau dengar daripada kaset demo tersebut tanpa perlu membazir banyak masa di studio rakaman.[2]
Kerjaya seni
Bermula dengan mencipta beberapa buah lagu semasa musim sejuk tahun 1986, bahang populariti muzik rock era 1980-an di Malaysia juga dapat dirasakan oleh Belantara, membuatkan mereka mencuba nasib dan mengirimkan rakaman demo yang mengandungi lima buah lagu kepada PolyGram, sebuah syarikat rakaman antarabangsa yang berpusat di Singapura. PolyGram yang melihat potensi Belantara terus menawarkan kontrak rakaman album kepada mereka.
Belantara lebih popular dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Amerika Syarikat dan juga tanah air sekitar akhir 1980-an dan awal 1990-an, kerana mereka lebih mudah memahami pelbagai mesej yang cuba disampaikan oleh Belantara melalui lagu-lagu mereka. Para peminat menyifatkan Belantara seperti kumpulan Queensrÿche (sebuah kumpulan muzik heavy metal dan metal progresif dari Amerika Syarikat) dan Aziz (pemain gitar Belantara) disifatkan seperti mendiang Randy Rhoads (pengasas bersama dan pemain gitar asal kumpulan Quiet Riot) versi Malaysia.
Sepanjang karier muzik mereka, Belantara hanya pernah membuat persembahan di Pesta Pulau Pinang pada tahun 1988. Persembahan tersebut merupakan persembahan mereka yang pertama dan terakhir dek kerana kesibukan mereka sebagai mahasiswa pada ketika itu. Selain itu, mereka terpaksa berulang alik dari Amerika Syarikat ke Singapura dan Malaysia untuk proses rakaman album menyebabkan mereka tidak dapat memberi komitmen untuk sebarang persembahan, konsert atau konsert jelajah di tanah air.[3][4][5][6]
Belantara pernah menghasilkan tiga buah album iaitu Belantara (1987), SriKandi Di Sisi (1988), dan Infiniti (1990).
1987: Album sulung Belantara
Album sulung Belantara yang juga bertajuk Belantara telah dirakamkan di Lion Studio, sebuah studio terkenal di Singapura yang telah banyak menerbitkan album kumpulan-kumpulan rock dari Singapura dan Malaysia. Album tersebut diterbitkan bersama oleh Belantara dan Hillary Ang (yang pada ketika itu telah keluar daripada kumpulan rock lagenda Search). Dato' M. Nasir juga telah membantu dalam penerbitan vokal untuk lagu Dewi ketika beliau singgah di studio berkenaan ketika sesi rakaman album sedang dijalankan.
Album tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi pada masa itu.[7]
2002: Lagu Separa Disana bersama Daqmie
Pada tahun 2002, Belantara telah berkerjasama dengan Daqmie untuk sebuah lagu yang berjudul Separa Disana. Lagu tersebut yang lebih bernuansa pop dan fusion (seperti lagu-lagu nyanyian kumpulan padu suara lelaki yang popular pada ketika itu seperti kumpulan Backstreet Boys dan NSYNC) merupakan satu cubaan Belantara untuk 'lari' seketika daripada genre kebiasaan mereka. Mereka memilih Daqmie untuk menyampaikan lagu berkenaan kerana mereka kagum dengan kehebatan dan keupayaan vokal beliau.[8]
Februari 2020: Persembahan istimewa sempena ulang tahun penubuhan Belantara yang ke-33
Sebagai menghargai para peminat yang memberikan sokongan padu dari awal kemunculan mereka dalam persada seni tanah air, Belantara telah mengadakan sebuah persembahan istimewa yang diberi nama Belantara 2020 Showcase sempena meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-33. Persembahan tersebut telah diadakan selama dua malam iaitu pada 20 dan 21 Februari 2020 di Damansara Performing Arts Centre (DPac) Theatre, Damansara Perdana. Walau bagaimanapun, hanya Zaid, Shukri dan Aziz yang terlibat dalam persembahan tersebut, manakala Benson tidak dapat melibatkan diri dalam persembahan tersebut atas faktor kesihatan. Persembahan mereka dibantu oleh pelakon, pemuzik dan sutradara Samsul Cairel sebagai pemain papan nada, Umar Sulaiman sebagai pemain dram dan Zul Basir sebagai pemain gitar.
Pada persembahan tersebut, Belantara telah mempersembahkan rangkaian lagu-lagu popular mereka seperti Sutra, Dewi, Airmata, SriKandi Di Sisi, Kepangkuan Ibunda, Amaran!!! Perintah Berkurung, Jebat, Jentera Pemusnah dan Mereka.[9][10]
Ahli-ahli
- Zaid - penyanyi
- Aziz - gitar
- Shukri - gitar bass
Bekas ahli
- Nen - dram (1988)
- Shidee - gitar (1988)
- Benson Lee - gitar (1990)
Diskografi
Album studio
- Belantara (1987)
- SriKandi Di Sisi (1988)
- Infiniti (1990)
Album kompilasi
- Best of Belantara
- Koleksi Terbaik
Lagu-lagu
- Belantara
- Kepangkuan Ibunda
- Jebat
- Jiwa Perajurit
- Sutra
- Jentera Pemusnah
- Dewi
- Rintihan Menara Gading
- Nostalgy
- Negaramu Yang Utama
- Perintah Berkurung
- Srikandi Di Sisi
- Panglima Angkasa
- Pelangi Dan Nafiri
- Hadiah Harijadi
- Menari Di Dalam Hujan
- Bunga Matahari
- Biar Rindu
- Cubaan Bukan Satu
- Mutiara
- Mereka
- Pelita Ketenangan
- Lautan Cahaya
- Telefon
- Bunga Bangsa
- Daya Tarikan
- Airmata
- Dikau Yang Berbeda
- Destinasi Infiniti
- Jalan Pulang
Pautan luar
- http://www.muzikrock.com/belantara_01.html Diarkibkan 2009-01-05 di Wayback Machine
- http://www.belantara.blogspot.com
- http://www.facebook.com/home.php?#!/profile.php?id=1664760780
- ^ BelantaraDotTV. (8 Julai 2020). About/Description. Dicapai pada 23 Jun 2022.
- ^ Blog rasmi kumpulan Belantara. (14 Julai 2004). PASAL BELANTARA 3 ORANG. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ Syafiqa Irdina. (13 Februari 2020). Selepas 33 Tahun, Rockers BELANTARA Kembali Demi Peminat Tanah Air!. Xtra. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ TV3MALAYSIA Official. (13 Februari 2020). Kembali Demi Peminat Rock Tanah Air | MHI (13 Februari 2020) (Fail video). Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ Ridzuan Abdul Rahman. (29 Februari 2020). Belantara tetap 'menggigit' . Harian Metro. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ BelantaraDotTV. (26 Februari 2021). Belantara - Sutra @ DPAC 20 02 2020 (Fail video). Dicapai pada 23 Jun 2022.
- ^ Blog rasmi kumpulan Belantara. (12 Julai 2004). BLAST FROM THE PAST: DEBUT ALBUM. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ BelantaraDotTV. (16 Disember 2021). Separa Disana - Belantara feat Daqmie (Fail video). Dicapai pada 23 Jun 2022.
- ^ Ridzuan Abdul Rahman. (29 Februari 2020). Belantara tetap 'menggigit' . Harian Metro. Dicapai pada 16 Disember 2022.
- ^ BelantaraDotTV. (26 Februari 2021). Belantara - Sutra @ DPAC 20 02 2020 (Fail video). Dicapai pada 23 Jun 2022.